Keindahan Ramadhan – Tanyalah Ustaz 20.07.201

Ustaz Rujhan Mohamed Razali


Bacaan surah Al-Baqarah ayat 183:

Alhamdulillah syukur kita dipertemukan pada hari yang penuh berkat iaitu hari Jumaat. Paling istimewa kita akan bertemu dengan bulan yang paling agung iaitu Ramadhan yang bakal tiba, InsyaAllah. Marilah menjadi yang terbaik – dengan ujian kita bersabar, dengan nikmat kita bersyukur. Semakin tinggi kasih sayang Allah, semakin berat ujian yang akan diberikan. Oleh itu, mulakan hari dengan senyuman, ayunkan langkah dengan keyakinan, akrabkah hati dengan Tuhan, rapatkan diri sesama insan.

Nabi SAW berkhutbah panjang tentang kelebihan bulan Ramadhan. Antaranya Nabi SAW berpesan akan datang kepada kamu satu bulan yang sangat agung dan bulan yang sangat berkat. Indahnya Ramadhan adalah sesuatu yang dirasai oleh hati. Oleh itu kita perlu melihat Ramadhan melalui kaca mata hati. Sesungguhnya benarlah kata-kata ini – “Buta mata tak nampak jalan di dunia, buta hati tak nampak jalan ke syurga”. Oleh sebab itu titik permulaan untuk merasai keindahan bulan Ramadhan adalah seperti yang Allah nyatakan dalam ayat 183, surah Al-Baqarah yang dibacakan tadi – melalui iman. Hanya orang beriman yang akan merasai kelazatan apabila memasuki bulan Ramadhan.

Mana ada bulan yang lain yang awalnya diberi rahmat, tengahnya diberi keampunan dan hujungnya diberi pembebasan api neraka? Carilah bulan lain yang didalamnya ada solat tarawikh. Mana ada bulan lain yang mempunyai satu malam yang menyamai seribu bulan? Mana ada bulan dimana tidur seseorang itu juga dianggap sebagai ibadah? Carilah bulan dimana amalan sunat yang dilakukan diberi ganjaran seperti amalan wajib, manakala pahala amalan wajib pula digandakan 70 kali. Itulah satu-satunya bulan iaitu Ramadhan.

Ramadhan itu hebat, cuma kita yang tidak hebat. Manusia mempunyai rasa yang berbeza-beza apabila berada dalam bulan Ramadhan. Ada yang sangat merinduinya, manakala ada juga yang terasa seolah-olah seperti bulan biasa saja. Semua ini bertitik-tolak daripada hati. Sebagai tamsilan mudah – katakan kita pergi ke tepi pantai – ada orang cuma nampak sampah-sarap ditepi pantai, ada orang pergi pantai dan nampak keindahan untuk dilukis, ada orang mendapat ilham menulis puisi di tepi pantai, ada juga orang melihat peluang perniagaan seperti chalet atau perikanan. Tetapi orang yang paling beruntung adalah orang yang nampak mutiara dan petroleum yang berharga di dalamnya.

Begitulah juga manusia dengan Ramadhan. Ada golongan yang merasa biasa saja Ramadhan ini, seumpama bulan-bulan biasa saja. Mereka ini cuma pentingkan 5 rukun hidup – makan, minum, tidur, rehat dan kahwin. Golongan kedua nampak kehebatan Ramadhan dari segi kesihatan – peluang untuk menguruskan dan menyihatkan badan. Golongan ketiga adalah orang yang nampak ‘mutiara’ di dalam bulan Ramadhan iaitu supaya kita dapat menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah Taala.

Dalam hidup ada dua perkara yang perlu diberi tumpuan – nak cari apa dan kena jadi apa. Namun kebanyakan kita cuma fokus pada yang pertama – nak cari apa – cari harta, kekayaan dan sebagainya. Islam tidak melarang semua ini. Tetapi kita perlu fokus juga dengan apa yang kita perlu jadi dalam hidup – iaitu kita perlu menjadi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Tanpa iman dan taqwa, jika seorang itu mempunyai harta, dia akan menjadi orang kaya yang sombong sesama manusia dan kepada Allah.

Keindahan Ramadhan hanya boleh dirasa melalui hati. Cuba perhatikan tamsilan ini: Orang yang sakit tiada selera untuk makan. Walaupun dihidangkan makanan yang lazat, rasanya tetap tidak sedap pada tekaknya. Begitulah juga hati manusia dengan Ramadhan. Pada orang yang sihat hatinya, dia merasa lazat menunaikan puasa, solat tarawikh, bertadarrus Al-Quran di bulan Ramadhan. Sebaliknya, oran yang hatinya ‘sakit’ akan merasa pahit dan berat untuk berpuasa, solat tarawikh dan tadarrus Al-Quran. Orang yang sakit jiwanya takkan dapat melihat keindahan Ramadhan.

Alhamdulillah, kita bertemu dalam majlis ilmu. Namun saya nasihatkan juga agar kita teruskan juga mencari ilmu di masjid-masjid dan kuliah agama. Jangan terhenti di sini sahaja. Tambahan pula di bulan Ramadhan yang mulia ini.  Dapatkan juga rujukan melalui buku dan majalah yang sesuai, contohnya majalan Q&A terbaru yang mengupas isu puasa.

Mari kita masuk Ramadhan dengan niat dan azam untuk melakukan yang terbaik. Puasa biarlah puasa zahir dan batin. Jagalah pancaindera kita juga. Tambah ilmu agar kita dapat memperbaiki kualiti ibadah kita. Disamping ibadah wajib, mari kita gandakan ibadah sunat seperti solat tarawikh, tadarrus Al-Quran, zikrullah dan qiyammullail. Bulan ini bulan ibadah, bukan bulan juadah. Jaga juga hubungan kita dengan manusia lain. Jika ada permasalahan, leraikanlah secepat mungkin. Hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan sengketa dan air mata. Didiklah diri kita agar suka memberi. Sesungguhnya apa yang kita terima akan terhenti ketika kita mati, tetapi apa yang kita beri akan hidup selama-lamanya. Selain daripada memberi harta, berilah juga masa dengan meluangkan masa di majlis ilmu, atau untuk masyarakat. Hati yang tidak dihiraukan akan ditumbuhi semak dan  lalang. Oleh itu kita perlu sentiasa bersihkan dan jaga hati kita.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah hikmah berpuasa di bulan Ramadhan sekiranya dilakukan dengan jayanya?
J: Hikmah besar ada dua jenis – di dunia dan akhirat. Di akhirat nanti, Allah sudah janjikan ada satu pintu khas untuk orang yang berpuasa masuk ke syurga, iaitu pintu Ar-Rayyan. Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan ini. Hikmah di dunia pula ada banyak – antaranya mendapat kesihatan. Hikmah besar seterusnya ialah mendidik hati untuk ingat akhirat. Jika berpuasa adalah untuk merasai sendiri kesusahan orang yang fakir, tentulah orang kaya sahaja yang diwajibkan berpuasa. Tetapi hakikatnya kita semua, yang susah mahupun senang, diwajibkan berpuasa. Hakikat yang sebenar adalah untuk merasai derita yang bakal dialami di padang masyar nanti. Ketika sakaratulmaut, jika dikumpulkan seluruh air di dunia ini sekalipun, takkan dapat menghilangkan dahaga yang ditanggung. Sedikit kehausan dan kelaparan di dunia seharusnya mengingatkan kita akan nasib kita di akhirat nanti dan mendidik jiwa kita. Hikmah besar seterusnya adalah untuk menundukkan nafsu yang menjadi punca kepada kebanyakan kemungkaran dan maksiat kepada Allah. Ada banyak lagi, tetapi masa tidak mengizinkan.

S: Ada orang buat alasan malas untuk beribadah di bulan puasa kerana penat. Mohon ulasan ustaz.
J: Ramadhan adalah bulan ibadah – ibadah wajib dan ibadah sunat. Allah menjanjikan tawaran pahala yang berlipat-ganda. Tetapi ada pula orang yang beralasan kepenatan untuk menambah ibadah. Seperti yang saya katakan tadi, orang yang sakit jiwanya, tidak akan nampak keindahan yang ada pada Ramadhan. Ramadhan adalah bulan jihad, bukan bulan rehat. Dalam catatan sejarah Islam, banyak kemenangan berlaku dalam bulan Ramadhan, contohnya kemenangan dalam Perang Badar. Oleh itu, perlu disembuhkan sakit dijiwanya agar lebih bersemangat untuk beribadat di bulan mulia ini.

S: Bulan Ramadhan dikenali sebagai bulan yang dipenuhi ganjaran atas kesabaran. Mohon ulasan ustaz.
J: Betul, salah satu hikmah berpuasa adalah tarbiyyah kesabaran. Semakin tinggi kasih Allah terhadap hambanya, semakin hebat ujian yang akan diberikan keatasnya. Sabar berkaitan dengan ujian. Dicelah-celah kehidupan ini berapa banyak air mata yang telah tumpah. Jangan mengharap siang berpanjangan, pasti akan datang gelapnya malam. Jangan bermimpi tawa berpanjangan, pasti akan bertamunya tangisan. Hidup tidak selalu indah, tetapi disitulah indahnya kehidupan. Orang yang sabar dijanjikan ganjaran syurga tanpa hisab. Di akhirat nanti, malaikat akan kehairanan melihat sekelompok manusia yang serinya begitu memancar sehingga mengalahkan cahaya matahari. Apabila ditanya adakah mereka golongan malaikat atau para Nabi. Jawapannya tidak, tetapi mereka adalah golongan orang yang sabar ketika di dunia. Ketika berpuasa, kita masih ada makanan dan minuman tetapi kerana berpuasa, kita bersabar untuk tidak mengambilnya. Orang yang lapar mudah marah, oleh itu jika ada orang berbuat kejahatan pada kita, kita ucapkan saja, “Aku sedang berpuasa”.

S: Bagaimana mendapatkan Lailatul Qadar dan bagaimana gambaran kejadiannya? Bagaimana untuk mengetahui jika puasa kita diterima Allah SWT?
J: Lailatul Qadar hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ganjarannya melebihi, bukan sama, seribu bulan. Saidina Umar ada berkata bahawa Allah merahsiakan beberapa perkara iaitu Allah rahsiakan redhanya dalam setiap amalan baik, oleh itu jangan pandang kecil apa saja yang kita buat. Allah rahsiakan kemurkaan dalam setiap kemungkaran dan maksiat. Oleh itu jauhilah maksiat dan kemungkaran walau sekecil mana. Ketiga, Allah rahsiakan Lailatul Qadar pada setiap malam di bulan Ramadhan. Oleh itu kita jangan pandang kecil pada setiap malam Ramadhan. Betul, ada kitab-kitab menulis yang Lailatul Qadar mungkin berlaku pada 10 malam terakhir atau pada malam-malam ganjil, tetapi tidak mustahil jika Allah izinkan Lailatul Qadar berlaku pada awal bulan Ramadhan. Oleh itu, yang penting adalah kita perlu menjadi pemburu Lailatul Qadar dan sebagai pemburu, kita perlu bersiap-sedia sentiasa.

S: Apa kelebihan orang yang beri makan pada anak yatim, dan belikan pakaian baru kepada orang miskin?
J: Ini adalah antara tarbiyyah Ramadhan – bersedekah dengan menjamu orang berbuka dan menyenangkan hati orang yang susah. Untuk membina hidup, jadilah orang yang suka memberi. Terdapat sangat banyak ganjaran bagi orang yang suka memberi dan pemurah. Inilah sikap yang ingin kita pupuk dalam diri kita. Sikap ini perlu diteruskan selepas puasa juga. Janganlah anak yatim dan orang miskin cuma diraikan ketika Ramadhan dan Syawal sahaja. Ketika kita bangun, ada dua malaikat yang akan datang. Malaikat pertama berdoa, “Ya Allah, gantikanlah harta yang dinafkahkannya”. Malaikat kedua pula berdoa, “Ya Allah, binasakanlah harta yang dibakhilkan olehnya”. Antara ciri orang Mukmin juga adalah memasukkan kegembiraan dalam hati orang Mukmin yang lain. Oleh itu kita cubalah menjadi seperti lebah yang sentiasa memberi kebaikan. Barangsiapa yang memudahkan urusan orang lain di dunia, Allah akan memudahkan urusannya di akhirat nanti.

S: Bagaimana untuk mengetahui bahawa puasa dan amalan kita diterima Allah?
J: Yang menerima amalan setiap hamba adalah Allah. Sebagai hamba, kita tidak masuk campur dalam urusan ini. Oleh itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mendakwa bahawa amalan seseorang itu ditolak . Bagaimanapun ada tanda-tanda yang boleh dikesan sepertimana tanda orang yang sihat atau sakit. Tanda besar yang boleh dilihat adalah berlaku perubahan kearah kebaikan pada dirinya.

S: Jika seseorang itu berpuasa semenjak bulan Rajab, Syaaban dan Ramadhan,  bagaimana ganjaran pahala disisi Allah?
J: Yang utama, mari kita lakukan ibadat mutlak kerana Allah SWT. Rangsangan ganjaran pahala adalah hak mutlak Allah SWT. Hanya Allah yang boleh mengukur banyak sedikitnya pahala yang diberikan. Sebagai hamba, kita perlu melakukan sahaja apa yang diperintahkan. InsyaAllah, bagi orang yang melakukan kebaikan, di dunia lagi Allah akan berikan ganjaran berupa kehidupan yang diberkati dan hati yang tenang. Jiwa yang resah tiada ubat selain kembali kepada Allah.

S: Jika beri makan orang berbuka boleh mendapat pahala seperti orang berpuasa. Bagaimana pula jika beri orang makan moreh?
J: Hadis Nabi menyebut tentang iftar atau berbuka puasa. Tidak disebut tentang moreh atau sahur, tetapi pada prinsipnya memberi adalah perbuatan yang terpuji.

S: Jika kita buat tahlil, bagaimana untuk tahu yang pahala itu sampai?
J: Doa anak yang soleh pasti akan sampai kepada ibu bapa yang telah meninggal.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab