Hidup Berjiran (1) – Tanyalah Ustaz 13.06.2012

Ustaz Rujhan Mohamed Razali


Bacaan surah An-Nisaa, ayat 36 yang bermaksud:
Semoga pertemuan dalam kita dalam majlis ilmu ini penuh dengan perasaan yang ceria, hati yang tenang, kerana ilmu sangat berkait rapat dengan hati. Mana mungkin kita dapat menghayati ilmu sebaiknya jika hati kita tidak tenang.

Tidak dapat dinafikan, kehidupan hari ini sangat menghambat kita sehingga ramai yang tak kenal jiran sebelah. Faktor kejadian jenayah turut menyumbang kita sukar mempercayai orang di sekeliling. Namun begitu kita perlu berusaha untuk mengenal dan bermesra dengan jiran. Jiran adalah orang pertama yang akan membantu jika berlaku apa-apa malapetaka kerana keluarga dan saudara kita jauh.

Dalam masyarakat memang ada bermacam jenis manusia. Ada orang yang jenis tidak suka bercampur dengan orang. Kita kena berusaha mendekatkan diri dengan orang sebegini kerana Allah minta kita berhubung dengan orang yang memutuskan perhubungan dengan kita.

Senarai soalan & jawapan:
S: Apakah tuntutan dan kepentingan menjaga hablun minannas (hubungan sesama manusia)?
J: Dalam kehidupan ini kita perlu menjaga hubungan dengan Allah dan dengan manusia. Hubungan dengan Allah dijaga dengan melaksanakan ibadah-ibadah fardhu dan sunat seperti solat, puasa, zikir dan sebagainya sebagai tanda kesyukuran dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan. Hubungan sesama manusia pula perlu juga dijaga kerana tiada sesiapa boleh hidup keseorangan di dunia ini. Termasuk dalam menjaga hubungan ini ialah menjaga hubungan dengan jiran. Orang yang hanya menjaga hubungan dengan Allah sahaja masih belum memenuhi tuntutan sebagai Muslim. Nabi SAW pernah diceritakan tentang seorang wanita yang rajin beribadah, tetapi dia suka menyakiti jirannya dengan lidahnya. Lalu Nabi SAW mengatakan bahawa wanita itu termasuk ahli neraka. Jadi kita perlu menjaga dengan baik kedua-dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan dengan manusia.

S: Apakah tanda-tanda manusia yang mendapat kebahagiaan dalam hidup yang boleh dikaitkan dengan tajuk yang dibincangkan.
J: Semua orang inginkan kebahagian dan dalam kehidupan yang singkat ini, rugilah jika kita memenuhkannya dengan sengketa dan air mata. Hidup kita bukan seperti umat nabi-nabi sebelum ini yang boleh mencecah ratusan tahun. Jadi kita ingin biarlah kehidupan yang singkat ini dipenuhi kebahagiaan. Ciri-ciri orang yang bahagia ada 4: Memiliki isteri yang soleh, mempunyai tempat tinggal yang lapang, mempunyai jiran yang baik dan kenderaan yang baik. Jadi jiran yang baik merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kebahagiaan hidup. Orang yang tak bahagia mempunyai semua yang berlawanan dengan ciri-ciri yang dinyatakan tadi.

S: Apakah yang dimaksudkan dengan jiran dan kategorinya?
J: Jiran berasal daripada perkataan “al-Jarr” yang bermaksud 'hampir'. Ada ulama yang mengatakan jika azan dilaungkan tanpa pembesar suara dan dapat mendengarnyya, mereka tergolong dalam kejiranan yang sama. Namun hadis yang paling terkenal adalah daripada riwayat Aisyah dan para tabiin seperti Hasan Al-Basri yang menyebut jiran ialah 40 buah rumah dari setiap penjuru rumah kita. Untuk aplikasi hari ini, maksudnya 40 buah rumah di hadapan, di belakang, di kanan, di kiri, di atas dan di bawah :D. Kategori jiran pula ada tiga iaitu pertama: jiran muslim yang ada tali persaudaraan dengan kita. Kita kena jaga 3 haknya iaitu hak seagama, hak saudara dan hak jiran. Kategori kedua adalah jiran seislam, jadi perlu dijaga hak seagama dan hak jiran dengannya. Ketiga ialah jiran kafir, jadi dia cuma mempunyai hak sejiran dengan kita.

S: Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengeratkan ukhuwwah dalam kawasan kejiranan?
J: Kita kena ingat 'membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata'. Nak bergaduh sangat mudah, tetapi nak membina kasih sayang kena berusaha sepanjang masa. Kita kena mulakan dengan iman, dan bersama-sama kembali kepada tuntutan agama. Bermula dengan iman, kita akan sedar tentang wujudnya Allah, Rasul, dosa, pahala, syurga, neraka. Nabi SAW ada bersabda, “Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya.” Jadi daripada keimanan, akan datang ibadah dan kemudian akhlak yang baik dan ini akan mewujudkan ukhuwwah dalam masyarakat dan membentuk kejiranan yang harmoni. Akhlak yang elok amat disukai semua orang dan merupakan sifat penting dalam memelihara keharmonian dalam masyarakat.

S: Apakah perkara yang dapat menghalang untuk membina kejiranan yang harmoni?
J: Ada dua jenis – yang bersifat luaran dan dalaman. Yang pertama, musuh jelas seluruh umat Islam ialah orang Yahudi dan Nasrani yang selama-lamanya takkan redha dengan umat Islam. Namun begitu, musuh dalaman iaitu syaitan lebih hebat serangannya. Syaitan tak pernah berehat atau cuti. Syaitan akan terus memecah-belahkan masyarakat dan kejiranan. Begitu juga nafsu mazmumah dalam diri kita sendiri turut menjadi penghalang keharmonian masyarakat.

S: Apakah adab yang perlu dijaga bersama jiran?
J: Adab menjadikan seseorang manusia itu mulia di sisi manusia lain dan di sisi Allah. Ada banyak adab untuk diperincikan dan masa yang ada di sini tidak mencukupi. Jadi secara ringkasnya, antaranya adab yang boleh dilakukan ialah:
  • Mulakan dengan memberi salam kepada orang lain dan sebut salam dengan betul.
  • Jangan terlalu banyak bertanya perkara-perkara yang boleh membuatkan jiran berasa tidak selesa.
  • Ziarah jika jiran sakit dan melawat jika ada kematian.
  • Bergembira dengan berita gembira yang diterimanya dan tumpang bersedih jika dia dalam kesedihan.
  • Memaafkan kesalahan yang dilakukan.
  • Tidak melihat ke dalam rumahnya sehingga terlihat auratnya.
  • Tidak menyempitkan jalan ke rumahnya.
  • Menutup pandangan pada apa yang dibawanya dan apa yang ada di dalam rumahnya.
  • Menutup keaiban dan kecelaannya.
  • Meringankan musibah yang dialaminya.
  • Jangan lalai memerhati rumahnya jika dia bermusafir. Jadi kita kena beritahu jiran sebelum bermusafir. Kena 'jaga tepi kain' jiran dalam hal ini.
  • Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan kata-kata orang lain tentang jiran.
  • Palingkan pandanganmu daripada melihat isterinya atau pembantu wanitanya. Sebab itu bila beri salam, kita kena berdiri di tepi pintu agar apabila dibuka pintu, kita tidak terus terlihat ke dalam rumah yang mungkin boleh menampakkan isterinya yang belum sempat menutup aurat.
  • Beri ucapan yang baik kepada anak-anak jiran.
  • Jangan kedekut ilmu. 'Suatu nikmat akan bertambah bila dikongsikan. Suatu kedukaan akan berkurangan apabila dikongsi.'
  • Ada banyak lagi yang boleh dilakukan, carilah rujukan lain dalam majlis-majlis ilmu.

S: Minta penjelasan tentang sikap kita terhadap jiran bukan Islam?
J: Pertama, kita perlu mengambil tempat sebagai seorang pendakwah dengan mereka. Nabi SAW terus-menerus menjadi pendakwah kepada orang Musyrikin. Ada pula yang kata, “Saya tidak pandai berceramah”. Sebenarnya dakwah ada dua bentuk: lisan dan akhlak. Pada zaman Nabi SAW sendiri, ramai orang memeluk Islam kerana tertarik dengan akhlak Nabi SAW. Jadi kita kena tunjukkan akhlak yang sangat baik dengan jiran bukan Islam. Jangan kita berkasar atau menyakitinya. Sebagaimana kita tak mahu disakiti, jangan kita menyakiti orang lain. Sebagaimana kita nak dihargai, hargailah orang lain. Perlu saling menghormati dan berkasih-sayang dan cuba ajak mereka kepada jalan Allah. Namun dalam pada itu kita perlu jaga batas pergaulan agar tidak melanggar syariat, contohnya tidak merayakan upacara agamanya.

S: Apakah turutan melaksanakan hak kejiranan?
J: Yang pertama ialah jiran Muslim yang paling dekat rumahnya dengan rumah kita. Dalam satu hadis ada diriwayatakan seorang sahabat bertanya Nabi SAW, “Aku mempunyai 2 jiran, yang mana satukah perlu kuberikan hadiah”. Nabi SAW menjawab, “Yang paling dekat rumahnya dengan pintu rumahmu.” Kedua jiran Muslim yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita. Kemudian, jiran Muslim yang alim dan mempunyai ilmu dan kelebihan. Seterusnya, jiran Muslim yang soleh dan ahli ibadah.

Setakat ini dahulu, InsyaAllah bersambung esok. Semoga kita semua teru hidup dalam keadaan berukhuwwah dan berbahagia dunia dan akhirat.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab