Islam Itu Indah (2) – Tanyalah Ustaz 4 Ramadhan 1433H (24.07.2012)
Ustaz Dato' Abu Hassan Din Al-Hafiz
Bacaan ayat 77, surah Al-Qasas:
Islam merupakan agama samawi yang diturunkan untuk
menjadikan manusia itu hebat. Ada 4 perkara penting yang Allah nyatakan dalam
ayat yang dibacakan tadi:
- Kita hidup di dunia sebagai peluang untuk mencari kebaikan untuk akhirat. Nabi SAW berkata bahawa dunia adalah ‘ladang’ untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan kita kutip di akhirat nanti.
- Allah mengingatkan agar kita tidak lupa kehidupan di dunia. Kita dibenarkan mencari kekayaan dan kebahagiaan asalkan tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan. Jika kita berharta, jangan pula kita jadi bongkak seperti Qarun. Harta perlu dijadikan sebagai alat untuk kita membuat kebaikan di dunia.
- Berbuat baik kepada semua makhluk, tak kira manusia, haiwan atau alam. Islam juga mengajar agar kita membuat kebaikan kepada orang yang buat jahat pada kita. Inilah indahnya Islam. Contohnya, Nabi SAW selalu disakiti oleh bapa saudaranya, Abu Lahab. Namun Nabi SAW tetapi menyayangi beliau dan selalu mendoakan dan berharap agar beliau memeluk Islam.
- Jangan berbuat kerosakan di muka bumi. Allah amat tidak suka dengan golongan sebegini. Allah menyuruh kita mengasihi makhluk di bumi agar kita dikasihi oleh makhluk di langit.
Islam itu indah, namun umat Islam yang tidak mengamalkan
Islam akan memberi imej tidak indah kepada Islam. Mari kira muhasabah diri –
sudah cukupkah bekalan kita untuk hari akhirat. Ambillah peluang membanyakkan
sedekah di bulan Ramadhan ini.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Indahnya Islam bergantung juga pada penganutnya. Tetapi
bagaimana jika penganutnya sendiri telah memberi imej buruk kepada Islam.
Bagaimana untuk mengatasinya?
J: Betul, tidak dinafikan keindahan Islam terlindung dengan
‘keburukan’ akhlak umatnya. Masalahnya apabila umat Islam buat kesalahan, Islam
yang disalahkan, padahal ajaran Islam telah melarang banyak perbuatan terkutuk.
Contohnya dalam hal zina, Islam melarang sedari awal lagi dengan melarang terus
kita mendekati zina. Betullah seperti kata pepatah Melayu: Seekor lembu bawa
lumpur, habis tercalit pada semua lembu. Sebenarnya, orang Islam tidak
mempelajari ilmu dan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, saya rayu agar kita
semua mengikut ajaran Islam yang sebenar agar keindahan Islam kembali kelihatan.
S: Bagaimana untuk mendapatkan Lailatul Qadar pada 10 malam
terakhir Ramadhan?
J: Lailatul Qadar cuma berlaku pada malam bulan Ramadhan.
Ramadhan merupakan bulan umat Islam. Sebenarnya, dalam bulan Rajab, Syaaban dan
Ramadhan ada malam-malam yang istimewa. Bulan Rajab ada malam Israk Mikrajnya,
bulan Syaaban ada malam Nisfu Syaaban, dan Ramadhan ada Lailatul Qadar. Namun,
Allah rahsiakan waktunya agar kita terus-menerus mencari. Nabi SAW sangat
mengasihi kita dan memberi tip agar kita mencari di 10 malam-malam terakhir
Ramadhan dan pada malam yang ganjil. Oleh itu sepatutnya, semakin hujung
Ramadhan kita perlu semakin ‘kuat’ mencari Lailatul Qadar. Tetapi jangan pula
kita beribadah pada malam yang dinyatakan ini sahaja. Nabi SAW sendiri
membahagikan Ramadhan kepada 3 bahagian – pertama akan dapat rahmat, kedua akan
dapat keampunan dan ketiga akan dapat Lailatul Qadar. Jika ingin mendapat
Lailatul Qadar, kita perlu istiqamah daripada malam pertama lagi, dan bukan
sekadar pada malam terakhir saja.
S: Keindahan Islam terletak kerjasama antara rakyat, ulama
dan umarak (pemimpin). Mohon ustaz huraikan
J: Nabi SAW berkata, “Ada dua jenis manusia, jika mereka
baik, baiklah seluruh manusia, jika mereka jahat, jahatlah seluruh manusia.
Mereka ialah ulama dan pemimpin.” Kedua-dua golongan ini tidak boleh
dipisahkan. Mereka perlu bergandingan untuk melahirkan umat Islam yang
cemerlang. Ulama memainkan peranan penting menyatakan hukum berdasarkan Islam
dan pemimpin perlu melaksanakannya.
S: Bagaimana cara dakwah terbaik agar dapat menjaga hati,
terutamanya apabila menegur orang terdekat. Cukupkah dengan menunjukkan akhlak
yang baik tanpa berkata apa-apa?
J: Dalam konteks dakwah, sebelum tegur orang untuk buat
baik, kita kena tunjuk contoh yang baik dahulu. Nabi SAW kata agama itu
nasihat, namun untuk tegur orang itu ada kalanya ‘high risk’. Namun ianya
tetapi perlu dilakukan dan Allah berpesan agar kita bersabar dalam berdakwah.
Nabi pesan jika kita nampak kemungkaran, kita perlu halang dengan tangan
(kuasa), jika tak mampu tegur dengan lidah (nasihat dan teguran) dan jika tidak
mampu juga, tegur dengan doa. Namun Nabi SAW kata itulah selemah-lemah iman.
Dalam memberi teguran, utamakan ahli keluarga terdekat dahulu. Tidak boleh ambil
sikap ‘tak cakap apa-apa’.
S: Kita sedia maklum keindahan Islam. Apakah langkah yang
perlu kita ambil untuk mengindahkan lagi Islam?
J: Nabi SAW akan praktikkan apa sahaja yang disebut dalam
Al-Quran. Oleh sebab itu kita perlu faham apa yang kita baca dan cuba amalkan.
Apabila kita dengar ceramah dan ustaz beri teguran, kita perlu terus amalkan.
Pada awal zaman Jahiliyyah, belum ada syariat menutup aurat dan wanita semuanya
berpakaian menjolok mata. Lalu Umar
bertanya Nabi tiadakah ayat tentang aurat dan Nabi SAW kata tiada. Tak
lama selepas itu, ketika musim panas, turunlah ayat menyuruh menutup aurat.
Lalu sahabat semua pun segera pulang ke rumah dan meminta isteri dan anak-anak
wanita mereka menutup aurat. Oleh kerana mereka belum sempat bersedia, mereka
menggunakan pakaian musim sejuk untuk menutup aurat.
S: Antara ucapan: “Assalamu’alaikum warah matullahhi
wabarakatuh” atau "Assalamu’alaikum warah matullahhi ta’ala wabarakatuh”, yang mana lebih afdhal?
J: Bukan yang mana afhdal, tapi yang mana betul? Nabi SAW
menyebut, “Assalamu’alaikum warah matullahhi wabarakatuh”. Itulah salam yang
paling sempurna, tiada perkataan ‘Ta’ala”. Apabila orang beri salam, kita
disunatkan menjawab lebih panjang tetapi paling panjang cuma ada 5 perkataan
seperti yang disebut Nabi SAW. Kita selalu kata jika tak jawab salam berdosa,
namun ada 4 keadaan di mana salam tak boleh dijawab:
- Jika yakin bahawa orang yang beri salam bukan orang Islam.
- Salam ketika akhir solat.
- Jika ada orang beri ucapan dengan perkara-perkara lain dahulu, kemudian baru beri salam. Salam begini tidak perlu dijawab kerana kerana Nabi SAW menyebut yang bermaksud, “Barangsiapa yang mendahulukan ucapan sebelum beri Salam, jangan jawab.” Nabi SAW suruh beri salam sebelum beri ucapan.
- Bila salam dipersenda dan dipermain-mainkan. Ada juga ulama menambah ketika kita dalam tandas.
S: Adakah umat Islam yang melakukan dosa-dosa besar tidak
tahu bahawa azab Allah di akhirat amat pedih?
J: Ada 7 dosa besar seperti yang disebut dalam hadis Nabi
SAW dan 1 hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia. Orang tidak takut
azab Allah kerana iman mereka masih belum kuat. Contoh macam arus elektrik, ada
sesiapa yang berani pegang arus elektrik? Tiada, kerana orang yakin bahawa arus
elektrik itu bahaya. Namun kenapa perasaan ‘takut’ serupa tidak ada apabila
melakukan dosa-dosa besar? Kerana keyakinannya akan kebenaran azab neraka masih
kurang.