"Mulakan sunnah Nabi SAW di rumahmu" - Tausiyah Mawlid Januari 2013 – 04.01.2013
Habib Kadzim bin Jaafar As-Saggof
Majlis Ta'lim Darul Murtadza
Segala puji bagi Allah yang
menghimpunkan kita ini untuk mencari rahmat dari Allah Ta’la. Yang akan diberi
oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga bergantung kepada
hubungan orang itu yang dengan Nabi SAW. Rahmat itu akan terlihat pada umat ini
dengan mereka mudah meniru akhlak Nabi SAW, dan mereka berusaha menghidupkan
sunnah Nabi SAW, dan bergerak menyebarkan dakwah Nabi SAW ke seluruh pelusuk
dunia.
Tentunya rahmat yang diberikan Allah
SWT kepada kita bukan hanya nampak di dunia, tetapi akan nampak lebih jelas
nanti di akhirat. Yang demikian itu telah diberitakan oleh Nabi SAW sebagai
berita gembira kepada mereka yang hadir dalam majlis seumpama ini, akan diseru
oleh malaikat kepada mereka yang hadir, “Bangkitlah dan bersurailah dalam
keadaan dosa kamu telah diampunkan dan digantikan sebanyak dosa itu dengan
kebaikan dari Allah”.
Akan nampak kejelasan keberkatan majlis
seumpama ini di akhirat nanti bilamana kita nampak dosa yang kita lakukan di
dunia digantikan dengan kebaikan. Orang yang hadir dalam majlis ini akan
mendapat keberkatan secara langsung di dunia iaitu mendapat keterangan cahaya
dari Allah dalam hati dan sanubarinya. Bukan sekadar dosa diampunkan dan
diganti dengan kebaikan, tetapi seseorang itu akan diangkat darjatnya sentiasa
oleh Allah Ta’ala dengan dia melazimkan diri menghadiri majlis sebegini.
Oleh itu, saya menyeru semua yang
hadir untuk membuka hati untuk menerima rahmat dari Allah, dan mengambil
bahagian daripada rahmat yang diturunkan oleh Allah, dengan kita memperbaharui
taubat, dan berazam untuk berkhidmat kepada Nabi SAW dan mengembangkan agama
Islam. Ini adalah peluang kita mendapatkan kedudukan tinggi (spiritual) di sisi
Allah.
Rahmat tersembunyi yang diberi Allah
SWT akan dapat dirasai melalui:
1. Berusaha dan berupaya
memperbaharui taubat kita sepanjang masa
2. Berazam menghidupkan sunnah Nabi
SAW selagi hidup
Seseorang itu perlu memulakan dengan
diri dan keluarga dahulu, sehingga rumahnya tersinar dengan sunnah Nabi
khususnya sunnah lazim yang Nabi buat setiap hari, contohnya:
- Ketika masuk rumah, Nabi SAW melangkah masuk dengan kaki kanan dahulu,
- mengucapkan salam kepada ahli keluarganya,
- dan membaca surah Al-Ikhlas sebelum masuk.
Bacaan surah dan sunnah ini akan
memberi kesan kepada rumah dan ahli keluarganya.Rumah anda juga akan tersinari
dengan surah Al-Ikhlas, dan akan nampak kesan bacaan Al- Quran di dalam rumah
tersebut. Di dalam hadis Nabi SAW ada menyebut bahawa akan nampak keberkesanan
bacaan surah Al-Ikhlas itu dengan diangkat kefakiran daripada ahli rumah dan
jiran-jirannya.
Salam pula akan membawa ketenteraman
dan ketenangan, kesan daripada keberkatan ucapan itu. Oleh itu, ketika masuk, ucapkan
salam kepada sesiapa saja, walaupun jika tiada orang di rumah, tetap berikan
salam walaupun pada diri sendiri.
Bilamana anda menyampaikan, salam
kepada diri sendiri, sebenarnya anda telah memberi hak kepada diri anda. Bila
dilengkapkan dengan makanan dan minuman, maka anda telah meninggikan darjat di
sisi Allah. Dan apa saja yang dilakukan di dalam rumah anda akan meninggikan lagi
darjat anda di sisi Allah SWT. Nabi Muhammad SAW telah menyebut perkara itu
dalam hadis yang sahih. Baginda bersabda, “Sesungguhnya diri anda mempunyai hak
ke atas anda, keluarga mempunyai hak ke atas anda, jiran mempunyai hak ke atas
anda dan tetatmu mempunyai hak ke atas anda”.
Dengan menunaikan hak-hak diri, anda
telah meninggikan darjat anda dan semakin menghampirkan diri di sisi Allah, dan
anda juga telah menyelamatkan diri daripada perkara yang melalaikan. Anda akan merahmati diri sendiri dengan
ketaatan itu seperti bangun malam dan juga melakukan ibadat lain.
Anda tahu
jika anda tak makan/minum, maka anda akan sakit. Demikian juga jika jiwa anda tak
diberi haknya dengan zikir dna ibadah yang lain, maka jiwa anda akan sakit
kerana haknya tak dipenuhi. Kedudukan zikir kepada jiwa seumpama
oksigen kepada manusia. Tanpa oksigen, berapa lama manusia dapat bertahan?
Begitulah jika jiwa ditegah daripada ‘oksigen
spiritual’. Berapa ramai orang yang hidup tetapi jiwanya mati apabila tidak
diberikan hak-hak daripada ibadah yang telah ditentukan Allah Ta’ala. Antara
perkara yang dapat menghidupkan jiwa ialah Qiyammullail, walaupun hanya seminit
atau beberapa saat. Walaupun anda cuma bangun sekejap saja, anda akan dapat
menghirup oksigen spiritual yang Allah turunkan khususnya pada sepertiga malam.
Kalau qiyammullail ditinggalkan, anda
sebenarnya telah mengharamkan pemberian yang begitu besar daripada Allah kepada
diri anda. Nabi SAW menyatakan bahawa kebahagiaan jiwa boleh diperolehi dengan
solat malam.
Dalam hadis, Nabi bersabda bahawa
orang yang bangun Qiyyamullail akan
bangkit dalam keadaan jiwa yang baik dan tubuh badan yang segar. Perhatikan
bagaimana Nabi kaitkan antara kebahagiaan jiwa dengan tubuh badan yang sihat. Sebaliknya
pula, orang yang tidak bangun malam, maka dia bangkit dalam keadaan jiwa tak
baik dan malas.
Bilamana jiwa seseorang tidak baik dan
malas, maka dia akan susah diajak beribadah, tak nampak kebaikan pada diri, dan
akhlaknya. Apabila dia memberi bahagian jiwa dengan Qiyyamullail, jiwanya akan
baik dan semakin banyak beribadah dan menteladani Nabi SAW.
Tidak dinafikan lagi bahawa Allah SWT
menurunkan rahmat itu pada kamu yang meraikan Nabi SAW dalam majlis seperti
ini. Majlis-majlis seperti ini dan seumpamanya adalah pembuka kepada curahan rahmat
Allah SWT sepertimana turunnya hujan ke muka bumi ini.
Bagi mereka yang hati dan jiwanya tersinari
dengan amalan-amalan zikir, mereka akan merasakan acara ini seperti hidangan
yang mewah dan yang dicari-cari, iaitu hidangan yang memuaskan hati dan jiwa
mereka. Mereka lebih menyukai majlis ini daripada orang yang suka majlis yang
melalaikan.
Tengok bagaimana seseorang yang suka
bola – walaupun tengok 3 jam, dia tak rasa bosan pun, walaupun perbuatan itu
tak memberi makanan pada jiwanya. Bilamana anda mendapat rahsia majlis ini,
anda takkan rasa bosan walau kena duduk sehingga fajar. Di Mesir, ada majlis
zikir yang dibuat daripada selepas Isyak sehingga waktu Fajar, sepanjang
malamnya dipenuhi dengan zikir kepada Allah. Kenapa mereka boleh tahan berzikir
sebegitu lama? Sebahagian daripada kita mungkin bertahan selama 6 jam dan akan merasa
bosan selepas itu, akan tetapi sebahagian lain yang menemui rahsianya takkan pernah
merasa bosan.
Secara amnya, ada manusia yang mempunyai
kelebihan iaitu mereka tak merasa bosan kerana telah menemui rahsia ibadat
tersebut. Begitu juga dengan amalan solat biasa. Oleh sebab itu, kita tidak
perlu hairan apabila mendengar bahawa Syeikh Qadir Al-Jailani itu solat 1000 rakat
pada waktu malam. Ini kerana dia suka melakukannya dan telah menemui rahsia
solat dan dengan itu tidak merasa bosan dengan ibadah itu. Kita pun tak merasa hairan
jika orang seperti Imam Ali Zainal Abidin yang bangun solat 1000 rakaat setiap
malam, kerana mereka telah menjumpai rahsianya. Kita hari ini 50 rakaat pun
takkan tahan dan akan mula mengelak mencari amalan selain solat selepas itu.
Syeikh Nuruddin, guru kepada Imam
Asy-sha’roni menceritakan bahawa beliau berselawat 500 ribu kali pada setiap
malam. Kenapa dia boleh melakukannya? Kerana dia sukakan kepada selawat itu.
Kita pula hari ini, selepas 500 kali sudah rasa bosan, bahkan tasbihnya pun dilempar
jauh-jauh. Kenapa? Kerana dia tak sukakan kepada selawat itu. Jika dia menyukai
dan menghayati selawat itu, maka dia akan boleh menyamai seperti Syeikh
Nuruddin.
Imam Abu Hanifah membaca dan mengkhatam
Quran dalam masa 2 rakaat – tanpa rasa bosan, ataupun mengheluh. Kita pula bagaimana?
Berapa juzukkan kita tahan membacanya setiap hari? Kalau anda tergolong dalam
kumpulan yang asyik baca Quran sampai terlupa aktiviti lain, maka terimalah
berita gembira bahwa anda adalah orang-orang yang tinggi darhatnya.
Seorang ulama besar di Hadramaut,
bernama Al-Habib Hasan bin Soleh Al-Bahra, membaca 90 ribu kali surah Al-Ikhlas
sehari. 90 ribu, bukan 9 ribu! Berapa kalikah anda membacanya? Surah ini
pendek, mudah dan disukai Allah Ta’ala. Keberkatannya akan membawa pelbagai
anugerah dan menyamai 1/3 Al-Quran. Surah ini mudah dibaca dengan lidah
berbanding surah lain. Setiap surah ada keistimewaan tersendiri, bahkan setiap
ayat juga. berapa kali anda dan saya membacanya? Jika dibaca, anda akan menjadi
orang yang dikasihi Allah.
Oleh kerana itu, bila bangun malam,
jiwa kita sukakan ibadah seperti itu dan hati kita akan tersinari dengan ibadah
itu. Bila kita sukakan kepada ketaatan dan suka membaca Al-Quran, maka pada
hakikatnya anda cintakan Zat yang menciptakan ibadah itu iaitu Allah. Inilah
bentuk-bentuk anugerah batiniah, yang mudah dan ringan untuk mendapatkannya.
Pada permulaan, mulakan dengan 1
minit setiap malam - gunakan ‘alarm’ untuk mengejutkan anda bangun dan sekadar
berzikir:
Ini akan menjadi pembuka kepada jiwa
anda untuk mendapat cahaya. Maka anda akan menjadi sihat, gembira dan tenang.
Walaupun anda dalam kesusahan, anda akan lupakan masalah itu apabila anda
bangun malam, biarpun pun masalah itu banyak sekalipun. Apabila bangun malam,
roh anda akan terbuka untuk menerima pemberian dan akan mendapat makan untuk
roh. Apabila roh semakin kuat, maka keesokannya anda akan merasa sihat, tenang
dan seolah-olah tiada masalah. Tetapi jika anda tidak bangun untuk Subuh,
walaupun satu minit, takkan ada ketenanan pada roh dan jiwa anda. Ini kerana
ketenangan itu datang daripada dekatnya roh itu dengan Allah.
Maka, marilah kita mengambil keberkatan
yang zahir daripada majlis ini. Adapun, keberkatan yang tersembunyi adalah
terlalu besar di sisi-Nya. Apa saja nama majlis yang diadakan
kerana gembira dengan Nabi SAW, gembira dengan kelahirannya, untuk
memperingatinya, dan mengingatkan umat kepada baginda Nabi SAW, mempunyai
kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. Ketika seseorang itu melazimkan
diri menghadirkan diri ke majlis sebegini, walau apa pun nama majlis yang
diberi, mereka akan diberi husnul khotimah iaitu dapat mengucapkan ‘La ila ha
illallah” ketika pengakhiran umurnya. Itulah punca pemintaan orang-orang yang
soleh. Tetapi Allah memberi lebih daripada itu iaitu Allah menggantikan dosa
dengan kebaikan.
Majlis ini amat disukai Allah, dan tiada yang menjauhi majlis
ini kecuali orang yang hatinya gelap. Apabila diperdengarkan selawat kepadanya,
ianya tidak dapat menyinari hatinya. Mana-mana orang Islam yang diberi cahaya
di dalam hatinya dan berselawat 1000 kali pagi dan malam, hatinya pasti akan mendapat
keberkatan dan rahsia qabul daripada Allah SWT.
Jika anda kenal rakan yang tidak
hadir atau berani mengatakan majlis ini ialah biadaah, beritahu padanya - "saya
punya ubat mujarab iaitu selawat pada Nabi 1000 kali pagi dan malam selama 40
hari". Setelah itu, akan nampak sinaran selawat pada hati mereka. Maka orang
yang tak suka pun akan datang walaupun dengan merangkak. Pada mereka yang tetap
tak mahu berselawat dan mengatakannya bidaah, maka kegelapan hati akan
menghalang merasai keberkatan majlis ini. Maka tidak akan terangkan kegelapan
itu kecuali dengan cahaya, dan cahaya itu ada di dalam selawat kepada Nabi SAW.
Kita berdoa agar kita dimasukkan kedalam golonngan yang diqabulkan Allah
Ta’ala, sepertimana Allah menghimpunkan kita bersama dalam majlis ini kerana
gembira dengan Nabi SAW, moga-moga Allah berikan kegembiraan kepada kita dengan
anugerah yang besar dan sebagaimana kita semua datang kerana gembira dengan
Nabi SAW, kita berdoa agar kita bersurai dalam keadaan dikekalkan kegembiraan
itu oleh Allah SWT.
Sebagai rumusan: jangan lupa sunnah Nabi SAW ketika masuk
rumah – masuk dengan kaki kanan, beri salam dan baca Quran sebelum masuk rumah.
Minggu lalu telah saya sebutkan bahawa setiap daripada kita berkongsi agar bala
diangkat oleh Allah daripada seluruh ummah. Oleh itu, amalkan doa dan istighfar
untuk seluruh mukminin dan mukminat.
Siapa yang ingat, saya akan beri hadiah
besar, tetapi hadiah daripada Allah lebih besar iaitu 1.5 bilion ganjaran
hasanah (sebanyak jumlah umat Islam yang ada). Anda juga akan dapat merasai
hubungan anda dengan kaum muslimin yang lain. Anda gembira dengan kegembiraan
mereka, dan sedih dengan kesedihan mereka. Anda akan mendoakan kebaikan untuk
mereka dan terselamat daripada sifat keegoan yang merupakan ajaran syaitan. Di
dalam solat, kita memohon – ‘Berilah kami jalan yang lurus”, bukannya “Berilah
aku..”. Semoga Allah memenuhi hati kita dengan keimanan dan ketaatan, dan
digolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang soleh, yang aman, yang
tenang, yang mendapat berita gembira. //Doa//.