Kelahiran Rasul SAW (1) – Tanyalah Ustaz 23.01.2013


Ustaz Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz


Bacaan surah Ali-Imran, ayat 144:

Dalam bahasa Arab – ‘Maulud’ bermaksud bayi, dan ‘Maulid’ yang bermaksud kelahiran. Oleh sebab itu, istilah yang betul ialah Maulidur Rasul.

Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang cinta pada aku, sayang pada aku, In sha Allah dia akan bersama aku di syurga nanti”.

Sayangnya, hari ini ramai antara kita yang lupakan Nabi SAW, bahkan ada pula yang menolak sunnah Nabi SAW. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini. Ada banyak bentuk sunnah Nabi – ada yang wajib dan ada yang sunat dilakukan.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah Aminah tahu yang anaknya bakal menjadi Rasul SAW?
J: Dalam kitab sirah, contohnya kitab Ibnu Hisyam ada disebutkan bahawa Jibril ada datang kepada Aminah untuk memberitahu yang dirinya telah hamil dan anak yang dikandungnya itu bakal menjadi pemimpin yang agung. Namun, pastilah Aminah sukar untuk mempercayainya. Oleh itu, Allah berikan tanda-tanda lain seperti langsung tiada rasa kesakitan atau kesulitan ketika mengandung dan melahirkan.

S: Masyarakat jahiliyyah percaya pada perutusan Nabi, tapi mengapa mereka tak beriman dengannya?
J: Mereka percaya pada Nabi SAW dengan kejujuran, dan keindahan akhlaknya sehingga memberi gelaran yang baik iaitu Al-Amin. Dalam Al-Quran juga ada disebutkan bahawa mereka mengenali Nabi SAW lebih daripada mereka mengenali anak mereka sendiri. Pihak yang menolak Nabi SAW ialah golongan yang mempunyai kepentingan kepimpinan dalam masyarakat. Mereka takut mereka akan kehilangan jawatan, status dan harta mereka dengan ajaran agama Islam.

S: Betulkan dikatakan Mariam dan Asiah di datangkan untuk membidankan Aminah ketika melahirkan Nabi SAW?
J: Dalam kitab Ibnu Hisyam, ada disebutkan bahawa pada malam kelahiran Nabi SAW, ada ramai orang yang berkumpul. Dalam ramai-ramai itu ada 2 orang yang istimewa iaitu Mariam dan Asiah, namun mereka bukanlah didatangkan sebagai bidan, tetapi sebagai meraikan kelahiran insan teristimewa. Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan bersih, siap terkhatan dan terpotong pusatnya. Siapakah yang memotong pusat Nabi SAW? Allah sendiri yang membidankan kelahiran Nabi SAW, bukan Asiah atau Mariam.

S: Kenapa hanya Mariam dan Asiah yang didatangkan pada malam itu? Apakah keistimewaan mereka?
J: Rujuk surah At-Tahrim, ayat 11-12:

Dalam ayat 11, diceritakan kelebihan Asiah. Kebiasaannya, jika suami seorang pembesar, pastilah isteri akan berbangga dengannya. Namun tidak bagi Asiah. Dia tidak menerima ketuhanan Firaun dan tidak peduli dengan harta dan kuasa Firauan. Sebaliknya Asiah beriman, dan meminta hanya pada Allah untuk membinakan baginya rumah dalam syurga. Dalam ayat 12 pula diceritakan kemuliaan Mariam, yang menjaga kesucian diriya dan ditiupkan roh dalam rahimnya untuk melahirkan Nabi Isa. Mariam begitu suci sehingga kulitnya pun tak pernah bersentuh dengan lelaki.

S: Siapakah yang memberi nama kepada Nabi SAW?
J: Betul, kita biasa dengar bahawa datuknya, Abdul Mutalib yang memberi nama kepada Nabi SAW. Namun, jika dirujuk daripada Kitab Ibnu Hisyam, dikatakan bahawa, “Didatangi Aminah ketika mengandung Nabi Muhammad SAW, dan dikatakan, “Kamu telah mengandung seorang pemimpin umat ini. Bila mana dia keluar dari perut kamu, jatuh dia ke bumi, hendaklah kamu berkata, “Aku minta berlindung dengan Allah Yang Esa, daripada hasad dengki orang-orang yang berhasad. Kemudian berikan dia nama Muhammad”. Ini sebenarnya perintah dari Allah. Setelah itu, Aminah pun memberitahu bahawa dia disuruh menamakannya sebagai Muhammad. Setelah dilahirkan, Abdul Mutalib membawa Nabi SAW ke Kaabah dan ramai orang yang mengikutnya. Di sana, Abdul Mutalib pun membuat pengumuman, “Inilah cucuku yang baru lahir dan namanya – Muhammad”. Oleh itu, Abdul Mutalib cuma membuat pengumuman, namun nama itu diberikan oleh Allah.

S: Kenapa jarak antara Nabi SAW dan Nabi Isa lama? Apakah hikmahnya?
J: Betul, ada yang kata jaraknya adalah sehingga 600 tahun. Sebelum ini, Rasul diutuskan untuk kaum tertentu. Tetapi, Nabi SAW diutuskan untuk seluruh alam. Ada pula yang mempersoalkan – jika tiada Rasul, bagaimana dengan agama mereka? Bagaimana dengan ibu bapa Nabi? Zaman mereka itu dinamakan sebagai ‘Zaman ketiadaan Rasul’, jadi jika manusia pada zaman itu tidak menyembah berhala dan berpegang pada agama asal Nasrani dan Yahudi, maka merek terselamat daripada api neraka.

S: Nabi SAW dilahirkan pada 12hb, wafat pada 12hb juga. Apakah keistimewaan nombor ini?
J: Bukan sekadar lahir dan wafat, bahkan ada riwayat mengatakan Nabi SAW berhijrah pada 12 hb. juga. Ulama ada membuat kajian, namun diputuskan bahawa tiada keistimewaan nombor. Itu cuma kebetulan.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab