Mimpi (2) - Tanyalah Ustaz 05.06.2012

Ustaz Dato' Abu Hassan Din


Bacaan surah Yusuf, ayat 4-5 yang bermaksud:
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku"
Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Ayat yang dibacakan menceritakan tentang mimpi Nabi Yusuf. Baginda bermimpi 11 bintang sujud padanya. Lalu ayahnya, Nabi Yaakob, berpesan supaya jangan diceritakan kepada saudara-saudaranya. Walaupun Nabi Yusuf belum lagi menjadi nabi, baginda sudah pun menerima mimpi. Nabi Yaakob pula berkebolehan mentafsir mimpi. Nabi Yusuf berasal daripada Bani Israil. Israil ini ialah perkataan dalam bahasa Hebrew, yang bermaksud 'hamba Allah'. Dalam bahasa Arab pula hamba Allah ialah “Abdullah'.

Setelah dewasa, nabi Yusuf pula berkebolehan mentafsir mimpi. Ini diceritakan dalam surah yang sama, ayat 44-48 yang bermaksud:

[43] Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi".

[44] Mereka menjawab: "Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu".

[45] Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: "Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) ".

[46] (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".

[47] Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

[48] Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

Sebelum kenabian Nabi Muhammad SAW, baginda juga pernah bermimpi melihat cahaya yang semakin lama semakin terang. Itulah petanda yang baginda akan menerima cahaya nubuwwah. Lalu baginda pun bersiap-siap ke Gua Hira' dan bertepatan dengan 17 Ramadhan turunlah wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW.

Senarai soalan & jawapan:
S: Jika kita mimpi seseorang itu akan meninggal, bolehkah kita percaya?
J: Jika orang biasa bermimpi, ada kalanya 'ahlam' iaitu benar, ada kalanya 'hajis' iaitu mainan syaitan. Jadi mimpi sebegini tak usahlah percaya. Tak siapa tahu bila kita akan mati kecuali Allah. Lebih baik ambil sebagai pengajaran untuk mengingati mati.

S: Salah tak jika minta berjumpa arwah anak dalam mimpi?
J: Mungkin kerana terlalu rindu, kita teringin berjumpa mereka. Jika nak minta itu tak salah. Tetapi persoalannya kerana mereka dah mati, bagaimana mereka nak jumpa kita? Ibnu Qayyum ada menyatakan bahawa roh orang yang mati boleh datang berjumpa kita, tetapi bukan berjumpa secara sedar, sebaliknya mungkin melalui mimpi. Tetapi kita lihat juga roh itu roh yang bagaimana. Jika roh yang baik, tidak mustahil Allah akan makbulkan doa tersebut. Jika sebalinya, roh itu tidak akan dibenakan keluar dan seumpama terpenjara.

S: Jika kita bermimpi api, mungkinkah itu sebagai amaran kepada kita?
J: Tidak mustahil ada kalanya mimpi itu adalah sebagai amaran. Jika kita contohnya tak solat, dan selalu mimpi api, kebakaran, jadi faham-fahamlah yang itu sebagai peringatan agar tidak terus lalai. Ada juga mimpi yang boleh jadi kenyataan. Contohnya ada juga orang yang mendapat ilmu melalui mimpi.

S: Setelah seseorang meninggal dan dikebumikan, semua ahli keluarganya bermimpi yang dia belum meninggal dan meminta kuburnya digali semula. Perlukah diikut permintaan dalam mimpi itu?
J: Saya juga pernah ditanya soalan begini sebelum ini. Jadi persoalannya bolehkah digali semula? Mimpi bukanlah hadis yang perlu ditaati. Ulama mengharamkan menggali semula kubur kecuali atas 3 sebab:
Jika umat Islam dikebumikan di perkuburan orang bukan Islam dan sebaliknya.
Jika ada barang berharga tertanam sekali.
Jika ada kes polis.

S: Jika seseorang bermimpi didatangi seorang berjubah putih dan memberi nombor ekor. Perlukah diikuti?
J: Kita kena tengok dulu siapa yang pakai pakaian putih itu? Mungkin juga tentera laut, atau jika berbungkus, itu mungkin pocong ;D. Kalau itu benar mimpi daripada wali Allah sekalipun, takkanlah wali Allah nak beri nombor ekor? Kita kena fikir secara logik. Jika suruhannya itu betul – suruh solat, suruh buat kenduri dan perkara baik yang lain-lain, bolehlah diikuti. Jika tidak, tak usah percaya.

S: Adakah Rasul dan Nabi juga bermimpi seperti kita juga. Adakah mimpi mereka benar semuanya?
J: Nabi-nabi juga manusia seperti kita. Cuma bezanya Nabi diberikan wahyu. Mimpi Nabi pula digelar ru'yah dan adalah benar. Begitulah kisah mimpi Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail.

S: Ada orang berusaha mendapatkan mimpi sendiri atau mimpi orang lain untuk mendapatkan nombor ekor. Apa pendapat ustaz?
J: Betul, ada orang sebegini. Lebih-lebih lagi jika mimpi itu mimpi seorang ustaz, lagilah mereka ini suka dan percaya. Kita kena ingat bahawa mimpi adalah mainan tidur. Kita kena cari duit yang halal, kerana walaupun sedikit, berkatnya ada.

S: Ada orang bermimpi dan mendapat batu geliga yang dipercayai boleh memberi rezeki. Bagaimana untuk menasihati orang sebegini?
J: Betul, ada orang bermimpi disuruh menggali lubang dan akan berjumpa dengan batu. Tetapi dari mana datangnya gelaran batu geliga ini? Umar ra pernah berkata kepada Batu Hajarul Aswa, “Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.” Jadi mari kita fikirkan bersama. Jika batu dari syurga pun tidak boleh memberi apa-apa mudarat atau kebaikan, kenapa kita percaya pada batu yang kita jumpa di belakang rumah? Jadi, jangan percaya.  

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab