Budaya Iqra’ (1) - Tanyalah Ustaz 1 Ramadhan 1433H (21.07.2012)

Ustaz Syed Norhiysam Tuan Padang


Assalamu'alaikum wbt. Alhamdulillah kita dipertemukan dalam bulan Ramadhan dan bulan Al-Quran.

Bacaan surah Iqra’ ayat 1-5:

Ayat-ayat ini merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam banyak-banyak ayat Al-Quran, perkara pertama yang Allah turunkan ialah ayat ini. Syed Quttub berkata bahawa peristiwa turunnya ayat Iqra ini merupakan titik perubahan dalam sejarah manusia, seolah-olah manusia dilahirkan semula. Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menyelamatkan kita semua dan baginda diberi panduan melalui wahyu Allah. Oleh sebab itu, budaya membaca, mencari ilmu, menghadiri majlis ilmu dan menganjurkan majlis ilmu perlu kita hidupkan bersama-sama.

Kita semua maklum bagaimana kisah ini berlaku. Jibril mendatangi Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’. Nabi disuruh membaca, tetapi Nabi mengatakan yang dia tak tahu. Jibril menyuruh lagi dan kemudian Nabi Muhammad SAW memberi jawapan yang serupa. Kemudian Jibril membacakan, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk.” Oleh itu kita perlu faham bahawa semua ilmu adalah milik Allah sebagai Maha Pencipta. Oleh itu segala ibadah kita perlulah didahului dengan ilmu.

Imam Ghazali ada menyebut dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin, bahawa sebelum kita membuat sesuatu ibadah, kita perlu mencari ilmu dan memahaminya dahulu. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak akan mempunyai stamina untuk istiqamah. Sebab itu juga kita jangan panggil bulan puasa, tetapi panggil bulan Ramadhan. Jika bulan puasa, ada orang puasa sahaja tetapi tinggal solat, aurat terbuka dan sebagainya. Setelah Allah ceritakan kepentingan ilmu, Allah ceritakan tentang penciptaan manusia agar manusia kenal akan dirinya. Oleh itu kita perlu beramai-ramai menghidupkan dan meraikan majlis ilmu. Majlis ilmu juga merupakan satu bentuk ibadat.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Mohon penjelasan ustaz dengan keadaan masyarakat hari ini yang tidak lagi berada dalam zaman kegemilangan seperti zaman dahulu kerana tidak lagi membudayakan iqra’?
J: Pertama, kita dah sebut tadi bagaimana Nabi Muhammad SAW  merubah masyarakat Jahiliyyah dengan ilmu dan wahyu Al-Quran. Ketika Sayyidina Umar membuka masjidil Aqsa dan Palestin, beliau berkata, “Allah telah muliakan kita dengan Islam. Jika kita cari selain daripada Islam, Allah akan hina kita”.

S: Ada segelintir masyarakat yang menonton rancangan ilmu di internet atau TV sahaja, tetapi tidak berminat untuk datang ke masjid. Apa pandangan ustaz?
J: Itu merupakan satu usaha yang sangat baik untuk mengisi masa lapang. Tetapi tidak boleh berhenti di situ sahaja. Kita perlu meramaikan penonton rancangan agama kerana ini akan membanyakkan lagi rancangan agama di TV. Tetapi kita juga perlu menghadiri majlis ilmu di masjid. Jika kita ke masjid, kita dapat pahala perjalanan pergi dan pulang. Kita boleh dapat pahala iktikaf di masjid. Di dalam majlis ilmu, ada malaikat yang akan memayungi kita dengan sayapnya. Kita juga boleh merapatkan ukhuwwah ketika berjumpa di masjid. Pada yang uzur tidak mengapalah untuk duduk di rumah. Tetapi pada yang sihat, usahakan datang ke masjid. Jika datang ke masjid, kita juga akan mendapat keberkatan kefahaman kerana berada dekat dengan guru. Kita boleh gunakan teknologi untuk membantu, tetapi kita tidak meninggalkan asas mencari ilmu dengan berguru.

S: Bolehkah menjanjikan ganjaran duit untuk melatih anak-anak kecil berpuasa?
J: Tiada masalah jika anak masih kecil.

S: Dalam menghidupkan budaya Iqra’, ada ibubapa yang menghantar anak yang lemah akademik untuk belajar agama. Mohon pandangan ustaz.
J: Betul, banyak berlaku begitu. Minta maaf saya sebut bahawa yang ‘reject shop’ dihantar ke sekolah agama. Sebenarnya setiap orang ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Tetapi yang sedihnya, yang lemah sahaja akan dihantar ke sekolah agama. Kita juga perlu hantar anak yang berpotensi tinggi untuk belajar tentang agama. Ayah Imam Ghazali pergi ke banyak majlis ilmu, dan dalam setiap majlis ilmu dia kagum dengan guru yang mengajar dan mendoakan anaknya juga jadi begitu. Itulah kesan doa seorang ayah dan usaha yang dilakukan olehnya untuk menjadikan anaknya seorang ulama. Semoga kita sebagai ibu bapa, apabila melihat ulama-ulama yang ada di Malaysia seperti Ustaz Zulkefli Al-Bakri, ustaz Daniel, ustaz Zaharuddin, ustaz Zahazan dan ramai lagi, turut mendoakan agar anak-anak kita mengikut jejak langkah mereka.

S: Mana yang lebih afdhal antara solat tarawikh 8 atau 20 rakaat?
J: Antara 8 dengan tazkirah atau 20 rakaat tanpa tazkirah, mana lebih baik? Bagi yang buat 8 dan majlis ilmu, mereka berhujah inginkan pahala menghadiri majlis ilmu juga. Yang paling afdhal adalah yang paling ikhlas dilakukan kerana Allah. Tanda ikhlas adalah kita tidak sibuk ‘condemn’ pasal orang lain. Janganlah kita bertelagah kerana kesatuan ummah itu adalah wajib, sedangkan solat tarawikh adalah sunat. Jadilah seperti sahabat Nabi yang bermusafir ketika bulan Ramadhan. Ada sahabat yang berbuka dan ada yang meneruskan puasa, namun mereka tidak mengutuk antara satu sama lain. Oleh sebab itu amat penting untuk beramal dengan ilmu agar kita faham apa yang kita lakukan.

S: Ada masjid takut menganjurkan majlis ilmu kerana takut duit akan habis. Mohon pandangan ustaz.
J: Jawatan AJK masjid merupakan satu tanggungjawab dan amanah. Saya telah berulang-kali menyebut bahawa nyawa masjid adalah majlis ilmu. Oleh itu,  AJK masjid perlu buat majlis ilmu, biar habis duit sekalipun. Rezeki masjid bukan dalam tangan kita, tetapi Allah yang tentukan. Sebenarnya, bila masjid aktif, orang pun akan semakin ramai datang. Jangan pula menyimpan wang beribu-ribu dalam akaun dan berbangga dengannya. Ingatlah yang anda akan ditanya Allah apakah yang telah dilakukan dengan amanah yang diberikan. Masjid merupakan benteng terakhir umat Islam, oleh itu kita perlu menghidupkannya.

S: Ada masjid yang membuat kutipan derma ketika khutbah dilakukan. Ada juga orang yang masih berniaga ketika khutbah dilakukan. Mohon nasihat ustaz.
J: Nabi SAW berpesan jika main anak-anak batu (pada zaman dahulu, lantai masjid adalah pasir), atau sebut diam kepada rakan ketika khutbah, itu dianggap lagha (sia-sia). Begitu jugalah dengan orang yang sibuk ber’sms’ dan ‘update’ FB dan Twitter ketika khutbah. Oleh itu jangan kutip derma ketika khutbah. Ada yang kata ketika khutbah ada ramai orang. Jangan risau dengan rezeki masjid kerana Allah yang menjaganya. Tabung derma boleh diedarkan selepas selesai solat Jumaat. Para khatib yang melihat perkara ini seharusnya menegur dan meminta dihentikan perbuatan mengedar tabung ketika khutbah. Para khatib juga perlu memastikan khutbah yang disampaikan tidak menjadikan orang bosan dan lebih gemar untuk buat kerja lain seperti ber’sms’ dan sebagainya. Khatib perlu mengingatkan bahawa perniagaan yang dijalankan ketika khutbah adalah haram pada khutbah kedua, kerana biasanya pada waktu inilah para peniaga akan masuk menyertai khutbah.

Popular posts from this blog

Tanggungjawab Adik-Beradik (2) - Tanyalah Ustaz 21.06.2012

Memikat Hati Suami (1) – Tanyalah Ustaz 18.03.2013

Diet Rasulullah (2) – Tanyalah Ustaz 26 Ramadhan 1433H (15.08.2012)