Menanti Kehadiran Ramadhan – Topik Jumaat IKIM 13.07.2012
Ustaz Muhadir Haji Joll
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah
Allah memanjangkan umur kita sehingga di bulan Syaaban dan kita
sangat merindui kehadiran bulan Ramadhan. Semoga setiap kali kita
bertemu ditambahkan ilmu dan juga amalan, InsyaAllah.
Sekiranya seorang VVIP atau Raja akan
datang ke tempat kita, kita pasti akan buat persiapan rapi dan kita
juga akan rasa dihargai kerana terpilih menerima tetamu yang
istimewa. Bagaimana pula jika yang datang adalah raja kepada segala
bulan dan telah termaklum keberkatan dan kebaikan yang ada di
dalamnya? Sebelum kehadiran Ramadhan, telah didatangkan 'wakilnya'
dahulu iaitu bulan Rajab dan Syaaban yang juga memiliki kelebihan
tersendiri.
Nabi SAW, apabila melihat anak bulan
Rajab, akan melafazkan doa, “Ya Allah berkatilah kami pada bulan
Rajab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.” Jadi
kenapa Nabi SAW guna perkataan 'Berkatilah kami'? Berkati di sini
bermaksud seseorang itu faham hakikat keagungan dan keutamaan
bulan-bulan itu. Ulama-ulama semua menceritakan bahawa bulan Ramadhan
mempunyai darjat yang sangat tinggi di sisi Allah dan juga Nabi SAW.
Oleh itu bulan Ramadhan merupakan anugerah yang tinggi nilainya bagi
orang Islam tahu menghargainya. Jika tidak memahaminya, bulan ini
akan berlalu sama seperti bulan lain sahaja. Tidak ada bulan lain
yang Nabi SAW berkhutbah khusus dan panjang berkenaaannya selain
Ramadhan.
Daripada satu hadis yang panjang,
daripada Salman Al-Farisi, Nabi SAW menyebut bahawa akan hadir satu
bulan yang sangat barakah, terdapat padanya satu malam yang lebih
baik daripada seribu bulan, iaitu bulan yang Allah perintahkan
baginya puasa. Kemudian Allah mengganjari pahala yang sunat seperti
yang wajib dan yang wajib digandakan pahalanya 70 kali. 10 malam yang
pertama adalah rahmat, 10 yang pertengahan adalah keampunan dan 10
yang terakhir adalah pembebasan dari neraka.
Sebenarnya rahmat Allah diturunkan pada
setiap malam dan juga ada hadis sahih yang menyebut Allah membebaskan
hambanya dari api neraka juga pada setiap malam. Jadi, ulama
membahaskan mengapa Allah mengkhususkan 30 malam ini. Ini hanya
diketahui oleh Ahlul Adwa' – orang terpilih memahami syariat.
Syeikh Maulana Zakaria mengatakan 10 rahmat yang pertama adalah untuk
orang yang tidak dibelenggu oleh dosa kerana dia sepanjang tahun
sudah melakukan amal membersihkan diri terumatanya ketika masuk bulan
Rajab. Apabila masuk Ramadhan, dia sudah bersih daripada dosa dan
mendapat rahmat Allah. Keampunan pula adalah untuk orang yang masuk
Ramadhan dengan dosa-dosa kecil. Setelah beberapa hari berpuasa,
Allah berikan keampunan padanya. Pembebasan dari api neraka pula
untuk orang yang berbuat dosa. Dia perlu berpuasa lebih sedikit (20
hari) sebelum diberi keampunan Allah SWT. Oleh sebab itu, kita perlu
bersedia seawal bulan Rajab agar mendapat rahmat ketika masuk
Ramadhan. Bulan Rajab adalah bulan bercucuk tanam – perlu banyakkan
istighfar. Bulan Syaaban adalah bulan mengairi tanaman dan bulan
Ramadhan adalah bulan memetik hasil apa yang ditanam dan diairi
sebelum ini. Inilah cara persiapan yang ditunjukkan Nabi SAW.
Seterusnya, persiapan menghadapi
Ramadhan mestilah dengan ilmu. Kita perlu tahu halal haramya dan
jenis-jenis berpuasa. Puasa itu ada puasa zahir dan batin dan bukan
sekadar menahan lapar dan dahaga semata. Puasa sebegini tiada beza
dengan puasa anak-anak kecil. Imam Al-Ghazali menyatakan dalam
kitabnya Ihya' Ulumiddin dalam bab Puasa: puasa bukan sekadar tidak
makan, minum dan menjaga syahwat, tetapi perlu juga jaga pendengaran,
penglihatan, lidah dan seluruh anggota badan agar tidak berbuat
maksiat di siang dan malam Ramadhan.
Sebagai penutup muqadimmah, saya
bawakan satu cerita: Ada 2 orang wanita yang tidak larat untuk
berpuasa dan menghantar wakil kepada Nabi SAW meminta izin untuk
berbuka. Nabi SAW izinkan dan memberi bekas untuk mereka muntah.
Apabila dimuntahkan keluar daging mentah daripada kedua-duanya. Orang
pun jadi riuh dan pelik kerana kedua wanita itu berpuasa. Lalu Nabi
SAW mengatakan, “Mereka berpuasa daripada sesuatu yang halal (makan
dan minum) untuk keduanya, tetapi mereka tidak berpuasa dengan
sesuatu yang haram (mengumpat) keatasnya”. Rupa-rupanya mereka
sudahpun 'berbuka' dengan mengumpat yang merupakan perbuatan yang
Allah haramkan.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Kebelakangan ini Ramadhan menjadi
seperti bulan pesta makanan. Bagaimana untuk menghindarinya agar
bazaar tak jadi bazir?
J: Saya setuju dengan pandangan
saudara. Oleh sebab itu kita perlu bersedia sedari bulan Rejab lagi.
Kita perlu bersedia dengan kurangkan makan dan banyakkan berpuasa
sunat bermula bulan Rajab lagi. Ini bertujuan melatih diri agar tidak
terkejut apabila bulan puasa datang. Nafsu perlu dikekang dengan
berpuasa. Imam Ghazali ada menyebut dalam kitab Ihya' Ulumiddin,
kadang-kadang orang berpuasa bukannya tidak makan, tetapi dia cuma
mengalihkan waktu makannya saja. Lebih teruk lagi jika dia makan
lebih banyak daripada di luar bulan Ramadhan pula.
S: Bagaimana pula dengan orang yang
berniaga makanan untuk berbuka puasa?
J: Mencari rezeki yang halal itu adalah
satu tuntutan dalam Islam. Oleh itu tidak jadi masalah untuk
berniaga, cuma jangan buka kedai awal sangat agar tidak makruh puasa
apabila melihat makanan terlalu awal. Peniaga boleh mendapat pahala
kerana memberi kemudahan kepada orang yang berpuasa. Pembeli yang
sebenarnya perlu mengawal diri dan membeli apa yang perlu, bukan apa
yang mahu. Peniaga pula, jika ada makanan atau minuman yang tidak
habis, janganlah dibuang. Lebih elok jika disedekahkan.
S: Apakah jadual makan terbaik selepas
berbuka agar mudah bangun pagi?
J: Selepas tarawikh, elok solat witir
berjemaah di masjid. Jika ingin sambung qiyammullail, teruskan dengan
solat biasa dan tidak perlu buat witir lagi sekali. Ada juga pendapat
lain mengatakan boleh dibuka dengan satu rakaat witir dan kemudian
sesudah solat, buat witir satu rakaat lagi. Waktu sahur adalah pada
sepertiga malam dan waktu paling afdhal adalah pada waktu sebelum
Subuh. Jika makan selepas tarawikh, itu bukan sahur.
S: Bagaimana jika tidak sihat untuk
menghadapi Ramadhan? Bagaimana untuk mempertingkatkan amalan di bulan
puasa?
J: Kesihatan datang dari Allah, jika
tidak mampu, buat sekadar yang termampu. Untuk rujukan memperbaiki
puasan, boleh dapatkan kitab Ihya' Ulumiddin. Seeloknya juga kita ada
satu amalan khusus yang kita buat setiap hari agar tidak leka dengan
benda lain. Contohnya – amalkan selawat 2000 kali sehari, atau
Fatihah 313 kali sehari, atau baca Bismillah 786 sehari, atau baca
'Qulhuwallahu ahad' 200 kali sehari. Sibukkan diri kita dengan amalan
ini agar puasa kita lebih terisi.
S: Apakah contoh amalan khusus lain
yang boleh dilakukan?
J: Apa yang penting setiap amalan yang
ingin dilakukan perlulah ada ilmu dahulu. Ilmu perlu dituntut melalui
guru yang boleh memberi tunjuk ajar cara yang betul. Amalan umum yang
boleh dilakukan ialah dengan membaca Al-Quran dan berusaha untuk
mengkhatam Al-Quran. Bulan Ramadhan adalah bulan beramal. Tak kira
amalan umum atau khusus. Boleh rujuk kitab-kitab yang banyak terdapat
di pasaran. Tidur orang yang berpuasa juga dapat pahala, inikan pula
orang yang berjaga dan mengisi masa dengan amalan khusus.
S: Jika membahagi Al-Quran kepada
beberapa orang dan membaca serentak beramai-ramai, adakah itu dikira
sebagai khatam Al-Quran?
J: Ada dua jawapan: Khatam untuk
kumpulan ya, tetapi tidak untuk diri sendiri. InsyaAllah ada
pahalanya, tetapi tidak boleh menandingi pahala jika mengkhatamnya
sendiri.
S: Saya seorang pemandu teksi. Saya
telah mengamalkan membaca 500 kali ayat Kursi setiap hari selama 7
tahun. Saya rasa gementar kerana saya tiada perasaan bimbang kerana
Allah sentiasa mudahkan rezeki dan jaga keselamatan saya yang memandu
8 jam sehari. Mohon ulasan ustaz.
J: Ayat Kursi merupakan satu daripada
perbendaharaan Allah. Oleh itu Imam Nawawi mengatakan selepas wudhuk,
sunat untuk kita berdoa dengan melihat ke langit kerana memandang ke
arah perbendaharaan 'Arasy. Ada dua perkara yang telah dikeluarkan
daripada perbendaharaan Allah:
Oleh sebab itu, walaupun ayat ini
pendek, fadhilatnya besar.
Kedua ialah ayat Kursi. Dikatakan
ketika dikeluarkan, 70 000 Malaikat mengiringi untuk membawa ayat
Kursi kepada Nabi SAW. Semoga saudara teruskan istiqamah dan semoga
perasaan gementar itu adalah sesuatu yang baik. Ikhlaskan hati,
istiqamah dan yakin kepada Allah SWT. Ada satu kisah seorang guru
yang mempunyai harta dan ditanya oleh anak muridnya kenapa tidak
disedekahkan saja. Lalu guru itu pun menyedekahkan semuanya sekali.
Keesokan harinya, apabila murid itu datang, dia terkejut kerana
melihat di rumah guru itu ada lebih banyak harta. Lalu kata gurunya,
“Siapa yang berkira-kira dengan Allah, Allah akan berkira-kira
dengannya. Jika dia tidak berkira dengan Allah, Allah tidak akan
berkira-kira dengannya”.
S: Isteri saya baru disahkan mengandung
dan masih lemah. Jika dia tidak dapat berpuasa, apa yang perlu
dilakukan?
J: Tahniah dan alhamdulillah isteri
mengandung. Banyakkan membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi
SAW. Mengikut hukum feqah, jika seseorang tidak berpuasa kerana
bimbangkan kesihatan dirinya, maka dia dibolehkan meninggalkan puasa
dan menqada' selepas Ramadhan. Tetapi jika dia bimbangkan keselamatan
bayi yang dikandung, dia perlu juga membayar fidyah dan qada'. Kenapa
perlu bayar fidyah? Kerana dia menanggung kesengsaraan orang lain
iaitu dalam kes ini bayi yang dikandung. Kadar fidyah ialah secupas
beras untuk setiap hari.
S: Adakah memberi makan moreh dan sahur
boleh dapat pahala seperti memberi makan orang yang berbuka?
J: Ada hadis khusus mengatakan siapa
yang memberi makan orang yang berbuka akan mendapat pahala seperti
orang yang berpuasa. Tidak disebut makan moreh atau sahur.
Penutup:
Tiada petunjuk terbaik dalam membuat
persiapan menyambut Ramadhan kecuali apa yang ditunjukkan oleh
baginda Nabi SAW. Dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari, daripada
Aisyah r.a, “Tidak pernah aku melihat Nabi SAW berpuasa penuh,
sepenuh-penuh bulan selain daripada Ramadhan, melainkan pada bulan
Syaaban.” Ini merupakan persiapan yang luar biasa. Jika Nabi SAW
yang sudah dijanjikan keampunan bersiap-sedia sebegitu rupa, apatah
lagi kita yang banyak dosa ini. Oleh itu kita hendaklah berusaha
menjadikan Ramadhan ini sebagai Ramadhan terbaik kerana kita tidak
tahu bila lagi kita akan berjumpa Ramadhan seterusnya. Mari bersama
mengambil semangat daripada syair Arab ini:
Ramadhan datang dengan senyuman,
beruntung hamba-hamba Allah yang mengambil peluang di dalamnya,
yang redha dengan Tuhan-Nya,
yang iltizam dengan apa yang diperintah ke atasnya,
beruntunglah jiwa-jiwa yang membersihkan daripada hawa nafsunya yang jahat.
beruntung hamba-hamba Allah yang mengambil peluang di dalamnya,
yang redha dengan Tuhan-Nya,
yang iltizam dengan apa yang diperintah ke atasnya,
beruntunglah jiwa-jiwa yang membersihkan daripada hawa nafsunya yang jahat.
Semoga kita semua mendapat Ramadhan
yang lebih baik. Amin. Assalamualaikum wbt.