Muhasabah Diri (1) - Tanyalah Ustaz 04.07.2012
Ustaz Raihan Abdul Aziz
Bacaan surah Baqarah ayat 155-157:
Apa maksud Muhasabah? Muhasabah berasal
daripada perkataan hisab – iaitu hitung. Muhasabah diri bermaksud
menghitung diri kita supaya hisab di depan Allah nanti lebih mudah.
Inilah yang pernah diucapkan oleh Sayyidina Umar, “Hisablah diri
kamu sebelum kamu dihisab”. Untuk muhasabah diri, kita perlu
melihat ke dalam jiwa kita – apakah peranan dan tanggungjawab yang
telah dilakukan.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah kelebihan selalu memuhasabah
diri?
J: Pertama kerana kita hidup di dunia
untuk sementara sahaja dan kita akan menuju alam akhirat yang kekal.
Sebab itulah ketika di dunia, kita diminta untuk menyemak diri kita.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Kamu akan diberitahu apa yang
telah kamu kerjakan'. Kedua, kerana manusia merupakan seorang yang
pelupa. Orang yang lupa perlu selalu diingatkan. Ketiga, muhasabah
diri akan dapat mengimbas semula ibadah dan melihat keperluan untuk
memperbaikinya. Keempat, muhasabah adalah sebagai cara hidup Islam.
Ajaran dalam Islam adalah sempurna dan meliputi semua perkara.
S: Adakah kaedah tertentu untuk
muhasabah diri?
J: Ada banyak cara sebenarnya. Beberapa
cara yang ditunjukkan Nabi SAW ialah dengan bertafakkur, bukan
berdengkur. Rasul SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Fikirkanlah
ciptaan Allah Taala”. Pertama, kita kena fikir dari mana asal-usul
kita. Allah menyatakan bahawa manusia dicipta daripada air mani iaitu
sesuatu yang hina dan hanyir. Jadi mengapa kita sombong dan tidak mahu
sujud pada Allah Taala. Cara lain untuk muhasabah adalah dengan
membaca dan menghayati Al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan
banyakkan bertanya untuk membetulkan diri.
S: Adakah dengan cara bertanya kita
dapat muhasabah diri?
J: Betul. Dalam Al-Quran, Allah SWT
bertanya apa sebab anak (bayi) dibunuh. Apakah dosa mereka? Jadi
pertanyaan boleh membuatkan kita berfikir. Ada berbagai kaedah
bertanya. Antaranya:
- Orang bertanya kenapa mereka betul-betul tak tahu. Contohnya soalan dari anak-anak kecil seperti mengapa ibu perempuan, ayah lelaki?
- Orang bertanya kerana dia dah tahu, tetapi dia ingin memberitahu orang lain juga. Seperti kisah Jibril yang menyerupai seorang lelaki tampan dan datang bertemu Nabi SAW lalu bertanya “Beritahu saya tentang Islam”. Bila Nabi jawab, dia berkata betul. Jadi sahabat pun pelik dia bertanya tetapi dia sendiri berkata betul.
- Pertanyaan yang membuatkan kita berfikir, seperti pertanyaan Allah dalam ayat-ayat Al-Quran. Contohnya dalam surah Yasin, ada banyak soalan yang Allah beri untuk kita berfikir.
- Bertanya untuk menguji kefahaman, contohnya bertanya apa yang anak sudah belajar.
- Bertanya untuk menjatuhkan orang lain. Contoh: Rakan saya pernah ditanya kemanakah arah kiblat jika di bulan. Orang macam ini kita kena jawab dengan menyoalnya semula. Lalu rakan saya tanya balik – bila Tuan nak ke bulan? ;)
S: Sekarang ada banyak musibah menimpa
manusia. Ada yang kata musibah ini sebagai ujian, ada yang kata
sebagai bala, dan ada yang kata ada hikmah di sebalik musibah. Jadi,
apakah beza antara musibah dan bala?
J: Dalam ayat 155, surah Al-Baqarah
yang saya bacakan tadi Allah menyatakan bahawa bencana itu musibah.
Musibah pula terbahagi kepada tiga:
- Musibatulbalak - Jadi ada kalanya musibah diturunkan sebagai ujian. Balak ertinya ujian, bukan sesuatu yang buruk.
- Musibatuljazak – Sebagai balasan atas kemungkaran yang dilakukan.
- Musibatultarbiyyah – Musibah untuk mendidik kita. Biasanya bila susah, barulah manusia akan dekat dan balik kepada Allah SWT.
S: Apakah hikmah kepada orang yang
bersabar menerima musibah?
J: Saya ingin bawakan kisah ketika
zaman Nabi SAW. Telah berkata Abdullah bin Abbas r.a kepada Atta',
“Mahukah kamu jika aku tunjukkan seorang perempuan yang ahli
syurga?” Lalu Atta' pun menjawab, “Ya”. Tiba-tiba Ibnu Abbas
tunjukkan kepada seorang wanita yang berkulit hitam. Wanita tersebut
pernah datang mengadu kepada Nabi SAW, “Ya Rasululah, saya kena
penyakit sawan. Apabila terkena sawan, akan habis terbuka pakaianku.
Tolong doakan saya”. Lalu Nabi SAW menjawab, “Jika kamu sabar
kamu akan beroleh syurga. Kalau kamu mahu saya boleh doa bagi kamu
sihat.” Kemudian wanita itu menjawab, “Jika begitu, saya memilih
untuk sabar, tetapi Tuan doakan supaya aurat saya tidak terbuka
ketika saya sakit”. Lalu didoakan oleh Nabi SAW. Daripada cerita
ini dapat difahamkan bahawa orang yang sakit akan diberi ganjaran
yang besar dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.
S: Ada orang yang sedih sehingga
meraung-raung apabila orang yang dikasihi meninggal dunia. Bolehkah
kita buat begitu?
J: Baginda Rasulullah SAW sendiri
mengalami mengalami kewafatan anaknya, Ibrahim. Baginda pernah
menangis lalu ditegur oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu jawab Nabi
bahawa anak ini adalah rahmat Allah. Jadi, menangis itu tidak salah,
yang salah adalah meraung-raung, menarik-narik baju dan
menampar-nampar muka.
S: Sejauh mana kita dapat fahami –
'Siapa kenal dirinya akan kenal Allah SWT'. Bagaimana kaitannya
dengan muhasabah diri?
J: Dalam muhasabah diri, kita perlu
ingat asal-usul kita, mengapa kita diciptakan dan kemana arah tuju
kita. Dalam ilmu tauhid, kita belajar yang Allah tak serupa dengan
segala sesuatu. Oleh sebab itu kita perlu mengenali diri sendiri.
Kita ini manusia yang ada anggota tubuh kiri dan kanan. Kita tahu apa
kekurangan kita sebagai hamba dan tahu bahawa Allah tak serupa dengan
kita. Tetapi orang yang tak tahu tetap menyembah patung yang
menyerupai sifat-sifat manusia. Allah SWT suruh kita lihat pada diri
kita dan berfikir. Kita ada jantung yang asyik berjalan. Kita berjalan, jantung berjalan. Kita berhenti, jantung
berjalan. Tetapi, sekali jantung berhenti, kita pun 'jalan'.
Renung-renungkanlah. Bolehkah manusia buat sesuatu seperti jantung
ini? Tak boleh. Jadi, terbukti tak Allah itu Maha Hebat? Lihat perut
kita pula – macam-macam makanan yang kita makan tetapi perut tetap
dapat proses. Adakah mesin serupa ini di dunia? Oleh itu apabila kita
semakin mengenal diri kita, akan semakin jelas kehebatan Allah dalam
mencipta kita.
S: Jika seseorang melakukan dosa di
dunia, yang akan diseksa di akhirat adakah roh atau jasad?
J: Kita ada roh dan jasad. Bila roh
sudah keluar, semua orang pun lari daripada kita :). Saya bawakan
satu cerita. Ada dua orang, si buta dan si kudung yang dalam
perjalanan dan kelaparan. Maka kata si kudung kepada si buta, “ Aku
lihat ada buah di pokok tapi aku tak ada tangan”. Kata si buta
pula, “Aku ada tangan tapi aku tak nampak”. Mereka pun
bekerjasama dan si buta pun berjaya mengambil buah dengan arahan si
kudung. Tiba-tiba datang tuan punya kebun. Jadi siapa yang salah –
si buta atau si kudung? Pastinya masing-masing saling menyalahkan pihak yang
lain. Oleh itu siapa yang akan dihisab di akhirat nanti?
Kedua-duanya. Sebab itulah, selain makanan jasad, kita perlu juga
jaga makanan roh.
S: Boleh ustaz berikan tips untuk
selamat di alam kubur?
J: Buatlah persiapan kerana Nabi SAW
bersabda bahawa orang yang cerdik adalah orang yang selalu muhasabah
dirinya. Antaranya yang Nabi SAW mengajar kita adalah:
- Setiap malam sebelum tidur, Nabi SAW akan membaca surah Al-Mulk dan As-Sajadah. Surah-surah ini akan menjadi perisai dan pelindung di dalam kubur.
- Membanyakkan doa perlindungan selepas bacaan tahiyyat akhir iaitu: "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya: "Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal".
- Baca juga doa “Allahumma barikli fil maut wa fima ba'dal maut” yang bermaksud “Ya Allah berkatilah aku semasa mati dan selepas mati” sebanyak 25 kali sehari semalam.