Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
Bacaan surah Al-Hujrat ayat 12-13 yang
bermaksud:
Daripada ayat yang dibacakan tadi,
Allah meminta kita menjauhkan diri daripada sikap buruk sangka,
terutamanya dalam kalangan adik-beradik. Jangan kita terlalu cepat
menghukum orang dengan prasangka buruk. Allah terangkan dengan jelas
dalam ayat ini bahawa sikap buruk sangka akan menyebabkan murka
Allah. Oleh itu, kita kena ingat bahawa bila kita suka buruk sangka,
kita akan sukar untuk masuk ke syugra. Dengan perasaan buruk sangka,
kita akan menyibukkan diri mencari aib orang lain. Nabi SAW bersabda
dalam satu hadis yang cukup masyhur, “Barangsiapa yang menutup aib
orang lain, Allah akan tutup aib-Nya di padang masyar kelak.”
Hormati adik-beradik dan semua ahli keluarga agar kita dapat menjaga
keharmonian rumah tangga.
Senarai soalan & jawapan:
S: Apakah hukum seorang kakak yang suka
memburukkan adik ipar kepada ibunya sendiri?
J: Betul, perkara ini berlaku dalam
masyarakat. Tak kiralah sama ada kakak, abang atau adik. Kita kena
ingat, jika perkara yang diceritakan itu tidak benar, itu sudah
menjadi fitnah. Orang yang buat fitnah takkan dibenarkan masuk syurga
sehinggalah dia meminta ampun dengan orang yang difitnahnya.
Perbuatan ini boleh menyebabkan ibu pula membenci saudara ipar kita.
Oleh sebab itulah dosa fitnah itu lebih besar daripada dosa membunuh.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang cuba
mengeluarkan aib orang dan memburuk-burukkan orang lain, mukanya akan
dilempar dengan api neraka di akhirat kelak.” Oleh itu tinggalkan
perbuatan ini. Nabi SAW mengajar kita untuk memberi nasihat dengan
baik. Bercakap benarlah biarpun pahit, tetapi jangan memfitnah atau
memburuk-burukkan adik-beradik.
S: Ada ustaz mengatakan bahawa antara
tanggungjawab antara adik-beradik ialah membantu dalam bentuk
kewangan. Mohon ustaz jelaskan.
J: Betul cakap ustaz tersebut. Kita
memang dituntut dalam Islam agar tidak bakhil. Orang yang bakhil
tidak akan bersedekah, bayar zakat atau menggembirakan orang lain.
Oleh itu sangat penting untuk kita agar tidak kedekut dan suka
memberi hadiah, dan membuat jamuan makan contohnya. Beri bantuan
kepada mana-mana saudara yang susah. Jika mampu beri sebagai hadiah
atau sedekah, jika tak mampu boleh beri pinjam dahulu. Adik-beradik
pula jangan ambil kesempatan atas adik-beradik sendiri. Jika sudah
pinjam, pandai-pandailah pulangkan ketika sudah mampu. Oleh sebab itu
Allah suruh kita tulis apabila berlaku hutang. Orang yang berhutang
dan tidak melangsaikan dikira berdosa, dan ditakuti akan menjadi
muflis di akhirat nanti.
S: Kawan saya selalu bergaduh dengan
adik-beradiknya. Bagaimana untuk menasihati?
J: Betul, kita perlu bertanya cara
membantu rakan-rakan kita. Pertama, perlu ada niat untuk tegur
sebagai nasihat. Kerada nasihat itu adalah agama. Nabi SAW
menggalakkan kita memberi nasihat. Terangkan kepada mereka
kepentingan adanya adik-beradik dan ajar mereka bersyukur. Selain
mendengar, cuba alami sendiri masalah yang dihadapinya. Kedua: cuba
usahakan untuk membantu meleraikan pergaduhan tersebut. Kita jangan
jadi kawan yang mengapi-apikan keadaan pula. Ingatkan rakan yang
hidup kita tak selalunya di atas, suatu hari pasti kita akan merasa
berada di bawah pula. Takkala itu adik-beradiklah tempat kita mengharapkan mendapat bantuan. Ketiga: jangan kita paksa dia ikut apa yang
kita cakap. Berikan dia beberapa pilihan yang baik.
S: Abang saya menghadapi masalah dalam
perniagaannya. Sebagai adik, saya hanya mampu mendoakannya. Bolehkah
begitu?
J: Selain doa dan pertolongan kewangan,
kita boleh juga memberikan semangat dan inspirasi sebenarnya. Doa
merupakan perisai orang orang beriman. Allah berfirman yang ringkasannya bermaksud, “Berdoalah kepada-Ku, Aku akan makbulkan.” Jadi doakanlah untuk
adik-beradik kita kepada Allah SWT. Kita bertemu Allah paling kurang
5 kali sehari. Apabila kita mendoakan seseorang, dan orang itu tidak
mengetahuinya, maka malaikat juga akan mendoakan kita doa yang serupa
juga. Teruskan berdoa, semoga rezeki abang Puan akan bertambah baik.
Abu Darda' setiap kali solat akan mendoakan kepada 70 orang
sahabatnya.
S: Bagaimana untuk mengelak perasaan
hasad dengki antara adik-beradik?
J: Imam Ghazali dikenali sebagai pakar
merawat sakit hati. Rujuklah kitab tulisannya iaitu Ihya' Ulumiddin.
Betullah selalu wujud perasaan dengki antara adik-beradik. Kita kena
ubah sifat ini dan ganti dengan sifat syukur dan redha. Ada satu
cerita seorang Professor yang mempunyai 4 orang anak. 3 orang anaknya
pandai dan menjadi doktor, manakala yang keempat tidak begitu pandai
dan cuma bekerja sebagai kerani sahaja. Professor itu rasa begitu
pelik sehingga mengatakan yang anak keempatnya itu bodoh.
Ditakdirkan, Allah menguji Professor itu terkena strok. Dalam kesemua
anaknya, anak yang keempat itulah yang menjaganya sepanjang masa.
Anak yang lain sibuk dengan kerjaya. Oleh sebab itu kita tidak boleh
dengki dengan kelebihan yang Allah kurniakan pada adik-beradik yang
lain. Seumpama jari kita yang lima, semuanya ada fungsi tersendiri.
Kurang satu akan menjadi tidak sempurna. Nabi SAW ada bersabda yang
bemaksud, “Perasaan hasad memakan pahala amalan sepertimana api
memakan kayu.” Kita perlu berlapang dada dan gembira dengan
kelebihan yang dimiliki adik-beradik lain. Bagi yang lebih berjaya
pula, jangan sombong dan bantulah adik-beradik lain yang kekurangan.
S: Kebanyakan adik-beradik bergaduh
kerana harta ibu bapa. Apakah nasihat ustaz?
J: Betul, banyak berlaku pergaduhan
dalam kes faraid. Harta sebenarnya adalah satu bentuk fitnah kepada
manusia. Jadi ibu bapa perlu didik agar anak-anak tidak terlalu
cintakan dunia. Ajar anak bersyukur dengan apa yang diterima,
walaupun sedikit. Yahya bin Muaz berkata, “Harta itu seperti kala
jengking. Jika kamu tak pandai merawat, jangan ambilnya. Ambil apa
yang hak kamu sahaja dan letakkan yang lain pada haknya (bersedekah).” Harta ibu
bapa yang paling bernilai ialah anak-anak iaitu adik-beradik kita.
Cuba perhatikan jika anak-anak sakit, ibu bapa sanggup gadaikan harta
untuk menyelamatkan anak-anak. Oleh itu janganlah kerana harta ibu bapa,
adik-beradik bergaduh.
S: Mohon penjelasan tentang sikap
adik-beradik yang suka memperlekehkan satu sama lain.
J: Hukum menghina, perli orang lain
adalah haram. Allah SWT melarang kita berbuat begitu. Oleh itu kita
tidak boleh memperlekehkan apa yang dibuat oleh adik-beradik kita
atau orang lain.