Tipu Daya Syaitan (2) – Tanyalah Ustaz 01.01.2013


Ustaz Mohd Nidzam Abdul Kadir


Bacaan ayat 20-21, surah Al-‘Araf:

Dalam ayat di atas, syaitan bersumpah yang dia merupakan pemberi nasihat – begitulah cara syaitan menipu kita. Ada kalanya nasihat syaitan nampak seperti elok, tetapi menyimpang sebenarnya. Oleh itu, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan sunnah. Cara melawannya yang terbaik ialah dengan memohon perlindungan dengan Allah SWT, dan ikhlas dalam amalan kita kepada Allah. Kita takkan mampu untuk melawan syaitan, kerana kita tak nampak syaitan, tapi syaitan nampak kita.

Kesimpulan:
Kita perlu tegas mengikut jalan Allah dan mengenal pasti jalan-jalan syaitan dan menjauhinya. 

Senarai soalan dan jawapan:
S: Ada orang suka berpakaian mengikut sunnah, tetapi akhlaknya tidak mengikut sunnah seperti suka mengumpat dan sebagainya.
J: Inilah salah satu bentuk tipu daya syaitan. Orang yang ikut sunnah kena, dan orang yang tak ikut sunnah pun akan kena. Biasanya syaitan akan menipu daya dengan mengatakan yang tidak mengapa buat dosa-dosa kecil kerana pahala mengikut sunnah itu lebih besar. Kita perlu tahu bahawa ada dosa yang besar dan boleh menghapus segala kebaikan yang kita lakukan. Contohnya, perasaan hasad dengki, yang mengikut hadis Nabi SAW, akan memakan amalan kebaikan seumpama bara api memakan kayu api. Ramai juga antara kita yang beradab dengan Allah, namun biadap dengan manusia. Sepatutnya manusia menjaga kedua-dua hubungan baik dengan Allah dan manusia juga. Nabi SAW merupakan orang yang berakhlak paling mulia, dan inilah yang patut kita teladani. Syeikh Abdul Wahab As-Sya’rani berkata kita perlu jaga lidah daripada maksiat adalah lebih utama (wajib) daripada kita berzikir (sunat).

S: Ada orang kata tidak mengapa buat maksiat kerana Allah Maha Pengampun. Mohon ulasan ustaz.
J: Betul, Allah itu bersifat Maha Pengasih, Maha Pengampun, Maha Sabar dengan maksiat yang kita lakukan. Inilah tipu daya syaitan. Sebenarnya kita lupa dengan sifat Allah lain yang keras iaitu antaranya azab Allah yang keras, dan neraka Allah yang luas dan pedih siksaannya.  Allah Maha Pengampun, tetapi syarat hanya kepada orang yang bertaubat. Taubat pula perlulah taubat Nasuha. Rahmat Allah hanya akan diberi kepada orang yang bertaqwa. Ada dalam satu kitab diceritakan, bahawa ada seorang yang buat maksiat di depan Kaabah, berdekatan Hajarul Aswasd. Dia ditegur oleh sahabatnya, tetapi dia berkata, “Nabi berjanji akan memberi syafaat kepada mereka yang berbuat dosa besar di akhirat nanti”. Sebenarnya itu adalah tipu daya syaitan. Dalam kitab Hikam, dinyatakan bahawa jika kita rasa hina dan bersalah selepas terbuat maksiat, adalah lebih baik daripada rasa takbur setelah berbuat ketaatan kepada Allah.

S: Ada manusia yang menggunakan kuasa dengan sebaiknya.
J: Antara bentuk tipu daya syaitan kepada orang yang berkuasa ialah
  • Merasa yang dirinya menjadi pilihan Allah, dan dia tak perlu lagi melakukan ketaatan kepada Allah.
  • Merasa kehebatan dirinya sendiri, dan enggan mendengar nasihat ulama dan menambah ilmu.
  • Tidak mengambil berat tentang orang di bawah pimpinannya.


S: Ada kalanya ustaz suka berdebat dan menyalahkan orang lain, dan membuatkan kami sebagai orang awam keliru. Mohon pandangan ustaz.
J: Betul, itu ada berlaku kerana ahli ilmu juga tidak terlepas daripada godaan syaitan. Hasad dengki merupakan ujian yang sangat besar dalam kalangan orang yang berilmu.

S: Adakah benar keturunan ulama dijamin menjadi ahli syurga?
J: Orang bertanya kepada Imam Malik (guru Imam Syafie) tentang masalah cerai. Suaminya berkata isterinya jatuh talak jika Umar Abdul Aziz tak masuk syurga. Imam Malik menjawab begini, “Umar Abdul Aziz ialah lelaki yang soleh”. Imam Malik tidak menyentuh tentang jika Umar itu masuk syurga atau tidak. Oleh itu, ulama juga tidak boleh menjamin sesiapa masuk syurga, termasuklah dirinya sendiri. Kasih sayang Allah adalah kerana ketaatan hambanya, bukanlah kerana keturunan. Contohnya, anak Nabi Nuh ditenggelamkan Allah ketika banjir besar yang menimpa kaumnya. Begitu juga dengan isteri Nabi Nuh, dan Nabi Lut yang tidak menjadi ahli syurga, walaupun suami mereka dijamin menjadi ahli syurga. Di akhirat, setiap orang akan dihisab secara individu, bukannya secara berkelompok atau bersama ahli keluarga

S: Bagaimana bentuk tipu daya syaitan?
J: Ada banya cara, antaranya:
  • Memujuk manusia akan meninggalkan terus sesuatu ibadat.
  • Memujuk manusia menangguhkan sesuatu ibadat.
  • Memujuk manusia agar beribadat dengan niat menunjuk-nunjuk pada orang lain.
  • Membisikkan rasa takabbur selepas menunaikan ibadat

S: Adakah syaitan ini jahat sepanjang masa?
J: Ya, dan syaitan itu tak lena, tak tidur daripada menganggu kita.

S: Adakah ustaz dan ulama terlepas gangguan syaitan?
J: Tidak, Allah menegur orang berilmu agar jangan menyuruh orang perkara yang dia sendiri tidak lakukan. Syaitan akan memujuk agar orang berilmu berasa ilmunya tinggi dan tak perlu beramal dengan ilmunya. Kadang-kadang orang berilmu dihelah dengan fakta yang dia tak pasti kesahihannya atau bercakap besar seolah-olah apa yang dikatanya itu juga dilakukan.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab