"Aku berniat untuk belajar dan mengajar..." - Kuliah Dhuha Muslimat 09.01.2013

Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre
Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang



Salah satu perkara yang biasa berlaku ialah seseorang itu banyak menghadiri majlis ilmu tetapi masih berat atau terlupa untuk  mengamalkan ilmu yang diperolehi.

Apakah sebabnya? Sebab paling utama ialah tiada keberkatan dalam ilmu tersebut. Perkara ini nampak mudah, dan memang ramai orang yang ambil mudah. Contohnya tidak menghormati guru dan pelajar lain dengan tidak silentkan phone. Bukannya tiada arahan diberikan, tetapi kadang-kadang memang seseorang itu sengaja enggan mematuhinya.

Antara cara mendapat keberkatan ialah dengan memasang niat yang betul ketika datang belajar. Apabila mendengar ilmu yang disampaikan, dalam hatinya, dia terus berazam bersungguh-sungguh untuk terus mengamalkan apa yang dipelajari. Seseorang itu tidak datang ke majlis ilmu sekadar untuk mengambil maklumat, atau gelak mendengar jenaka ustaz atau datang kerana ustaz itu boleh membuat dia menangis dengan tazkirahnya. Jika datang dengan niat untuk lulus periksa, maka dia takkan fokus betul-betul fokus dalam kelas, dan cuma fokus pada apa akan ditanya ketika peperiksaan nanti. Jangan diniatkan begitu.

Imam Al-Haddad mengajarkan agar niat menuntut ilmu yang sangat cantik, dan dibaca sebelum memulakan majlis ilmu. Kita perlu baca niat agar kita dengar semula dengan telinga dan jelas dengan tujuan mengadirkan diri dalam majlis ilmu.

Doa belajar seperti yang diajar oleh Imam Al-Haddad adalah seperti berikut:

Aku berniat untuk belajar dan mengajar,
(Sebelum mula belajar, sudah dipasang niat bukan sahaja belajar untuk diri sendiri, bahkan untuk mengajarkan dan menyampaikan kepada orang lain pula.) 

mendapat peringatan dan memberi peringatan,
(Saling ingat-mengingati itu merupakan perkara yang dituntut dalam agama kita)


mendapat manfaat, dan memberi manfaat,
(Ilmu yang diperolehi dikongsi manfaat bersama orang lain juga, bukan untuk disimpan untuk diri sendiri sahaja)

mengambil faedah dan memberi faedah, 
(Mengambil faedah daripada ilmu dan menjadikan diri boleh memberi faedah kepada orang lain pula)


Mengajak orang kepada kitab Allah dan kitab Nabi-Nya
(Mendekatkan orang kepada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW)

Menyampaikan kepada hidayah, dan menunjukkan kepada kebaikan,
(Berdakwah dengan ilmu yang diperolehi, dan menunjukkan teladan yang baik kepada orang lain)

Mengharapkan redha Allah, mendekatkan diri pada-nya dan pahala-Nya
(Inilah tujuan utama belajar untuk mendapat redha Allah, dekat pada-Nya dan mengharap ganjaran pahala dari-Nya.)

Bacakan niat ini sebelum majlis ilmu bermula, In sha Allah akan menjadi lebih mudah untuk memahami ilmu dan mengamalkannya. Apabila telah dipasakkan dalam diri dengan doa ini, In sha Allah kita akan mendapat manfaat daripada ilmu, tak kira daripada siapa ilmu itu datang.

Paling utama niatkan datang ke majlis ilmu untuk mendapatkan sesuatu untuk diamalkan, dan untuk diajarkan pula kepada orang lain. In sha Allah, apbila kita mengamalkan apa yang kita belajar, maka Allah akan mengajarkannya lagi apa yang kita tak tahu.

Dalam hal menyampaikan kepada orang pula, ianya bergantung kepada bakat seseorang juga. Bukan semua orang berbakat menyampaikan, tetapi niat mesti ada dan pelbagai cara boleh digunakan. Antaranya - tetapkan dalam minda bagaimana untuk mengajarkan orang lain selepas itu. Cuba simulasi bagaimana pula jika ada orang bertanya soalan agar kita boleh menguji kefahaman diri sendiri. Dengan itu, kita akan lebih fokus untuk cuba memahami ilmu yang guru sampaikan.

Sumber asal doa: Majlis Ta'lim Sawa'assabil

p/s: Inilah doa yang biasanya dibacakan oleh Habaib sebelum memulakan majlis ta'lim. Mari kita berusaha untuk menghafal dan menghayati maknanya.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab