"Ya Mu'adz, Inni Uhibbuka.." - Perbahasan hadis Bab Berharap Pada Allah, Kitab Riyadus Solihin m/s 236


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta’lim Darul Murtadza 28.12.2012



15. Dari Mu’adz bin Jabal ra berkata: “Saya menemani Nabi SAW di atas keldai. Kemudian baginda bertanya: “Wahai Mu’adz, tahukah kamu apakah hak Allah atas hamba-hambanya dan apakah hak hamba atas Allah?” Saya menjawab “Allah dan Rasul lebih mengetahui”. Baginda bersabda, “Sesungguhnya hak Allah atas hambaNya iaitu mereka menyembahNya dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Dan hak hamba atas Allah iaitu Ia tidak menyiksa orang yang tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Kemudian saya bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah saya menyampaikan berita gembira ini kepada orang banyak?”. Baginda SAW menjawab, “Janganlah kamu sampaikan berita gembira ini kepada mereka, kerana mereka menyerah bulat-bulat tanpa beramal”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mu’adz bin Jabal digelar oleh Nabi SAW sebagai orang paling alim dalam hal halal dan haram (feqah dan syariah). Beliau diberi keistimewaan dengan kecintaan secara khusus oleh Nabi SAW, dan baginda Nabi SAW memberikannya satu amalan khusus untuk dilakukan setiap hari iaitu setiap kali selepas solat. Amalan itu disampaikan dengan cara yang istimewa sehingga menjadi istilah khusus dalam ilmu pengajian hadis. Dalam hadis itu, Nabi SAW berkata kepada Mu’adz, “Ya Mu’adz, inni uhiibuka, ….” Yang bermaksud, “Wahai Mua’dz, saya ini cintakan kamu, dan katakanlah setiap kali selepas solat “Ya Allah bantulah aku mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu”.

اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ 
Setiap perawi yang menyampaikan hadis ini  perlu menyampaikan dengan cara yang sama iaitu dengan memulakan dengan “Inni uhibbuka…”

Beliau diutus oleh Rasulullah SAW untuk mengumpul harta zakat di Yaman, dan berulang kali di beri tugasan yang sama sehingga zaman pemerintahan Sy. Umar ra. Pada zaman Sy. Umar ra, beliau membawa sebahagian besar harta zakat di Yaman dan menyerahkan kepada Sy. Umar kerana ekonomi setiap orang di sana bertambah baik sehingga tiada orang yang layak untuk menerima zakat.

Dalam hadis ini Nabi SAW berpesan kepada Mu’adz bahawa mereka yang beriman dengan Allah dan menerima Nabi sebagai rasul-Nya, akan masuk syurga. Mu’adz ingin menyebarkan hadis ini tetapi dilarang Nabi SAW kerana baginda tidak mahu umatnya berserah bulat-bulat tanpa beramal. Kenapa Mu’adz masih menyampaikan hadis ini walaupun Nabi SAW melarangnya? Ini kerana Mua’dz tidak mahu menyembunyikan ilmu Nabi SAW, kerana orang yang menyembunyikan ilmu yang wajib disebarkan, kelak akan diletak besi daripada neraka pada mulutnya. Mu’az sendiri menyampaikan hadis ketika hujung umurnya kerana risau beliau akan meninggal.

Sesi ini dipendekkan untuk memberi laluan kepada tausiyah istimewa oleh Habib Kadim Jaafar As-Saggof.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab