Keberkatan Umur & Harta (3) – Tanyalah Ustaz 24.06.2012
Ustaz Halim Din
Bacaan surah Al-Mulk, ayat 1-11 yang bermaksud:
Semoga kita mendapat keberkatan dalam kehidupan di dunia dan
akhirat. Jika kita kasih kepada Allah, maka Allah juag akan kasih kepada kita.
Oleh sebab itu kita perlu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Sebagai
muslim, sedari bangun di pagi hari lagi, kita perlu mematuhi perintah dan
larangan Allah. Usahakan untuk mengikut amalan Nabi SAW. Mulakan pagi hari
dengan ucapan Alhamdulillah kerana masih di beri nyawa, dirikan solat dan
membaca Al-Quran.
Nabi SAW merupakan manusia yang paling berkat berana baginda
tidak pernah melupakan Allah SWT. Nabi SAW mengajarkan kita cara untuk
mendapatkan keberkatan apabila dua orang bertemu ialah dengan mengucapkan
salam. Apabila memulakan sesuatu pekerjaan pula, kita mulakan dengan ucapan
Bismillah.
Antara tanda-tanda keberkatan dalam kehidupan ialah:
- Pertama - rezekinya murah. Rezeki bukan sekadar wang ringgit, tetapi kehidupan yang tenang, kemudahan dalam urusan, kesihatan dan bermacam lagi kebaikan lain.
- Kedua – seseorang itu mudah melakukan kebaikan. Dia menggunakan harta yang diberi kepada jalan kebaikan. Allah memberikan harta kepada seseorang sebagai ujian dan perlu ditadbir urus dengan baik
- Ketiga - dia disayangi masyarakat sekeliling. Contoh: Tok Kenali merupakan seorang yang sangat disayangi. Apabila dia berjalan, ada sahaja orang yang mngikuti. Jika dia pergi ke satu kedai, ramai orang lain juga datang ke kedai tersebut.
- Keempat - hatinya tenang, kerana dia banyak bersyukur kepada Allah.
- Kelima - dia jauh daripada penyakit hasad dengki. Hatinya penuh mengingati Allah, oleh itu tiada ruang untuk sifat-sifat mazmumah.
Sebagai pengajaran saya bawakan kisah seorang ahli Sufi bernama
Abu Soleh. Ketika sedang beramal di tepi sungai, dia berasa lapar. Dia nampak
sebiji epal di sungai dan memakannya. Setelah itu dia teringat untuk mencari
siapakah pemilik epal itu. Lalu dia berjalan dan berjumpa pemilik ladang epal
tersebut. Dia meminta dihalalkan epal itu tetapi pemilik ladang itu
mensyaratkan dia bekerja untuknya selama 12 tahun. Dia sanggup demi
menghalalkan epal yang telah dimakan. Setelah 12 tahun, pemilik ladang
mensyaratkan pula untuk dia mengahwini anaknya yang buta matanya, bisu mulutnya, kudung tangan dan kakinya dan pekak telingnya. Demi menghalalkan sebiji epal yang telah
dimakannya, dia setuju. Namun setelah berkahwin dia terkejut kerana isterinya
langsung tiada cacat cela. Sebenarnya kecacatan itu cuma kiasa sahaja untuk
menggambarkan kesucian gadis itu daripada melakukan apa-apa dosa atau maksiat.
Berkat kesabarannya dan keikhlasannya, akhirnya Abu Soleh telah diberi ganjaran berlipat ganda
oleh Allah SWT.
Sebagai kesimpulan, marilah kita ingat pada Allah, agar
Allah juga ingat pada kita. Kenalilah diri kita agar kita dapat mengenali Allah.
Semoga kita mendapat kebaikan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Semoga kita
mendapat keberkatan dalam bulan Syaaban ini dan semoga dipanjangkan umur
bertemu dan beramal di bulan Ramadhan.
Senarai soalan & jawapan:
S: Umur merupakan peluang yang diberi kepada kita untuk digunakan
kepada perkara kebaikan. Begitu juga dengan harta. Namun, mengapa masih ramai
yang lalai dan tidak menggunakannya kepada jalan yang betul?
J: Inilah yang dinamakan ujian dan cabaran yang diberikan
Allah untuk menguji sejauh mana hambanya mentaati suruhan dan larangannya. Allah
berfirman, “Adakah kamu ingat kehidupan kamu di dunia adalah untuk bermain-main
sahaja?”. Dalam surah Al-Mulk juga disebut bahawa kematian dan kehidupan ini
dberikan untuk menguji siapakan antara kita yang terbaik amalannya. Dalam
Al-Quran perkataan hidup dan mati disebut sebanyak 145 kali.
S: Apakah ciri-ciri umur dan harta yang diberkati?
J: Ulama menyatakan bahawa petanda utama ialah seseorang itu
memulakan harinya dengan melakukan amalan-amalan soleh. Kedua pula, dia
sentiasa menggunaka usia yang ada padanya untuk melakukan kebaikan, malahan
kebaikan yang ada padanya turut dipindahkan kepada orang sekeliling. Keberkatan
pada harta pula dapat dilihat dengan pembayaran zakat dan penggunaan kepada
jalan kebaikan. Ramai sahabat Nabi SAW yang menginfakkan harta mereka kepada
jalan Allah.
S: Saya melihat anggota keluarga saya yang hidupnya
sederhana sahaja, tetapi suka menolong orang sehinggakan kadang-kadang
dipergunakan oleh orang lain. Ada pula saudara yang hidup senang, namun sukar
memberi pertolongan. Tetapi dia semakin kaya. Mohon pencerahan.
J: Orang yang membantu orang lain, tak kita dari segi harta
atau nasihat, itulah yang dinamakan barakah. Kebaikan itu berpindah dari satu
tangan kepada satu tangan yang lain. Orang yang kaya pula tetapi tidak dapat
berkongsi dengan orang lain menandakan tiada keberkatan dalam harta tersebut.
Orang yang semakin berumur, dan semakin jauh dari Allah merupakan orang yang
malang, kerana tidak mendapat kebaikan sebenar daripada Allah SWT.
S: Benarkah doa dan melakukan kerja dengan ikhlas merupakan
formula mencapai keberkatan dalam kehidupan?
J: Pastilah orang yang selalu mengadu kepada Allah melalui
doa dekat dengan Allah. Begitu juga dengan orang yang ikhlas dalam amalannya.
Makan makanan yang halal juga menjadi faktor utama dimakbulkan doanya. Rezeki
yang syubhah akan meninggalkan titik hati dalam hati seseorang dan menjadi
hijab doanya kepada Allah.
S: Bagaimana untuk mendapat keberkatan umur di usia emas? Bentuk
hiburan bagaimana yang sesuai untuk warga emas?
J: Sebenarnya semakin tua kita perlu semakin dekat dengan
Allah. Setelah tua, nikmat untuk berhibur, untuk makan bahkan untuk tidur juga
semakin berkurang. Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud bahawa orang yang bijak
adalah orang yang banyak mengingati mati. Allah SWT ada berfirman yang
bermaksud apakah persiapan yang telah dilakukan untuk kita menghadapi hari
kematian. Cara untuk berhibur - banyakkan mendengar nasyid-nasyid agar dapat
lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.
S: Adakah orang yang fasiq, doanya tidak dimakbulkan Tuhan?
J: Kejahatan yang membaluti diri kita akan memberi kesan
kepada amalan kita. Oleh itu kita jangan lupa dengan amalan-amalan sunat. Orang
yang fasiq lebih banyak melakukan kejahatan daripada kebaikan. Apabila berdoa,
doanya mungkin ada hijab, berbanding doa orang yang sering melakukan kebaikan.
Jadi saya sarankan agar meninggalkan amalan yang buruk agar kita disayangi
Allah.
S: Bolehkah kita bernazar melakukan kenduri dengan rezeki yang
halal?
J: Rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal tiada
masalah bernazar dengannya, selagi nazar itu nazar yang baik.
S: Saya selalu diuji Allah dengan kesakitan. Adakah itu
tandanya hidup saya tidak berkat?
J: Sakit merupakan satu ujian. Nabi SAW bersabda yang
bermaksud, “Apabila seseorang bersabar dengan duri yang mencucuknya, maka
dosanya akan diampunkan.” Oleh itu, kita kena ingat bahawa dengan ujian
kesakitan itu tanda yang Allah sebenarnya sayang dan ingat kepada kita. Jangan
kita jadi seperti Firaun yang tidak pernah sakit sehingga sombong dan mengaku
dirinya Tuhan.
S: Mohon pendapat ustaz tentang orang yang telah lanjut
usia, diberi ujian kesakitan tetapi tidak bersyukur dan mengeluh. Mereka juga
menjadi ujian kepada orang sekeliling dengan marah-marah.
J: Orang yang sakit kadang-kadang merasakan mereka tidak
disayangi. Sebenarnya ujian itu merupakan peluang mensucikan dosa. Nabi SAW
juga pernah sakit. Orang yang sakit mendapat keberkatan kerana pada saat itu
mereka lebih hampir dengan Allah. Berapa ramai orang yang cuai kepada Allah
hari ini kerana mereka merasakan diri mereka hebat. Kita perlu selalu ingat
mati dan ingat sakit agar lebih menginsafi diri dan kesalahan kita.