Hadiah Hidayah (1) – Tanyalah Ustaz 25.01.2013


Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah


Bacaan surah Al-“Ala, ayat 1-7:


Surah ini menceritakan tentang kekuasaan Allah yang menciptakan segala-galanya. Allah jualah yang menciptakan Nabi Muhammad SAW yang menjadi rahmat bukan sekadar kepada manusia, tetapi kepada seluruh alam. Kelahiran Nabi SAW adalah merupakan satu hidayah yang menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan azab api neraka. Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’, ayat 107:

Ketika Nabi berada di kota Mekah, sebelum baginda dilantik menjadi Nabi lagi, pokok dan batu pun memberi salam kepada Baginda.  Oleh itu, kita sebagai orang yang beriman perlulah lebih baik daripada itu. Rahmat merupakan satu bentuk kasih-sayang Allah. Salah satu bentuk rahmat ialah Allah memberikan hidayah yang mengeluarkan kita daripada kesesatan. Nabi Adam diciptakan dan tinggal dalam syurga. Setelah itu diciptakan pula Hawa. Setelah itu berlakulah kisah mereka memakan buah larang sehingga dikeluarkan daripada syurga. Setelah itu, Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 38:

Setelah diturunkan ke dunia, Nabi Adam berterusan bertaubat dan setelah dia menyebut nama Nabi Muhammad SAW, barulah taubatnya diterima Allah. Mulianya Nabi Adam ialah apabila Allah menyuruh para malaikat sujud kepadanya. Tetapi mulianya Nabi Muhammad SAW sehinggakan Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sepertimana yang dinyatakan dalam ayat 56, surah Al-Ahzaab:

Ada seorang sahabat kelihatan sedih dan Nabi SAW bertanya kenapa. Lalu dia menjelaskan yang dia takut yang dia takkan bersama-sama Nabi SAW lagi di akhirat nanti. Seandainya ditakdirkan dia masuk syurga, pastilah dia berada di syurga yang rendah tingkatannya berbanding Nabi SAW, dan jika ditakdirkan dia masuk neraka, memang langsung tiadalah harapan untuk dia menemui Nabi SAW. Baginda Nabi SAW pun bersabda, “Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya”. Oleh kerana sahabat itu kasihkan Nabi SAW, maka Nabi SAW pun kasih kepadanya, dan dia pun diizinkan menjadi ahli syurga untuk bersama-sama Nabi SAW.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, “Hendaklah kamu mengasihi aku dengan mengasihi 3 perkara: Kasih kepada Nabi, kasih kepada keluarga Nabi dan kasih kepada Al-Quran”.
Jika betul kasih pada Nabi, seseorang itu hendaklah mematuhi perintah Allah dalam menunaikan ibadah fardhu seperti solat, puasa, dan sebagainya. Firman Allah dalam surah Ali-Imraan, ayat 31:

Maka, cinta kepada Nabi SAW akan membawa kepada cinta kepada Allah SWT. Hebatnya cinta kepada Nabi sehinggakah batang pohon kurma pun menangis merindukan Nabi SAW yang tidak lagi berkhutbah di sebelahnya setelah sahabat membina mimbar yang baru. Tangisan pohon itu didengari oleh para sahabat, sehingga Nabi SAW pergi mendakapnya dan berjanji akan bersamanya di syurga nanti.

Ada banyak kelebihan mencintai Nabi SAW. Contohnya, seorang Badawi yang datang bertanya bilakah akan berlaku kiamat. Nabi SAW bertanya semula apakah bekalan amal yang disediakannya. Dia menjawab yang dia hanya ada hati yang kasih pada Nabi. Nabi SAW pun berkata yang seseorang itu akan bersama orang yang dikasihinya pada hari akhirat nanti. Kasih pada Nabi SAW tidak boleh pada bibir sahaja, perlu disertai amal ibadat seperti yang disyariatkan oleh Nabi SAW.

Sempena bulan Rabi’ul Awal ini, mari bersama perbaiki diri – jika belum menutup aurat, usahakan untuk menutup aurat dengan sempurna. Hadiri majlis ilmu, majlis maulid, banyakkan membaca Al-Quran, baca sirah Nabi SAW memperjuangkan Islam bersama para sahabat. Ingatlah yang Nabi SAW sentiasa mendoakan kita dan risau akan keselamatan kita. Di akhirat nanti, Nabi SAW akan memberikan syafaat kepada kita. Oleh itu, perbanyakkanlah berselawat kepada baginda Rasul SAW.
Kasihnya Nabi SAW kepada umatnya, baginda akan membantu umatnya terlebih dahulu di akhirat walaupun Baginda merupakan orang pertama yang diizinkan masuk syurga. Dalam satu hadis,  Nabi SAW bersabda, “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman kepada Allah, selagi aku tidak dikasihi melebihi anaknya, ibubapa dan dirinya sendiri”.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah yang dimaksudkan hidayah? Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Nabi Muhammad SAW  sebagai rahmat kepada sekalian alam’.
J: Kita beruntung kerana mendapat hidayah daripada Allah dan dilahirkan dalan keluarga yang ibu bapanya telah Islam. Iman ini sangat mahal nilainya. Para sahabat dahulu berhempas-pulas untuk mempertahankan mereka. Oleh itu, kita perlu bersyukur dan banyak-banyak mengingati Nabi Muhammad SAW dan perjuangan Baginda dan para sahabatnya. Apa yang disebut sebagai ‘rahmat sekalian alam’ ialah:

  • Menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW
  • Menjaga hubungan dengan Allah dengan menunaikan ibadat dan meninggalkan larangan-Nya.

S: Seseorang yang mendapat hidayah pada hujung usianya, adakah akan diampunkan dosanya yang terdahulu kerana pendeknya waktu yang sempat untuk dimanfaatkan dengan ibadat kerana telah meninggal dunia?
J: Tersebut dalam kitab Tajul Arus oleh Ibnu Abaillah: Sesiapa yang kembali kepada Allah setelah lama lalai, maka hendaklah dia banyak beristighfar kepada Allah dan berselawat kepada Nabi SAW. Disuruh juga untuk banyak menangis kerana tangisan penyesalan akan dapat menghapuskan dosa. Orang ini juga perlu bertaubat kepada Allah, kerana Nabi SAW berkata bahawa orang yang bertaubat adalah seumpama orang yang tidak berdosa. Ada satu kisah, seorang lelaki yang hadir ke majlis atas tujuan tidak baik kepada ulama’ yang mengajar. Ulama’ itu bercerita bab taubat dan kata-katanya menyentuh hati lelaki itu. Ketika sesi soal-jawab, lelaki itu pun bertanya dengan menyandarkan kisah dirinya kepada seorang kawan dan bertanya jika dosa-dosa yang dilakukan akan diampunkan. Ulama’ pun menjawab yang Allah akan mengampunkan. Kemudian, ulama’ itu teringat kepada seorang lelaki yang terkenal dengan kejahatannya iaitu Ubatul Ghulam (kalau tak silap) dan berkata, “Jika seseorang itu jahat seperti Ubatul Ghulam pun Allah akan ampunkan”. Lelaki tadi menjadi sangat terkejut kerana lelaki yang dimaksukan ialah dirinya. Dia pun mengaku di hadapan guru itu, dan bertaubat kepada Allah. Setelah bertaubat, dia beribadat dan menjadi seorang auliya’. Lagi satu kisah yang masyur adalah kisah seorang yang mati dalam perjalanan untuk bertaubat setelah membunuh 100 orang. Akhirnya dia dimasukkan ke syurga kerana jaraknya menghampiri tempat untuk bertaubat itu lebih dekat.

S: Adakah hidayah hanya diperoleh oleh orang yang lemah imannya, dan orang yang kuat imannya tidak lagi mendapat hidayah kerana sudah cukup amalannya?
J: Sebagaimana luasnya rahmat Allah, begitu jugalah luasnya hidayah Allah. Hidayah tidak terhad kepada orang yang lemah atau kuat imannya. Semua orang  perlu berusaha untuk mendalami Islam agar mendekatkan diri kepada Allah. Ada kisah seorang sahabat yang bernama Mus’ab Ibnu Umair. Pada asalnya, dia merupakan seorang yang tidak beriman, kacak dan berharta. Setelah berjumpa Nabi SAW, dia beriman lalu dihalau sehelai sepingangg oleh ibu bapanya. Dia dihantar Nabi SAW ke Madinah untuk berdakwah. Ketika Nabi SAW menyampaikan ilmu, beberapa sahabat masuk dan apabila terlihat kepada Mus’ab, Nabi menangis mengenangkan nasibnya yang tidak sebaik sebelum dia memeluk Islam.

S: Apakah selawat yang terbaik?
J: Selawat ialah amalan yang baik – semuanya baik belaka. Yang paling baik ialah selawat yang mendatangkan rasa cinta kepada Nabi SAW. Oleh itu, boleh diamalkan mana-mana selawat, agar hati kita hadir ketika mengucapkannya. Selawat ialah bentuk pujian kepada Nabi SAW. Allah berselawat bermakna Allah menurunkan rahmat, manakala malaikat berselawat pula bermaksud malaikat memohon keampunan. Orang yang rajin selawat, In sha Allah akan diberi beberapa kelebihan oleh Allah. Antaranya:

  • Allah akan beri ketenangan pada hatinya
  • Allah akan kasih kepadanya
  • Allah akan mengampunkan dosanya
  • Orang yang rajin selawat akan disebut-sebut namanya oleh Allah.

S: Islam dibangunkan dengan susah-payah, tetapi hari ini, ramai antara kita yang mengabaikan hidayah ini. Apakah cara untuk mengekalkan hidayah?
J: Nabi SAW hidup dalam keadaan menderita demi menyampaikan Islam kepada kita umatnya. Diceritakan bahawa jika diberi hadiah kepada Nabi SAW, maka baginda akan menutup hadiah itu dgn kain, dan itulah almari Nabi SAW.  Rumah Nabi SAW kecil sahaja, sekadar muat baginya berehat dan beribadat. Oleh itu, kita perlu senantiasa menginngati kesusahan yang pernah dialami Nabi SAW. Sy. Aisyah sangat gembira apabila didoakan keampunan oleh Nabi SAW sedangkan doa yang serupa juga Nabi ucapkan buat seluruh muslimin, setiap kali selepas solat. Begitulah kasihnya Nabi SAW kepada kita dan tidak sepatutnya kita melupakan Nabi SAW, dan perjuangan baginda bersama para sahabat. Oleh itu, kita memperbanyakkan selawat agar rasa kasih dan cinta kepada baginda semakin bertambah. Amalkan juga sunnah Nabi SAW dan hadirilah majllis-majlis yang memuji kepada baginda Nabi SAW. Pada waktu yang sama, hendaklah kita berakhlak dengan akhlak yang ditunjukkan Nabi SAW.

S: Bagaimana  untuk mengekalkan hidayah yang diperolehi?
J: Perlu merapatkan hubungan kepada Allah SWT dan selalu berdoa agar diberi ketetapan dalam hati, dan dikekalkan hidayah yang diperolehi.


Amalkan doa ini agar Allah kekalkan hidayah di hati kita. Para ulama pun banyak menangis keranat sentiasa rasa takut kepada Allah Ta’ala.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab