Zikir (1) – Tanyalah Ustaz 07.01.2013


Ustaz Raihan Abdul Aziz


Bacaan ayat 103 surah An-Nisa’:

Ayat ini menganjurkan kita mengingati Allah SWT, dan sesuai dengan tajuk kita -berzikir. Sebelum itu, kita perlu memahami kepentingan zikir. Allah berfirman, “Maka, jika kamu ingat aku, maka aku akan kepada kamu” dan “Bersyukurlah pada Allah Ta’ala, jangan kamu kufur”. Berzikir pada Allah tidak perlu secara ‘formal’. Apabila kita melihat keindahan alam sekeliling – melihat awan, matahari, ucapkanlah ‘Subhanallah’. Ingatlah Allah banyak-banyak.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah berzikir itu kita menyebut nama Allah SWT sahaja?
J: Dalam Al-Quran, kalimat zikir digunakan dengan berbagai-bagai perkataan. Menurut Syeikh Ibnu Hajar Al-Asqolani, dalam membincangkan beberapa hadis, Nabi SAW bersabda, “Kalau kamu melintasi taman-taman syurga, hendaklah kamu mengambil keseronokan-keseronokan”. Sahabat pun bertanya apakah itu taman syurga. Nabi SAW pun menjawab, “Itulah majlis yang mengingati Allah”. Imam Asqolani menyebutkan bahawa majlis zikir ialah majlis yang mengandungi bacaan ayat Al-Quran, zikir daripada hadis-hadis Nabi SAW, doa kebaikan untuk dunia dan akhirat. Tetapi sebilangan ulama lain seperti Syeikh Abdul Rahman Al-Mubarak Furi berkata bahawa Imam Al-‘Aini menyatakan dalam kitabnya Al-Umdah, bahawa ada malaikat yang ditugaskan untuk mencari orang yang berzikir kepada Allah. Termasuk dalam golongan ini ialah orang yang solat fardhu atau sunat, membaca Quran, berzikir, mendengar majlis ilmu, muzakarah dengan alim ulama dan majlis yang seumpamanya. Oleh itu, berzikir itu tidak  terhad hanya dengan menyebut nama Allah.

S: Apa maksud firman Allah, “Kalau kamu ingat aku, maka aku ingat kamu”?
J: Kita disuruh agar banyak mengingati Allah. Seumpama orang bercinta yang selalu teringat-ingat pada kekasihnya sehingga mandi tak basah, makan tak kenyang dan sebagainya. Begitulah jika hati kita kasih dan cintakan Allah, maka kita akan selalu mengingati dengan menyebut-nyebut nama Allah (berzikir). Siapa lagi yang kita ada selain Allah? Sebelum meminta tolong, kita perlu berbaik-baik dengan Allah iaitu dengan memperbanyakkan pujian dan zikir kepada-Nya. Lazimkan menyebut ayat-ayat seperti “Alhamdulillah” ketika bersyukur, “Innalillah” ketika melihat atau menerima musibah, “In sha Allah” ketika merancang, dan sebagainya.

S: Boleh ustaz terangkan – adakah ganjaran yang besar untuk amalan yang sedikit?
J: Antaranya ialah:
  • Keringanan solat jamak dan qasar yang diberi kepada musafir. Walaupun solat itu pendek, ganjarannya sama seperti solat biasa
  • Mengajak orang berbuat kebaikan. Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia juga akan memperolehi pahala kebaikan yang dilakukan orang tersebut”. Oleh sebab itu, sebar-sebarkan berita tentang majlis ilmu, ceramah-ceramah di masjid dan sebagainya. Orang yang diajak itu dapat pahala, dan kita juga dapat pahala. Tapi selepas ajak orang, jangan pula kita tak pergi. Boleh juga guna FB untuk sebarkan dakwah. Jangan asyik ambil gambar makanan sahaja.
  • Seorang sahabat yang miskin dari golongan Muhajirin yang miskin datang mengadu pada Nabi SAW, dan meminta diajarkan amalan untuk menandingi ibadat orang lain yang kaya. Lalu, Nabi SAW mengajar agar mereka berzikir selepas solat -> bertasbih – Subhanallah 33x, bertahmid – Alhamdulillah 33x, dan bertakbir – Allahu Akbar 33x dan dicukupkan dengan bacaan:

Mereka yang miskin pun mengamalkan sehingga diketahui oleh orang kaya. Orang yang kaya menirunya, dan Nabi SAW mengatakan bahawa itu ialah kurniaan Allah kepada mereka.


S: Adakah memadai seeorang itu berzikir dengan lidah saja?
J: Imam Al-Ghazali berkata ada 4 bentuk zikir:
  1. Zikir dengan lisan saja
  2. Zikir dengan hati, yang perlu dipaksa lidah berzikir sama
  3. Zikir dengan hati yang lidah tak perlu dipaksa berzikir sama
  4. Menguasai zikir dalam hati dan memberi tumpuan pada zikirnya.

Oleh zikir terbaik ialah di hati dan di lidah. Zikir yang dilidah saja - faedah dan kesannya sedikit, tidak begitu kuat untuk melawan nafsunya, namun lebih baik daripada tidak berzikir langsung. Kita ingin mengejar kesan zikir iaitu mendapat hati yang kuat. Syeikh Ibnu Hajar Al-Asqohani pula berkata ada kalanya zikir dilidah sahaja tidak diterima Allah. Contohnya, orang yang bertasbih dalam majlis tahlil tetapi hatinya sibuk memikirkan jamuan yang akan diberikan. Ada orang bertanya – kenapa zikir mesti dilakukan selepas solat. Tak bolehkah jika dilakukan ketika naik motor. Boleh, cuma jangan sampai hilang tumpuan pada zikir kerana mata melihat terlalu banyak 'gangguan' di jalanan.

S: Bolehkah berzikir beramai-ramai seperti dalam masjid, surai atau kenduri?
J: Dalam sepotong hadis, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa malaikat datang berduyun-duyun untuk memayungi orang-orang yang menyebut-nyebut nama Allah. Baginda SAW juga bersabda, “Tidak duduk satu kaum menyebut-nyebut nama Allah (termasuk bertadarus, baca Quran, ceramah, berzikir beramai-ramai), melainkan datang bersama mereka malaikat-malaikat untuk membawa rahmat. Maka turun atas mereka sakinah, dan Allah menyebut-nyebut mereka di sisi Allah dan malaikat. Oleh sebab itu, buatlah kenduri agar malaikat membawa rahmat ke rumah kita. Namun, perlu diingat bahawa malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah yang ada poster-poster k-pop/patung di dalamnya. Oleh itu, bagus sebenarnya untuk kita duduk berzikir beramai-ramai. Sahabat juga suka duduk ramai-ramai dan saling nasihat-menasihati dengan membacakan surah Al-Asr. Oleh sebab itulah, kita juga menutup majlis dengan bacaan surah ini.

S: Kenapa perlu berzikir?
J: Berzikir ialah apa yang diajar di dalam Al-Quran dan oleh Nabi SAW. Zaman dahulukala, ibu-ibu mendodoikan anak dengan alunan zikir, namun hari ini ramai yang menggantikannya dengan lagu-lagu pula. Selain itu, zikir juga perlu untuk menguatkan jiwa dan membersihkan hati kita. Zikir akan dapat menenangkan dan menguatkan jiwa. Hari ini manusia banyak mengisi hatinya dengan perkara lara’. Hati ini akan lebih tenteram, teguh dan tidak terpengaruh dengan ajaran sesat. Nabi SAW bersabda, "Tiadalah satu amalan yang dikerjakan anak Adam yang boleh menyelamatkan dia daripada azab Allah selain daripada berzikir dan mengingati Allah". Dalam satu Hadis Qudsi, Nabi SAW bersabda, "Allah berfirman - Aku diatas sangkaan hamba-Ku". Jika hamba ingat Allah, maka Allah akan ingat akan hamba-Nya.

S: Apakah kelebihan berzikir berbanding amalan lain?
J: Amalan paling besar dan utama ialah solat. Saya tertarik dengan tulisan Syeikh Habib Imam Al-Haddad dalam kitabnya “Nasihat Agama dan Wasiat Iman”:
  • Orang yang berzikir itu tiada had waktu tertentu. Tiada waktu larangannya dan boleh dibuat bila-bila masa saja.
  • Tiada syarat-syarat tertentu seperti wudhuk
  • Mudah dilakukan – tiada rukun tertentu


S: Bolehkah ustaz terangkan adab berzikir?
J: Adab ialah perkara yang mencantikkan ibadat. Antaranya:
  • Sebut zikir dengan sempurna (perlahan-lahan dan betul lafaznya)
  • Lakukan dengan ikhlas zahir dan batin
  • Bersuci terlebih dahulu
  • Kusyuk, menundukkan pandangan
  • Menhadap kearah kiblat.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab