Kenapa Solat Sunat (1) – Tanyalah Ustaz 18.01.2013
Ustaz Dr. Muhammad Lukman Ibrahim
Bacaan ayat 20, surah Al-Muzammil:
Ayat ini menceritakan kesungguhan Nabi SAW solat tahajjud
iaitu selama 2/3 atau 1/3 malam. Oleh itu, jumlah solat sunat Nabi SAW adalah
antara 3-6 jam. Sebab itu ada disebut dalam hadis bahawa kaki Nabi SAW
bengkak/berdarah kerana terlalu lama berdiri di dalam solat.
Solat sunat juga dinamakan nafilah, mustahabah, tatawwuk dan
banyak juga nama yang lain. Perkataan an-nafl bermaksud tambahan -> oleh itu
nafilah bermaksud solat yang ditambah. Perkataan tatawwuk pula bermaksud
dilakukan secara sukarela dan amatlah dicintai Allah SWT.
Dalam hadis sohih, “Nabi SAW bersabda dalam hadis Qudsi,
Allah berfirman, “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka aku isytiharkan perang
kepadanya. Dan tiadalah satu perkara yang seorang hamba mendekatkan diri
kepada-Ku, yang amat Aku sukai lebih daripada perkara yang fardhu, itulah
perkara yang sunat. Sentiasalah hamba-Ku ini berterusan melakukan
perkara-perkara sunat sehingga aku mengasihinya”.
Orang yang sentiasa melakukan perkara sunat, maka dia akan
dicintai (disayangi, disukai) Allah SWT. Kenapa perlu buat perkara sunat, tidak
cukupkan dengan ibadah yang fardhu? Kita perlu merendah diri dalam hal ini.
Perkara wajib itu hanya mencukupkan syarat kita sebagai orang Islam, tetapi
belum cukup untuk menyempurnakan kasih dan sayang Allah Ta’ala.
Sambungan hadis qudsi:
“Apabila aku mengasihi seseorang hamba, maka pendengarannya
akan menjadi Pendengaran-Ku (yakni mengikut apa yang Aku suka), penglihatannya
akan menjadi Penglihatan-Ku (mengikut apa yang Aku suka), dan ...”.
Hadis ini bermaksud, apabila Allah menyukai seseorang hamba,
maka Allah akan memberi petunjuk
kepadanya dalam segala hal. Dengan itu, jika dia ingin makan, maka dia akan
makan seperti apa yang Allah kehendaki, jika dia melihat sesuatu, maka dia akan
melihat apa yang Allah inginkan dan seterusnya dala semua hal. Rupa-rupanya
inilah kepentingan perbuatan sunat. Ianya akan membuatkan seseorang itu diberi
kekuatan dan hidayah untuk mentaati perintah Allah. Oleh itu, rugilah jika
seseorang itu merasakan solat sunat tidak penting.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud bahawa solat merupakan
perkata pertama yang akan dihisab Allah Ta’ala di akhirat nanti. Kalau solat
baik, dia akan berjaya dan lepas daripada azab Allah.
Jika ada kekurangan dalam solat, Allah akan meminta dilihat
dalam solat sunat yang dilakukan. Oleh itu, jika ada, maka bolehlah menampung
kekurang yang ada dalam solat. Sama juga dengan ibadat puasa – puasa sunat akan
menampung kekurangan yang berlaku pada puasa wajib.
Oleh itu, amat penting bagi kita menjaga solat fardhu. Waktu
yang paling kritikal di KL ini ialah pada waktu Maghrib kerana kesesakan jalan
raya. Oleh itu, ikhtiarkan untuk berhenti solat terlebih dahulu sebelum
meneruskan perjalanan.
Banyak persoalan tentang solat qadha dan ada 2 keadaan ianya boleh berlaku:
1. Sengaja meninggalkan solat kerana malas, Dalam hal ini, ada 2 pandangan iaitu:
Pertama - Tak perlu qada’ kerana solat itu ada waktu yang tertentu
Kedua - Pendapat jumhur ulama (dan ustaz bersetuju) ialah wajib mengqada’ solat yang
ditinggalkan.
2. Tertingal kerana tak sengaja, contoh kerana tertidur. Dalam hal ini, solat perlu ditunaikan terus ketika sedar, tidak kira jika waktu sudah habis.
Solat qada’ perlu disegerakan, kerana kita tak tahu bila
kita akan meninggal.
Solat sunat terbahagi kepada 2:
Solat sunat Muakkad – Solat sunat yang diberikan penekanan
di dalam hadis Nabi SAW. Sebahagian ulama kata ada 10 atau 12 rakaat iaitu:
- 2 rakaat sebelum subuh
- 2 rakaat sebelum dan selepas Zohor (atau 4 sebelum dan selepas Zohor)
- 2 selepas Maghrib
- 2 selespas Isyak
Dalam buku (Solat Sunat oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri) ada
disebut hadis yang meriwayatkan, “Barangsiapa yang solat 12 rakaat solat sunat
sehari, Allah akan membina sebuah rumah untuknya di syurga”.
Inilah kelebihan solat sunat. Solat sunat 2 rakaat sebelum subuh adalah lebih baik daripada
dunia dan isinya. Begitu besar ganjaran yang Allah ingin berikan kepada kita. Oleh
itu, mari kita renungkan dan sama-sama lakukan solat sunat. Kehidupan kita di akhirat
memerlukan bekalan, dan inilah bentuk-bentuk bekalan yang kita perlu bawa
bersama.
Seterusnya akan bersambung esok dan lusa, in sha Allah.
Kesimpulan:
Sebagai renungan, jika kita ada solat yang pernah
ditinggalkan, maka perlulah di qada’kan solat-solat tersebut.
Senarai solat dan
jawapan:
S: Adakah perbuatan solat sunat boleh menampung solat wajib?
J: Ada 2 keadaan:
Solat sunat dilakukan setelah menyempurnakan solat wajib,
maka akan ada banyak kelebihannya.
Solat sunat dilakukan dalam keadaan banyak solat wajib yang
masih tertinggal. Dalam hal ini, ulama amat-amat menekankan agar meninggalkan
solat sunat dan mendahulukan mengqada solat yang wajib dahulu.
S: Solat sunat muakkad adalah solat yang digalakkan dilakukan. Adakah
berkurangan pahala solat fardhu jika tidak dilakukan solat sunat muakkad?
J: Solat fardhu mesti dilakukan, dan jika dilakukan maka
akan terlepaslah tanggungjawab kita. Namun, solat yang dilakukan itu belum
tentu sempurna, dan pasti ada cacat dan celanya. Oleh sebab itulah adanya solat
sunat, dengan tujuan menampung kekurangan yang berlaku dalam solad fardhu. In
sha Allah akan dibincang lebih lanjut dalam 2 hari akan datang.
S: Solat sunat tanpa sebab tak boleh dilakukan pada waktu diharamkan
solat. Mohon pencerahan ustaz?
J: Solat sunat terbahagi kepada 4 jenis:
Solat sunat berserta sebab contohnya kerana gerhana bulan
Solat sunat
yang sebabnya berlaku selepas itu seperti solat sunat hajat
Solat sunat yang sebabnya telah berlaku – seperti solat
sunat tahiyyatul masjid. Solat ini masih boleh dilakukan walaupun pada
mana-mana waktu tanpa sekatan. Ada
2 pandangan tentang waktu haram dan akan dibincangkan lanjut pada masa akan
datang.
S: Kerana kekurangan ilmu pada masa lampau, mungkin solat pada waktu
itu tidak sempurna. Jadi bagaimana untuk memperbaikinya? Adakah dengan
mengqada’ atau melakukan solat sunat?
J: Betul, wanita biasanya akhil baligh pada usia yang muda,
contohnya pada umur 9 tahun. Pada waktu itu, besar kemungkinan solatnya masih
tidak sempurna. Oleh itu, seseorang itu perlu mengira dahulu berapa tahun
agaknya solat yang ditinggalkan dan dirasakan tidak sempurna itu, dan mula mengqada’nya.
DAlam hal ini, ramai ulama cenderung mengatakan untuk meninggalkan solat sunat
dan mengqada’ solat terlebih dahulu. Dalam mengada’ solat, bolehkah seseorang
itu buat solat sunat juga? Ada 2 pandangan:
Menurut Imam Ad-Dusuki – Jika seseorang tinggal solat yang
banyak, maka dia perlu mengganti 10 waktu dalam masa sehari. Orang yang qada’
dalam keadaan ini dibolehkan untuk buat solat sunat juga. Pendapat kedua
mengatakan tidak boleh buat solat sunat selagi belum selesai solat qada, bahkan
pahala solat qada’ itu lebih tinggi berbanding pahala solat sunat. In sha
Allah. Oleh itu, usahakan mengqada’ solat sehingga berat rasa hati yang solat
sudah selesai.
S: Solat qadha dilakukan 2 atau 4 rakaat?
J: Bergantung kepada solat yang perlu diqadha. Jika subuh 2,
jika zohor 4 dan seterusnya.
S: Bilakah waktu solat sunat dhuha dan bagaimana doanya?
J: Untuk solat dhuah, jumlah rakaat ialah antara 2-12
rakaat. Doanya bebas dan tiada yang khusus, cuma ada doa yang selalu dimainkan
di radio IKIM seperti di bawah:
S: Bolehkah dibuat upah haji pada orang mati yang ketika hidupnya tak
memberatkan soal ibadah?
J: Ada 2 pandangan ulama’ tentang solat yang ditinggalkan –
yang pertama mengatakan urusan itu telah selesai kerana orang itu telah meninggal.
Ada pendapat kedua mengatakan boleh diganti fidyah seperti fidyah orang
meninggalkan puasa.