Kesempurnaan Yang Maha Menciptakan - Tafsir ayat 5,6,7, surah Ali-Imran, Majlis Ta’lim 11.01.2013


Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz bin Jabal

Perbahasan Ayat 5:

Ayat ini berkaitan rapat dengan ayat sebelumnya. Dalam ayat sebelum ini, telah dibincangkan sifat Qayyummi Allah –> semuanya (manusia, haiwan, alam) bergantung kepada Allah SWT.
Apabila segala sesuatu bergantung kepada Allah, maka semua pergerakannya mesti diketahui hakikatnya oleh Allah SWT. Jika makhluk tak dipantau oleh yang mencipta, maka siapa pula yang akan akan menjaganya? Tiada sesuatu perkara pun yang tersembunyi di sisi Allah.

PerbahasanAyat 6:

Ayat ini memberi jawapan kepada orang Kristian kepada kenyataan mereka yang Nabi Isa itu ialah anak Allah. Allah menyatakan di sini bahawa Allah yang berkuasa menjadikan bayi di dalam rahim ibu. Allah yang menjadikan janin itu lelaki atau perempuan, hitam atau putih, berambut panjang atau pendek,  berkebolehan bercakap bahasa yang berbeza-beza dan sebagainya.

Seorang jurutera, kalau ingin membuat contohnya sejuta cawan, mesti membuat acuannya terlebih dahulu.  Daripada acuan yang satu, akan dihasilkan sejuta yang diinginkan dan semuanya akan sama sahaja bentuk dan rupanya. Tetapi Allah dalam menciptakan manusia yang sejumlah 4 billion atau lebih -> tiada satu pun yang sama, hatta ibu jari yang kelihatan sama sekalipun, apabila diambil capnya, tetap tak sama. Inilah perbezaan antara yang berkuasa mencipta dan yang tidak berkuasa mencipta.

Dalam penciptaan manusia, berlaku juga emak dan ayah putih, anaknya hitam. Ibu ayahnya rendah, dan anaknya tinggi. Perbezaan ini di ciptakan mengikut kehendak Allah supaya manusia sedar akan kebesaran Allah. Jika nampak manusia yang kurang sifatnya, jangan pula dibuat kajian berlebihan untuk mengelaknya daripada berlaku. Sebaliknya, jadikan kekurangan itu sebagai sebab bagi orang yang sempurna untuk bersyukur. Orang yang ada kekuranagn fizikal, pasti diberikan Allah ganti dengan perkara lain yang lebih bernilai berbanding kesempurnaan fizikal yang ditarik itu.

Contohnya, Imam Al-Haddad buta matanya tetapi mata hatinya terang. Pernah berlaku dia menerima tetamu dan mereka dihidangkan kopi oleh pembantunya. Ketika tetamunya ingin minum, Imam Al-Haddah menegur agar tetamunya membuang lalat yang berada dalam airnya dahulu. Orang yang tak nampak boleh ‘nampak’  lalat dalam kopi, dan orang yang nampak pula boleh tak nampak :D. Oleh sebab itu, jangan fokus pada kekurangan yang ada, tetapi carilah hikmah di sebalik kekurangan/kegagalan itu.

Dalam satu hadis Nabi SAW:

“Dari Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: ' Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya.”

Tiada penciptaan mahkluk lain yang diceritakan sebegitu terperinci di dalam Al-Quran atau hadis, sepertimana penciptaan manusia. (Huraian lanjut tentang hadis ini ada di sini dan tentang perawinya).

Allah menyuruh agar anak-anak Adam dimuliakan, walaupun kepada orang-orang kafir. Dalam perang Badar, Nabi SAW menyuruh mayat orang kafir yang terkorban agar diletak di dalam telaga untuk mengelak daripada dimakan haiwan.

Pada penghujung ayat 6 ini di sebutkan bahawa “Allah Maha Bijaksana” – maka segala ciptaa-Nya adalah sempurna, walaupun pada zahirnya nampak seperti berlaku kekurangan atau kecacatan pada fizikal. Allah Maha Mengetahui hakikat kejadian segala makhluknya – sama ada sempurna ataupun yang ada kekurangan. Orang yang cacat bukan sekadar menjadi ujian kepada dirinya sendiri, tetapi mereka juga menjadi ujian kepada orang di sekelilingnya yang sempurna. 

Apabila bertemu dengan orang yang ditimpa musibah, kita perlu bersyukur dan berdoa, yang bermaksud:
“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Yang memberi kepada saya afiah, kelengkapan, menyelamatkan saya daripada dugaan yang menimpa kepada kamu, dan memuliakan saya berbanding seluruh makhluk dengan kemuliaan yang banyak”

Kita perlu berdoa sebagai tanda kesyukuran terselamat daripada musibah yang menimpa orang lain. Disebalik musibah yang menimpa orang lain, terselindung nikmat buat kita yang terselamat, tetapi ramai antara kita yang tidak menyedarinya. Biasanya yang kita ucapkan ialah, “Kesian dia…”. Padahal, ketika itu kita juga sedang diuji dengan nikmat yang Allah berikan. Kemanakah digunakan nikmat yang Allah berikan itu? Soalan inilah yang perlu kita tanya diri sendiri. Apabila melihat kekurangan yang ada pada orang lain, tanya diri kita apa yang kita lakukan dengan kelebihan dan kesempurnaan yang Allah berikan kepada kita. Dengan pandangan sedemikian, barulah kita akan dapat merasa rahsia kemanisan bersyukur.

Perbahasan Ayat 7:

Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci Al-Quran. Sebahagian besar dari ayat Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”; ayat-ayat Muhkaamat itu ialah ibu isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”.

Apa itu ayat-ayat Muhkam?  Apa itu ayat-ayat Mutasyaabih? 

Ayat-ayat Muhkam menyentuh perkara yang jelas, tiada keraguan, dan tidak memerlukan kepada takwil. Ayatnya bersifat larangan atau suruhan, contohnya:

“Diwajibkan berpuasa ke atas kamu…”
“Jangan kamu dekati zina…”
“Allah melarang riba dan menghalalkan jual-beli…”

Ayat sebegini tidak boleh dipertikaikan lagi. Jika dilakukan juga, maka ianya telah menghampiri kepada perkara yang mengkufuri perkara yang sudah jelas di dalam Al-Quran atau hadis Nabi SAW.

“Demi Tuhanmu, tidaklah mereka dianggap beriman sehingga kamu dianggap sebagai hakim (muhkam)”. Oleh itu, sekiranya Nabi SAW telah memutuskan sesuatu, maka ianya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Dalam satu kisah, berlaku perselisihan antara 2 orang, iaitu seorang Yahudi dan seorang Muslim yang tidak jujur hatinya. Yahudi itu mengajak untuk membawa perkara itu kepada Nabi SAW. Nabi SAW memutuskan yang Yahudi itu benar. Nabi SAW bersikap adil dan tidak memilih kasih dalam membuat keputusan. Lelaki Muslim itu tidak puas hati, lalu membawa perkara itu kepada Sy. Umar. Sy. Umar pun bertanya mengapa tak ditanya perkara ini kepada Nabi SAW. Mereka pun menceritakan yang perkara itu sudah pun diputuskan oleh Nabi SAW. Sy Umar pun berkata, “Kamu sudah pergi kepada Rasulullah SAW tetapi kamu masih meminta pendapat aku dalam hal ini?” Kemudian, Sy Umar pun meminta mereka untuk tunggu sekejap dan dia pun keluar semula dengan membawa pedangnya pula :). Oleh itu, perkara yang telah diputuskan Nabi SAW tidak boleh dipertikai lagi.

Begitulah didalam Al-Quran, suruhan dan larangan yang terdapat dalam ayat muhkam, memerlukan kita supaya tidak banyak mempertikaikannya. Ayat muhkam juga memerlukan kita agar tidak perlu berfikir banyak. Kita perlu mematuhinya, yakni buat dahulu dan rahsianya (hikmahnya) akan terbuka selepas itu.

Ayat-ayat Mutasyabih ialah ayat maknanya samar-samar, luas. Contohnya:

“Allah beristiwa di arasy” – ‘Istawa’ mempunyai banyak makna dalam bahasa – seperti berdiri, bersemayam dan sebagainya
“Allah berada di atas arasy-Nya”
“Tangan Allah berada di atas tangan mereka”

Jadi bagaimana untuk memahami ayat-ayat sebegini? Bahkan ada juga ayat yang kelihatan bercanggah seperti di satu tempat dikatakan manusia tidak boleh melihat wajah Allah, tetapi di tempat yang lain dikatakan boleh pula. Sebagai analogi - contohnya mata orang yang rabun, akan perlu menggunakan cermin mata untuk membantu. Orang cacat pendengaran pula boleh menggunakan alat bantuan pendengaran untuk mendengar. Jika manusia mampu mencipta alat untuk mengatasi kekurangan manusia, maka Allah lebih berkuasa memjadikan manusia yang tak boleh melihat Allah di dunia kepada boleh melihat Allah di akhirat nanti.

Ayat-ayat berbentuk: “Alif Lam Miim”, “Alif Lam Miim Raa” dan seumpamanya juga adalah ayat Mutasyabihat. Ayat-ayat sebegini memerlukan kita berfikir, berbeza dengan ayat-ayat Muhkamat yang Allah perintah kita untuk patuh sahaja.

In Sha Allah bersambung minggu hadapan untuk membincangkan orang-orang yang mempermain-mainkan ayat mutasyabihat ini.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab