Bahaya Fitnah (2) - Tanyalah Ustaz 30.06.2012


Ustaz Firdaus Subhi


Bacaan surah Al-Hujurat ayat 6-9:

Huraian ayat:
Antara sebab ayat ini diturunkan, seperti yang diriwayatkan oleh Al-Qurtubi mengisahkan tentang seorang sahabat bernama Al-Walid ditugaskan untuk pergi ke perkampungan Bani Mustaliq untuk mengambil zakat. Apabila sampai, beliau mendapati mereka mengejarnya lalu terlintas dalam hatinya bahawa mungkin mereka ingin membunuhnya. Lalu Al-Walid melarikan diri dan pulang bertemu Nabi SAW. Apabila ditanya Nabi SAW, dia menjawab bahawa dia tidak mampu mengambil zakat kerana mereka ingin membunuhnya. Lalu Khalid Al-Walid telah ditugaskan untuk menyiasat adakah benar ceritanya. Apabila disiasat didapati penduduk kampung itu mengamalkan Islam dengan baik – apabila azan dilaungkan mereka solat, maka tidak betullah apa yang diceritakan oleh Al-Walid. Ada satu lagi riwayat yang hampir serupa menceritakan, tetapi wakil Bani Mustaliq kemudian datang memberitahu Nabi SAW bahawa mereka mengejarnya bukan untuk melakukan sesuatu yang bahaya kepadanya, sebaliknya sebagai tanda kegembiraan untuk menyambut wakil Nabi SAW.

Senarai soalan & jawapan:
S: Orang itu solat dan beribadat tetapi suka mengumpat. Adakah pahala ibadatnya dapat kepada orang yang diumpatkan?
J: Dalam satu hadis Nabi SAW bertanya pada sahabat, “Siapakah orang yang muflis?” Lalu jawab sahabat, “Mereka yang tiada harta benda”. Lalu Nabi SAW menjawab semula, “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat tetapi dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, memakan harta si polan, menumpahkan darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang-orang yang dizalimi itu pahala kebaikannya. Jika sudah habis pahalanya sedangkan dosa kezalimannya belum terbayar, maka akan diambil dosa-dosa orang yang dizalimi itu untuk dibebankan kepadanya lalu dicampakkan dia ke neraka.”

S: Bolehkah mengumpat orang bukan Islam?
J: Al-Quran diturunkan untuk semua, bukan khusus kepada orang beriman sahaja. Justeru hukumnya meliputi untuk semua manusia juga. Oleh itu orang Islam perlu menunjukkan akhlak yang baik dan tidak mengumpat orang bukan Islam.

S: Saya ingin bertaubat tetapi berat untuk meminta maaf kerana risau akan menerima akibat yang lebih buruk seperti putus silaturrahim. Bolehkah saya meminta ampun kepada Allah dan meminta maaf secara umum tanpa menceritakan apa yang saya telah lakukan?
J: Syarat bertaubat ada 4 seperti yang digariskan oleh ulama. Syarat-syarat itu adalah:
  1. Meninggalkan dosa yang pernah dilakukan
  2. Menyesal dengan perbuatan yang dilakukan
  3. Berazam menjauhi dosa yang pernah dilakukan
  4. Sekiranya melakukan kesalahan terhadap orang lain, maka harus meminta maaf kepadanya. 
Persoalannya, jika orang yang disalahi itu sifatnya dapat menerima kesalahan yang dilakukan, bolehlah kita mengaku kesalahan tersebut. Tetapi ada manusia yang mungkin sensitif dan tidak dapat menerima kenyataan kesalahan yang kita lakukan, sedangkan kita betul-betul ingin bertaubat. Ini mengingatkan saya kepada cerita Nabi Ibrahim seperti yang diceritakan dalam surah As-Sofaat. Nabi Ibrahim tidak mengikuti orang kampungnya merayakan satu perayaan, sebaliknya menghapuskan berhala sembahan mereka dan apabila ditanya, Nabi Ibrahim berbohong mengatakan berhala besar yang tinggal itu yang melakukannya. Jadi tujuan Nabi Ibrahim berbohong adalah untuk mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Imam Nawawi dalam kitabnya – Rayadussolihin menyatakan ada tiga keadaan di mana bohong dibenarkan:
  1. Ketika berada dalam peperangan
  2. Kerana ingin menyatukan kembali orang yang selalu bergaduh
  3. Ketika ingin mengeratkan semula hubungan antara suami dan isteri

Tetapi Imam Nawawi juga menegaskan cuma jika keadaan mendesak, barulah boleh berbohong. Tetapi jika tiada keperluan, bercakap benar itu adalah yang terbaik. Jadi dalam kes ini, jika menceritakan secara terperinci boleh membahayakan hubungan persahabatan, cukuplah sekadar meminta maaf secara umum dan doakan kebaikan kepada sahabat tersebut. Doa sahabat kepada sahabat yang lain tanpa pengetahuannya tidak akan ditolak oleh Allah SWT.

S: Saya ingin berubah tetapi mempunyai ramai kawan yang suka mengumpat. Apakah yang perlu dilakukan?
J: Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya, sama ada dengan tangannya, dengan lidahnya atau dengan hati. Sesungguhnya menggunakan hati adalah selemah-lemah iman.” Oleh itu perlulah ditinggalkan rakan yang mengumpat itu, dan jangan duduk bersama-sama mereka.

S: Harta dan anak-pinak banyak disebut sebagai fitnah dalam Al-Quran dan hadis. Apakah maksudnya?
J: Fitnah dalam Al-Quran dan fitnah dalam bahasa kita tidak sama maknanya. Fitnah dalam Al-Quran lebih meluas maknanya. Jumhur ulama menyatakan ada fitnah yang maksudnya syirik, ada juga yang maksudnya ujian yang begitu teruk. Fitnah yang dimaksudkan dalam ayat berkaitan anak ini ialah ujian-ujian yang akan dihadapi dalam membesar dan mendidik anak-anak.

S: Berkata perkara yang tidak benar dikatakan memfitnah, berkata perkara yang benar pula adalah mengumpat. Apa yang mengelirukan saya pula ialah bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu hal yang memerlukan kita menceritaka hal yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dan perlu diambil tindakan?
J: Mengumpat adalah mengatakan perkara yang benar ataupun tidak. Saya teringat kisah Nabi SAW ketika bersama Sayyidatina Soffiyah dan Sayyidatina Aishah. Sayyidatina Aishah membuat isyarat mengatakan yang Sayyidatina Soffiyyah itu rendah orangnya. Lalu Nabi SAW mengatakan bahawa jika kata-kata cemuhan Aisyah itu diletakkan dalam laut, nescaya laut akan berubah kesan kata-katanya itu. Jadi bagaimana cara menceritakan perkara yang telah dilakukan oleh pihak lain untuk diambil tindakan. Syed Hawa menyatakan ada 6 keadaan yang membolehkan kita menceritakan keadaan yang sebenar:
  1. Ketika seseorang itu dizalimi – jadi dia berhak menceritakan kepada kadi perkara sebenar yang berlaku untuk mendapatkan haknya
  2. Bertujuan menghentikan kemungkaran – pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar, di mana dia dimaklumkan bahawa Abu Jandal kuat meminum arak. Lalu Khalifah Umar menulis surat kepadanya dan diapun bertaubat.
  3. Untuk mendapatkan penjelasan tentang sesuatu perkara – pernah berlaku dalam sejarah apabila Hindun bertemu Rasul SAW dan menceritakan bahawa suaminya, Abu Suffiyan tidak memberikan wang belanja yang cukup untuknya dan anaknya. Jadi Nabi SAW membenarkan dia mengambil secukup keperluan dia dan anaknya.
  4. Tujuan untuk memberi peringatan kepada orang lain. Contoh: ketika zaman dahulu, berlaku penjualan hamba, dan sebelum dijual, dinyatakan kekurangan yang ada kepada hamba itu sebagai makluman dan amaran kepada bakal pembeli.
  5. Gelaran tertentu untuk mengenali seseorang. Tetapi jangan sampai sehingga mencaci. 
  6. Jika dia seorang yang jelas Islam dan melakukan kemungkaran di khalayak ramai, jadi diberikan kelonggaran untuk berkata tentang perbuat dosanya kerana dia termasuk golongan yang melakukan dosa secara terang-terangan.
S: Apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang difitnah kepada orang yang memfitnah?
J: Bertemulah dengan orang yang memfitnah itu dan maklumkan padanya kesan buruk fitnah yang dikatakannya. Mereka yang suka mengadu domba, memfitnah dan sebagainya akan disiksa di dalam kubur. Ketika Israk dan Mikraj juga Allah memperlihatkan kepada Nabi sekumpulan wanita yang berkuku panjang yang mencakar muka dan dadanya kerana dosa mengadu-domba yang pernah dilakukan. Begitu teruknya siksaan kepada orang yang suka memfitnah. Jika mereka tidak mahu berubah, mohonlah doa agar Allah berikan hidayah kepada mereka.

S: Ada seorang kawan yang berada dalam kesusahan. Dia minta tolong pinjam duit dengan saya. Saya beri pinjaman dan setelah sekian lama dia masih belum membayar, bahkan dia memfitnah pula keburukan diri saya. Saya sudah berjanji tidak akan memaafkannya. Bolehkah begitu?
J: Pertama: orang yang berhutang wajib melunaskannya. Kedua, buatlah catatan tentang hutang yang dibuat kerana Allah SWT menyuruh kita berbuat begitu dalam Al-Quran. Ketiga: Adakah wajar untuk tidak memaafkan? Sebagai manusia kita kena sedar bahawa hidup ini adalah untuk menguji kita. Mungkin sahabat yang berhutang dan mengumpat itu juga merupakan satu ujian kepada kita. Semoga dengan kesabaran dan keredhaan kita, Allah akan hapuskan dosa-dosa kita. Ada hadis Nabi SAW menyatakan bahawa kesabaran menghadapi karenah apabila bergaul dengan manusia adalah lebih baik daripada duduk menyendiri. Undang-undang di akhirat dan di dunia tidak sama dan jauh berbeza. Contohnya di akhirat nanti tidak akan ada sifat marah, dengki, dan sifat mazmumah lain bagi ahli-ahli syurga. Jadi kepada Puan, eloklah memaafkan sahabat tersebut kerana Allah menjanjikan balasan yang baik kepada orang yang bertaqwa. Salah satu sifat orang yang bertaqwa ialah suka memaafkan orang lain. Kita pun tidak tahu mungkin suatu hari nanti orang itu akan diberi hidayah dan menjadi lebih baik daripada kita.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab