Iktibar Israk Mikraj (3) – Tanyalah Ustaz 17.06.2012

Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin

Keseluruhan kawasan ini adalah Masjid Aqsa - Sumber
Bacaan surah Al-Syuraa ayat 53-53 yang bermaksud:
Hari ini kita akan lihat beberapa gambar sekitar Masjidil Aqsa.

Gambar 1: Masjid Aqsa Lama. Ada 2 tingkat, di tingkat atas ada 7 pintu, manakala di bawah pula ada tiang-tiang Nabi Sulaiman.
Gambar 2: Masjid 'Dome of Rock' dengan Kubah warna emas di bina oleh Khalifah Abdul Malik al-Marwan. Di bawah kubah emas ini terletaknya batu tergantung dan sebab itulah dinamakan 'dome of rock'. Saya pernah tanya bertanya pada Imam Pertama Masjid Aqsa, Sheikh Abu Yusuf Sulaina, yang mana satu masjid Aqsa? Yang lama (kubah hitam) atau yang kubah emas ini? Jawabnya, “ Sebenarnya seluruh kawasan yang meliputi kedua-dua masjid ini adalah kawasan Masjid Aqsa”. Oleh itu, sesiapa solat di mana-mana dalam kawasan ini akan mendapat gandaan 500 kali berbanding solat di masjid biasa.
Sumber
Gambar 3 & 4 : Batu tergantung. Terletak di bawah kubah emas. Ada satu riwayat yang tidak kuat menyatakan dalam batu tergantung, bawahnya ada batu yang melengkung. Dikatakan batu itu melengkuk supaya kepala nabi tak terhantuk padanya. Wallahu'alam kebenaran kisah ini kerana sekadar dinyatakan oleh perawi dan ahli Kitab dan tiada disebut dalam Al-Quran. Batu tergantung berlubang di sebelah atasnya. Daripada kajian didapati batu yang di atas tidak sama komposisi dengn batu yangdi bawah – jadi batu di atas tidak berasal daripada di situ.

Sumber
Gambar 5: Di sebelah barat aqsa, tempat Nabi menambat Buraq. Kerajaaan Uthmaniyyah menandanya dengan gelang dan dibina Masjid di situ.

Secara keseluruhan dalam kawasan Aqsa ini terdapat 3 masjid bawah tanah dan 2 masjid di atas. Di bawah terdapat Masjid Marwani, Masjid Aqsa Lama dan Masjid Bura'. Masjid di atas pula adalah Masjid Aqsa yang baru dan Masjid “Dome of Rock”. Mudah-mudahan kita direzekikan untuk memakmurkan Masjid Aqsa. Saya pernah bertanya dengan seorang mufti di Palestin kerana ada pendapat menyatakan kita tidak boleh ke sana. Katanya datanglah kerana ia adalah tempat orang Islam. Dalam setahun cuma 30 ribu orang Islam yang datang sedangkan seramai 2 juta lebih orang Kristian datang ke situ.

Israk dan Mikraj adalah lambang kepada kecintaan - iaitu 8 cinta. Hati manusia ini umpama bekas dan kita diminta mengisinya dengan 2 benda sahaja – iman dan kasih sayang. Kekurangan salah satu akan menjadikan kita tidak tenang, mudah membenci orang dan mempunyai sifat-sifat buruk yang lain. Kecintaan-kecintaan itu adalah seperti berikut:

1 - Kecintaan kepada Allah
Sebelum Israk dan Mikraj, Nabi SAW menghadapi sangat banyak ujian – dibaling batu, dibenci, dihina sehinggalah dipulaukan dan yang paling besar ketika wafatnya isterinya, Khadijah. Padahal sebelum mendapat wahyu, Nabi SAW adalah seorang yang sangat dipercayai. Apa yang menyebabkan Nabi SAW terlalu sedih ketika kematian Khadijah adalah kerana ketika Khadijah sakit, orang Islam dipulaukan dan Nabi tidak dapat berbuat apa-apa usaha untuk membantu isterinya. Sebab itulah tahun itu dikatakan tahun kesedihan. Jadi Allah angkat Nabi ke langit untuk menunjukkan bahawa Allah sentiasa bersama. Oleh itu kita juga perlu sentiasa kembali kepada Allah walau apa jua ujian yang kita alami. Minta bantuan daripada Allah dalam apa jua kesulitan yang dihadapi.

2 - Kecintaan antara Rasulullah SAW dan umatnya
Semalam telah dibincangkan bahawa kerana ingat kepada kita, umatnya, Nabi SAW meminta bilangan solat dikurangkan. Sebab itu Nabi SAW ada menyebut. “Tidak sempurna iman seseorang kamu, melainkan dia mencintai aku lebih daripada dia mencintai ibunya, keluarganya atau manusia lain”. Mencintai Rasul akan menjadikan kita taat mengikuti segala yang ditunjukkan oleh baginda SAW.

3- Kecintaan kepada agama
Islam adalah agama yang syumul, meliputi daripada sekecil-kecil perkara seperti potong kuku sehinggalah soal besar seperti politik, perbankan. Dalam dunia ini cuma ada 2 sistem – konventional dan Islam. Mana ada sistem perbankan agama lain dalam dunia ini? Itulah keindahan Islam.

4 - Kecintaan kepada ukhuwwah
Kita perlu eratkan ukhuwwah terutamanya antara sesama Muslim. Antara hukum yang diperlihatkan semasa Israk dan Mikraj adalah dosa yang berkaitan dengan perkara-perkara yang memecah-belahkan ukhuwwah iaitu orang yang membawa fitnah, mengumpah, makan harta orang lain.

5 - Kecintaan kepada ilmu
Perjalanan Israk Mikraj itu seumpama perjalanan seorang guru dan anak murid, kerana apabila melihat sesuatu yang tidak diketahui, Nabi SAW akan bertanya kepada Jibril. Jahil boleh berlaku dalam dua keadaan – Pertama apabila tidak belajar dan kedua apabila merasa telah cukup ilmunya. Ilmu Allah tidak terbatas luasnya.

6 - Kecintaan kepada amalan
Amalan ada lima bentuk iaitu amalan untuk:
Diri: amalan sendiri seperti solat, puasa dan sebagainya.
Keluarga: seperti mencari rezeki untuk mereka, taat kepada suami.
Masyarakat: membuat program ceramah, majlis ilmu.
Negara: menjaga keamanan negara
Ummah: membantu umat Islam lain melampaui sempadan geografi

7 - Kecintaan kepada akhlak
Akhlak kepada Allah: redha dengan segala ketentuan-Nya
Akhlak kepada diri: jangan beri tekanan kepada diri sendiri, jangan sedih-sedih, jangan biar diri dalam jahil
Akhlak dengan manusia: saling menghormati, tidak menzalimi, berkasih-sayang
Akhlak dengan makhluk Allah: saling menghormati, tidak menzalimi, berkasih-sayang
Sesungguhnya Nabi SAW diutuskan untuk memberi contoh akhlak yang baik kepada manusia.

8 - Kecintaan kepada 'Amal Ma'ruf dan Nahi Mungkar'
Kita perlu suka kepada kebaikan untuk diamalkan dan disebarkan. Kita perlu tinggalkan kemungkaran dan cuba mencegahnya.

Semalam ada yang minta dijelaskan semula tentang pesan ulama yang agar kita solat sekurang-kurang 40 rakaat setiap hari untuk memelihara iman. Caranya seperti berikut:
Solat wajib berjumlah 17 rakaat, solat-solat sunat sebelum dan selepas berjumlah 14 rakaat. Jadi baru 31, lagi 9 perlu ditambah dengan solat sunat taubat (2), solat hajat (2), solat sunat tahajud (2) dan sunat witir (3). Jadi cukuplah 40 bilangannya. Jika ingin lebih, boleh juga ditambah dengan solat sunat lain seperti solat dhuha.

Orang yang ada kecintaan dalam hatinya, takkan masuk azab (derita) dalam hatinya. Jadi dalam hatinya akan penuh dengan kasih-sayang. Namun begitu dalam banyak-banyak cinta, ada satu cinta yang kita perlu jauhi iaitu cinta dunia. Cinta dunia boleh menyebabkan orang lupa ibadah, gila kuasa, berlaku zalim kepada orang lain dan lain-lain lagi. Mari kita hayati falsafah lapan kecintaan ini agar kita semua dapat memperbaiki diri dan berlaku peningkatan keimanan kita. Janganlah kita jadikan israk Mikraj ini sebagai sekadar cerita-cerita ajaib sahaja.

Boleh lawati www.ustazamin.com untuk sambungan kuliah lagi :D

Senarai soalan & jawapan:
S: Tolong huraikan kaitan Israk Mikraj dengan ilmu sains dan kehebatan Al-Quran?
J: Secara ringkasnya kita lihat Buraq, yang dicipta daripada kilat, sebab itulah ianya lebih laju daripada cahaya. Mengikut teori sains, jika manusia dapat bergerak melebihi kelajuan cahaya, ada kemungkinan manusia boleh menjelajah ke masa hadapan. Tetapi ini tidak boleh dilakukan kerana semakin laju bergerak, jisim manusia semakin bertambah. Teori ini tidak boleh dibuktikan, tetapi ianya menjadi inspirasi kepada pembikin filem fantasi. Jika teori ini betul, ada kemungkinan bahawa Nabi SAW telah menjelajah ke masa hadapan kerana ketika itu Nabi telah melihat ahli neraka, keindahan syurga. Wallahhu’alam. Boleh rujuk banyak buku-buku lain untuk mengupas lanjut tajuk kehebatan sains dan Al-Quran ini.

S: Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi Palestin dan Masjid Aqsa?
J: Nabi SAW berpesan jika kita mampu, bantulah dengan tangan, iaitu hantarlah bantuan, atau usahakan rundingan. Jika tak mampu, gunakan lisan iaitu dengan menyampaikan dan menyebarkan ilmu berkaitannya. Paling kurang kita bantu dengan hati, iaitu dengan mendoakan. Ketika mendoakan, ingatlah untuk mendoakan orang lain juga. Ada beberapa hadis yang diriwayatkan dan menyebut bahawa apabila kita mendoakan seseorang, Malaikat akan mendoakan kita benda yang sama juga.

S: Apakah hukum orang yang masih enggan menutup aurat walaupun telah berulang kali mendengar cerita siksaan wanita yang membuka aurat?
J: Ada manusia yang sengaja menolak dan ingkar hukum Allah. Namun kebanyakan manusia ini jahil atau lupa. Jadi kita yang ingat perlu terus menegur, dan kita tidak boleh mengharapkan mereka terus berubah kerana hidayah itu milik Allah.

S: Nabi dimikrajkan sebagai memujuk kesedihan hatinya. Tetapi setelah naik, Nabi diberi tugasan baru iaitu solat dan dibebankan dengan tugas untuk meyakinkan orang lain kisah mikrajnya pula. Jadi bolehkah saya katakan sebagai pengajaran walaupun kita sedang bersedih, kita tidak boleh lupa tugasan yang Allah berikan?
J: Betul, manusia memang akan diuji dengan kesedihan. Dalam hadis sahih, riwayat Ibnu Majjah yang bermaksud, “Jika seseorang itu tidak ada amalan yang boleh menghapuskan dosa-dosanya, maka Allah akan mengujinya dengan kesedihan sehingga Allah menghapuskan dosa-dosanya.” Jadi, kesedihan itu ada fungsi untuk menghapuskan dosa, oleh itu jangan sampai kita murung kerana kesedihan. Kita perlu mohon bantuan Allah dalam menghadapi kesedihan. Jangan terlalu fikirkan apa orang kata, fikir apa Allah kata pada kita. Bersabar dan berusaha untuk memperbaiki keadaaan yang yakinlah dengan bantuan Allah.

S: Adakah penjenayah yang dihukum hukuman berat di dunia akan terlepas hukuman di akhirat?
J: Jika sebagai contoh, seseorang dihukum gantung, dia akan diberikan masa untuk bertafakur dan bertaubat kepada Allah. Jadi InsyaAllah taubatnya diterima dan diberi kebaikan di hari akhirat nanti.

S: Saya pernah baca yang mengatakan bahawa bekam merupakan sesuatu yang diperolehi ketika Israk dan Mikraj. Benarkah dan apakah kelebihannya?
J: Maaf, saya tak tahu, tapi tak bermakna pula tiada dan bolehlah rujuk kepada ustaz lain pula. Bekam itu ada dua – pertama membuang darah-darah kotor untuk membuang benda-benda tidak baik. Kedua, prinsip berbekam iaitu dengan memotong bahagian pada badan itu dijadikan sebagai asas pembedahan moden yang dilakukan oleh para doktor.

S: Saya baru-baru ini berkesempatan ke Masjid Aqsa, tetapi masih belum jelas tentang batu tergantung dan batu lekuk. Ada pula saya dengar bahawa batu itu tidak dibenarkan mengikut Nabi SAW, sebab itu ia turun ke situ. Mohon ustaz jelaskan.
J: Sebenarnya tentang batu tergantung itu ada banyak khilaf kerana tidak terdapat tentangnya dalam Al-Quran ataupun hadis sahih. Tetapi yang pasti, ia terdapat di bawah 'Dome of Rock' dan dari situlah Nabi SAW dimikrajkan. Wallahu'alam.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab