Bulan Rejab dan Kelebihannya - Topik Jumaat IKIM 01.06.2012
Ustaz Muhadir bin Haji Joll
Sebagai penutup saya inginkan ceritakan kisah seorang yang sakit dan tiada harapan sembuh. Lalu dia berdoa, “Ya Allah, jika ditakdirkan aku mati, matikan aku dalam bulan Rejab.” Orang pun jadi hairan dan bingung mendengar doa sedemikian. Lalu dia menjawab, “Aku mendengar siapa yang meninggal dalam bulan Rejab, akan diampunkan dosanya.” Permintaannya dimakbulkan dan InsyaAllah semoga dosanya diampunkan Allah SWT.
Mukadimmah:
Alhamdulillah dapat berjumpa pada hari
yang sangat mulia. Nabi SAW bersabda, “Tidak ada matahari yang
terbit pada hari yang lebih mulia melainkan pada hari Jumaat.” Hari
Jumaat merupakan penghulu segala hari dan kita digalakkan untuk
memperbanyak selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW. Semoga kita
dipilih Allah Ta'ala untuk mengimarahkan hari Jumaat, terlebih pula
di dalam bulan Rejab yang mulia ini. Kita berbicara tentang bulan
yang sangat mulia iaitu bulan Rejab, sebelum kita berbicara tentang
ketua semua bulan iaitu Ramadhan Al-Mubarak.
Terdapat sangat banyak kelebihan bulan
Rejab yang ditulis oleh para alim ulama yang besar. Nabi SAW, apabila
melihat anak bulan Rejab, akan melafazkan doa, “Ya Allah berkatilah
kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami pada bulan
Ramadhan.” Jadi kenapa Nabi SAW guna perkataan 'Berkatilah kami'?
Ini kerana ramai orang yang leka dengan kelebihan yang ada dalam
bulan Rejab sehinggakan bulan ini berlalu habis begitu sahaja. Para
salafussolleh bersungguh-sungguh mempertingkatkan amalan di bulan ini
kerana mereka tahu ganjarannya amat besar.
Al-Imam Ibnu Rejab bin Hambali menulis
di dalam kitab beliau bahawa bulan Rejab ini adalah pembukaan kepada
bulan-bulan kebaikan dan bulan-bulan barakah iaitu bulan Syaaban dan
Ramadhan. Bulan Syaaban dan Ramadhan mempunyai ganjaran yang sangat
tinggi di sisi Allah dan Rejab merupakan bulan pembukanya. Sesuatu
yang menjadi pembuka kepada sesuatu yang mulia tentulah sesuatu yang
istimewa juga. Contohnya, jika ada seorang VVIP ingin hadir ke
sesuatu tempat, sudah tentu 'PA (Personal Assistant) akan dihantar
terlebih dahulu. Pembantu kanan ini tidaklah boleh orang sembarangan
sahaja tetapi perlu orang yang hebat setanding dengan kedudukan VVIP
itu juga. Jadi bulan Rejab menjadi mulia kerana dikaitkan dengan
bulan Ramadhan yang sangat mulia.
Sebahagian ulama, antaranya Sheikh Abu
Bakar Al-Warra' juga menyebut, “Bulan Rejab bulan bercucuk tanam,
bulan Syaaban bulan untuk mengairi, dan bulan Ramadhan ialah bulan
mengambil hasilnya.” Oleh sebab itu, seseorang tidak boleh
mengambil hasil jika tanamannya tidak subur. Bagaimana untuk mengairi
tanaman jika tidak bercucuk tanam? Kita juga kena ingat yang sebelum
bercucuk tanam, 'kawasan' tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu
daripada semak-samun. Jika tidak, tanaman akan cepat mati. Oleh sebab
itulah, ulama menyatakan bahawa bulan ini adalah untuk membersihkan
diri dengan membanyakkan beristighfar, bertaubat dan kembali kepada
Allah SWT.
Rejab juga termasuk dalam kumpulan
bulan-bulan haram. Haram ini bermaksud segala kebaikan yang dilakukan
akan mendapat ganjaran yang sangat tinggi. Allah SWT berfirman
berkenaan kelebihan bulan-bulan haram yang maksudnya, “Sesungguhnya
hitungan bulan-bulan disisi Allah ada 12 bulan. Antara 12 bulan ini
ada 4 bulan yang dinamakan bulan yang haram. Hendaklah kamu jangan
menzalimi diri kamu sendiri.” Kenapa Allah sebut 4 bulan yang haram
sedangkan Allah telahpun menyebut keseluruhan 12 bulan. Ini
menunjukkan pengkhususan sesuatu kerana fadhilat yang ada padanya.
Empat bulan ini disebut sebagai bulan haram kerana besarnya ganjaran
pahala amalan yang dilakukan dalam bulan-bulan ini. Tetapi harus
diingat bahawa dosa yang dilakukan dalam bulan-bulan ini juga menjadi
lebih besar daripada biasa. Sayyidina Ibnu Abbas ada menyebut, “Allah
SWT mengkhususkan empat bulan ini dan menjadikannya bulan yang haram
kerana dosa yang diperbuat dalamnya besar, dan menjadikan juga amal
yang soleh diberi ganjaran yang besar.” Segala amalan baik akan
dilipat-gandakan pahala.
Bulan-bulan ini juga disebut sebagai
bulan haram kerana orang-orang Arab akan berhenti berperang pada
waktu ini. Perkataan Rejab berasal daripada perkataan 'Rajaba' yang
bermaksud 'Dia memuliakan dan membesarkannya'. 'Dia' di sini merujuk
kepada golongan malaikat yang memuliakan bulan ini dengan amalan
tasbih dan tahmid. Jadi, jika malaikat yang tak berdosa pun banyak
bertasbih dan bertahmid di bulan ini, bagaimana pula dengan kita?
Bulan Rejab ini juga dikatakan mempunyai 14 hingga 17 nama. Antaranya
ialah “Syahrullah' yang bermaksud 'Bulan Allah'. Sesuatu yang
dikaitkan dengan sesuatu yang mulia akan menjadi mulia juga.
Contohya, pintu masjid dan pintu tandas berbeza tarafnya, walaupun
fizikalnya menggunakan pintu yang serupa. Pintu tandas orang berani
conteng atau tendang, tetapi orang takkan buat begitu pada pintu
masjid. Jadi bulan Rejab ini sangat mulia. Bulan ini juga disebut
sebagai 'Rejab Mudhor'. Mudhor merupakan satu kabilah Arab yang agak
besar yang sangat mengagungkan bulan ini. Nama ini juga ada disebut
dalam satu hadis. Nama lain yang istimewa untuk Rejab ialah
'Al-'asom' yang bermakna pekak atau tuli. Ini kerana pada bulan ini
orang Arab tidak berperang dan keadaan menjadi sunyi daripada bunyi
kerincing pedang-pedang mereka.
Senarai Soalan & Jawapan:
S: Rejab datang lagi dengan berbagai
kelebihan tetapi dengan umur yang bertambah, tenaga semakin berkurang
untuk melakukan amal-ibadat. Ramai yang tidak sedar tentang ini dan
berharap akan melakukan banyak amal setelah pencen nanti. Bagaimana
pula dengan pepatah yang mengatakan orang yang berjaya adalah orang
yang hari ini lebih baik daripada semalam, manakala orang yang rugi
adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam. Mohon
pandangan ustaz.
J: Umur kita akan tetap bertambah, jadi
kita minta supaya mendapat umur yang berkat. Amalan yang dilakukan
pula biarlah yang ada sanadnya dan yang jelas datang daripada
Rasulullah SAW. Kita perlu berusaha untuk beramal dan fokus pada
kualiti, bukan kuantiti sahaja. Amalan yang dilakukan perlulah ikhlas
kerana Allah, dilakukan dengan yakin dan mempunyai sanad yang jelas.
Jadi apa pun yang kita amalkan, biarpun sedikit, pastikan ada
sanadnya. Jadi, kita perlu belajar ilmu agama dan belajar bagaimana
untuk beramal dengan betul. Saya nasihatkan agar setiap daripada kita
mempunyai satu amalan yang kita istiqomahkan, kerana agak mustahil
untuk kita buat semua amalan. Jadikan satu amalan sebagai sesuatu
yang kita istiqomahkan, dan jika kita tinggalkannya akan membuatkan
kita berasa tidak senang. Contohnya, ada orang membiasakan diri
mengamalkan 'Wirdul Laatif” (seumpama mathurat) setiap hari.
S: Ada pendapat mengatakan saranan
berpuasa di bulan Rejab datang daripada hadis yang tidak kuat. Mohon
ustaz jelaskan.
J: Ini sebenarnya soalan yang menjadi
tanda tanya ramai orang. Sebenarnya, puasa itu merupakan sesuatu yang
sangat dituntut dalam Islam. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud,
“Berpuasalah, kamu akan sihat.” Nabi menyuruh berpuasa tanpa
menyatakan waktu yang tertentu, kecuali puasa wajib di bulan
Ramadhan. Oleh itu, puasa dalam bulan Rejab secara umumnya termasuk
dalam hadis ini. Jadi tiada masalah untuk berpuasa. Tambahan pula,
bulan Rejab merupakan salah satu bulan haram dan Nabi SAW ada
bersabda, “Berpuasalah kamu pada bulan-bulan haram”. Lagipun,
Isnin dan Khamis juga termasuk dalam bulan Rejab. Begitu juga dengan
'hari-hari putih' iaitu 13, 14 dan 15 haribulan.
Namun ada yang mengatakan tiada hadis
sahih berkenaan puasa di bulan Rejab. Sepanjang pengamatan saya,
seseorang perlu mengkaji keseluruhan hadis yang ada sebelum mengambil
pandangan-pandangan tertentu dan memanjangkannya melalui internet
sehingga menyebabkan orang ramai menjadi bingung. Saya sebenarnya
telah membuat sedikit kajian dan menulis satu bab khas berkaitan
puasa Rejab dalam buku berjudul 'Al-Fakir, Persoalan Khilafiah dan
Penjelasan Ulama'. Oleh sebab itu, saya yakin untuk berbicara
berkaitan hal ini. Saya ada berjumpa hadis Nabi SAW, yang bermaksud,
“Daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, Uthman pernah bertanyakan
Said bin Jubair berkenaan puasa Rejab. Said menjawab, “Adalah Nabi
SAW berpuasa Rejab sehingga kami menjangka baginda tidak berbuka. Dan
baginda berbuka sehingga kami tidak menjangka baginda berpuasa.”
Jadi kesimpulannya, ada hari Nabi berpuasa dan ada hari Nabi tidak
berpuasa dalam bulan Rejab. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim,
oleh itu tarafnya adalah hadis sahih.
Al-Imam An-Nawawi menyatakan daripada
ucapan Said ini menjadi bukti bahawa tiada tegahan untuk berpuasa di
bulan Rejab. Amalan berpuasa ini dilakukan bukan semata-mata kerana
bulan itu tetapi kedudukannya sama seperti bulan-bulan lain dan tidak
ada larangan yang sabit untuk berpuasa dan tidak ada pula suruhan
sunat berpuasa kerana bulannya, tetapi kerana mengikut sunnah Rasul
SAW. Ada banyak lagi hadis lain dan telah dijelaskan oleh ulama
sebelum ini. Sebenarnya ada 6 hadis yang jelas dan disokong
hadis-hadis lain yang membenarkan berpuasa di bulan Rejab. Apa yang
menjadi makruh adalah berpuasa sebulan penuh seperti yang disebut
oleh Imam Syafie. Ini kerana takut-takut ada orang jahil yang
beranggapan wajib berpuasa penuh di bulan Rejab. Imam 3 mazhab yang
lain juga setuju boleh berpuasa di bulan haram. Imam Hambali pula
berkata boleh jika ingin berpuasa penuh di bulan Rejab, perlu puasa
penuh di bulan Syaaban juga. Saya minta maaf kerana tidak bersetuju
dengan orang yang mengatakan haram berpuasa di bulan Rejab. Ibnu
Umar, anak Sayyidina Umar, berpuasa penuh empat bulan haram. Begitu
juga dengan Hassan Al-Basri, ketua para tabi'in, orang yang sangat
alim dan para alim ulama yang lain, mereka semuanya
bersungguh-sungguh mengamalkan puasa di bulan Rejab.
S: Ketika berlaku Isra' & Mikraj,
Nabi SAW melihat seksaan beberapa golongan di neraka. Mohon ustaz
ulang beritahu tentang hukuman di neraka untuk orang yang tinggalkan
solat, dedah aurat dan pemimpin yang tidak memikul tanggungjawab.
J: Persoalan ini akan dikupas lebih
lanjut dalam tajuk Isra' & Mikraj akan datang. Secara ringkasnya,
hukuman orang yang tidak solat, berdasarkan hadis yang tidak begitu
kuat, menyatakan bahawa orang itu akan memukul kepalanya dengan batu
sehinga pecah berderai. Kemudian kepalanya bercantum semula dan dia
mengulang memukul kepalanya ke batu. Bagi orang yang membuka aurat
pula, dadanya akan disangkuk pada cangkuk. Bagi pemimpin yang tidak
amanah pula, dia akan meminta bebanan untuk dipikul walaupun dia
tidak mampu.
S: Bagaimana untuk mengejar pahala
akhirat tanpa menyisihkan dunia?
J: Islam tidak pernah menyuruh kita
meninggalkan dunia sepenuhnya. Dunia ini adalah tempat kita 'bercucuk
tanam'. Oleh itu usahakan agar segala yang kita lakukan di dunia ini
menjadi ibadah. Contohnya: Pekerjaan yang Siti dan Pian lakukan,
mungkin dengan membaca sepotong hadis boleh menggerakkan hati
seseorang kembali kepada Islam. Begitu juga dengan kerjaya lain
seperti guru, peniaga yang jujur dan sebagainya. Apa yang penting
ialah niatkan perkerjaan itu semata-mata kerana Allah, pastikan ianya
tidak menyalahi syariat dan pastikan pekerjaan itu memberi kebaikan
kepada orang lain.
Satu benda yang sangat penting untuk
kita ingat ialah niat. Niat boleh mengubah sesuatu amalan itu menjadi
hanya untuk dunia atau juga akhirat. Kadang-kadang sesuatu amalan itu
zahirnya nampak dunia, tetapi jika diniatkan untuk akhirat akan
menjadi amalan di akhirat. Sebagai contoh, tadi sebelum saya sampai
ke sini, saya nampak polis trafik yang mengawal lalu-lintas.
MasyaAllah besarnya sumbangan mereka kepada masyarakat. Mungkin tanpa
mereka dan dengan izin Allah, boleh jadi saya tiba lewat ke IKIM dan
boleh mengganggu urusan perkongsian ilmu kita semua. Ada juga amalan
yang nampak seperti amalan akhirat tetapi cuma mendapat faedah dunia
kerana niat yang tidak betul. Contohnya, jika seorang penceramah
agama yang berniat mencari populariti, atau mencari pengikut melalui
ceramah yang diberikan. Oleh itu kita perlu jaga niat agar ikhlas
kerana Allah dalam apa jua perkara kebaikan yang dilakukan.
S: Pada malam Rejab, saya menerima satu
mesej yang mengatakan ada satu hadis Nabi SAW yang menyebut jika kita
berpuasa selama 2 hari di awal bulan Rejab akan mendapat pahala
beribadah selama 2 tahun. Jika kita menyebarkan dan mengingatkan
orang lain pula, kita akan mendapat pahala beribadah selama 80 tahun.
Benarkah kenyataan ini?
J: Jika kita mengaji tentang hadis,
apabila amalan yang sedikit dijanjikan dengan ganjaran yang
melampau-lampau, itu tandanya hadis itu hadis maudu'. Tetapi secara
ikhlas, saya tidak tahu martabat hadis ini, jadi saya perlu membuat
rujukan nanti. Walaupun jika ada yang menghukum yang hadis ini hadis
daif atau maudu', mungkin pada maknanya ada kebenaran. Ini kerana
jika Alllah ingin mengurniakan pahala, lebih daripada itupun Allah
boleh beri bergantung pada niat pengamalnya. Sebagai contoh, dalam
hadis sahih, Nabi SAW menyarankan agar kita tidak meninggalkan solat
sunat subuh ianya merupakan solat sunat yang Nabi SAW lebih cintai
daripada apa yang ada di dunia dan isinya. Jika kita sudah biasa
mengamalkannya, dan jika tertinggal, kita boleh mengqada'nya.
S: Bolehkah jika setiap kali minum,
saya amalkan membaca Al-Fatihah, kemudian saya berdoa memohon agar
Allah tetapkan iman, murahkan rezeki, panjangkan dan berkatikanlah
umurku, matikanlah aku dalam iman dan dalam kalimah 'La ila ha
illallah Muhammadarr Rasulullah'?
J: Amalan ini sangat bagus dan teruskan
dan doakan kami juga agar dapat beramal sebegini.
S: Bolehkah kita tunaikan solat sunat
seperti solat sunat Fajar jika kita masih ada sembahyang fardhu yang
belum diqada'?
J: Mengikut Sheikh Nuruddin, dalam
pendapat muktamar mazhab Syafie, tidak boleh melakukan solat sunat
sebelum habis mengqada' solat fardhu. Solat yang wajib jika
ditinggalkan berdosa, tetapi solat sunat tidak mengapa jika
ditinggalkan. Menurut Sheikh Nuruddin lagi, ada pendapat ulama
terkemudian yang mengatakan, jika seseorang itu masih mempunyai
hutang solat dan telah diancam hukum bunuh, maka pada ketika itu
boleh jadi haram jika dia mengerjakan solat sunat. Dia perlu
mengqada' solat fardhu dahulu. Ada juga ulama lain yang membenarkan
untuk solat sunat walaupun masih berbaki solat fardhu yang belum
diqada'. Untuk mengqada' solat, dahulukan solat yang terlebih dahulu
ditinggalkan. Qada' itu dianggap sebagai hutang kepada Allah, jadi
perlu kita langsaikan.
Kesimpulan:
Mukmin yang baik, hari ini adalah lebih
baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini.
Saya ingin berkongsi sedikit beberapa peristiwa penting yang berlaku
dalam bulan Rejab iaitu Isra' Mikraj, Hijrah pertama ke Habsyah,
perang Tabuk dan pembebasan Baitul Maqdis oleh Sultan Salahuddin
Al-Ayyubi dan yang paling menarik, Imam kita iaitu Imam Syafie lahir
dalam Rejab.
Sebenarnya saya ada menulis satu risalah amalan bulan Rejab yang terperinci. Boleh dapatkan di sini.
Mohon maaf tiada kesempatan waktu berbicara tentangnya disini.
Saya bacakan satu bait syair Arab yang bermaksud,
“Putihkanlah buku Rejab lembaran catitanmu yang hitam itu dengan
amalan soleh yang menyelamatkan daripada nyalaan api. Rejab termasuk
bulan-bulan yang haram. Sesungguhnya tidak akan rugi orang-orang yang
berdoa kepada Allah. Berbahagialah hamba-hamba yang mensucikan segala
amalan dan cegahkanlah dirimu daripada kekejian dan kebimbangan.
Berbuatlah amal semahunya. Beristighfar dan berdoa banyak-banyak.
Satu doa yang kita semua jangan tinggal setiap pagi dan petang
sebanyak 70 kali ialah: “Allahummaghfirli warhamni watub 'alayya -
Ya Allah ampunilah aku, rahmatilah aku dan terimalah taubatku”.
Sebagai penutup saya inginkan ceritakan kisah seorang yang sakit dan tiada harapan sembuh. Lalu dia berdoa, “Ya Allah, jika ditakdirkan aku mati, matikan aku dalam bulan Rejab.” Orang pun jadi hairan dan bingung mendengar doa sedemikian. Lalu dia menjawab, “Aku mendengar siapa yang meninggal dalam bulan Rejab, akan diampunkan dosanya.” Permintaannya dimakbulkan dan InsyaAllah semoga dosanya diampunkan Allah SWT.