Beriman Kepada Hari Akhirat (2)- Tanyalah Ustaz 02.06.2012
Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah
Dalam ayat 7, surah Al-Mujadalah, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Esok akan bersambung lagi, InsyaAllah.
Bacaan surah Al-Zalzalah, ayat 1-8 yang bermaksud:
[1] Apabila bumi
digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
[2] Serta bumi itu
mengeluarkan segala isinya,
[3] Dan berkatalah
manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?”
[4] Pada hari itu
bumi pun menceritakan khabar beritanya:
[5] Bahawa Tuhanmu
telah memerintahnya (berlaku demikian).
[6] Pada hari itu
manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan
kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
[7] Maka sesiapa
berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[8] Dan sesiapa
berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Surah ini diturunkan sebagai jawapan kepada orang kafir
Quraisy yang selalu bertanya dan memperli Nabi Muhammad SAW tentang bilakah
akan berlaku nya hari kiamat. Nabi SAW tidak menjawab, tetapi Allah yang
menjawab bagi pihak Nabi SAW.
Dalam sepotong hadis, Nabi SAW bersabda yang maksudnya, “Kamu
tahu ntenna yang diceritakan oleh bumi di hari akhirat nanti?” Para sahabat pun
menjawab, “Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui.” Lalu Nabi menjawab, “Bumi
akan menjadi saksi atas perbuatan yang dikerjakan setiap hamba lelaki dan
perempuan di atas belakangnya.” Bumi akan menjadi saksi setiap perbuatan kita.
Inilah kalam Nabi Muhamad SAW yang amat mengenali kekuasaan Allah SWT. Jadi
cukuplah dengan satu surah ini untuk membuatkan kita yakin dan gerun dengan
kebenaran hari akhirat. Setiap perbuatan kita, walaupun kecil, Allah akan
perlihatkan kembali kepada kita, apatah lagi perbuatan kita yang besar-besar.
Oleh itulah keyakinan kepada hari akhirat sangat penting. Dengan keyakinan ini,
kita takkan berani buat apa yang Allah larang dan tak berani tinggal apa yang
Allah suruh.
Keyakinan tingkatnya lebih tinggi daripada ‘alim kerana
orang alim belum tentu yakin dengan apa yang diketahuinya. Keyakinan datang
daripada hati, daripada pemahaman
yang daqi’ (dalam, teliti dan terperinci). Setelah itu baru datang perasaan
takut dan mengharap (khauf dan raja’) pada Allah. Ada seorang sahabat Nabi,
Rabi’ bin Haisyam, yang juga murid kepada Abdullah bin Mas’ud, begitu yakin
akan hari akhiratnya sehinggakan dia berjalan sambil menundukkan pandangannya. Kanak-kanak
ingatkan dia buta oleh kerana sikapnya yang terlalu tunduk itu. Beginilah orang
yang tenggelam dalam keyakinan kepada hari akhirat. Dia malu kepada Allah, dan takut
matanya akan dihisab kerana memandang benda yang salah. Apabila dia melihat
kejadian dunia, dia mengaitkannya dengan akhirat. Contohnya, dia melihat tukang
besi meleburkan besi lalu teringat kepada api neraka Allah yang akan membakar
dirinya. Begitu juga apabila orang yakin melihat wanita cantik, dia takkan
peduli kerana tahu bidadari syurga lebih cantik daripada itu.
Kita bertuah kerana Allah beri maklumat tentang akhirat di
dalam Al-Quran. Namun kita hanya boleh melihat dengan mata hati yang terang. Hati
kita umpama ntenna – jika bersih kita menerima ‘siaran-siaran akhirat’ dan
dengan itu mudah meyakini dan mengingati akhirat. Jika hatinya kotor pula,
manusia akan mudah leka dan melupakan akhirat. Sahabat-sahabat Nabi mempunyai
hati yang sangat bersih dan mereka seolah-olah nampak syurga dan neraka Allah. Sebaliknya
manusia hari ini ramai yang hatinya gelap. Jadi hati yang gelap tidak akan
nampak segala maklumat yang telah Allah kongsi dalam Al-Quran.
Khayalan orang yang menyatakan bahawa nasib orang soleh dan
toleh di akhirat nanti akan sama adalah salah sama sekali. Allah berfirman
dalam surah Saad ayat 28 yang bermaksud:
Patutkah Kami jadikan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang
melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang
bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?
Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa orang-orang yang
bertaqwa takkan dizalimi dengan menghukum mereka serupa dengan orang yang
fujjar(dimurkai). Tetapi orang yang bertaqwa akan dipermudahkan jalan menuju
syurga. Mereka yang mempertahankan kepercayaan bahawa tiada hari akhirat kerana
mereka takut sebenarnya. Mereka tahu yang mereka banyak berbuat kerosakan dan
takut dengan hari pembalasan. Sebab itulah mereka cuba mengurangkan kepercayaan
manusia lain kepada akhirat. Allah berfirman dalam surah Al-Nahl, ayat 38 yang
bermaksud:
Dan mereka bersumpah
dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): "Allah tidak
akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati". (Itu tidak benar),
bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar;
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
(Allah menghidupkan
semula orang-orang yang mati) untuk menerangkan kepada mereka apa yang mereka
berselisihan padanya, dan supaya orang-orang kafir mengetahui bahawa mereka
adalah orang-orang yang berdusta.
Sebenarnya surah Al-Fatihah yang kita ulang saban hari itu
pun mempunyai pengajaran tentang akhirat, iaitu ayat 4 yang bermaksud “Tuhan
yang memiliki hari pembalasan.” Jadi bila baca ayat ini, mohon doa pada Allah
agar kita dapat beramal di negeri yang tiada balasan sebelum sampai ke negeri
balasan yang sudah tiada amalan. Kenangkanlah bahawa dunia ini adalah peluang
dan tempat beribadah agar mendapat balasan baik di akhirat.
Hisab Allah merupakan puncak keadilan Allah SWT. Jadi, Allah
akan bicarakan kita dengan adil, dengan segala bahan bukti yang lengkap. Bumi,
tangan, lidah dan segala anggota kita akan menjadi saksi. Firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 24, yang
bermaksud:
Pada hari lidah mereka
dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri,
tentang segala yang mereka lakukan.
Seterusnya dalam surah Fussilat, ayat 20 dan 21:
Sehingga apabila
mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit
badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah
kerjakan.
Dan (setelah berlaku
yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka:
"Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka
menjawab: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai
berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang
menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk
menerima balasan).
Allah berfirman lagi dalam ayat 6, surah Mujadalah yang bermaksud:
Semasa mereka semuanya
dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan
kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung
amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan
(ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.
Catitan Allah begitu terperinci sehinggakan manusia sendiri
terlupa apa yang dilakukan. Allah takkan lupa walau sebesar habuk sekalipun.
Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui Allah takkan letak seseorang di dalam
neraka sebelum menjalani pengadilan. Mahkamah Allah begitu adil sehinggakan
orang yang dihukum neraka pun akan mengaku salah dan sedar yang sememangnya
tempat dia di neraka.
Dalam ayat 7, surah Al-Mujadalah, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Tidakkah engkau
memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan
yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah
yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang
keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai,
melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia
akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah
kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Esok akan bersambung lagi, InsyaAllah.
Senarai soalan &
jawapan:
S: Ayat 7-8 surah Al-Zalzalah yang dibacakan tadi menceritakan
tentang perbuatan jahat yang akan diperlihatkan kembali kepada manusia.
Bagaimana jika dia sudah bertaubat? Adakah akan masih diperlihatkan oleh Allah?
J: Jika taubatnya telah diterima, amalan jahat itu tidak
akan diperlihatkan lagi. Hakikat istighfar itu sebenarnya memohon Allah
melindungi, menutup dan memadam kejahatan. Jadi, yakinlah dengan keampunan
Allah.
S: Apakah ciri-ciri orang yang beriman dengan hari akhirat?
J: Seperti yang telah dijelaskan iaitu orang yang yakin
dengan kebenaran hari akhirat. Mereka meneliti dan mentadabbur ayat-ayat
Al-Quran terutama yang berkaitan kehidupan hari akhirat. Mereka membaca
Al-Quran secara bersepadu – membaca dengan lidah, berfikir dengan otak dan
merasa dengan perasaan. Iman itu adalah kepercayaan kepada benda yang kita
tidak nampak. Hanya hati yang celik sahaja boleh 'nampak' kebenaran hari
akhirat.
S: Hari ini ramai menggunakan otak dan logik berkenaan hal
akhirat sehingga kurang keyakinan pada hari akhirat. Bagaimana meyakinkan
mereka terutamanya golongan bukan Muslim?
J: Caranya adalah dengan menyakini kebenaran tentang hari
akhirat. Bagi yang bukan Muslim pula, cuba ajak mereka menggunakan otak untuk
melihat kebesaran Allah yang lain. Cuba tanya diri sendiri - Jika kita tak mahu
ikut Islam di dunia, di mana lagi? Di dalam kubur nanti? Adakah di dalam kubur
baru nak tutup aurat? Fikir-fikirkanlah. Hati yang cerah sahaja akan dapat
‘melihat’ kebenaran ini. Jadi, mari balik ke pangkal jalan agar beroleh
keselamatan di dunia dan akhirat.
S: Kawan saya merupakan seorang suami yang baik, seorang
yang baik dan rajin bersolat jemaah di masjid. Namun isterinya lari dari rumah
dan melibatkan keluarganya dalam masalah rumahtangga. Apa nasihat ustaz?
J: Isteri yang keluar rumah tanpa haq (suami tidak
menyakitinya) dan tanpa izin suaminya akan dilaknat Allah sehinggalah dia
pulang semula. Segala amalan baiknya akan tertolak dan tidak akan dinilai. Di
akhirat pula, dia tidak akan mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW. Syafaat Nabi
khas untuk isteri yang taat pada suaminya sahaja. Nabi sendir pernah berpesan
kepada anaknya Fatimah, jika dia menderhaka kepada suaminya, Nabi SAW sendiri
tidak akan menyembahyangkan jika dia meninggal dahulu sebelum Nabi. Oleh itu, isteri
itu perlu pulang dan mohon maaf dengan suaminya. Jika tidak, akan gelaplah masa
depan dan hari akhiratnya. Wanita sepatutnya menjadikan keredhaan suami sebagai
anak kunci untuk masuk syurga, bukan anak kunci neraka.
S: Saya merupakan isteri kedua. Selepas berkahwin, suami
baru tersedar yang dia sudah mempunyai sebuah keluarga yang bahagia bersama
isteri pertama. Dia sekarang sudah sebulan lebih tidak pulang ke rumah dan
memberitahu saya yang dia tidak akan pulang lagi. Saya tidak tahu status saya
sekarang. Suami sudah tidak menghubungi saya. Saya sekarang sedang mengandung 3
bulan. Saya biasa pergi mengaji, jadi perlukah saya minta izin suami untuk
keluar rumah? Jika saya pergi, adakah Allah murka pada saya?
J: Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Jika kamu nak
kekalkan perkahwinan, kekalkan dengan ma'ruf. Jika kamu nak putuskan, putuskanlah
dengan ihsan.” Islam ada hukum-hakam yang telah ditetapkan dan suami tidak
boleh berbuat sesuka hati. Isteri yang mengandung tidak boleh diceraikan. Suami
perlu berlaku baik kepada isteri dan tunggu sehingga dia selesai bersalin untuk
diceraikan dengan baik. Untuk keluar belajar menuntut ilmu fardhu ain, hukumnya
wajib dipelajari dan oleh itu boleh keluar tanpa kebenaran suami. Tetapi mesti
balik rumah selepas majlis ilmu, jangan pergi ke tempat lain pula. Belajar ilmu
fardhu ain merupakan wajib ke atas muslimin dan muslimat. Bagi puan yang
digantung tidak bertali ini, jika telah diusahakan untuk meminta izin, bolehlah
keluar untuk perkara-perkara yag harus. Jangan keluar untuk membuat maksiat
pula.
S: Semasa hidup kita tak amal cara Islam, tetapi hanya
setelah mati baru kita uruskan dengan cara Islam. Jadi bagaiman Allah nak
terima di akhirat nanti?
J: Cara hidup akan menentukan cara mati kita. Jika kita
hidup dalam Islam, InsyaAllah kita akan mati dalam Islam juga. Dalam setiap
khutbah Jumaat pasti imam akan berpesan, "Jangan kamu mati kecuali mati sebagai
Muslim yang sejati".Muslim yang sejati ialah muslim yang menyerah diri
kepada Allah. Fikir semula soalan saya tadi - Jika tak di dunia, di mana lagi
kita nak beramal? Nak tunggu di akhirat baru nak simpan janggut, pakai serban,
solat berjemaah? Renung-renungkanlah. Mari kita ikut Nabi SAW sebelum kita
mati.