Ingat Mati Menghidupkan Hati – Mukmin Profesional 25.06.2012

Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Mukaddimah:
Alhamdulillah, syukur kita dapat meneruskan kehidupan dan kita ditakdirkan berada dalam daerah kebaikan iaitu kita dapat terus menimba ilmu pengetahuan. InsyaAllah, mudah-mudahan dengan bertambah ilmu, bertambah juga kefahaman, bertambah penghayatan dan seterusnya bertambah amalan kita. Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri saya dan para pendengar semua bahawa apa yang kita dapat dalam kehidupan ini adalah bagaimana kita melihat kehidupan dan mengambil manfaat daripada apa yang berlaku dalam kehidupan yang singkat ini. Saya juga ingin mengingatkan bahawa bagaimana kita melihat kehidupan bergantung kepada kesedaran siapakah diri kita yang sebenarnya. Jadi, InsyaAllah kita telah memahami konsep ini kerana rancangan Mukmin Profesional selalu menekankan bahawa hidup ini perlu dilihat daripada kacamata Pencipta Hidup. Hanya dengan ini barulah kita sebagai hamba Allah dapat mengambil manfaat daripada kehidupan ini.

Kita telah bermula lama dahulu, daripada membincangkan arah hidup, tujuan hidup, jalan hidup, bekalan hidup, penghalang hidup dan petang ini sampai ke penghujungnya iaitu akhir hidup. Akhir hidup ialah kematian, dan kita diminta melihat kematian sebagaimana Allah SWT melihatnya. Kematian dalam Islam bukanlah satu pengakhiran, sepertimana yang difahami ramai manusia. Sebenarnya mati merupakan permulaan kehidupan yang tak mati-mati. Hidup sebelum mati itu penting, tetapi hidup selepas mati itu lebih hakiki dan abadi. Mati pada hakikatnya hanyalah satu proses transisi ke satu dunia lain. Sebagaimana proses kelahiran yang memindahkan kita dari alam rahim ke alam dunia, proses kematian pula memindahkan kita dari dunia ke alam barzakh. Namun, sayangnya kita lebih banyak membuat persiapan menyambut kelahiran berbanding kematian. Sebab itu ada gurauan sinis yang mengatakan bahawa - 'Manusia lebih berminat membincangkan berkenaan kain lampin berbanding kain kapan'. Perkara-perkara lain dalam kehidupan seperti kelahiran, perniagaan, perkahwinan bukanlah sesuatu yang pasti, tetapi kematian adalah satu kepastian bagi setiap yang bernyawa.

Mati itu pasti, dan sesuatu yang pasti itu adalah hampir. Dalam Islam, detik kematian kita telah ditentukan ketika kita masih dalam rahim lagi. Tetapi kita tak tahu bila ianya akan berlaku, tetapi apa yang nyata adalah dengan setiap detik yang berlalu, kita semakin menghampiri detik kematian yang telah ditentukan. Oleh sebab itu ketika sambutan ulang tahun kelahiran, kita sebenarnya semakin dekat mengampiri detik kematian. Umur kita sebenarnya seumpama jam pasir yang terus-menerus mengalir, semakin lama, semakin berkurangan. Saya teringat satu perumpamaan yang amat mengujakan ketika saya kecil dahulu – 'Kematian itu pasti dan kita tak dapat menentukan bilakah detiknya?'. Tamsilannya seperti pokok kelapa, bila-bila masa saja mayangnya, bunganya atau buahnya yang muda atau tua boleh gugur. Begitulah juga dengan kita, tak kira umur berapa pun boleh mati. Cuba perhatikan sekeliling, ramai orang tua atau orang muda? Biasanya kita akan nampak orang tua sedikit. Apa maknanya? Ramai orang muda mati dahulu sebelum sempat tua, sebab itulah sedikit sahaja golongan tua yang tinggal. Oleh itu, kita semua perlu mengambil peringatan.

Dalam Islam mengingati mati merupakan sifat mahmudah yang terpuji. Diriwayatkan bahawa para sahabat sering mengingati mati dan ada yang mengingati mati 70 sehingga 100 kali sehari. Nabi SAW bersabda, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah, “Aku bersama Rasul SAW dan kemudian datang seorang lelaki daripada kaum Ansar dan memberi salam kepada Rasul SAW, dan bertanya, “Siapakah mukmin yang terbaik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang terbagus akhlaknya”. Kemudian lelaki Ansar itu bertanya lagi, “ Siapakah mukmin yang tercerdik?” Nabi SAW menjawab, “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik adalah mereka yang melakukan persiapan untuk kehidupan selepas itu.” Ada banyak kelebihan mengingati mati, antaranya ialah:
  1. Kita akan menyegerakan kerja.
  2. Kita akan menyegerakan taubat – Kita tidak akan bertangguh-tangguh.
  3. Kelazatan untuk menikmati maksiat akan kendur – Kita akan jadi takut untuk melakukan maksiat kerana akan memikirkan keadaan kita bertemu Allah.
Ada tiga golongan manusia, iaitu:
  1. Yang lupa mati
  2. Yang takut mati
  3. Yang ingat mati
Ada kesan yang berbeza antara orang yang takut mati dan ingat mati. Orang yang takut mati biasanya akan hilang semangat. Keceriaan sudah hilang daripada wajahnya. Dalam satu hadis Nabi SAW yang panjang, Nabi SAW menceritakan bahawa akan tiba suatu masa umat Islam akan dipermainkan musuh-musuh Islam. Sabahat pun bertanya adakah kerana bilangan mereka sedikit? Jawapannya tidak, bahkan bilangan kamu ramai tetapi seumpama buih di lautan sahaja. Kenapa kita ditindas walaupun bilangan kita ramai? Kerana Nabi SAW berkata kita terkena penyakit 'al-wahhan' iaitu cinta dunia dan takut mati. 

Jadi, bagaimana yang dikatakan mati boleh memberikan kita semangat? Apabila berlaku kematian, kita sebut ,”Innalillahiwainna ilahiroji'un” yang bermaksud, “Daripada Allah kami datang, dan kepada Allah kami akan dikembalikan.” Jadi, jika kita tahu kita akan kembali kepada Allah, adakah kita takkan buat persiapan? Kita perlu buat persiapan dan persediaan. Inilah kesan positifnya. Kita akan memperbanyakkan ibadah – ibadah asas, sunat dan umum. Kita juga akan menjaga hubungan dengan Allah dan dengan manusia. Kita juga akan bekerja bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa. Allah SWT yang kita akan jumpa menyukai hanya yang terbaik, oleh itu kita perlu itqaan (memberi yang terbaik) dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, tak kiralah sama ada pekerjaan berkaitan hubungan dengan Allah mahupun hubungan dengan manusia. Kita akan sentiasa memperelokkan perkerjaan jika kita sentiasa ingat mati, kerana kita sedar pekerjaan tersebut akan dipersembahkan kepada Allah SWT nanti. Jadi, ternafilah pendapat yang mengatakan jika ingat mati, orang akan jadi tidak bersemangat, tidak produktif dan tidak memberi kerja berkualiti. Sebaliknya, ingat mati akan membantu meningkatkan produktiviti seseorang. Kenapa? Orang yang ingat mati akan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Orang yang ingat mati tidak akan suka bertangguh-tangguh kerana sedar yang mati boleh datang tiba-tiba. Oleh itu, kerana tidak mahu terhutang dengan majikan atau keluarga, seseorang itu akan menyiapkan kerja pada hari yang ditetapkan. 

Saya pernah menghadapai cabaran menyakinkan seseorang tentang keperluan mengingati mati. Orang itu berpendapat sekiranya kita ingat mati, kita tidak produktif kerana hanya ingin berada di masjid untuk solat, baca Quran dan berzikir sahaja. Ini merupakan satu kesalahan yang besar dalam pemahaman Islam kita. Ibadah dalam Islam terbahagi kepada 3 iaitu: Ibadah asas dan sunat yang berkaitan habluminallah, contohnya solat, baca Quran, berzikir dan sebagainya. Ibadah umum contohnya seperti pekerjaan seharian kita yang memberi kebaikan kepada diri dan manusia lain. Oleh itu, kerja kita juga merupakan persiapan untuk menghadapi kematian. Jika kita sedar fakta ini, adakah kita akan buat kerja sambil lewa ketika di pejabat? Tidak mungkin. Sebab itu Rasul SAW sering mengingatkan, “Jika kamu nak solat, solatlah seumpama solat kamu yang terakhir.” Begitulah juga dengan setiap pekerjaan lain yang kita dilakukan, contohnya bersama keluarga. Jika kita ingat mati, pastilah kita akan melayan ahli keluarga dengan penuh kasih-sayang dan kemesraan.

Jadi, setakat itu sebagai pencerahan awal, mudah-mudah dapat diterima bahawa mengingati mati akan dapat menghidupkan hati kita. Hati boleh jadi kotor, lalai, dan perlu dibersihkan dengan zikrullah (ingat Allah), dan zikrulmaut (ingat mati). Oleh sebab Rasul SAW menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud, “Cukuplah mati itu sebagai peringatan”.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Bolehkah pembayaran khairat kematian dikira sebagai persiapan kita menghadapi kematian? Bolehkah duit khairat kematian digunakan untuk bukan Islam?
J: Terima kasih kepada semua pemanggil. Apabila saya mendengar kembali rakaman, saya rasa masih ada lompang-lompang dalam jawapan yang saya berikan. Oleh itu saya sematkan dalam hati, kalau saya bergantung pada diri saya sendiri, saya ada sebab untuk bimbang. Oleh itu mari bersama-sama ktia gantungkan harapan kita kepada Allah atas usaha kita ini. Dengan cakap saya yang sedikit, tetapi jika Allah SWT menjadikannya sebagai sebab orang dapat hidayah, orang akan lebih mudah memahaminya. Ini bukanlah sebagai satu alasan, tetapi keterbatasan sesiapa sahaja.

Kembali kepada persoalan: Saya melihat di sebalik soalan itu bagaimana kaedah untuk kita mengingati mati. Kita tahu falsafahnya ialah hidupkanlah hati dengan mengingati mati. Tetapi bagaimana dengan tip-tip mengingati mati. Betul, membayar khairat kematian juga merupakan satu persediaan menghadapi kematian. Tetapi itu cuma persediaan pengkebumian sahaja, sedangkan yang lebih penting ialah persiapan kita bertemu dengan Allah. Bagi saya, cara yang baik untuk mengingati mati adalah dengan mengikut cara yang ditunjukkan para ulama dengan menulis wasiat. Berani tak kita menulis surat wasiat? Dahulu, setiap ahli usrah Ikhwan Muslimin pula menyimpan sepasang kain kapan dirumah. Apabila hati mula rasa kasar atau keras, mereka akan merenung kain kapan tersebut dan mula mengingati mati semula. Ada juga ulama-ulama tasawwuf dulu yang pergi lebih jauh lagi untuk mendidik hati tentang kematian – mereka korek liang lahad dan duduk di dalamnya untuk merasa betapa gelapnya, sempitnya, sunyinya dan tidak berteman. Jadi, ketika itu kita akan menyedari itulah kematian yang kita akan hadapi. Para sahabat Nabi SAW, apabila mengingati mati, mereka terhalang daripada berbuat dosa. Mereka merasakan bahawa detik mati itu sesuatu yang pasti yang mereka akan alami. Selain itu, pergi menziarah hospital dengan melihat mayat, atau orang sakit tenat di ICU juga mengingatkan kita kepada mati. Pada masa itu baru kita sedar bahawa orang yang sedang sakit itu juga pernah sihat seperti kita, pernah punya impian seperti kita. Namun, ketika sakit tenat, yang ada dalam hatinya mungkin bagaimana dia akan berdepan dengan Allah SWT. Khairat kematian hanyalah persiapan fizikal dan material menghadapi kematian, tetapi kita sepatutnya kita lanjutkan kepada soal-soal tazkirah, peringatan, dan zikrullah.

S: Bolehkah duit khairat kematian digunakan untuk bukan Islam?
J: Saya tidak mahu merujuk perkara ini berdasarkan hukum kerana saya bukanlah orang yang ada kuasa untuk menentukannya. Tetapi pada asasnya, jika ada orang bukan Islam yang dalam kesusahan, tidak menjadi kesalahan kita untuk membantunya. Cuma jika diambil daripada sumber wang khairat mungkin tidak boleh kerana ianya merupakan hak orang Islam bersama, tetapi jika duit poket sendiri rasanya tiada masalah. Mungkin dengan bantuan yang dihulurkan boleh melembutkan hati orang bukan Islam kepada Islam.

S: Apa pendapat ustaz jika meletakkan hiasan marmar di atas kubur?
J: Jika dilihat melalui pembacaan dan sebagainya, sepatutnya tidak boleh ada unsur-unsur pemujaan di atas kubur atau sehingga membazir. Sebagai adat yang tidak menyalahi syariat di Malaysia ini ialah kita meletakkan batu nisan dan sedikit batu-batu yang diletakkan (bukan bangunan) mengelilingi kubur sebagai tanda.

S: Tidur itu saudara kepada mati. Orang yang tidur ini jika diberi peringatan atau berita gembira, dia tidak akan ambil peduli. Bagaimana pula orang yang mati hatinya? Kerana seperti orang yang tidur, mereka juga tidak dapat menerima peringatan. Mohon pandangan ustaz.
J: Betul, dikatakan bahawa tidur itu separuh daripada kematian. Oleh sebab itu, kita perlu bersyukur apabila bangun kerana kita telah diberikan kembali separuh daripada kehidupan untuk hidup semula. Berapa ramai orang yang tidur dan tak bangun-bangun lagi? Sebab itu kita perlu ambil pengajaran daripada tidur itu sendiri. Kematian itu ada dua – kematian hati dan juga kematian jasad. Ini juga mengingatkan kita kepada kata-kata Sayyidina Ali, “ Kebanyakan manusia tidur, setelah mati baru dia sedar”. Apakah maksudnya? Sayyidina Ali merujuk kepada hati manusia yang kebanyakannya mati ketika masih hidup, dan hanya tersedar setelah dia mati. Setelah mati, barulah dia nampak apakah tujuan kehidupan dan timbul penyesalan di alam kubur. Sebab itulah kita tidak boleh terjaga setelah kita mati. Marilah kita bersama-sama celikkan mata hati ketika kita masih hidup lagi. Mari bandingkan mana yang lebih teruk antara mati jasad dengan mati hati. Orang yang mati jasadnya, apabila dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan, akan selesai urusannya. Jika dia hamba yang baik, dia akan mendapat balasan kebaikan. Jika dia orang yang zalim, orang lain akan dapat kebaikan dengan kematiannya. Sebaliknya orang yang mati hatinya tidak mengenal Allah dan kebenaran. Dia melakukan kejahatan dan kemungkaran yang akan merosakkan dirinya dan orang lain juga. Jika sebagai ayah, keluarganya akan rosak. Jika sebagai pemimpin, rakyatnya jadi rosak. Oleh sebab itu kerana kita perlu berhati-hati.

S: Bagaimana mengekalkan keikhlasan takkala doa kita tidak dimakbulkan?
J: Memang payah nak ikhlas, kerasa ianya adalah rahsia dalam rahsia Allah. Sebagai panduan, setiap masa dalam apa jua amalan yang dilakukan, kita wajib merasakan bahawa kita ini hamba Allah. Bila kita hamba, kita perlu merasa sifat-sifat kehambaan. Ilmu kita yang terbatas tak mampu mengukur ilmu Allah yang Maha Luas. Kita minta sesuatu, tetapi Allah tak bagi. Kita tak tahu sama ada apa yang kita minta itu baik atau tidak untuk kita. Oleh sebab itu, bila Allah tak beri, itulah yang lebih baik untuk kita. Kadang-kadang kita nak sesuatu cepat, tetapi Allah belum beri kerana Allah tahu yang kita belum bersedia. Jika Allah beri juga, kita mungkin takkan dapat menampung nikmat itu dengan rasa syukur. Jadi yang Allah tak beri itu sebenarnya adalah yang lebih baik untuk kita. Kasih sayang Allah kepada hambanya sukar diteka. Kadang-kadang, antara ibu dan anak pun, tidak semua permintaan anak akan ditunaikan oleh ibunya. Contohnya, jika anak berumur 3 tahun meminta untuk makan tom yam pedas yang dimakan ibunya, pasti ibu itu takkan memberikan walaupun anak itu menangis. Memanglah pada mata anak itu, tomyam itu nampak sedap, tetapi kerana ibu tahu yang anaknya itu belum bersedia untuk menerima makanan pedas, maka tidak diberikan tom yam itu kepada anaknya. Begitulah juga sebabnya ada antara doa kita yang tidak dimakbulkan segera oleh Allah SWT. Sesungguhnya apa yang ditentukan Allah adalah yang terbaik. Sebagai hamba kita perlu berpegang pada prinsip ini: 'Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri. Allah lebih tahu apa yang memudaratkan kita daripada diri kita sendiri.' Oleh itu, jika Allah menahan atau memberi sesuatu, kita kena yakin bahawa Allah Maha Tahu segala-galanya agar kita dapat menerimanya dengan sabar dan redha. InsyaAllah.

S: Bila ingat keluarga, rasa tak bersedia untuk mati. Tetapi ada kalanya rasa bersedia pula. Mengapa rasa begini? Adakah berkaitan dengan iman?
J: Ini merupakan satu kesilapan ketika mengingati mati. Bila kita mati, kita sepatutnya lebih risau akan nasib kita yang akan berdepan dengan Allah SWT. Dalam Islam, kematian bermaksud kita akan menghadapi alam barzakh, bertemu Allah, padang masyhar. Di padang masyar nanti, kita hanya akan memikirkan keselamatan diri sendiri, dan takkan lagi mengingati orang lain. Jadi kita perlu ubah pemikiran ini dan lebih mengenangkan nasib kita yang meninggalkan dan bukan pula nasib orang yang kita tinggalkan. Jangan kita lebihkan perasaan sedih untuk meninggalkan keluarga setelah mati. Ketika Israk dan Mikraj, banyak diceritakan tentang pembalasan di hari akhirat dan ini sepatutnya menimbulkan risau di hati kita.

S: Mohon penjelasan tentang pengisian mati?
J: Saya rasa mungkin maksud soalan ini ingin bertanya persiapan menghadapi kematian. Persiapan utama adalah ibadah kita, jangan ditanguh-tangguhkan lagi. Kedua: menyegerakan taubat dan ketiga: menghentikan maksiat.

S: Kadang-kadang bila timbul rasa nak mati, teringat apa yang akan ditinggalkan, contohnya anak dan isteri. Hati tak nak pula teringat apa yang akan dibawa berjumpa Allah.
J: Soalan ini lebih kurang sama dengan soalan sebelum ini. Sebagai seorang ayah, kita taklah pula terus lupakan anak dan isteri ketika mengingati mati. Kita perlu ingat adakah kita telah memberikan didikan yang baik kepada anak dan isteri – dengan kata lain kita ingat kepada tanggungjawab kita kepada keluarga. Kita mohonlah pada Allah agar selepas ketiadaan kita, mereka terus diberikan hidayah oleh Allah. Inilah yang kita harus rasa apabila mengingati kematian dan bukan merasa sedih untuk meninggalkan mereka.

S: Jika suami saya macam susah sikit untuk menjadi orang yang lebih baik, ada tak nasihat atau perbuatan baik yang boleh saya usahakan?
J: Tentunya ada cabaran untuk menasihati orang yang lebih tinggi daripada kita, kerana kebiasaanya pemimpin yang lebih mudah menasihati pengikut. Tetapi itu tidak bermakna kita terus menghentikan usaha. Pertama sekali: buat hubungan baik dengan Allah. Maksudnya kita mendoakan suami kita. Doa ini tentulah ikhlas kerana doa itu tiada manfaat untuk kita dan semata-mata untuk keselamatan suami. Kedua: berdakwah melalui perbuatan dengan menjaga ibadah kita, menjaga akhlak, menjaga harta suami sepertimana seorang isteri solehah. Mengikut 'Law of Attraction' – apabila kita baik, kita akan menarik kebaikan. Lama-kelamaan suami akan terkesan juga dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh isteri dan akan bertanya kepada isteri. Oleh itu dalam berdakwah, bina jambatan dahulu, jangan bina sempadan. Kita perlu berinteraksi, jangan berkonfrontasi. Yang penting jaga hubungan dan laksanakan tugas sebagai isteri dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah dengan ada 'jambatan', kita akan boleh menyeberang.

Kesimpulan:
Sebagai peringatan kepada saya dan para pendengar, InsyaAllah jika kita ingat mati, kita akan menghidupkan hati kita. Bila ingat mati, hati kita akan ingat pertemuannya dengan Allah SWT dan hati itu akan jadi tenang, segar dan hidup. Jika benar kita cinta Allah, tentulah kita tidak membenci kematian, kerana kematian itu adalah pertemuan dengan Allah. Cuma mungkin kita ada kegusaran dengan persediaan kita untuk bertemu Allah. Cara mengatasinya adalah dengan kita terus menyuburkan hati kita dengan mengingati mati dan menjadikan peringatan itu sebagai obor untuk terus berbakti kepada Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa bertangguh-tangguh.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab