Tanggungjawab Adik-Beradik (1) - Tanyalah Ustaz 20.06.2012

Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim


Bacaan surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud:

Alhamdullillah diberi peluang bertemu lagi. Semoga kita dapat saling ingat-mengingati kerana sesungguhnya peringatan itu amat berguna bagi orang yang beriman. Tajuk hari ini nampak mudah tetapi sukar dilakukan dan hakikatnya ramai adik-beradik yang bertelagah hari ini. Puncanya adalah kerana sikap kita sendiri juga yang tidak mahu kembali kepada ajaran Nabi SAW yang mengajar agar kita bersatu-padu.

Kembali kepada ayat yang dibacakan tadi – Syaitan telah melakukan dosa yang sangat besar kerana dia mengajak umat manusia agar ingkar kepada Allah, Rasul SAW dan suruhan dan larangan Allah dan Rasul-Nya. Banyak pertelingkahan dalam keluarga yang berlaku kerana hasutan iblis, dan kerana kita jauh dari Allah. Syaitan juga sentiasa mengajak kita mempunyai sifat-sifat mazmumah seperti hasad, suka mengumpat, mengeluarkan kata-kata kotor dan banyak lagi. Perbuatan-perbuatan ini akan menyebabkan kita dilaknat di hari akhirat nanti.

Dalam surah Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Allah menjadikan kita hidup berkeluarga supaya kita berasa tenang. Begitulah fungsi adik-beradik dalam kehidupan – untuk memberi ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

Semoga kita mendapat pengajaran daripada apa yang dibincangkan dan disampaikan. Semoga kita dapat beramal dengan apa yang diajar para ulama dan menjadi adik-beradik yang bersatu-padu.

Senarai soalan & jawapan:
S: Mohon penjelasan apakah hikmah Allah menjadikan manusia – ada yang anak tunggal, dan ada yang ada adik-beradik.
J: Allah beri kita pelbagai suasana untuk kita jadikan iktibar. Cuba perhatikan sekeliling kita – ada yang ada anak, ada yang tiada anak langsung, atau ada yang cuma ada anak seorang sahaja. Orang yang menjadi tunggal sangat mendambakan untuk mempunyai adik-beradik yang lain. Manakala yang ada adik-beradik ramai pula saling bercakaran. Oleh itu kita perlu fikirkan dan ambil pengajaran daripada apa yang dikurniakan Allah. Imam Al-Ghazali ada menyebut antara falsafah kita mempunyai adik-beradik ialah:
  • Untuk memecah kesunyian
  • Untuk saling membantu antara satu sama lain
  • Untuk mendoakan ibu bapa di dunia dan alam akhirat
S: Antara adik-beradik, siapa yang paling layak menjaga ibu bapa. Ada yang mengatakan anak perempuan, dan ada pula yang mengatakan anak lelaki?
J: Kalau kita baca kitab karangan imam-imam yang terkenal, mereka tidak meletakkan siapa yang patut menjaga ibu bapa. Allah SWT menyuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa. Perintah ini bersifat umum dan boleh diguna pakai sama ada kepada anak lelaki ataupun perempuan. Jika ibu bapa kita mampu jaga anak yang ramai, kenapa kita anak-anak yang ramai tak mampu menjaga ibu bapa yang ada 2 orang sahaja? Jadi, mana-mana anak yang mampu boleh jaga ibu bapa. Setiap perbuatan kita yang menggembirakan ibu akan menjadi doa dan menambah keberkatan dalam kehidupan kita. Jadi rebutlah peluang untuk berbuat kebaikan dan jangan mencemuh atau merungut jika perlu menjaga ibu bapa. Kita kena ingat kerana tanpa ibu bapa, kita takkan wujud di dunia ini. Selagi ada ibu bapa, berkhidmatlah kepada mereka. Adik-beradik perlu bersatu, jangan biar ibu bapa lihat kita bergaduh.

S: Apakah ganjaran kepada adik-beradik yang saling menyayangi?
J: Selain daripada mendapat keredhaan ibu bapa, mereka juga akan mendapat keredhaan Allah SWT. Ini dilakarkan dalam satu hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Pada hari kiamat kelak, arasy Allah dikelilingi kerusi-kerusi yang sangat mulia.” Sahabat bertanya siapa yang akan dapat duduk di kerusi tersebut. Lalu jawab Nabi SAW, “Mereka adalah adik-beradik yang saling sayang-menyayangi antara mereka.” Begitu mulianya tempat yang Allah akan beri kepada adik-beradik yang saling berkasih-sayang.

S: Mohon kongsi tip untuk diamalkan agar dalam dapat berbaik dengan adik-beradik.
J: Antara yang boleh dijadikan rujukan ialah: Imam Al-Ghazali ada berkongsi dalam Kitab Ihya' Ulumiddin dan Sheikh Jamaludin Al-Qasimi dalam kitab-kitab lain juga ada diberikan tip untuk merapatkan hubungan dalam adik-beradik. Allah mengarahkan agar kita bersatu-padu pada tali Allah. Jika dengan adik-beradik sudah berpecah, bagaimana pula hubungan dengan jiran dan masyarakat seterusnya. Jadi amatlah penting untuk menjaga kesatuan daripada dalam rumah lagi. Antara tip yang diberi oleh Sheikh Jamaludin Al-Qasimi ialah:
  1. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang Al-Quran – usahakan agar semua anak boleh membaca Al-Quran. Dengan membaca, pasti akan datang langkah seterusnya untuk memahami Al-Quran dan dengan kefahaman tentang Al-Quran akan mendekatkan manusia dengan Allah dan menjauhi gangguan syaitan.
  2. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan akhlak yang mulia – Beri contoh yang baik kepada anak. Jangan guna perkataan kesat dalam komunikasi bersama mereka. Ajar anak menjaga lidah kerana lidah boleh menjadi punca pergaduhan.
  3. Ajar anak-anak bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajar mereka mensyukuri apa yang ada dan bandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik. Orang yang besyukur tidak akan pernah rugi.
S: Apakah ciri-ciri adik-beradik yang baik?
J: Imam Ali menyebut, “Hisab diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah SWT”. Oleh itu mari kita perhatikan diri kita. Sheikh Saad Yusuf menulis dalam kitabnya, ciri-ciri adik-beradik yang baik ialah:
  1. menggunakan akal fikiran untuk membentuk generasi adik-beradik yang baik, atau dengan kata lain mereka berilmu dan tidak berhenti mencari ilmu.
  2. mesti ada perasaan baik sangka sesama adik-beradik.
  3. tidak suka buat maksiat. Maksiat punca hilang keberkatan dalam kehidupan dan akan menyebarkan maksiat dalam keluarga.
S: Apakah punca adik-beradik selalu bergaduh?
J: Betul, ini merupakan realiti yang berlaku dalam masyarakat. Kata ulama ini berlaku kerana tidak banyak berlaku perbincangan dalam adik-beradik. Jika di masjid atau pejabat kita boleh bermesyuarat, kenapa tidak dirumah. Adakan mensyuarat untuk berbincang bagaimana menjaga ibu bapa contohnya. Saling berkongsi tanggungjawab dan bebanan agar kehidupan lebih damai. Patuhilah keputusan yang telah dipersetujui semasa mesyuarat.

S: Bagaimana pula dengan adik-beradik yang suka berkira?
J: Dalam bahasa Arab, tiada istilah berkira-kira, digelarkan bakhil terus :D. Allah tidak suka kepada orang yang kedekut, begitu juga manusia lain. Oleh itu kita tidak sepatutnya berkira kerana segala yang kita infakkan kepada jalan Allah, pasti akan mendapat balasan yang baik.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab