Mengurus Tekanan (2) – Tanyalah Ustaz 10.01.2013


Ustaz Dr. Sukki Othman


Bacaan ayat 15-16, surah Al-Fajr:

Ada orang yang apabila mendapat ujian kesenangan, merasa dirinya hebat dan takabbur, dan tidah bersyukur pada Allah. Tetapi apabila diuji dengan kepayahan pula, dia akan merungut dan menyalahkan Allah. Inilah perangai orang yang tidak beriman. Orang yang beriman akan tetap bersyukur, tak kita semasa diuji dengan kesenangan atau kesusahan.

Peluang mengingati Allah juga merupakan satu bentuk nikmat. Apabila tidak mengingati Allah, kita akan mudah melakukan kemungkaran. Oleh sebab itu, Allah ada berfirman yang bermaksud, “Ingatlah Allah banyak-banyak dan kamu akan berjaya”. Ingatlah pada Allah dengan memulakan setiap perkara dengan mengucapkan ‘Basmallah’. Dengan mengingati Allah, kita akan mendapat sesuatu yang tiada wang di dunia boleh membelinya iaitu ketenangan dan ketenteraman.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana untuk terus bersyukur semasa menghadapi tekanan?
J: Dalam menghadapi ujian, kita perlu ingat bahawa ujian itu ialah tanda kasih-sayang Allah kepada kita. Allah tidak melihat zahir kita, sebaliknya Allah melihat hati kita. Contohnya - Allah uji kita dengan kesakitan, katakan kaki bengkak/pening sangat-sangat. Cuba bandingkan dengan nikmat yang Allah beri – nikmat melihat, mendengar, anggota lain masih berfungsi dengan baik dan sebenarnya terlalu banyak nikmat yang Allah beri sehingga tat terhitungkan. Mohon bantuan Allah untuk bersyukur dengan membanyakkan doa seperti Nabi SAW ajar kepada Mu’adz bin Jabal:


S: Yang mana lebih susah – sabar atau syukur?
J: Menurut perbincangan ulama, ada disebutkan bahawa syukur itu lebih susah berbanding sabar. Orang yang sabar biasanya bertahan kerana dia tidak mempunyai pilihan lain. Contohnya, seseorang yang kesusahan lebih mudah bersabar dengan ketiadaan harta pada dirinya. Tetapi jika  seseorang mempunyai harta, adalah lebih sukar untuk dia menggunakan harta itu kepada jalan Allah. Kedua-dua sifat ini  (sabar dan syukur) penting untuk disemai dan diamalkan demi kejayaan dunia dan akhirat.

S: Bagaimana untuk menghadapi perasaan sedih yang melampau?
J: Sedih ini merupakan lumrah hidup. Cuma jika ianya berlebihan, ianya boleh memudaratkan. Perasaan ini seperti luka, jika lukanya kecil, boleh sembuh segera jika cepat-cepat diubati. Sebaliknya, jika dibiarkan, akan menjadi semakin besar dan merebak. Oleh itu, Allah SWT berkata, “Jangan kamu rasa sedih atau hina kerana kamu berada di kedudukan yang tinggi di sisi Allah jika kamu beriman”. Sedih pun ada 2 jenis – yang bagus dan yang tak bagus. Sedih yang bagus ialah apabila menangis kerana terlalu gembira dan bersyukur dengan nikmat Allah, ataupun kerana bertaubat kepada Allah Ta’ala. Sebagai rujukan menghadapi kesedihan, boleh rujuk kepada buku oleh Dr. Aid Al- Qarni yang berjudul ‘La Tahzan”.

S: Apa pandangan ustaz tentang golongan Syiah yang sedih keterlaluan dengan dengan kematian Sy. Husin?
J: Nabi SAW melarang perbuatan ini kerana ianya seolah-olah menolak ketentuan Allah SWT. Kita perlu redha dan bersabar atau ujian/ketentuan yang Allah berikan.

S: Bagaimana mengatasi perasaan putus asa dalam menghadapi tekanan?
J: Orang yang putus asa tidak betul-betul beriman kepada Allah. Segala yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah juga. Dalam menghadapi tekanan, kita perlu sentiasa ingat yang Rahmat Allah itu sangat luas. Jangan sampai putus harap pada Allah sehingga berani melakukan maksiat kepada Allah. Ada kalanya Allah akan uji sesorang dengan harta/kekayaan walaupun orang itu mengingkari perintah Allah. Orang itu akan senang di dunia, tetapi nasibnya belum tentu lagi diakhirat.

S: Ada tak cara mengatasi tekanan kesempitan rezeki?
J: Al-Quran dan sunnah Nabi SAW ada memberi panduan, walau apa sekalipun masalahnya. Dalam ayat 100 dinar, Allah berfirman:

  • Allah sebut tentang orang bertaqwa – siapa orang bertaqwa? Orang yang mematuhi perintah Allah semama senang ataupun susah. Orang yang begini akan diberi bantuan dan pertolongan yang tak disangka-sangka. Rezeki tidak boleh kita sempitkan kepada bentuk wang ringgit sahaja, tetapi kesihatan, ketenagan, masa yang lapang untuk menuntut ilmu dan sebagainya juga merupakan rezeki daripada Allah Ta’ala
  • Banyakkan beristighfar
  • Banyakkan bersedekah – Pernah berlaku satu kisah, seorang yang sakit selama beberapa tahun tidak sembuh-sembuh walapun telah banyak kali berubat. Lalu dia dinasihatkan untuk bersedekah. Setelah setahun, bi iznillah, penyakitnya sembuh.

S: Bagaimana untuk bertaubat atas kegagalan menghadapi tekanan dengan baik?
J: Pertama – cuba perhatikan – adakah semua ujian itu membawa kesan negatif? Pastinya tidak. Ujian itu adakalanya untuk meninggikan darjat dan keimanan seseorang, contohnya golongan Anbiya’. Ada kalanya, ujian itu sebagai satu peringatan untuk kembali kepada Allah. Taubat tidak semestinya dilakukan apabila kita melakukan dosa sahaja, sebaliknya Nabi SAW yang maksum, beristghfar sebanyak 70/100 kali sehari. Ujian yang diberi bertujuan mendekatkan diri kita kepada Allah. Setiap Muslim perlu sentiasa bertaubat kepada Allah Ta’ala.

S: Apakah tip untuk menenangkan jiwa?
J: Segalanya berpunca daripada hati. Jika hati tenang, kita akan lebih mudah menghadapi apa juga ujian. Hati yang tenang akan diperolehi dengan memperingati Allah selalu, contohnya dengan berzikir. Allah juga menyuruh manusia agar berdoa kepada Allah dan Allah akan makbulkan.  Oleh itu, lakukan 2 perkara – zikir dan doa. Zikir yang ringan di lidah, tetapi berat di Mizan ialah:


Kedua, amallkan doa yang diberi daripada hadis Nabi SAW:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (HR Abu Dawud)

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab