"Buat baik dibalas baik" - Perbahasan hadis 16-18, bab Berharap Pada Allah, Kitab Riyadus Solihin, m/s 238


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza 11.01.2013


Hadis 16:
16. Dari Al Bara’ bin ‘Azib ra dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Seorang muslim bila ditanya dalam kubur, maka ia akan mengakui tidak ada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah”. Hal ini sesuai dengan firman Allah Ta’ala yang ertinya: “Allah menetapkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang tetap baik sewaktu hidup di dunia mahupun di akhirat “.
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Hadis ini memberitahu tentang soalan di dalam kubur yang bersifat ghaib, yang kita wajib beriman dengannya (perrkara yang ghaib). Perkara ghaib ada yang bersifat usul (dasarnya), dan ada yang juga perkara yang furuq (cabang). Jika seseorang tak beriman dengan perkara ghaib yang usul, ianya boleh menyebabkan dia menjadi kufur, contohnya – tidak beriman kepada malaikat, atau hari akhirat. Tetapi jika seseorang tidak beriman dengan perkara ghaib yang furuq, maka itu tidak sampai menjadikan dia kufur, tetapi menjadikan dia fasiq. Salah satu contoh perkara ghaib yang furuq ialah soal-jawab di dalam kubur. Dalam hadis ini, diberitahu kebenaran akan soal-jawab di dalam kubur. Dalam hadis-hadis yang lain ada diberikan dengan lebih jelas lagi tentang soalan yang ditanya iaitu –Siapa Tuhan Kamu? Siapa Nabi Kamu? Siapa Imam Kamu dan sebagainya.

Walaupun hadis ini menyebut ‘Seorang muslim bila ditanya dalam kubur’, itu tidak pula bermakna orang bukan Muslim tidak akan disoal. Dalam hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa orang kafir yang mati juga akan ditanya oleh Malaikat tentang baginda Rasulullah. Malaikat akan bertanya “Apakah yang kamu tahu tentang seorang lelaki yang diutus di tengah-tengah kamu?” Orang kafir akan menjawab, “Aku tak tahu”. Jawab malaikat: “Kamu tak tahu dan takkan tahu”. Seketika itu, mereka akan terus dihukum.

Hadis ini memberitahu tentang ketetapan soalan Mungkar dan Nangkir. Baginda Rasulllah SAW setelah mengebumikan salah seorang sahabat yang meninggal dunia, akan duduk dan bersabda, “Mintalah kamu ampun untuk saudaramu, dan mintalah kamu kepada Allah untuknya ‘perkataan yang benar dan tepat’.

Apakah yang dimasudkan dengan ‘perkataan yang benar dan tepat’ – itulah kalimah syahadah. Allah akan menetapkan lidah orang beriman untuk berkata-kata yang baik (mengucap syahadah) ketika di dunia mahupun setelah meninggal.

Jangan pula persoalkan bagaimana untuk berkata-kata sedangkan kita sudah mati. Baginda SAW bersabda, “Tiada seorang yang berziarah ke kubur saudaranya, atau sahabat yang dia rapat dengannya ketika di dunia, melainkan ketika diziarahi, dia tahu dan seronok ditemani rakan/saudaranya itu”. Cuma kita yang tak tahu kerana kita masih terperangkap di dalam jasad, tetapi tidak bagi mereka yang berada di alam barzakh.

Dalam hadis lain pula dinyatakan bahawa orang dalam kubur boleh mendengar suara tapak kaki meninggalkan kawasan perkuburan. Kita yang di luar tak mendengar, tetapi mereka yang di dalam dapat mendengarnya. Kenapa ketika Nabi SAW meletakkan mayat Abu Jahal, dan kaum Quraisy musyrik yang lain menyeru, “Ya Abu Jahal, Ya fulan, Ya fulan, .. . Adakah kamu telah dapat apa yang Allah janjikan kepada kamu? Sesungguhnya kami telah mendapat apa yang dijanjikan untuk kami”. Sy. Abu Bakar pun bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana kamu bercakap dengan orang yang telah meninggal dunia?” Nabi SAW pun menjawab, “Pendengaran kamu tak setajam pendengaran orang yang di dalam sana”.

Hadis 17:
17. Dari Anas ra dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Sesungguhnya orang kafir itu bila berbuat kebaikan, maka ia langsung diberi balasan yang dia rasakan di dunia. Adapun bagi orang mukmin, maka sesungguhnya Allah  Ta’ala menyimpan kebaikan-kebaikannya itu untuk dibalas di akhirat, dan dia dikurnia rezeki didunia kerana ketaatannya”.

Dalam riwayat lain dikatakan: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya kebaikan orang mukmin di mana ia diberi kurnia di dunia kerana kebaikannya itu masih akan dibalas nanti di akhirat. Adapun orang kafir, dia mendapat kurnia di dunia kerana kebaikan yang dia lakukan Allah Ta’ala sehingga bila dia pulang ke akhirat, maka dia tidak akan mendapat balasan atas kebaikan yang dia perbuat”. Riwayat Muslim

Hadis ini menafikan sifat zalim Allah terhadap orang bukan Muslim yang berbuat baik. Perbuatan baik ada yang memerlukan niat dan ada yang tidak memerlukan niat. Contoh perkara yang tak perlukan niat ialah berbuat baik kepada orang, memberi makan kepada orang susah, menolong jiran dan sebagainya.  Perbuatan yang sebegini sah tanpa memerlukan kepada niat. Namun, ada beza nilai antara perbuatan baik yang dilakukan atas perintah Allah Ta’ala, dan perbuatan baik yang dilakukan atas dasar peri-kemanusiaan.

Orang kafir yang buat baik atas dasar kemanusiaan, dan ikhlas dalam perbuatannya akan diberi balasan baik di dunia. Tetapi jika dia tidak ikhlas, Allah tidak akan memberi balasan yang baik kepadanya. Orang beriman pula jika berbuat baik kerana mentaati Allah, maka perbuatan itu akan menjadi ibadah. Oleh itu, dalam setiap perkara baik yang dilakukan, lakukan dengan niat kerana Allah, maka nilainya akan menjadi ibadah di sisi Allah. Jika tidak, perbuatan itu hanya menjadi perbuatan baik dalam kacamata manusia sahaja. Perbuatan ibadah orang mukmin akan disimpan kebaikannya untuk diberi di akhirat. Terkadang Allah akan ganti ibadah yang dilakukan di dunia dengan bentuk yang sama di akhirat. Contohnya, jika kita pernah bantu orang, maka Allah akan bantu kita diakhirat. Jika kita pernah mengangkat kesusahan daripada orang lain, maka Allah akan mengangkat kesusahan kita di akhirat.

“Barangsiapa mengangkat kesusahan daripada orang lain di dunia, maka Allah akan mengangkat kesusahannya nanti di akhirat.
Barangsiapa mengangkat kesediahan orang mukmin di dunia, maka Allah akan mengangkat kesusahannya nanti di akhirat.
Barangsiapa yang banyak menangis di dunia, maka dia akan  ketawa di akhirat.
Barangsiapa yang banyak ketawa di dunia, maka dia akan menangis di akhirat.”

Hadis 18:
18. Dari Jabir ra berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan solat yang 5 waktu itu adalah seperti sungai yang penuh air mengalir pada pintu salah seorang daripada kamu di mana dia mandi 5 kali setiap hari daripada sungai itu”. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Solat 5 waktu itu seumpama seseorang itu mandi 5 kali sehari. Maknanya solat itu adalah penghapus dosa-doa kecil yang dilakukan di antara dua waktu solat. Dosa-dosa besar pula memerlukan kepada taubat.

Hadis 16:
19. Dari Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Seorang muslim yang meninggal dunia kemudian jenazahnya disolatkan oleh 40 orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, maka Allah menerima syafaat dan doa mereka terhadap orang yang meninggal itu. Riwayat Muslim

Fadhilat solat jenazah dengan bilangan jemaah 40 orang dan digalalakkan di buat dalam 3 saf, boleh menjadi sebab syafaat dan diberi keampunan kepada si mati. Ini menunjukkan manfaat hubungan antara yang orang yang meninggal  dan yang orang yang hidup. Dengan solat, si mati diampunkan. Bagaimana pula manfaat yang diperolehi oleh orang yang hidup daripada orang yang mati?
Dalam hadis Nabi SAW, “Barangsiapa yang datang solat jenazah, dia akan mendapat ganjaran oleh Allah satu qirat (ganjaran sebesar Gunung Uhud), jika dia menghantar sampai ke kubur, akan mendapat 2 qirat”.

Barangsiapa yang solat jenazah dan si mati diampunkan Allah, maka orang itu juga mendapat pengampunan daripada Allah.  Inilah ‘give and take’, dia (si mati) dapat, kita pun dapat.
Hadis ini menceritakan kelebihan meramaikan bilangan orang yang solat jenazah, kesan solat jenazah yang boleh memberi syafaat kepada si mati, dan bagaimana seorang mukmin boleh memberi  manfaat kepada mukmin yang lain.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab