Bersih Jiwa (2) – Tanyalah Ustaz 12.07.2012

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin


Bacaan surah Al-Israk, ayat 71-72:

Huraian ayat:
Ayat tadi menerangkan bahawa sesiapa yang kotor jiwanya, buta hatinya ketika di dunia akan dibutakan juga di akhirat nanti. Pada hari akhirat nanti, matahari akan berada sejengkal di kepala kita, dan kita akan basah dipenuhi peluh. Kita semua takkan mempedulikan orang lain. Jika dibutakan pula, akan semakin sukarlah urusannya di akhirat nanti. Dalam kitab Al-Hikam, halaman 499, ada dinyatakan satu hadis Nabi SAW, diriwayatkan oleh Anas Darul Qutni, yang bermaksud, “Barangsiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, lihatlah kedudukan Allah dalam hatinya.” Oleh itu, mari kita tanya diri sendiri – bagaimana kedudukan Allah dalam hati kita? Adakah kita dekat dengan majlis ilmu, masjid dan Al-Quran? Atau adakah kita lebih banyak mengingati keluarga, rumah, harta benda? Oleh sebab itu, mari periksa diri untuk mengetahui besar atau kecilnya Allah di sisi kita.

Kesan jiwa yang kotor – mari ambil contoh daripada filem 'Ibu mertuaku'. Ada satu watak dalam filem itu iaitu Nyonya Mansur – dia telah melakukan banyak usaha jahat untuk memisahkan anaknya daripada Kasim Selamat. Lepas satu, satu usaha dilakukannya. Inilah kesan hati yang tidak bersih.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Anak saya bekerja di syarikat pemasaran. Mereka saling bersaing dan ingin menjatuhkan satu sama lain. Mohon ustaz beri nasihat untuk menhadapi situasi ini.
J: Persaingan yang sihat amat digalakkan dalam Islam, tetapi bukanlah persaingan yang tidak sihat. Biarlah jika orang lain ingin buat jahat atau menjatuhkan kita, kita tidak boleh balas kejahatan mereka. Sematkan dalam hati bahawa kita akan mati suatu hari nanti. Ketika mati, Allah akan soal kita, bukan orang yang aniaya kita. Jadi teruslah bekerja dengan jujur dan berbuat kebaikan. Allah Taala menyarankan kita beramal dan berbuat kebaikan kerana Allah, Rasul dan orang-orang mukmin akan melihatnya. Kebaikan itu bukan sahaja akan mendapat balasan baik di dunia, bahkan di akhirat juga. Oleh itu, tidak perlu takut dan terus memberi yang terbaik dalam pekerjaan. Dunia ini sementara sahaja dan penuh dengan kesengsaraan. Oleh itu, kejarlah akhirat yang kekal abadi.

S: Salahkah jika menonton rancangan TV sekadar untuk suka-suka saja? Saya bukannya ingin menyokong (mengundi melalui SMS), sekadar ingin menonton.
J: Saya pecahkan soalah kepada dua. Pertama: Adakah Islam melarang hiburan? Tidak, tetapi Islam ada meletakkan garis panduan yang betul untuk berhibur. Oleh itu, kita perlu pandai memilih – jika lagu, cari lagu yang liriknya menginsafkan dan mendekatkan diri kepada Allah. Jauhi hiburan yang ada unsur-unsur haram seperti perjudian, buka aurat, minum arak, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dan lain-lain. Inilah cabaran hedonisme – iaitu hiburan yang tidak putus-putus. Dalam satu kajian yang dijalankan, Malaysia mendapat tempat ke-10 sebagai negara yang banyak berhibur. Hedonisme sebenarnya adalah satu petanda awal keruntuhan sesuatu bangsa. Oleh sebab itu, kita perlu cari alternatif. Tontonlah rancangan yang baik-baik seperti rancangan Harun Yahya, akademi Al-Quran, ceramah dan sebagainya.

Kedua, setelah menonton, ada pula rancangan yang meminta kita menghantar sms. Nabi SAW suruh kita menolong ke arah kebaikan, bukan ke arah kemungkaran. Oleh itu, boleh dikira salah jika menyokong menggunakan sms kerana ada alternatif lain untuk berhibur. Di sini, ingat saya ingatkan bahawa tanda ibu bapa gagal menonton anak-anak ialah apabila mereka terpaksa menggunakan PS2, 'games', TV, komputer untuk mendidik anak mereka. Ibu bapa yang cemerlang tidak memerlukan alat-alat ini untuk mendidik anak secara seronok dan menggembirakan.

S: Jika kita memiliki anak yang degil, adakah puncanya daripada makanan yang tidak 'bersih'? Bagaimana mengatasinya?
J: Saya telah sebut bahawa sumber rezeki yang dibawa balik ke rumah mestilah halal. Kemudian pastikan juga soal pendidikan. Mengikut pakar motivasi, Datuk Fadzilah Khamsah, jangan risau jika anak tak dengar cakap kita, tetapi risaulah dengan tindakan kita, kerana mereka akan lebih mudah mengikut apa yang kita lakukan. Oleh itu, sebelum suruh anak solat, ibu bapa perlu solat dahulu, jangan pula ibu buka tv dan tengok cerita hindustan. Ada satu kisah di mana anak dikenakan tindakan disiplin kerana menyebut perkataan 'babi' kepada gurunya. Apabila ibu bapanya dipanggil ke sekolah, didapati bahawa bapanya amat gemar menyebut 'babi' ketika marah. Ada juga seorang profesor yang tidak pernah mengajar anaknya untuk mencintai ilmu atau membaca, tetapi anaknya minat kerana melihat ayahnya yang suka belajar. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu terlebih dahulu berubah dan kemudian anak-anak dan orang sekeliling juga akan berubah. Kemudian, tambah lagi dengan doa ibu bapa untuk anak-anak. Ibu bapa perlu doakan kebaikan kepada anak-anak dan doakan agar diri sendiri dapat menjadi pemimpin yang baik kepada keluarga.

S: Bagaimana untuk mengatasi riak dalam beribadat? Bagaimana untuk mengelak dan mengatasinya? Mohon ustaz terangkan.
J: Sepatutnya kita beribadah untuk Allah SWT, tetapi orang yang riak buat ibadat kerana manusia. Riak bermaksud – dipertontonkan kepada orang lain. Dia suka bila orang mengatakan yang dia ini baik, beriman dan sebagainya. Ini sudah menjadi satu bentuk syirik kerana beribadat untuk mendapatkan pujian manusia. Untuk mengatasinya kita perlu selalu menghadiri majlis ilmu. Kita perlu ingat bahawa berapa lamakah akan bertahan pujian atau sokongan orang lain itu? Paling lama pun 60-70 tahun. Menurut kata Stephen Covey, orang yang berjaya adalah orang 'begin with the end in mind'. Matlamat akhir kita adalah syurga di hari akhirat nanti, bukannya kehidupan di dunia ini. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam beramal. Jika ingin sedekah, jangan sampai orang nampak. Jika solat sunat, lebih baik buat di rumah.

S: Bagaimana mengenal jiwa bersih atau tidak kerana ianya bersifat halus?
J: Betul, sifat roh itu halus, tetapi tandanya ada. Begitulah jika orang sakit jantung, kita tak nampak jantung tetapi kesannya ada kelihatan. Antara tanda orang yang jiwa kotor, orang itu ujub dengan amalan yang dilakukannya. Dia juga riyak, takabbur, ghurur, suka bersangka buruk, kikir dan sebagainya. Sebaliknya orang yang berjiwa bersih mempunyai sifat-sifat yang berlawanan. Dia akan merasa dirinya selalu kekurangan dalam amalan. Apabila melihat anak kecil, dia merasakan anak kecil itu lebih baik kerana mereka kurang dosa.

S: Saya ada mendengar bahawa 'banyak ketawa akan menyebabkan hati mati' dan 'banyak tidur menyebabkan jiwa kotor'. Mohon penjelasan ustaz.
J: Antara punca jiwa kotor – banyak tidur, banyak bercakap benda lagha (sia-sia). Proses yang boleh menyebabkan jiwa kotor – banyak tidur sehingga tertinggal solat Subuh. Dosa akan menyebabkan titik hitam dalam hatinya dan seterusnya menyebabkan jiwa menjadi kotor. Orang yang suka tidur juga adalah orang yang makan kenyang. Oleh sebab itu kita digalakkan berpuasa sunat. Makan kenyang juga menjadikan seseorang itu malas dan meninggalkan amalan-amalan baik. Apabila meninggalkan amalan baik, yang tinggal padanya hanyalah banyak perkara jahat. Begitu jika jika terlalu banyak tidur, masa itu habis begitu sahaja. Wallahu'alam.

S: Ustaz kata orang yang banyak membaca Al-Quran akan bersih jiwanya. Tetapi bagaimana jika orang sebegini masih lagi berbuat kejahatan dan maksiat? Mohon komen ustaz?
J: Inilah sifat manusia, ada kalanya dia gagal mengawal dirinya. Ada kalanya sesuatu terjadi sebagai satu ujian kepada orang itu. Kita pernah dengar cerita seorang alim yang begitu kuat beribadat, tetapi diuji sehingga dia ke tali gantung dalam keadaan murtad. Merujuk kepada ajaran ulama, kita digalakkan melakukan perkara sunat seperti qiyammullail, puasa sunat, pergi majlis ilmu. Kenapa disebut perkara sunat sahaja? Perkara wajib tidak perlu disebut kerana ianya sudah menjadi tanggungjwab kita. Allah amat suka apabila sesorang itu melakukan amalan sunat.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab