"Muhkam vs Mutasyabih" - Tafsir ayat 7 dan 8, surah Ali-Imraan, Majlis Ta’lim Darul Murtadza 18.01.2013


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid


Perbahasan ayat 7: 

"Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat ‘Muhakamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat ‘Mutasyaabihaat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya)..."

Daripada segi bahasa:

‘Muhkaam’ - merupakan perkara yang jelas dan tak boleh diubah. Contohnya: perkara halal dan haram untuk dilakukan seperti hukum pembahagian harta faraid. Ayat bentuk ini akan dapat terus difahami apabila dibacakan terjemahannya.

‘Mutasyabih’ – bermaksud menyerupai, jadi terdapat kesamaran untuk memahami ayat ini. Oleh itu, manusia memerlukan akal untuk berfikir akan maknanya. Contoh ayat yang samar ialah seperti berikut:

‘Alif Laam Mim’, ‘Ya Siin’

Surah Al-Isra’, ayat 85:

Surah Al-Hijr, ayat 29:

Bagaimana untuk memahami ayat samar sebegini apabila dikatakan sebahagian roh Allah ditiup kepada Nabi Adam? Jika ditafsir terus daripada terjemahannya, otak kita boleh mentafsir bahawa sebahagian roh Allah yang bersifat ketuhanan telah diberikan kepada Nabi Adam. Ayat ini diturunkan untuk menegur kepada Kristian daripada Bani Najran. Mereka datang kepada Baginda Rasullullah SAW dan berkata, “Bukankah kamu Muhammad mengatakan bahawa dalam kitab kamu mengatakan bahawa Isa itu ialah roh Allah? (Berdasarkan ayat 91, surah Al-Anbiya’):


Kaum Kristian menganggap ayat ini membenarkan dakwaan mereka bahawa Nabi Isa ialah anak Tuhan, kerana ayat di atas mengatakan bahawa ditiupkan kepada Isa daripada roh Allah. Nabi Muhammad SAW berkata bahawa hanya orang yang hatinya terpesong suka mencari ayat-ayat mustasyabihat untuk ditakwilkan mengikut hawa nafsu mereka dan meninggalkan ayat Al-Quran yang lain.

Sama juga kes dengan pendapat yang mengatakan tak boleh menyebut Nur Muhammad SAW kerana ianya dikatakan sebahagian daripada Nur Allah dan memasukkan sifat ketuhanan kepada Nabi SAW. Mengapa tak boleh sedangkan Allah yang berfirman bahawa Nabi Muhammad SAW itu ialah ‘nur’, seperti firman-Nya dalam surah Al-Maidah, ayat 15:

Allah yang sebut Nabi SAW sebagai ‘nur’, bukannya saya atau ahli tasawwuf yang lain. Ada yang mendakwa perbuatan ini syirik kerana mengambil daripada kitab berzanji yang mengatakan ianya seakan-akan diambil daripada sifat Al-Qidam Allah (Yang Maha Dahulu) dan sifat Awaaliyah Allah. Sebenarnya, kita perlu memahami bahasa Arab terlebih dahulu – Al-Taqaddum itu awal, Al-Awwal itu awal, yakni keberadaannya (Nabi Muhammad SAW) itu mengawali seluruh makhluk, dan bukan diambil daripada sifat Taqaddum dan Awwal Allah. Sekiranya ada sifat Allah diambil daripada Al-Taqaddum dan Al-Awwal,  kenapa Allah beri nama kepada Nabi SAW sebagai Raufurrahim seperti firman-Nya dalam ayat 128, surah At-Taubah. Ar-Rauf dan Ar-Rahim pun sifat Allah juga – kenapa tak dipertikaikan maksudnya di sini? Imam Al-Barzanji ketika menisbahkan nur kepada Nabi Muhammad SAW tidaklah bermaksud memasukkan sifat ketuhanan Allah kepada Nabi SAW sepertimana orang Kristian yang memasukkan unsur roh Allah kepada Nabi Isa.

(Maklumat tambahan tentang isu Nur Muhammad ada di sini: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=3117.40)

Kita tidak boleh memahami ayat ini sepertimana orang Kristian memahami ayat bahawa roh Allah dimasukkan kepada Nabi Isa as. Ayat mutasyabihat tidak boleh ditafsir mengikut terjemahan perkataan semata-mata. Orang Kristian tidak melihat kepada ayat lain seperti dalam surah Al-Ikhlas:

Surah ini jelas menyatakan yang Allah itu Esa, tidak beranak atau diperanakkan. Al-Quran tak boleh dibaca sepotong-potong sahaja, mesti dibaca keseluruhannya. Jika diambil sepotong sahaja, maka akan ramailah orang yang tak solat selepas membaca ayat ini (surah Al-Ma’un, ayat 4):

Sambung lagi bacaan pada ayat seterusnya (surah Al-Ma’un, ayat 5):

Untuk memahami Al-Quran, kita perlu membaca keseluruhannya. Kita tidak boleh mengambil sebahagian yang disukai oleh hati dan hawa nafsu sahaja. Itulah yang dilakukan oleh sebahagian yang mengatakan zakat tidak wajib lagi kerana mereka mencari ayat Al-Quran yang secocok dengan hawa nafsu mereka. Mereka mengatakan bahawa ayat 103 daripada surah At-Taubah ini ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW sahaja, dan bukan kepada orang lain. Kumpulan inilah yang diperangi oleh Sy. Abu Bakar r.a.


Sepatutnya, kita mendidik hawa nafsu kita agar secocok dengan ajaran Al-Quran, dan bukannya mengambil sebahagian daripada Al-Quran yang secocok dengan hati dan hawa nafsu sahaja. Al-Quran perlu dijadikan sebagai hakim kepada hawa nafsu dan bukanlah sebaliknya. Dengan menjadikan Al-Quran sebagai hakim, barulah seseorang itu akan sampai kepada kebenaran. Ini sudah dijelaskan Allah dengan memberi contoh orang Kristian yang menganggap Nabi Isa ialah Tuhan kerana Allah menggunakan perkataan ‘roh’.

Termasuk contoh ayat mutasyabih ialah ayat yang menceritakan Jibril didatangkan untuk meniup roh ke dalam perut Siti Mariam yang menyebabkan dia hamil dan melahirkan Nabi Isa. Bagaimana roh ini ditiup ke dalam rahimnya? Hakikatnya hanya Allah yang tahu kerana akal manusia ini terhad dan tak mampu memikirkannya. Termasuklah juga perkara ghaib lain seperti syurga, neraka, dosa pahala, malaikat dan seumpamannya.  Semua ini hanya boleh diterima dengan iman. Inilah permintaan Allah agar kita menyakini dan beriman dengan perkara yang ghaib.

Dalam ayat-ayat Muhkaam, kita perlu mematuhinya tanpa banyak bertanya. Kita perlu ikut sahaja dan buat. Jangan befikir kenapa kena buat, tapi buat dan kemudian baru berfikir sebabnya.
Kenapa ada ayat Al-Quran berbentuk muhkaam (jelas) dan mutasyabih (samar)? Salah satu hikmahnya ialah agar kita tahu batasan akal kita. Untuk ayat muhkam, akal tak perlu digunakan dan diterima terus ayat tersebut. Tetapi akal jika dibiarkan tanpa digunakan, akan menjadi ‘tumpul’ pula.  Oleh itu, ayat mutasyabih diturunkan agar kita berfikir dan mencari hikmah mengenainya, tetapi tetap akal itu terbatas dalam hal-hal ghaib seperti perihal roh, malaikat, arasy Allah dan perkara yang seumpamanya.
Adakah kita boleh menggunakan akal sesuka hati dalam mentafsir ayat mutasyabih? Allah menjawab dalam potongan ayat seterusnya:

"..Oleh sebab itu, (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut apa yang disukainya)..."

Ada golongan yang mentakwilkan ayat mutasyabihat mengikut hawa nafsu untuk menyebarkan fitnah. Sy. Abu Bakar ketika ditanya tentang satu ayat tidak diketahuinya, dia menjawab, “Di manakah ada langit dan bumi yang dapat menaungi tapak kaki saya sekiranya saya boleh mentafsirkan Al-Quran dengan pendapat dan pandangan saya sendiri”. Begitulah sifat berhati-hati Sy. Abu Bakar. Kisah yang sama berlaku kepada Imam Malik juga. Seorang yang datang dari Marokko membawa 10 soalan, tapi hanya dijawab oleh Imam Malik. Lelaki itu berkata, “Ya Imam, saya datang dari Marokko, datang membawa 10 soalan tetapi kamu hanya jawab 1. Apa yang perlu saya jawab kepada orang kampung saya nanti?” Imam Malik menjawab, “Katakan yang Imam Malik tidak tahu”.  Inilah  sifat orang yang ‘alim, yang tidak malu mengaku tidak tahu sedangkan  tiada orang berani mengeluarkan fatwa semasa beliau masih hidup kerana keluasan ilmunya. Orang yang alim begitu berhati-hati dan tidak menjawab atau mentafsir sesuka hati.

Zaman kita sekarang pula orang bertoleransi dalam fatwa. Inilah perbezaan kadar khauf orang zaman sekarang dan dahulu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kita kefahaman kepada Al-Quran, adab dan ta’zim kepada Al-Quran dan berhati-hati dalam mentafsir Al-Quran. Amin.

Orang yang hatinya terpesong mengikut ayat yang samar-samar dan mencari takwil yang mengikut hawa nafsu mereka, sedangkan Allah telah berfirman bahawa:
"Padahal tidak ada yang mengetahui maksud Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah…"

Hari ini, ramai orang mentafsirkan dan mempergunakan ayat Al-Quran untuk mengikut pegangan, mazhab dan pemikirannya sendiri dan menyalahkan orang lain. Tujuannya adalah untuk mencari ayat Al-Quran yang berpihak pada diri dan pendapatnya. Sepatutnya seseorang membentuk diri dan pemikirannya agar mengikut kandungan Al-Quran. Kita sepatutnya mengosongkan pemikiran untuk memahami Al-Quran. Selepas itu ukur apa yang ada dalam Al-Quran dengan apa yang kita faham. Kemudian, barulah kita akan terbimbing ke jalan kebenaran.

"… dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman dengannya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami …"

Orang yang berilmu, bukan sekadar berilmu biasa-biasa saja, tetapi ‘rasih’ yakni kuat ilmunya, akan patuh pada ayat-ayat mutasyabih. Mereka ini bukanlah orang yang tidak berilmu, tetapi sangat berilmu dan sangat berhati-hati apabila memperkatakan tentang Al-Quran. Suatu ketika di Hadramaut, terdapat ramai alim ulama yang sehinggakan jika solat jemaah, 3 saf pertama akan dipenuhi oleh mereka yang alim yang boleh mencapai darjat mufti. Walaupun ulama’ ramai, jika ada orang meminta fatwa, mereka akan menolak kepada orang lain kerana bersifat berhati-hati.

Ini tidak bermakna bahawa ayat mutasyabih tak boleh difahami langsung. Tetapi tafsiran ulama hanyalah sekadar mengikut tahap pehamanan mereka dan tidak bermakna yang itu ialah hakikat makna ayat itu yang sebenar. Hakikat sebenar hanyalah diketahui Allah SWT.

Berkenaan tafsir ayat: “Tangan Allah adalah di atas tangan mereka”. Ketika membaca ayat ini, kita tidak boleh terlintas pun di hati yang bentuk tangan Allah itu serupa dengan tangan makhluk. Al-Khalaf daripada As-Shaari menafsirkannya sebagai kekuasaan/kekuatan/bantuan daripada Allah agar hilang gambaran fizikal tangan manusia. Makna sebenarnya hanya Allah yang tahu. Ulama mentafsirkan sebagai usaha untuk memahami Al-Quran. Begitu juga dengan ayat lain yang menyebut contohnya wajah Allah, mata Allah, kaki dan sebagainya. Semua ayat sebegini ditakwilkan kepada makna yang sesuai dengan pemahaman manusia dan untuk mengelak khayalan manusia kepada bentuk fizikal.

"..dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berakal."

Siapakah orang yang berakal? Menurut Imam Malik, mereka ialah orang yang:
  • ‘Alim – orang yang berilmu
  • ‘Amil – orang yang beramal
  • Yang mengikut kepada ilmu yang dia ketahui
Imam Al-Bhagawi pula menukilkan bahawa orang yang mantap ilmunya memenuhi 4 perkara:
  • Ketaqwaan dengan Allah
  • Tawadhuk dengan manusia dan makhluk lain.
  • Zuhud dengan dunia
  • Mujahadah antara dirinya dengan dirinya sendiri.

Perbahasan ayat 8:

Sebahagian ulama’ mengatakan yang doa ini ialah doa untuk mendapat husnul khatimah pada penghujung nyawa. Dalam ayat sebelum ini disebutkan perihal orang yang terpesong hatinya yang mengambil ayat-ayat mutasyabih dengan tujuan fitnah. Orang beriman pula menyerahkan hakikat makna sebenar kepada Allah dan meminta doa ini yakni agar jangan dipesongkan hati mereka. Inilah hati orang yang mantap ilmunya. Nabi SAW bersabda dalam satu hadis bahawa hati manusia ini berada di antara jari-jari Ar-Rahman – ini juga satu contoh ayat mutasyabih. Oleh sebab itu, hati bersifat mudah dibolak-balikkan dan Nabi SAW selalu berdoa:


p/s: Agak 'berat' isi kuliah kali ini. Mohon maaf jika ada tersalah dan tersilap. Sekiranya ingin mendengar video yang asal, boleh lawati Darul Murtadza.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab