Hiburkan hatimu dengan Al-Quran - Majlis Ta’lim Darul Murtadza 28.12.2012


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Tafsir Quran - Ayat 1-4, surah ‘Ali Imran


Minggu lepas telah dibincangkan topik berikut: –
  • Kesinambungan surah Al-Baqarah dengan surah Ali Imran
  • Kenapa dinamakan surah Ali Imran
  • Siapakah Ali Imran dan kisahnya
  • Sebab turunnya surah Ali Imran

Perbahasan ayat pertama:

Selain dariapada surah Ali Imran, ayat serupa juga terdapat dalam surah Al-Baqarah, Al-Ankabut, Ar-Rum, As-Sajadah, dan Luqman. Semua ayat ini dinamakan huruf yang terputus-putus. Ertinya hanya Allah yang mengetahui.

Ayat ini merupakan potongan beberapa huruf hijaiyyah yang hanya Allah Taala tahu maknanya.
Dalam pengajian Al-Quran, terdapat makna yang hanya diketahui oleh Allah sahaja, atau ulama sahaja atau diketahui oleh semua orang awam. Ayat yang difahami oleh orang awam ialah ayat yang jelas maknanya. Ada ayat yang mempunyai makna yang tersirat dan hanya orang mempunyai ilmu luas (ulama) dapat memahaminya. Contohnya, dalam firman Allah:

“Allah itu cahaya kepada langit dan bumi”.
“Allah berada di atas arasyNya”
“Tangan Allah berada di atas tangan mereka”
“Sabarlah kamu, sesungguhnya kamu berada di hadapan mata-Ku”

Bentuk ayat sebegini hanya difahami oleh golongan ulama, yang menggunakan akal dan fikiran mereka untuk mentafsirnya sesuai dengan keagungan Allah SWT. Jika dibiarkan ditafsir oleh orang awam, mereka akan memahami yang Allah juga mempunyai mata, tangan dan anggota seperti manusia.

Untuk ayat-ayat berbentuk di atas, ramai ahli tafsir mengatakan hanya Allah yang mengetahui maknanya. Mengapa Allah turunkan ayat yang hanya Allah ketahui maknanya? Agar sesuai dengan firman Allah bahawa ilmu Al-Quran ini tiada penghujungnya, walaupun semua ulama cuba menggabungkan ilmu mereka, namun tetap akan terdapat rahsia Al-Quran yang tidak akan terungkapkan.

Perbahasan ayat kedua:

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

Allah bersifat ‘Al-Hayy’ dan ‘Al-Qayyum’. ‘Al-Hayy’ bermaksud Yang Maha Hidup. ‘Al-Qayyum’ pula bermaksud Yang Maha Berdiri sendiri dan bergantung kepada-Nya segala makhluk. Kehidupan makhluk (manusia, tumbuhan, haiwan dan semuanya) memerlukan kepada Yang Menghidupkan. Tetapi Allah iaitu Yang Maha Hidup  tidak memerlukan kepada yang menghidupkannya. Manusia tidak mencipta kehidupan melalui perkahwinan, atau melalui benih tanaman yang ditanamnya. 

Contohnya, ,manusia cuma meletakkan benih sahaja, dan Allah yang mengizinkan proses benih dan tanah bercampur sehingga menumbuhkan pokok. Manusia tidak mencampur benih itu dengan tangannya tetapi Allah yang menumbuhkannya.

Allah berfirman dalam surah Al-Waqiah, ayat 63-64, 69:


Ini adalah sedikit daripada contoh yang segala sesuatu diberi kehidupan oleh Allah. Begitu juga dengan kejadian janin dalam perut ibu yang berubah daripada air seni kepada segumpal darah, kepada seketul daging, dan kemudian dan seterusnya sehingga membentuk bayi. Semua prosses ini dikawal oleh Allah, dan manusia tidak akan dapat hidup dengan sendirinya. Kehidupan Allah Yang Maha Hidup adalah tidak sama dengan manusia.

Al-Qayyum – Yang Maha Berdiri sendiri dan dengan-Nya segala sesuatu berdiri

Ini menunjukkan segalanya bergantung dengan Allah untuk bergerak. Contohnya, planet-planet semuanya kelihatan bergantung – siapa yang mengawalnya? Allah yang menggantungkannya. Dalam Al-Quran, Allah menceritakan bahawa semua makhluk bergantung, dan bergerak dengan izin Allah.
Dalam surah Al-An’am, ayat 59, Allah berfirman:

Dalam ayat ini, Allah nyatakan bahawa jika sehelai daun jatuh sekalipun, Allah akan mengetahuinya. Hatta, pengetahuan Allah mendahului jatuhnya daun itu, dan sudah diizinkan Allah untuk daun itu jatuh. Dalam surah Al-Mulk, ayat 19:

Allah menyatakan bahawa Allah yang menjaga burung itu ketika ianya terbang. Bagaimana pula dengan kapal terbang? Memang ilmu saintis dapat menjelaskan fakta tentang kebolehan sesuatu jentera untuk terbang, tetapi siapa yang menjadikan graviti? Siapa yang memberi sifat graviti itu agar boleh dilawan dan membolehkan burung/kapal terbang tidak jatuh? Allah yang mencipta segala-galanya. Kerdipan mata seseorang, degupan jantung seseorang, darah yang mengalir dan segalanya – semuanya bergerak hanya dengan izin Allah SWT.

Bilamana semua sesuatu bersandar kepada Allah, maka Allah berkuasa berbuat apa saja kepadanya. Contohnya api yang bersifat membakar, Allah mampu untuk menukar sifatnya kepada tidak membakar.  Oleh itu, Nabi Ibrahim yang dimasukkan berminggu-minggu ke dalam api tidak terbakar oleh api itu.
Laut yang bersifat menenggelamkan juga boleh berubah kepada sifat tidak menenggelamkan. Ini berlaku ketika para sahabat yang diarah berperang oleh Nabi SAW terpaksa melalui sebuah lautan. Mereka tak mempunyai perahu, lalu berdoa memohon bantuan Allah, demi menjalankan perintah Nabi SAW. Setelah berdoa, mereka pun melalui lautan dan didapati hentakan kuda-kuda mereka seolah-olah berpijak pada benda yang keras, bahkan kaki kuda mereka juga tak basah pun. Abu Hurairah menceritan yang ada barang yang tertinggal, tetapi tidak tenggelam atau basah, dan berjaya diambil semula walaupun semua tentera yang lain telah selesai menyeberangi lautan tersebut. Tiada yang mustahil untuk Allah.

Begitu juga kisah Nabi Musa yang dibelah laut kepadanya untuk membolehkan baginda dan kaumnya melalui dengan selamat. Mereka berjalan di atas tanah tetapi sahabat Nabi SAW tadi berjalan di atas air.
Semua orang beriman perlu tahu bahawa semuanya bergantung kepada Allah. Oleh itu, tidak boleh seseorang itu bergantung kepada akalnya, kekuatannya, kekuasaanya, atau hartanya. Allah yang beri semuanya itu dan Allah boleh mengambilnya bila-bila masa saja.

Perbahasan ayat 3:

Al-Kitab bermaksud yang merangkumi semua kitab-kitab sebelumnya dan merujuk kepada Al-Quran. Dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan  2 kata kerja berbeza - satu untuk ‘menurunkan’ Al-Quran, satu untuk ‘menurunkan’  Taurat dan Injil, demi menunjukkan mukjizat AL-Quran pada lafaznya (dan bukan sekadar pada maknanya):

Ketika memperkatakan tentang Al-Quran, Allah menggunakan perkataan:

yang bermaksud turun berkali-kali.

Ketika memperkatakan tentang Taurat dan Injil, Allah menggunakan perkataan:

yang bermaksud diturunkan sekali.

Daripada dua kata kerja ini dapat difahami bahawa Al-Quran diturunkan ayat demi ayat atau surah demi surah selama 23 tahun, mengikut peristiwa yang berlaku. Apa hikmahnya? Al-Quran diturunkan untuk mengubati pelbagai penyakit masyarakat, terutamanya penyakit hati, aqidah, akhlak, hasad dengki, fitnah dan juga untuk menghiburkan hati yang sedih.

Nabi SAW banyak menghiburkan hatinya dengan membaca Al-Quran. Ketika Nabi SAW bersedih kerana diganggu oleh kaumnya, maka Allah pun menurunkan ayat untuk menghiburkannya dengan firman-Nya “Jangan perkataan mereka membuatkan kamu sedih..”

Nabi Musa as ketika ditanya Allah, “Wahai Musa, apa yang ada ditanganmu?” Jawabnya, “Ya Allah, ditangan saya tongkat saya. Saya bersandar dengan tongkat ini. Saya menghalau kambing dengan tongkat ini. Saya mempunyai keperluan lain kepada tongkat ini”.

Kenapa Nabi Musa jawab panjang berjela sedangkan Allah cuma tanya apa ada ditangannya itu? Sepatutnya cukup jika dijawab dengan 1 ayat saja iaitu ‘tongkat’. Sebab yang sebenar ialah Nabi Musa gembira apabila diajak berbicara dengan Allah SWT. Oleh sebab itu baginda sengaja memanjangkan munajatnya bersama Allah.

Oleh itu, Al-Quran juga diturunkan banyak kali agar menjadi munajat yang begitu manis dan sebagai hiburan kepada Nabi Muhammad SAW. Ketika Nabi SAW disakiti, Allah akan menurunkan ayat-ayat tertentu untuk menghiburkan hati Nabi SAW. Selain pengubat kepada masyarakat, turunnya Al-Quran itu berkali-kali adalah sebagai ta’zim Allah kepada Nabi SAW.

Perbahasan ayat ke-4:

Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi uma manusia dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah).
Ada hidayah pada Taurat dan Injil, kerana kitab itu juga berasal daripada Allah, untuk orang Yahudi dan Kristian. Tetapi oleh kerana setiap Nabi mempunyai batasan waktu tertentu, sehinggalah perutusan mereka diakhiri dengan Nabi SAW. Subhanallah, dalam ayat sebelumnya, Allah merujuk kepada Al-Quran dengan nama “Al-Kitab”, sekarang di dalam ayat ini, Allah menamakannya “Al-Furqan” pula.

Al-Kitab tadi bermaksud gabungan kitab-kitab terdahulu. Al-Furqan pula bermaksud pemisah antara yang hak dan yang batil. Allah tahu yang Al-Quran akan dicabar  dengan hebatnya oleh orang ramai. Oleh itu, hanya orang yang berpegang padanya akan dapat membezakan yang hak dan batil.

Sesunguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
Allah berkuasa membalas kepada yang mungkar. 

Akan bersambung minggu selanjutnya. In sha Allah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab