Wanita Dominan (1) - Tanyalah Ustaz 02.07.2012

Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malek

Alhamdulillah, semoga pertemuan kita mendapat rahmat dari Allah SWT. Wanita dalam Islam adalah sebagai peneman kepada kaum lelaki dan dominan pula bermaksud menonjol dalam sesuatu bidang yang diceburi. Memang kita lihat ramai wanita lebih menonjol daripada kaum lelaki dalam banyak bidang. Saya ingin membacakan satu surah yang amat elok diamalkan oleh kaum wanita:

Bacaan surah Al-Inshirah, ayat 1-8:

Cara membaca:
Baca dengan mengangkat kedua tangan ke dada (seperti berdoa). Setelah baca ayat pertama, tiupkan pada tangan dan sapukan ke dada – semoga Allah melapangkan dada kita juga sepertimana dilapangkan dada Rasul SAW. Setelah bacaan ayat kedua, tiup pada tangan dan sapu pada bahu – semoga Allah meringankan beban di bahu kita sepertimana diringankan beban di bahu Rasulullah SAW. Kadang-kadang kita ada banyak masalah, jangan percaya yang kita boleh menyelesaikannya sendiri kerana itu memasukkan kita dalam golongan orang yang sombong. Orang yang sombong takkan dapat mencium bau syurga. Sebenarnya Allah yang membantu menyelesaikan masalah untuk kita. Seterusnya ini khas untuk wanita, selepas baca ayat ketiga, tiup pada tangan dan sapu pada tulang belakang hingga ke pinggul, semoga Allah meringankan pinggul kita dan menjadikan kita orang-orang yang rajin. Orang yang ingin turut berat badan boleh juga amalkan ayat ini. Seterusnya ayat keempat, baca tiga kali, tiup pada tangan dan sedut balik, kemudian sapu ke muka dan sapu hingga ke belakang rambut, InsyaAllah akan disayangi suami dan suami takkan pandang wanita lain. Kalau baca 7 kali, InsyaAllah dicepatkan jodoh. Apa maksud ayat ini? “Kami masyhurkan namamu ( Nabi SAW) hingga menjadi sebutan.” Jika ingin jawatan besar, amalkan seperti yang disebut, tetapi ulang sebanyak 21 kali. Seterusnya baca ayat ke-5, hingga akhir.

Saya ingin kongsi sebuah cerita: Seorang guru kafa mempunyai 8 orang anak. Suaminya meminjam 30 ribu dengan Ah-Long untuk tujuan perniagaan tetapi meninggal. Dia tertekan kerana Ah-Long menuntut hutang suaminya sehingga rumahnya dicat. Tiada saudara-mara yang sudi membantu. Dia datang berjumpa saya lalu saya ajarkan dia untuk mengamalkan surah ini. Alhamdulillah, suatu hari, dia pinjam kereta kawan dan pergi isi minyak. Rezekinya terpilih sebagai pemenang pertandingan di stesen minyak tersebut dan menang sebuah kereta Honda Odyssey bernilai lebih RM100 ribu. Dia berjaya menjualnya, melangsaikan hutang dan dapat pula membantu keluarganya. Jadi cubalah amalkan, InsyaAllah ada banyak fadhilatnya.

Berbalik kepada tajuk hari ini, memang kita dapat lihat ramai wanita mendominasi pejabat, universiti, kilang dan sebagainya. Wanita rajin dan teliti dalam membuat pekerjaan, sebaliknya kaum lelaki pula acuh tak acuh. Bila sudah begini, timbul persoalan adakah Islam membenarkan keadaan sebegini? Silakan bertanya.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bagaimana untuk memastikan wanita berkerjaya boleh masuk syurga? Adakah wanita berkerjaya layak masuk syurga kerana kita tahu wanita tempatnya adalah dirumah?
J: Satu ketika dahulu, ketika zaman Rasul SAW, ada juga wanita yang berkerjaya. Paling penting bergantung kepada niat seseorang itu bekerja dan dengan syarat mendapat izin suaminya. Jika niatnya untuk membantu suami, kerjanya itu dikira sebagai kebajikan baginya. Orang yang membuat kebajikan akan mendapat syurga. Tetapi kerja itu kenalah bersesuaian dengan kebolehan dan perlu menjaga syariat.

S: Yang mana lebih penting bagi seorang wanita – kerjaya atau rumah tangga?
J: Tengok keadaan – jika keadaan terdesak dan suaminya mengizinkan, hukumnya harus. Jika tiada keperluan, lebih utama untuk wanita berada di rumah. Selalunya jika ada masalah di rumah, terutama dalam soal mendidik anak-anak, ibu akan dipersalahkan. Syurga di bawah tapak kaki ibu, jadi itu menunjukkan kaum wanita kedudukannya lebih tinggi daripada syurga. Oleh sebab itu, ibu lebih utama untuk duduk di rumah dan mendidik anak agar menjadi orang yang berguna. Di Jepun, setelah berkahwin, kaum wanita akan berhenti kerja untuk mendidik anak. Oleh sebab itu kita boleh lihat masyarakatnya terdidik dan maju.

S: Adakah dominasi kaum wanita dalam pekerjaan akan menjejaskan peluang kaum lelaki?
J: Saya jawab dalam bentuk pantun: Jumlah lelaki kian sedikit, Wanita ramai berhimpit-himpit, Wanita kerja mencari duit, Peluang lelaki menjadi sempit. Betullah, wanita lebih mendominasi dalam dunia kerjaya. Wanita rajin, lebih sabar dan bersungguh-sungguh, berbanding lelaki yang suka buat kerja acuh tak acuh. Majikan akan memilih mereka yang efektif dalam pekerjaan

S: Apakah kerja yang sesuai untuk wanita?
J: Saya ingin bercerita kerjaya wanita ketika zaman Rasul SAW. Pertama: Ummu Attiyah – pengurus jenazah wanita yang pertama, bekerja dengan masjid dan dibayar gaji. Kedua – Rufidah merupakan doktor wanita pertama. Semasa perang khandak, Nabi SAW buat khemah di tepi masjid Nabi SAW untuk merawat tentera yang cedera. Doktor yang bertugas termasuklah Dr. Rufidah. Ketiga – Assyifa yang dilantik menjadi guru untuk mengajar wanita dan lelaki membaca. Setelah zaman Khalifah Umar, beliau dilantik menjadi juruaudit dan kemudian menjadi akauntan. Jadi ada banyak kerjaya yang sesuai untuk seorang wanita, terutamanya dalam bidang pendidikan.

S: Bagaimana pula dengan keadaan di mana isteri bekerja dan suami pula tinggal di rumah?
J: Betul, budaya ini telah banyak berlaku. Pada mulanya, kedua-duanya bekerja. Tetapi mungkin setelah beberapa tahun, suami menghadapi masalah di tempat kerja dan mungkin kerana ego, dia berhenti dan duduk di rumah. Kerana ego yang tinggi, suami gagal mencari kerja di tempat lain. Saya banyak membuat kaunseling rumah tangga kebelakangan ini dan banyak bertemu kes seperti ini. Isteri bekerja manakala suami main 'games' di rumah. Isteri yang bekerja dan bila pulang kena buat kerja rumah pula. Suami pula menjadi panas baran dan memukul isteri. Suami sebenarnya sukar menerima hakikat apabila gaji isteri lebih besar daripada suami. Inilah yang menjadi punca mereka melepaskan geram dengan memukul isteri. Kesian para isteri. Tahun lepas saja ada lebih 600 kes sebegini. Jadi, para wanita yang belum berkahwin, amalkanlah surah Al-Inshirah yang saya ajarkan tadi, InsyaAllah semoga Allah beri pasangan hidup yang baik.

S: Suami dan isteri bekerja, tetapi kenapa bila balik rumah suami berehat dan isteri sambung buat kerja rumah. Suami penat sangat ke?
J: Isteri-isteri jangan marah ye. Betullah inilah yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Inilah kelebihan kaum wanita. Saya ada tujuh orang anak. Kalau dukung anak, sekejap saja dah penat, tapi isteri saya mampu dukung anak 2-3 jam sambil berjalan-jalan. Saya pun tak tahu dari mana kaum wanita dapat tenaga. Di pejabat bekerja, di rumah juga membuat kerja rumah. Jadi para suami perlu tahu menghargai isteri, dan saya sebagai wakil mereka ingin mengucapkan terima kasih. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka. Semoga wanita dominan ini mengisi ruang-ruang di dalam syurga Allah, InsyaAllah. Suami-suami pula, sekali-sekala tolonglah masak atau tolong beli makana di luar. Tolong basuh baju, lipat baju atau lebih baik lagi sediakan pembantu untuk meringankan tugas isteri.

S: Bagaimana untuk menjadi wanita terbaik dan masuk syurga bersama suami?
J: Mesti berbalik kepada tujuan asal penciptaan manusia – iaitu beribadah kepada Allah. Ibadah adalah segala perbuatan yang menggembirakan Allah. Jika suami-isteri bertengkar, itu bukan ibadah. Suami dan isteri perlu mengikut teladan seperti keluarga Nabi SAW. Para suami, pujilah isteri sebelum orang lain puji isteri anda.

S: Apabila wanita bekerja bersama ramai lelaki, apakah batas-batas yang perlu dijaga?
J: Sebelum ke tempat kerja, wanita perlu menutup aurat dengan sempurna. Menutup aurat bermakna memohon perlindungan Allah daripada kejahatan manusia dan jin. Ada satu kisah berlaku kepada seorang perempuan yang menutup aurat dengan sempurna di New York. Dia dalam perjalanan pulang ke rumah melalui sebuah lorong pada jam 10 malam dan ketika itu ada seorang lelaki berniat merogol wanita yang lalu disitu sedang menunggu. Tetapi bila perempuan yang menutup aurat itu lalu, lelaki itu membiarkan sahaja. Tetapi setelah itu, bila datang perempuan lain, lelaki itu pun merogol dan membunuh perempuan lain tersebut. Kejadian itu dilaporkan ditelevisyen, lalu perempuan yang menutup aurat itu pun pergi berjumpa polis untuk membantu siasatan. Setelah ditangkap, perempuan yang menutup aurat itu bertanya kenapa lelaki itu tidak mengganggunya sedangkan dia lalu dahulu. Lalu lelaki itu menceritakan bahawa dia nampak wanita itu lalu bersama dua orang lelaki yang gagah perkasa. Jadi, jelas di sini bahawa dengan menutup aurat, kita akan mendapat perlindungan Allah, InsyaAllah. Jadi, pujuklah perlahan-lahan kaum wanita agar menutup aurat dengan sempurna. Artis wanita pun sudah ramai yang pakai tudung dan mereka kelihatan lebih tenang dan bahagia. Jadi para wanita awam pun pujuklah hati perlahan-lahan untuk menutup aurat dengan sempurna.

Kesimpulan:
Wanita dominan dalam Islam adalah wanita solehah. Hukumnya harus untuk bekerja apabila kematian suami, atau dengan niat membantu suami. Secara ikhlas, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana ramai wanita di Malaysia yang bekerja untuk membantu suami.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab