Perihal Talak (1) – Tanyalah Ustaz 11 Ramadhan 1433H (31.07.2012)

Ustaz Muhammad Abdullah


Bacaan surah Ar-Ruum, ayat 21-22:

Kenapa kita bincang perihal talak dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya saya pun tak tahu tetapi setiap ilmu yang disebut dalam Al-Quran dan dalam hadis Nabi SAW pasti ada kebaikannya apabila kita bincangkan, InsyaAllah. Nabi SAW dalam sebuah hadis bersabda: "Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak." Kenapa Allah benci talak? Kerana banyak perkara tak baik boleh berlaku kesan talak contohnya – pergaduhan antara bekas suami dan isteri, keluarga, nafkah anak-anak mungkin terabai dan banyak lagi.

Semua orang mengimpikan keluarga yang bahagia. Ada kadang-kadang suami atau isteri datang mengadu masalah rumah tangga kepada saya. Kalau suami selalunya akan mengatakan yang isterinya tak lagi menghormatinya, kalau isteri pula akan mengatakan yang suaminya tidak lagi menyayanginya. Cuba kita perhatikan bagaimana kehidupan Nabi SAW – adakah bermasalah atau tidak? Sebenarnya Nabi SAW lebih banyak diuji. Namun dengan masalah yang menimpa, Nabi menjadi orang yang tenang, bahagia dan mulia. Oleh itu, bukanlah masalah yang menjadikan hidup tidak bahagia.

Hari ini, kita akan fokus pada tiga perkara penting untuk menghindarkan talak dan hidup bahagia dalam rumah tangga. Perkara tersebut adalah:

1 Niat menjadi orang soleh setiap hari
Habib Annis dalam kitab An-Niat menyatakan bahawa kita perlu mengajarkan anak berniat untuk menjadi orang yang soleh sebagaimana kita mengajar anak kita berniat untuk solat. Oleh itu, setiap orang perlu memperbaharui niat ini setiap hari. Imam Ghazali membahagi niat kepada 3:
  1. Orang awam – orang yang niat menjadi baik, tetapi dia akan baik cuma apabila orang lain juga baik padanya.
  2. Orang orang biasa – orang biasa pula niat buat baik tetapi mengharapkan balasan baik daripada Tuhan. Oleh itu, apabila diuji Oleh Tuhan, dia akan kecewa
  3. Orang yang teristimewa – kumpulan ini pula buat baik kerana Allah perintahkan begitu. Orang seperti ini akan sabar apa saja ujian yang berlaku dan sentiasa mengadu dan mengharap kepada Allah semata.

Oleh itu, hari ini, mari kira semua berniat seperti orang yang teristimewa. Kita niat jadi baik kerana Allah SWT. Semoga Allah bantu dan beri kita kekuatan kepada kita semua.

2 Banyakkan berdoa
Berdoa ini perlu diiringkan dengan kesabaran. Doa ada kalanya Allah makbulkan terus, ada kalanya Allah ganti benda lain yang lebih baik cuma kita yang tak tahu atau ada kalanya Allah beri benda lain yang menjadi jalan untuk mendapatkan apa yang diingini. Berdoa pun ada 3 peringkat:
  1. Doa orang awam - Doa orang yang acuh tak acuh,  marah-marah dan tidak yakin pada Allah.
  2. Doa orang biasa - doa orang cuma ketika dia berhajat, atau dalam kesusahan.
  3. Doa orang teristimewa - berdoa dan merintih sepanjang masa – inilah yang Nabi SAW maksudkan dengan orang yang mengingati Allah ketika senang, maka Allah akan mengingatinya ketika dia susah.

Apakah doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi SAW? Doanya terdapat dalam surah Al-Baqarah, ayat 201:

Berdoalah sentiasa kerana apabila mengingati Allah, hati pasti akan tenang.

3 Betulkan cara memandang sesuatu
Pandangan kita terhadap sesuatu mempengaruhi tindak-tanduk kita. Oleh itu, Islam datang dan membetulkan pandangan bahawa isteri bukanlah hamba. Isteri dijadikan daripada tulang rusuk yang kedudukannya dekat di hati untuk disayangi dan dilindungi. Sebenarnya, pergaduhan juga seperti percintaan, di mana ‘bertepuk sebelah tangan takkan menjadi’. Oleh itu dalam rumah tangga, jika seorang sedang marah, seorang lagi diamkan saja dan sabar. Imam Ghazali menggariskan ada tiga cara kita menghadapi masalah:
  1. Orang awam – orang awam akan menyalahkan orang lain dan tidak mencari jalan penyelasaian. Apa saja masalah yang berlaku, dia akan mencari orang  untuk disalahkan.
  2. Orang biasa  - orang biasa pula menyalahkan sesuatu dan cuba mencari jalan penyelasaian.
  3. Orang teristimewa – orang ini akan mencari kesalahan dirinya sendiri dahulu. Jika berlaku masalah, dia akan melihat dirinya sendiri sebagai punca masalah dan memperbaiki dirinya dahulu.

Kesimpulan: Amalkan 3 perkara penting di atas dan banyakkan memaafkan kesalahan pasangan. Memaafkan dan melupakan adalah dua perkara yang berbeza. Dengan memaafkan orang lain, kita memberi ketenangan kepada diri kita sebenarnya. Selagi kita belum memaafkan, perkara itu akan menganggu hati dan inilah yang banyak membuatkan kita merungut-rungut sendirian dan berasa tidak tenang.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah sah talak melalui sms?
J: Dari segi wajar, memang tak wajar cerai melalui sms. Dari segi sah atau tidak pula perlu merujuk kepada mahkamah syariah kerana perlu disiasat mungkin sms itu ditulis oleh rakan, atau mungkin isteri itu sedang mengandung atau haid.

S: Isteri pernah berkahwin di Thailand dan dikatakan telah bercerai, namun tiada surat. Suami barunya syak isterinya kembali kepada suami lama. Mohon nasihat ustaz.
J: Dari segi undang-undang, perkahwinan di Thailand tidak wujud di Malaysia. Oleh itu tidak dapat dipastikan dan diperiksa. Dalam hal ini, tiada cara lain - suami isteri perlu berbincang elok-elok untuk mengetahui kebenaran.

S: Seorang suami telah berkahwin, tetapi apabila bertemu rakan-rakan baru, dia mengaku yang dirinya bujang. Adakah telah jatuh talaknya?
J: Dalam hukum, jika bahasa yang digunakan adalah tidak langsung, contoh: “Saya bujang” – perlu ada niat menceraikan baru jatuh talak. Tetapi jika bahasa langsung seperti – “Saya ceraikan awak” tidak perlu kepada niat dan jatuh talak.

S: Bagaimana nak bertindak kepada suami yang mengabaikan hak isteri dan anak-anak?
J: Boleh buat aduan kepada mahkamah syariah. Ibu-ibu jangan risau, Allah yang menjaga rezeki. Mungkin kita akan hidup susah sementara, tetapi sabarlah, InsyaAllah akan ada kebaikannya. Daripada pengalaman saya sebagai pengamal undang-undang syariah, saya banyak berjumpa keadaan suami yang menahan hak isteri dan anak-anak tidak akan mendapat berkat dalam kehidupannya.

S: Bagaimana keadaan pelakon suami-isteri yang bercerai dalam lakonan?
J: Jika perkataan itu jelas keluar daripada mulutnya, boleh jatuh talak. Oleh itu, saya nasihatkan para pembikin filem perlu mendapatkan khidmat penasihat syariah agar hukum Islam dan jalan cerita terjaga.

S: Apa hukum menceraikan isteri yang dirasakan lebih taat kepada ibu bapa berbanding suami?
J: Dalam hal nusyuz, hak talak terletak pada mahkamah syariah. Mahkamah akan menyiasat kedua-dua belah pihak dan memutuskan.

S: Kenapa Sayyidina Hassan banyak bercerai?
J: Pada ketika itu, keluarga Ali diburu dan dibunuh sehingga tinggal seorang cicit Nabi iaitu Ali Zainal Abidin. Jadi, orang risau keturunan Nabi SAW akan terputus Oleh itu, mereka datang berjumpa Hassan dan meminta dia berkahwin dengan ramai wanita. Setelah mengandung, wanita itu diceraikan, namun wanita dan zuriatnya dijaga baik-baik dan tidak berlaku kezaliman.

S: Dalam bulan Ramadhan, Allah dan Nabi SAW suka kita sebut “Aku sedang berpuasa” jika kita diuji. Bagaimana mengekalkan tarbiyyah ini sehingga selepas Ramadhan?
J: Ucapan ini diucapkan dengan maksud kita malas nak layan jika ada orang yang nak gaduh atau nak kacau kita. Nafsu bergaduh itu takkan memberi kita kepuasan atau ketenangan. Oleh itu jika dituruti sekalipun, kita tetap takkan dapat ketenangan. Ketahuilah bahwa Allah tidak akan memberi ketenangan dalam maksiat, sebaliknya ketenangan akan diberi dengan mentaati Allah.

S: Isteri yang mengandung minta cerai dan selepas cerai dia menggugurkan kandungannya. Apakah hukumnya iddahnya?
J: Menggugurkan kandungan dalah tidak wajar dan boleh jadi haram. Iddah bagi wanita mengandung adalah sehingga melahirkan atau sehingga kandungan itu tiada lagi. Tujuannya iddah adalah untuk menjaga nisab keturunan dalam Islam dan memastikan rahim isteri bersih daripada zuriat bekas suami.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab