Budaya Iqra’ (2) - Tanyalah Ustaz 2 Ramadhan 1433H (22.07.2012

Ustaz Syed Mohd Norhiysam Tuan Padang

Alhamdulillah kita dipertemukan lagi hari ini dan dipilih Allah untuk berada dalam majlis ilmu. Kita berdoa dan berharap agar Allah akan selalu pilih kita untuk berada dalam majlis ilmu. Yang paling penting juga, kita berharap semoga Allah beri kita kefahaman untuk beramal dan kekuatan untuk istiqamah dengan amalan yang baik.


Bacaan surah Iqra’ ayat 1-5:

Dalam ayat kedua,  Allah nyatakan bahawa manusia dicipta daripada ‘Alaq. Perkataan ‘Alaq’ mempunyai 3 makna – darah beku, benda yang tergantung dan haiwan yang makan darah (pacat).
Seorang pakar zoo, Keith Moore, apabila diberitahu bahawa ‘Alaq’ (janin) itu berbentuk seperti pacat, dan kedudukannya tergantung di rahim, terus meminta gambar pacat daripada zoo dan apabila dilihat, tepatlah seperti apa yang Allah nyatakan dalam Al-Quran. Allah yang mencipta kita mengetahui segala-galanya tentang kita dan dunia ini. Oleh itu, jika Allah kata kita perlu puasa, yakinlah ada kebaikan dalam puasa itu. Sudah banyak kajian yang membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak kebaikan daripada sudut kesihatan. Oleh sebab itu, mulut orang berpuasa berbau kerana sebenarnya dalam perutnya berlaku proses pembaikan tubuh badan. Namun begitu, kita jangan pula niat berpuasa untuk mendapat kesihatan atau untuk menguruskan badan. Kita perlu niatkan berpuasa kerana Allah SWT dan kebaikan yang diperolehi adalah hikmah ibadah itu.

Sedikit pesanan kepada para peniaga: Janganlah berniaga terlalu awal dan jangan sampai meninggalkan solat wajib dan solat tarawikh kerana berniaga. Janganlah terlalu mengejar keuntungan tanpa memikirkan keberkatan rezeki yang diperolehi.

Antara beberapa kesilapan yang berlaku dalam puasa ialah ibu bapa bersungguh-sungguh melatih anak berpuasa, tetapi tidak bersungguh melatih anak solat. Nabi Muhammad SAW menyuruh kita melatih anak solat ketika mereka berumur 7 tahun. Kedua: ada orang bersungguh solat tarawikh berjemaah, tetapi meninggalkan solat Subuh dan Isyak berjemaah. Ketiga: makan tengah malam dan menanggapnya sebagai sahur. Itu bukan sahur, itu ‘suffer’ kerana selepas makan terus tidur. Nabi Muhammad SAW menyuruh kita bersahur kerana ada keberkatannya. Biarlah bersahur dengan kurma dan air sahaja, jika tiada selera.

Ketika memberitahu kelebihan Lailatul Qadar, Aisyah r.a. bertanya apakah doa yang perlu diucapkan sekiranya berjumpa Lailatul Qadar. Nabi SAW lalu mengajar untuk membaca doa berikut:


Maksudnya: "Ya Allah, Sesunguhnya Engkau Maha Pemaaf, dan senang memaafkan, maka maafkanlah kesalahanku".

Senarai soalan dan jawapan:
S: Kenapa ada insan yang rajin membaca dan pergi majlis imu tetapi berakhlak kurang manis terhadap keluarga dan jiran tetangga?
J: Akhlak adalah buah daripada ilmu dan iman. Nabi Muhammad SAW membuat satu kesimpulan, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling sempurna akhlaknya.” Namun begitu, jika akhlak baik tetapi tak memenuhi ibadah wajib seperti solat, dia tidak dikira berakhlak baik. Seterusnya Nabi Muhammad SAW berkata lagi, “Orang yang mempunyai akhlak terbaik pula adalah mereka yang paling baik terhadap isterinya. Dan akulah yang terbaik kepada isteriku.” Oleh itu, kita semua perlu mencontohi Nabi Muhammad SAW.

S: Ustaz ada menyebut bahawa masjid merupakan tempat utama untuk membudayakan Iqra’. Namun ada berlaku kes di mana AJK yang tidak lagi dilantik tidak lagi mahu datang ke masjid. Apa nasihat ustaz?
J: Tugas mengimarahkan masjid merupakan tugas kita semua, bukan tugas AJK semata. Sahabat Nabi Muhammad SAW semuanya mempunyai ‘sense of belonging’ dengan masjid. AJK yang pernah terpilih, dan kemudian tidak terpilih lagi, ambillah pengajaran daripada kisah sahabat yang tidak mengutamakan jawatan dalam berjuang untuk Islam. Ada satu kisah di mana Khalid Al-Walid diperintah oleh Umar untuk ‘turun pangkat’ daripada ketua perang dan memberikan jawatan itu kepada orang lain. Apabila ditanya orang tidakkah dia berasa kecil hati, jawab Khalid, “Aku berperang bukan kerana Umar, tetapi kerana Allah SWT”.

S: Mohon penjelasan – sekiranya seseorang bermusafir ke Jepun contohnya, ada kah dia boleh beraya mengikut seperti yang ditetapkan di sana walaupun bilangan hari puasanya kurang daripada di Malaysia?
J: Dia boleh beraya mengikut situasi tempat dia berada. Jika tidak cukup sebulan puasanya, qada selepas Ramadhan. Jika tempat itu belum beraya, dia perlu ikut berpuasa sekali. Biarlah dia berpuasa lebih, tidak mengapa kerana jika dia beraya itu boleh menyebabkan berlaku fitnah. Jika berpuasa dan mengembara ke tempat lain, dia perlu mengikut waktu berbuka tempatan. Tetapi sebagai musafir, dia diizinkan untuk tidak berpuasa.

S: Dalam bulan Ramadhan, ramai umat Islam berlumba-lumba membanyakkan ibadah. Salah satunya, orang akan bertadarus. Bagaimanakah cara tadarrus yang terbaik?
J: Makna tadarus adalah ulangkali Al-Quran. Nabi Muhammad SAW akan membaca Al-Quran dan jika silap akan ditegur oleh Jibril. Nabi Muhammad SAW akan khatam sekali pada setiap Ramadhan kecuali pada tahun terakhir kehidupannya di mana Nabi Muhammad SAW khatam 2 kali dalam bulan Ramadhan. Tetapi dalam masyarakan hari ini, mereka membahagi surah Al-Quran dan membaca beramai-ramai. Itu bukanlah kaedah yang betul kerana sepatutnya seorang membaca, yang lain perlu mendengar dan menegur jika ada kesilapan. Saya cadangkan juga agar diluangkan sedikit masa untuk membaca terjemahan beramai-ramai. Biarlah kita tidak faham secara mendalam, tetapi paling kurang kita tahu sedikit makna ayat-ayat yang telah dibaca. Untuk memahami lebih lanjut, pergilah menghadiri kelas-kelas tafsir Al-Quran.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab