Zikrullah Sumber Bahagia – Mukmin Profesional 14.05.2012
Ustaz Pahrol Mohd. Juoi
Alhamdulillah kita dipilih untuk berada
dalam kebaikan. Mudah-mudahan dengan kita selalu mendengar sesuatu
yang berkaitan ilmu ini, hati kita akan bercahaya. Perbincangan
petang ini akan menyambung perbincangan minggu lepas. Minggu lepas
telah kita bincangkan bahawa terdapat 2 cara manusia mencari bahagia
– dari luar ke dalam, dan dari dalam ke luar. Manusia yang yakin
bahawa bahagia itu datang daripada luar memburu harta, rupa, kuasa
dan nama. Kita sudah pun membincangkan dan membuktikan bahawa
golongan yang memiliki semua ini pada hakikatnya tidak juga mendapat
kebahagiaan kerana ramai daripada mereka yang hidup tertekan dan
terlibat dengan dadah, arak, masalah rumah tangga sehinggakan ada
yang sanggup membunuh diri.
Sumber bahagia yang kedua pula adalah
dari dalam ke luar – iaitu bersumberkan hati. Allah SWT telah
menegaskan dalam firman-Nya, “Ketahuilah bahawa dengan mengingati
Allah, hati akan menjadi tenang.” Inilah jawapan kebahagian yang
dicari-cari manusia. Kebahagiaan itu datangnya daripada ketenangan
hati. Ketenangan hati itu pula datangnya dengan mengingati Allah,
iaitu melalui zikrullah. Ketenangan itu bukan dicari menggunakan
akal, tetapi Allah sebagai pencipta yang mengurniakannya melalui
kasih sayangnya kepada manusia. Inilah konsepnya, tetapi bagaimana
pula dengan realitinya? Bagaimanakah yang dikatakan jika mengingati
Allah, hati kita akan menjadi tenang. Katakan kita sedang sedih,
adakah dengan mengucapkan 'Subhanallah', hati kita akan tenang? Jika
kita sedang marah pula, adakah dengan menyebut 'Ya Laatif, Ya
Laatif', kemarahan kita akan reda? Jika kita sedang ketakutan dan
resah gelisah pula, adakah dengan mengucapkan 'Hasbunallah wa ni'mal
waakil', hati kita akan tenteram?
Sebenarnya, dalam realitinya tidaklah
semudah itu untuk dilakukan. Zikrullah itu pembawa ketenangan, namun
dengan hanya menyebutnya, nampaknya kita belum lagi mendapat
ketenangan. Berbeza dengan apa yang kita tahu daripada sejarah yang
pernah berlaku kepada Siti Fatimah, puteri Rasulullah SAW. Oleh
kerana merasa terlalu berat melakukan tugasan dalam rumah tangganya
seperti terpaksa mengangkut air dari tempat yang jauh sehingga
berbekas bahunya, mereka suami isteri bertemu Rasulullah SAW untuk
meminta bantuan sekiranya Rasulullah SAW mempunyai pembantu rumah.
Cerita ini kita semua pun tahu sebenarnya dan saya cuma ulang di
sini. Dipendekkan cerita, Rasulullah tidak mempunyai pembantu dan
menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik iaitu dengan mengajarkan
Fatimah mengucapkan 'Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahuakbar
33x', untuk diamalkan sebelum tidur, dan zikir ini juga kemudiannya
dikenali sebagai 'Zikir Fatimah'. Esoknya pagi-pagi lagi Fatimah
bertemu ayahandanya dan menyatakan dia tidak lagi memerlukan pembantu
rumah kerana dia telah merasa keringanan, ketenangan dan kelapangan
jiwa untuk melakukan kerja-kerja rumah. Inilah kebenaran perumpamaan
yang menyatakan, “Jangan meminta hidup yang senang, tetapi mintalah
hati yang tabah.” Hati yang tabah hanya boleh diperolehi melalui
zikrullah. Cuba kita padankan kisah benar yang berlaku ini kepada
isteri atau ibu yang juga terlalu letih menguruskan rumah tangga yang
penuh dengan cabaran hari ini. Macam-macam yang perlu dilakukan. Cuba
ajarkan mereka zikir ini sebagai ganti kepada pembantu rumah.
Walaupun ucapannya sama, bilangannya, ternyata kesannya jauh berbeza.
Mengapa ini terjadi? Kesan zikrullah itu tidak sama kerana hati Ali
dan Fatimah jauh berbeza dengan hati kita. Zikir tidak boleh
diamalkan sebagai kalimah-kalimah yang bersifat 'surface' atau
permukaan semata-mata. Kita mesti menyelam ke dalam kalimah itu dan
mengamalkannya dengan lebih holistik iaitu secara multi-dimensi.
Dengan cara itu, barulah akan ada kesannya kepada hati kita.
Rupa-rupanya zikir ini terdiri daripada tiga iaitu:
- Zikir Qauli iaitu zikir menggunakan lidah,
- Zikir Qalbi iaitu zikir di dalam hati, dan
- Zikir Fi'li iaitu zikir dengan anggota.
Oleh itu mungkin zikir-zikir yang kita
amalkan sebelum ini belum memberi kesan kerana kita tidak mendirikan
ketiga-tiga komponennya sekaligus. Mungkin lidah kita berzikir tetapi
hati kita lalai. Mungkin hati kita mengingati Allah, tetapi anggota
kita melakukan yang sebaliknya pula. Kita kena gabungkan kesemua
elemen ini, barulah impaknya akan terasa. Contohnya, jika kita sebut
'Subhanallah', ertinya 'Maha Suci Allah'. Jadi kita kena faham betul
bahawa Allah itu suci daripada segi zat-Nya, sifat-Nya dan Af al-Nya
(perbuatan-Nya) berbanding kita. Namun kita kadang-kadang tak terasa
kesucian Allah kerana dilindungi oleh rasa suci diri kita sendiri.
Cuba kita lihat sebagai perbandingan, betapa kotornya, hinanya kita
sebagai insan. Kita berasal daripada air mani yang hina, dikandung
dalam perut ibu, bersebelahan sahaja dengan 'tong najis' ibu. Semasa
dilahirkan pun kita keluar melalui saluran najis juga. Kemudian
apabila kita membesar, semua anggota badan kita pun mengeluarkan
najis. Tak kiralah secantik mana pun rupa seseorang, jika tak mandi
seminggu berbau juga. Mata, kuku, kulit, gigi kita semuanya
mengeluarkan najis. Jika kita mati pula, kita menjadi bangkai yang
paling busuk sekali (maaf terpaksa menyebutnya). Tiada apa-apa pada
diri kita ini. Sebab itulah kita tak layak menyembah Allah sebelum
mensucikan diri daripada hadas kecil dan hadas besar. Kita kena cuci
muka, tangan, rambut dan kaki sebelum menyembah Allah yang Maha Suci.
Semoga selepas ini, ketika menyebut 'Subhanallah', mudah-mudahan ia
akan meresap ke hati kita dan kita akan lebih terasa bahawa
sesungguhnya Allah itu Maha Suci. Ini barulah dikatakan zikir qalbi.
Mari kita lihat dari segi perbuatan
atau sifat Allah pula. Antara sifat Allah yang kita sedia maklum
ialah Al-'Afu (Maha Pengampun) dan Al-Ghaffar(Maha Pemaaf). Allah SWT
sangat cintakan kemaafan. Oleh sebab itulah kita sangat dianjurkan
untuk berdoa meminta kemaafan dan keampunan dari Allah SWT. Mari kita
bandingkan dengan sifat kita pula. Cuba kita ambil spesimen seramai
100 orang. Daripada jumlah ini, apabila ada orang bersalah padanya,
berapa ramaikah yag bersedia memaafkan. Daripada 100, mungkin cuma 30
orang sanggup memaafkan. Baki lagi 70 mungkin cakap - “I see you di
akhirat”. Daripada 30 orang ini pula, berapa ramai yang sanggup
melupakan - 'forgive and forget'? Ramai yang sedia memaafkan tetapi
sukar melupakan kesalahan yang pernah dilakukan terhadapnya.
Katakanlah mungkin ada 5 orang yang sanggup 'forgive and forget'.
Daripada 5 yang tinggal ini, berapa ramai yang boleh menyayangi orang
yang berbuat salah kepadanya? Mungkin seorang? Mungkin juga tiada
soeorang pun yang sanggup menyayangi orang yang pernah melukai kita.
Ianya sangat sukar untuk kita lakukan.
Jadi cuba kita lihat betapa sucinya
Allah SWT. Jika seseorang itu datang kepadanya dengan dosa dan
kesalahan yang menggunung sekalipun, Allah Taala bukan sahaja
menjanjikan keampunan bahkan Allah menyayangi orang yang bertaubat
atas dosa-dosanya. Dalam suatu hadis yang panjang ada disebut bahawa
Allah menyayangi, menyukai dan sangat gembira untuk menerima taubat
hamba yang berdosa. Ianya diumpamakan seperti seorang musafir di
tengah padang pasir yang kehilangan bekalan dan untanya. Oleh kerana
terlalu kecewa musafir itupun mengambil keputusan untuk tidur dengan
harapan biarlah mati ketika tidur. Tetapi alangkah gembiranya musafir
itu apabila terjaga dan mendapati bekalan dan untanya telah kembali
ke pangkuannya. Perasaannya seumpama mati hidup semula. Jika musafir
itu terlalu gembira, Allah SWT lebih gembira lagi daripada musafir
itu apabila ada hambanya yang bertaubat atas kesilapan lalu. Allah
bukan sahaja memaafkan kesalahan orang yang berdosa, bahkan Allah
memadamkan daripada catatan dan menyayangi orang yang yang bertaubat
itu. Oleh itu bila kita sebut 'Subhanallah', jadikanlah ianya zikir
qalbi dimana kita terasa di dalam hati betapa sucinya Allah, betapa
penyayangnya Allah.
Seterusnya cuba kita lihat bagaimana
Allah memandang hambanya. Kita ini kadang-kadang begitu cepat betul
bersangka buruk atau prejudis takkala melihat contohnya sebuah kereta
memotong kereta kita atau seseorang yang berpakaian agak 'XO-
extraordinary'. Kita mula berdetik di dalam hati mengatakan yang
orang itu berlagaklah, kurang beradab dan sebagainya. Walaupun kita
tak ucapkan secara zahir, tetapi begitulah hati kita memandang orang
sekeliling. Padahal orang itu tiada kena-mengena pun dengan kita.
Kita tidak memandang orang dengan kasih-sayang, sebaliknya kita
memandang orang dengan prasangka, curiga dan kehinaan. Sebab itulah
dalam memberi salam pun kita memilih-milih orang. Walaupun seseorang
itu Islam jika dia tidak senyum kepada kita, kita pun tidak mahu beri
salam. Padahal Nabi SAW sendiri sudah menyebut bahawa di akhir zaman
nanti, manusia hanya memberi salam kepada orang yang mereka kenali
sahaja. Sewajarnya kita beri salam kepada semua umat Islam, tak
kitalah kita kenal atau tak. Jadi apa yang menghalang kita daripada
memberi salam? Itulah persepsi atau pandangan kita terhadap
seseorang. Kita suka menghukum orang dari segi lahiriah sahaja.
Allah SWT itu Maha Kaya, tetapi Allah tidak prejudis ketika melihat
hamba-Nya. Penglihatan Allah dipenuhi kasih sayang, bahkan kasih
sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu yang paling
menyayangi anaknya. Allah Maha Berkuasa tetapi Allah tidak zalim
sebaliknya Allah penyayang. Allah Maha Kaya tetapi Allah tidak bakhil
dan sebaliknya sangat pemurah. Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah
tidak membuka aib hambanya. Alhamdulillah dosa itu tidak berbau, jika
sebaliknya, tentulah tiada siapa yang mahu dekat dengan kita
lantarannya terlalu banyaknya dosa yang pernah dilakukan. Oleh itu,
apabila menyebut “Subhanallah”, terasalah bahawa Allah itu Maha
Suci melalui pandangannya, sifatnya, zatnya dan sebagainya. Ini
barulah dinamakan zikir qalbi. Mudah-mudahan zikir sebegini ada
kesannya kepada hati kita, sepertimana kesan zikir ini ke atas hati
Fatimah dan Ali.
Seterusnya, komponen terakhir – zikir
fi'li. Adakah perbuatan kita selaras dengan pengucapan kita? Adakah
tindakan kita selaras dengan rasa hati kita? Adakah kita bertindak
mengikut syariat yang Allah tetapkan? Orang yang betul-betul
merasakan Allah itu Maha Suci, tindakannya juga akan mensucikan
Allah, maksudnya dia cuba untuk melaksanakan tuntutan yang wajib dan
juga yang sunat ke atasnya. Perkara yang haram pula, bukan sahaja dia
meninggalkannya, malah dia mencegah orang lain daripada melakukannya
juga. Inilah yang paling penting sebenarnya. Kita jaga hukum-hakam
yang Allah tetapkan. Kita menyayangi semua makhluk Allah dan kita
juga menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah (tercela). Ini
barulah dikatakan zikir fi'li yang merangkumi perlakuan lahiriah dan
juga batin atau hati kita. Dengan ketiga-tiga komponen ini, barulah
zikir itu bersepadu untuk diamalkan. Semoga dengan pencerahan ini
kita menyedari bahawa rupa-rupanya zikir kita selama ini sekadar
terapung-apung di permukaan dan tidak menjunam ke dalam hati kita
sehingga menimbulkan ketenangan yang sejati. Ketahuilah bahawa dengan
mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Tetapi jika kita sudahpun
mengingati Allah, namun hati masih belum berasa tenang, pasti masih
ada kekurangan sama ada pada zikir qaulinya, zikir qalbi atau zikir
fi'linya. Saya rasa cukup dulu sebagai pencerahan. Mari kita
berkongsi bersama pendengar pula.
Senarai soalan & jawapan:
S: Bagaimanakah konsep kemaafan dalam
Islam? Katakan ada orang berhutang atau menzalimi kita, dan kita
mengambil sikap tidak peduli dengan alasan 'malas nak layan'. Adakah
sikap begini dituntut dalam Islam?
J: Pada pendapat saya, tindakan
sebegitu tidak berapa tepat. Jika ada orang berhutang dengan kita,
kita perlu maklumkan kepada mereka. Orang yang berhutang terlibat
dengan dosa jika hutangnya tidak dilangsaikan. Jadi kita meminta
hutang itu agar dia terlepas daripada menanggung dosa. Kecualilah
kalau dia itu seorang yang susah dan tidak mampu, kita bolehlah
menangguhkan atau menghalalkan hutang tersebut. Jika sebaliknya, kita
perlu mengingatkannnya. Kita menuntut hutang bukan kerana hutang itu,
tetapi kerana sayangkan dia agar dia tidak terlibat dengan dosa.
Seterusnya kita juga boleh berdoa memohon hatinya dilembutkan untuk
membayar hutang. Dalam kes dizalimi pun begitu juga. Kita bukan saja
perlu tolong orang yang dizalimi, namun kita perlu juga tolong orang
yang menzalimi. Bagaimana? Dengan memberhentikan kezaliman orang yang
menzalimi. Jadi, sifat Islam ialah ambil endah dan ambil peduli.
Sikap tidak ambil peduli bukan sifat Islam. Islam menyuruh kita
menghalang kemungkaran dengan kuasa, dengan lidah atau paling kurang
dengan hati. Orang Islam perlu reaktif dalam mencegah kemungkaran.
S: Seperti yang ustaz sebut bahawa
zikir itu ada 3 bahagian. Saya sendiri pun sentiasa mengamalkan
zikir, tapi saya masih rasa ada sesuatu kekurangan. Saya juga masih
melakukan maksiat-maksiat contohnya seperti mengumpat. Jadi bagaimana
nak tahu yang kita telah benar-benar ikhlas mengingati Allah,
berzikir pada-Nya, sedangkan saya masih leka membuat kesilapan dan
setelah berbuat kesilapan, barulah saya sedar yang saya telah buat
silap lagi. Saya cuba untuk sentiasa ingat Allah, dan berzikir tapi
masih lagi melakukan kesalahan. Jadi bagaimana nak ikhlaskan diri
dalam berzikir, dan mewujudkan perasaan suka dan minat untuk
berzikir.
J: Masalah ini kita semua pun
menghadapinya. Dalam melakukan solat, berzikir dan mengingati Allah,
kita masih terlanjur melakukan maksiat-maksiat dan gagal mengawal
hawa nafsu kita. Apa yang penting sekali ialah kita masih ada rasa
bersalah. Rasa bersalah itu menunjukkan bahawa hati kita masih hidup.
Berbeza dengan orang yang hatinya mati, dia berasa gembira apabila
melakukan kesalahan. Tetapi jika kita menyesal setelah melakukan
kesalahan dan mungkin tertanya-tanya kenapa walaupun kita dah solat,
kenapa kita masih sukar meninggalkan maksiat. Pada ketika ini, jangan
berputus asa daripada rahmat Allah. Sekali lagi saya ingatkan, jangan
sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah. Kita segeralah
bertaubat, biarpun berterusan bertaubat sekalipun kerana masih
mengulangi kesilapan yang sama. Jangan sesekali menganggap tak perlu
bertaubat kerana dah tahu pasti akan mengulangi kesilapan lagi.
Teruskan bertaubat, semoga kita mati dalam melakukan taubat, atau
dalam perjalanan menuju taubat yang lain.
Imam Ghazali pernah ditanya, “Bagaimana
keadaan aku berzikir tetapi hatiku lalai?”. Jawab Imam Ghazali,
“Hendaklah engkau terus berzikir walaupun hatimu lalai.
Sekurang-kurangnya lidahmu telah terpelihara daripada melakukan
kejahatan.” Jadi kita kena teruskan berzikir walaupun hati lalai.
Jika kita masih buat silap, berusahalah untuk memuhasabah diri dan
bertaubat. Teruslah mengetuk pintu taubat dan pintu keredhaan Allah,
InsyaAllah akan terbuka juga suatu hari nanti. Kita perlu terus
berbaik sangka pada Allah. Kita juga perlu tambahkan ilmu, kerana
ilmu akan memberi jalan untuk kita beramal. Seterusnya cari guru dan
jadikan mentor yang dapat membimbing kita dan mengajar cara berzikir
yang lebih spesifik, sesuai dengan keadaan dan keperluan kita. Dalam
rancangan Mukmin Profesional ini kita cuma membuka gerbang sahaja
dalam memberitahu kepentingan zikrullah. Mudah-mudahan para pendengar
akan mendalami topik ini dan mencari zikir-zikir yang muktabar untuk
diamalkan. Teruskanlah berzikir, bermujahadah, dan bertaubat kepada
Allah SWT. Semoga kebaikan kita akan melebihi kejahatan kita suatu
hari nanti, kerana kita terus 'berperang'. Tetapi jika kita berhenti
berperang, sudah tentu kita akan kalah. Oleh sebab itu, yang penting
kita tidak mengalah dan terus bermujahadah, biarpun kadang-kadang
kita kalah.
S: Bagaimana memupuk perasaan untuk
sentiasa berzikir, biarpun kadang-kadang terlalu sibuk dengan urusan
pekerjaan seharian?
J: Soalannya – Terlampau sibuk
bekerja sampai tak sempat nak berzikir. Jadi saya nak ubah sedikit -
Terlampau sibuk bekerja sampai tak sempat nak makan. Ada ke orang
macam tu? Tak. Walau sibuk macam mana sekalipun kita tetap tidak lupa
untuk makan. Jadi, jika untuk mengambil makanan fizikal kita
peruntukan waktu-waktu khas, mengapa kita tidak boleh lakukan yang
serupa untuk mengambil makanan rohani iaitu zikir? Sepertimana badan
jadi lemah apabila kita tidak makan, hati juga akan jadi lemah
apabila kita tidak zikrullah. Bila hati lemah, kita takkan ada
kekuatan untuk menempuh ujian hidup. Kadang-kadang kita bekerja untuk
memburu sesuatu sehingga tidak sedar yang benda itu memburu kita
kembali. Contohnya, kita bekerja untuk keluarga, tetapi dalam masa
yang sama kita mengabaikan keluarga. Ada orang pula bekerja untuk
mendapatkan duit tetapi sayangnya tidak sempat pun menikmati duit
tersebut. Silapnya adalah kerana kita tak tahu keutamaan dalam
kehidupan. Jadi sebenarnya, sebesar-besar zikir ialah solat. Jadi
kita mesti utamakan solat dalam apa keadaan sekalipun.
Perkara-perkara lain jatuh tempat kedua dan seterusnya. Zikrullah ini
perlu difahami dari segi qaulinya, qalbinya dan fi'linya. Zikir itu
bukanlah semata-mata kena berada di atas tikar sembahyang atau di
sejadah. Sebaliknya ketika kita memandu sekalipun hati kita boleh
sentiasa berzikir dan mengingati Allah. Seterusnya adalah penting
untuk kita menjadikan kerja kita juga sebagai zikir. Bagaimana?
Dengan memastikan pekerjaan yang dilakukan menepati enam syarat
ibadah yang kita pernah bincangkan sebelum ini. Antara 2 yang
terpenting ialah 2-i: iaitu ikhlas kerana Allah dan iktiba' iaitu
mengikut sunnah Rasulullah. Menjadikan kerja sebagai zikir termasuk
dalam kriteria zikir fi'li (perbuatan). Oleh itu jika kita
betul-betul jadikan kerja kita sebagai ibadah, kerja itu juga boleh
menjadi zikir kepada Allah. Contohnya jika kita sebagai guru, doktor,
jurutera atau penoreh getah sekalipun, jaga keenam-enam prinsip ini
supaya kerja menjadi ibadah. Dengan itu kita tak perlu memisahkan
zikir daripada kehidupan kita. Memisahkan zikir daripada kehidupan
kita umpama memisahkan ikan daripada air. Ikan sentiasa memerlukan
air, manakala hati manusia pula sentiasa memerlukan zikir. Tanpa air,
ikan mati. Tanpa zikir, hati akan mati. Jadilah inilah pesan saya
agar kita sentiasa berzikir dengan menjadikan kerja sebagai ibadah.
S: Ada setengah pihak mengatakan zikir
selepas solat, jika dikuatkan boleh mengganggu jemaah lain yang
sedang solat. Jadi saya mohon penjelasan ustaz.
J: Ini merupakan persoalan khilafiah.
Ada yang berpendapat zikir itu boleh dilakukan secara berjemaah, dan
ada pula yang berpendapat zikir itu di dalam hati dan dilakukan
sendiri-sendiri. Jadi mana satu nak ikut? Memandangkan ada khilaf,
terpulang untuk mengikut yang mana satu yang dirasakan sesuai. Yang
mana satu pun yang dipilih tidak menjadi kesalahan. Yang salah itu
apabila kedua-dua kumpulan yang mengamalkan pendapat yang berbeza
saling menyalahkan kumpulan yang lain atau jika kedua-duanya tidak
berzikir langsung. Dalam hal ini kita ikut contoh ulama-ulama
terdahulu. Mereka berjaya memanfaatkan persamaan dan menguruskan
perbezaan dengan baik. Jadi jangan kita hari ini berbalah sehingga
boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya
masalah yang perlu diberi perhatian ialah majoriti manusia yang tidak
berzikir langsung.
(Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepadaMu).” (HR Abu Daud)
S: Saya pernah mengamalkan doa yang
Nabi SAW anjurkan iaitu “Allahuma a'inni 'ala zikrika, wa syukrika,
wa husni 'iba datik”. Kesannya menjadikan saya lebih mengingati
Allah dalam setiap urusan yang saya lakukan. Jadi bagaimana untuk
saya istiqamah dalam perkara ini?
J: Saya ada berjumpa dalam satu kitab
yang menyatakan memang doa ini merupakan asas untuk membuat satu
perhubungan yang baik dengan Allah. Doa ini diberikan Nabi SAW kepada
sahabat yang amat dikasihinya iaitu Mu'az bin Jabal. Rasulullah SAW
pegang tangan Mu'az sambil berpesan supaya Mu'az tidak sekali-kali
lupa mengamalkan doa ini selepas solat. Kita minta dalam doa ini
bantuan untuk: yang pertama untuk berzikir mengingati Allah, kedua
untuk mensyukuri nikmat Allah, dan ketiga agar diperbaiki ibadah kita
kepada Allah. Bila kita minta Allah permudahkan tiga urusan ini,
InsyaAllah, ianya memang menjadi mudah. Jika tidak, kita akan merasa
berat, lesu dan sukar mengingati Allah. Oleh sebab itu kita minta
bantuan Allah agar kita mudah mengingati Allah. Ini memang satu
amalan yang terpuji. Bagaimana pula untuk istiqamah? Tiada jalan lain
selain daripada selalu berlatih dan bermujahadah. Jadi amalkan doa
ini setiap masa, tidak terhad kepada ketika lepas solat sahaja. Orang
mukmin itu apabila bersuara, dia berzikir, apabila diam, dia
berfikir. Mudah-mudahan kita berterusan mengamalkannya. Pada yang
belum hafal, usahakan untuk menghafal. Jika belum berjaya, hafal
maknanya terlebih dahulu. Jika kita minta bantuan Allah, InsyaAllah
Allah takkan mengecewakan kita.
Kesimpulan:
Saya ingin mengaitkan penerangan minggu
ini dengan minggu yang lalu. Sebenarnya tidak salah untuk kita
mencari harta, menjadi terkenal, menjaga rupa dan mempunyai kuasa,
asalkan semuanya dilakukan berlandaskan zikrullah iaitu mengingati
Allah. Apabila mengingati Allah, jika kaya, kita takkan sombong dan
jika kita rupawan pula kita tidak angkuh. Contohilah Nabi Sulaiman
yang kaya tetapi masih patuh pada Allah. Begitu juga dengan Nabi
Yusuf yang rupawan, tetapi tetap mengingati Allah. Dan yang paling
popular, dimana tidak pernah berlalu satu minit pun tanpa orang
menyebut namanya, iaitu Nabi Muhammad SAW. Kepopularan atau
keternamaannya tidak menghilangkan sifat kehambaan yang sentiasa
mengharap kepada Allah. Hanya dengan mengingati Allah, kita boleh
menjadi orang kaya, orang berkuasa, orag rupawan dan orang popular
yang bahagia.