Jangan Bersedih (2) – Tanyalah Ustaz 17.01.2013


Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek


Bacaan surah Al-Khauthar:

Surah ini pendek saja dan mudah diamalkan. Surah ini menceritakan kesedihan Nabi SAW kerana dia dibenci orang kaum Quraisy. Di Taif, Nabi SAW dibaling dengan batu kerana dibenci. Di Mekah, Nabi SAW pernah dibaling dengan najis dan perut unta.

Di akhirat nanti, Nabi SAW akan memberikan minum hanya kepada umatnya dari telaga kausarnya, jadi kita tak perlu sedih, bahkan kita perlu rasa bersyukur menjadi umat Nabi SAW.
Hari ini ramai yang sedih, tapi bukan kerana mengenangkan dosa tetapi kerana melihat cerita Hindustan. Bersedih bukanlah merupakan satu halangan atau larangan, tetapi merupakan satu lumrah manusia. Dalam agama, kita disuruh bersedih mengenangkan kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bilakah waktu yang sesuai untuk bersedih?
J: Ketika mengenangkan dosa yang pernah dilakukan, ketika bangun solat pada tengah malam. Ada satu kisah di mana sepasang suami-isteri yang bangun tahajjud selama 20 tahun dan menangis dan merintih untuk meminta zuriat. Malaikat bertanya kenapa Allah tidak makbulkan permintaan mereka? Allah pun berkata yang Allah gembira mendengar rintihan dan tangisan mereka. Setelah Allah mengkabulkan permintaan mereka, mereka pun tidak bangun malam lagi. Sesungguhnya kadang-kadang apa yang sukai itu, tidak semestinya baik untuk kita.

S: Bagaimana untuk menghindari perasaan sedih apabila dikhianati rakan karib?
J: Sepatutnya rakan menjadi seorang yang boleh menutup aib kita. Memang kita patut bersedih, tetapi berilah tempoh cukup selama sejam sahaja, agar tidak berpanjangan dan keterlaluan. Yakinlah yang Allah sentiasa bersama kita, dan tenangkan hati.

S: Bagaimana jika rasa sedih apabila diri dihina?
J: Kadang-kadang itu cuma mainan perasaan sahaja. Kalau orang hina kita, jangan rasa sedih, sebaliknya rasa kasihan pada orang yang menghina atau menyindir kita, mungkin mereka pun tidak tenang jiwanya. Bangkit dan melawan dengan menambah ilmu, dan memperbaiki diri menjadi lebih baik. Kita takkan dapat menyenangkan hati semua orang. Ada 3 perkara yang paling mahal dalam dunia iaitu: kepercayaan seseorang, masa yang telah berlalu dan mimpi yang indah.

S: Apa yang perlu dilakukan jika kita difitnah sehingga jiran memandang hina dan kita tidak dipercayai lagi?
J: Orang yang difitnah wajar sedih, tetapi jangan kita terpengaruh dengan fitnah yang dibuat itu. Sebaliknya bangkit untuk mencari bukti yang diri tidak bersalah. Buatlah strategi yang baik agar tidak memburukkan keadaan.

S: Bagaimana untuk mengawal kesedihan?
J: Kena pujuk hati yang Allah sentiasa bersama kita dan yakin bahawa akan ada hikmah disebalik ujian yang diberi Allah. Beri tempoh masa untuk bersedih, contohnya sejam saja jika sedih kerana kawan, jika kehilangan anak /suami pula, boleh bersedih sehingga seminggu. Selepas itu, bangkit dan sibukkan diri dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan. Life must go on!

S: Saya sedih mengenangkan dosa yang lalu dan selalu terkenang adakah Allah akan ampunkan dosa tersebut?
J: Yakinlah Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat, walau sebesar mana sekalipun dosa itu. Sebenarnya perasaan sedih itu juga datangnya dari Allah dan sebagai satu tanda Allah telah mengampunkan dosa. Jika berbuat dosa dan hati tidak sedih, itu tandanya hati itu sudah keras dan mati.

S: Mohon ulasan ustaz terhadap anak yang bergaduh dengan ibu bapanya?
J: Andai ibu bapa ada melakukan kesalahan kepada anak, maafkanlah mereka kerana mereka telah banyak berkorban untuk melahir dan membesarkan anak. Anak yang menyebabkan ibu bapa sedih sudah dikira sebagai derhaka, walaupaun ibu bapa tidak menyatakannya secara zahir. Elakkan ini daripada berlaku kerana anak yang derhaka amat dimurkai Allah dan dilaknat para malaikat.

S: Bagaimana menghadapi kesedihan jika suami berkahwin lagi?
J: Pertama, jangan bersedih kerana suami puan-puan bernikah, dan tidak berzina. Ada berlaku hari ini, wanita yang suaminya kaya membenarkan suami berzina tetapi tidak membenarkan berkahwin kerana takut harta jatuh kepada orang lain. Ucapkan ‘Alhamdulillah’ banyak-banyak, kerana ianya akan memberi ketenangan. Mohon kekuatan untuk tetap melayan suami dengan baik, kerana jika ditakdirkan meninggal ketika itu, akan dapat mati dalam redha suami.

S: Apakah nasihat bagi anak-anak yang bercinta bagai nak rak, bila putus, ‘frust’ menonggeng pula?.
J: Kerana masa tak mengizinkan, jawapan ringkas: Alhamdulillah, putus cinta tak mengapa daripada tak kenal perangai dan bercerai-berai selepas berkahwin.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab