Muhasabah Diri (2) - Tanyalah Ustaz 05.07.2012
Ustaz Raihan Abdul Aziz
Bacaan surah Yaasin ayat 77-81:
Ayat ini menurut Al-Hakim membenarkan
hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas yang
bermaksud, “Telah datang seorang lelaki bernama Al-'As bin Wail
kepada Nabi SAW sambil membawa tulang orang mati yang telah reput,
lalu dipatah-patahkan dan dibuang merata-rata. Dia berkata kepada
Nabi SAW, “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang
reput ini?” Lalu Allah SWT menurunkan ayat 79 ini supaya Nabi SAW
dapat menjawab, “Dialah Allah Taala yang akan membangkitkan semula
tulang-tulang yang telah hancur ini sebagaimana Allah Taala telah
menjadikan manusia daripada tiada dan Allah Taala Maha Mengetahui
akan segala keadaan makhluk-makhluk ciptaan-Nya”.
Beginilah manusia yang mudah lupa
kejadiannya yang berasal daripada air mani yang tidak bernilai.
Diberi ayam, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Setelah diberi
nikmat, sebilangan mereka sombong dan melawan Allah Taala. Oleh sebab
itu, kita perlu menjadi orang yang sering muhasabah diri dan
mengingati asal-usul dan arah tuju kita selepas ini.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Dalam memuhasabah diri, bagaimana
kita boleh menjadi orang yang cerdik?
J: Memuhasabah diri bermaksud untuk
mempertingkatkan diri. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud,
“Orang yang cerdik adalah orang yang sering muhasabah diri,
membetulkan diri, melihat ke dalam diri. Orang yang cerdik beramal
untuk hari akhirat, bukan untuk dunia.” Allah SWT berfirman yang
bermaksud dalam surah Ali-Imraan, ayat 190:
Orang yang berakal (Ahli Albab) yang
dimaksudkan di sini ialah orang yang selalu mengingati Allah, dalam
keadaan berdiri, duduk, baring. Dia sentiasa memikirkan kejadian
dirinya.
S: Jika kita tidak sempat berbuat
kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia, apakah yang boleh
dilakukan?
J: Ada satu hadis daripada Nabi SAW,
seperti yang diceritakan oleh Abu Usaid:
Sedang kami duduk bersama Nabi SAW pada
suatu hari, datang seorang lelaki daripada golongan Bani Salamah.
Lelaki itu berkata, “Ya Rasulullah, adakah peluang saya berbuat
baik kepada ibu ayah saya padahal kedua-duanya telah meninggal
dunia”. Nabi SAW menjawab, “Boleh. Pertama hendaklah kamu
mendoakan untuk mereka keampunan, keluasan kubur dan keselamatan di
alam kubur. Kedua, minta ampun untuk kedua-duanya. Ketiga, tunaikan
janji mereka jika mampu. Keempat, hubungkan dengan mereka yang ada
hubungan kekeluargaan dengan ibu bapa. Kelima, buat baik kepada
teman-teman ibu bapa.”
Inilah yang dilakukan oleh Abdullah bin
Umar kepada seorang Badawi. Dia memakaikan serbannya dan memberikan
lelaki itu menunggang untanya. Sahabatnya pun kehairanan kenapa dia
berbuat begitu kerana pada pandangan masyarakat ketika itu orang
Badawi adalah seumpama orang pedalaman pada hari ini. Lalu jawabnya
kerana lelaki Badawi itu adalah kawan ayahnya.
S: Bila ibu bapa telah meninggal,
adakah sampai doa anak-anak dan doa orang lain yang diberikan kepada
mereka?
J: Hubungan dengan ibu bapa bukan
sekadar di dunia, tetapi berpanjangan sehingga kita meninggal. Inilah
yang Nabi SAW sebut bahawa doa anak yang soleh tidak akan terputus
untuk orang yang telah meninggal. Nabi SAW guna perkataan 'anak
soleh' – oleh itu kita perlu berusaha untuk menjadi anak yang
soleh. Hanya doa anak yang soleh yang akan sampai. Anak yang soleh
perlu jaga solat. Nabi SAW menyatakan bahawa orang yang tidak solat
akan menerima 15 azab. 6 daripada azab itu akan diterima di dunia
iaitu segala amalannya tidak akan diberi pahala oleh Allah. Jadi,
jika dia ingin menyedekahkan pahala kepada ibu bapanya, pahala itu
tidak akan sampai. Azab kedua pula, doanya tidak akan diangkat ke
langit solat. Bagaimana pula dengan doa orang lain? InsyAllah akan
sampai. Dalam satu hadis lain diceritakan Nabi SAW pernah solat
jenazah dan memohon keampunan kepada orang lain. Jadi, jika tidak
sampai, takkan Nabi SAW berbuat begitu. Dalam solat jenazah itu juga
didoakan untuk jenazah. Tetapi orang yang mendoakan itu biarlah
dengan penuh keihklasan.
S: Kenapa masih berlaku penderhakaan
dalam kalangan ibu bapa sedangkan mereka telah banyak berbakti kepada
kita?
J: Allah SWT berfirman yang manusia itu
ada kalanya lupa. Allah mengingatkan untuk kita mengenang jasa,
terutamanya ibu yang mengandung selama 9 bulan. Selama mengandung
itulah ibu tak makan kicap, tak minum kopi, kerana risau jika anaknya
'blackout'. Dia minum air soya selalu agar kulitnya putih dan halus
mulus. Begitulah sayangnya ibu bapa kepada kita. Tetapi kenapa masih
berlaku penderhakaan? Kata ulama, untuk mengelak kejadian ini,
pertama keadaan dalam rumah perlu dipulihkan. Kemudian, pendidikan
dan ketiga masyarakat perlu dipulihkan. Pemakanan yang diberikan
kepada anak juga perlulah dipastikan daripada sumber yang halal.
Secara kiasannya jika kita basuh baju di rumah, tetapi di luar rumah
berdebu, pakaian itu akan tetap kotor. Begitulah dalam mendidik
anak-anak. Nabi SAW membimbing kita agar ketika malam pertama antara
suami isteri lagi perlu dimulakan dengan doa agar anak yang bakal
dilahirkan akan terlindung daripada gangguan syaitan. Ketika anak
dilahirkan, anak itu perlu diazan dan diiqamatkan. Ada hadis yang
menyebut apabila azan dilaungkan, syaitan akan berlari sehingga
terkentut-kentut. Azan itu juga akan menyusuk ke hati anak yang
dilahirkan keran di situlah nanti tempat syaitan akan mengganggu. Ibu
bapa juga bertanggungjawab memberi nama yang baik, sepertimana kisah
seorang ayah yang mengadu bahawa anaknya derhaka kepada Umar. Apabila
dipanggil dan disoal-siasat anaknya, ternyata yang ayahnya yang
terlebih dahulu derhaka kepada anaknya. Ada tiga tanggungjwab ayah
kepada seorang anak: berikan nama yang baik, carikan ibu yang baik
(tapi bukan saya nak suruh tuan-tuan kahwin lain pula lepas balik
ni), ajarkan Al-Quran kepada anak. Panggilan ibu ayah adalah doa,
oleh sebab itu berilah nama yang baik-baik. Nabi SAW pernah menukar
beberapa nama yang tidak elok kepada yang lebih baik maknanya. Nabi
SAW juga menyuruh ibu bapa agar mendidik anak mencintai tiga perkara:
pertama – cinta Rasulullah, kedua – cinta kepada ahli keluarga
Rasul, dan ketiga – ajar anak Al-Quran.
S: Adakah cara atau tip untuk
melembutkan hati anak-anak dan suami?
J: Al-Quran diturunkan bukan untuk
dibaca semata-mata. Allah SWT berfirman:
Al-Quran itu sebenarnya sebagai
penawar kepada berbagai-bagai penyakit dan juga sebagai pelembut
hati. Nabi SAW berpesan agar kita tidak membiarkan rumah kita menjadi
seperti kubur apabila tidak dibacakan dengan ayat Al-Quran. Sayyidina
Umar juga lembut hatinya apabila mendengar adiknya membaca Al-Quran.
Masyarakat hari ini beli Quran untuk dijadikan hiasan sahaja.
S: Apakah kelebihan Al-Quran sebagai
panduan muhasabah diri?
J: Al-Quran ini kandungannya banyak
membuat kita berfikir. Quran juga merupakan penawar kepada hati. Jadi
kadang-kadang timbul persoalan bolehkah berubat dengan Al-Quran?
Boleh. Ini seperti yang diriwayatkan dalam kisah di mana sekumpulan
sahabat menggunakan Fatihah untuk mengubati seorang ketua kampung
yang digigit kala jengking. Mereka diberikan 30 ekor kambing lalu
mereka bertanya kepada Nabi SAW adakah boleh diambil upah itu dan
Nabi SAW membenarkannya. Oleh itu, para isteri yang ingin melembutkan
hati suami dan anak, boleh bacakan surah Taha, ayat 1-5, tiupkan
pada nasi dan mohon doa ketika masak nasi. Janganlah pula berleter
ketika memasak, kerana aura negatif itu akan menyerap masuk ke dalam
makanan tersebut.
S: Apakah makna syafaat Al-Quran?
J: Manusia ini kebanyakannya
meninggalkan mukjizat yang terbesar iaitu Al-Quran. Hanya ini
mukjizat yang tinggal untuk kita lihat. Al-Quran ini boleh menjadi
ubat penawar dan hidayah kepada manusia. Nabi SAW berkata dalam satu
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, “Baca oleh kamu Al-Quran.
Sesungguhnya Al-Quran itu akan datang kepada kamu dan memberi syafaat
kepada kamu di akhirat.” Al-Quran akan datang untuk membela kita di
hari akhirat jika semasa di dunia kita membacanya. Sebagai orang yang
cerdik, kita perlu mengambil peluang ini untuk diamalkan ketika masih
hidup. Nabi SAW bersabda bahawa ada tiga perkara yang boleh memberi
syafaat – pertama: Nabi dan Rasul, kedua: al-ulama, dan ketiga:
orang yang mati syahid. Dalam hadis lain pula disebutkan bahawa
Al-Quran juga boleh memberi syafaat kepada kita. Oleh itu janganlah
kita tinggalkan Al-Quran.
S: Mohon ustaz kongsikan panduan untuk
muhasabah diri?
J: Pertama – duduklah dalam majlis
ilmu selalu. Para sabahat sering bertemu dan meminta agar
dinasihatkan selalu. Kedua – carilah rakan-rakan yang baik. Rasul
SAW bersabda bahawa rakan-rakan adalah seumpama cermin kepada kita.
Ketiga – ingatlah bahwa kita akan mati suatu hari nanti.