Kerja Berkira (1) - Tanyalah Ustaz 9 Ramadhan 1433H (29.07.2012)
Ustaz Mohd Salahuddin Mohammad
Bacaan surah At-Taubah ayat 105:
Jangan berkira dalam beribadat kerana Allah sentiasa
memerhatikan. Kalau orang lain tadarrus, kita jangan pula tidur terus. Jika
bersedekah, jangan pula pilih duit yang paling kecil dalam dompet. Jika solat
tarawikh pula, janganlah berkira dan merungut apabila imam baca panjang
sedikit.
Buatlah apa saja ibadat, asalkan mengikut sunnah dan ikhlas
kerana Allah SWT. Jangan buat amalan yang menyalahi syariat, contohnya amalan
melenggang perut seperti yang pernah di amalkan masyarakat Melayu suatu ketika
dahulu. Sama-samalah kita mohon keampunan kepada Allah atas perlakuan masa
lampau yang kita tidak sedar menyalahi syariat.
Dalam tugas seharian, ramai yang tidak melihat segala
pekerjaan seperti menghantar anak, mengambil anak dan sebagainya itu sebagai
amalan yang boleh mendatangkan pahala. Oleh itu, janganlah kita merungut
kepenatan dan sematkan perasaan ikhlas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Allah
berpesan juga agar kita memelihara keluarga daripada azab neraka. Oleh itu, jangan
berkira dalam setiap hal yang dilakukan untuk keluarga. Suami dan isteri perlu
saling berkerjasama dan saling menghormati. Nabi SAW berpesan agar sahabat
meniru cara Abu Dzar bersama keluarganya. Apabila sahabat memerhatikan, dilihat
bahawa Abu Dzar makan bersama-sama isteri dan anaknya, apabila ke pasar, Abu
Dzar mengikut bersama dan membawa barang-barang. Orang kita hari ini pula ramai
yang suka tunggu dalam kereta dan membiarkan isteri keseorang masuk ke pasar
dan membeli keperluan. Nabi SAW juga berpesan agar suami dan isteri minum
daripada gelas yang sama seperti yang Nabi SAW sendiri lakukan bersama Aisyah.
Kerja di pejabat juga merupakan satu bentuk ibadah. Oleh itu
kita perlu menjaga tatacara dan bekerja dengan jujur dan ikhlas. Kita tidak
sewenang-wenangnya menggunakan pekerjana sebagai jalan berbuat kejahatan dan
kemungkaran. Dala surah Al-Qasas, ayat 26:
Ayat ini menekankan agar seseorang pekerja dilantik mengikut
kemahiran yang dimiliki. Ini
penting agar ketua menjadi seorang yang adil dan organisasi dapat berfungsi
dengan baik. Marilah kita berkira untuk membanyakkan amalan baik dan
mengurangkan amalan kemungkaran.
Senarai soalan dan
jawapan:
S: Apakah hukumnya jika seorang ketua memberi markah rendah
kepada pekerja kerana hal peribadi, sedangkan pekerja berkerja dengan baik?
J: Dalam satu kitab ada dibincangkan tentang prestasi kerja
dan disebut daripada satu hadis di mana Nabi SAW berpesan sebanyak 3 kali, “Berhati-hati
dalam membuat janji palsu.” Sikap mendustakan prestasi pekerja yang cemerlang
termasuk dalam soal saksi palsu. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dan menghindari
daripada berlaku zalim dan menidakkan hak orang yang sepatutnya.
S: Apakah adab-abab berpuasa agar pahala puasa tidak hilang?
J: Pertama, jaga lisan, contohnya jangan berbohong. Kedua:
jauhi mengumpat. Jika sudah terumpat pada seseorang, gantilah dengan banyak
bersedekah bagi pihaknya. Ketika bersalam minta maaf padanya, ucapkan selawat
dan pandang wajahnya. Nabi SAW berkata jika kita buat begitu Allah akan
ampunkan dosa-dosa kita. Ketiga: Jauhi fitnah-memfitnah. Keempat; Jauhi tipu
dalam jual-beli. Kelima: Jangan jadi saksi palsu. Jagalah perkara-perkara ini
agar kita tidak berpuasa sekadar mendapat penat tidak makan dan minum sahaja.
Nabi SAW ada bersabda, “ Sangat malang orang yang berada dalam bulan Ramadhan,
namun bila berakhirnya Ramadhan, Allah tidak mengampunkan dosanya.” Oleh itu
kira perlu berkira untuk menambah amalan positif dan berkira meninggalkan
amalan negatif.
S: Suasana bulan Ramadhan ini banyak godaannya, contohnya nafsu
godaan membeli makanan dan nafsu amarah. Bagaimana untuk mengatasi?
J: Betul, nafsu perlu dipujuk sebagaimana memujuk anak
kecil. Sepatutnya perut kita makin kecil di bulan Ramadhan, bukannya semakin
besar J.
Mengikut kata Syeikh Al-Qarni, ada dua cara yang perlu dihidupkan untuk melawan
nafsu di bulan Ramadhan. Pertama: Banyakkan membaca Al-Quran siang dan malam.
Paling baik adalah dengan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran. Kita
hari ini pula ramai yang hanya suka mendengar bacaan Al-Quran. Kedua: berdoa
memohon bantuan Allah. Nabi SAW mengajar Fatimah doa ini: “Ya Allah, aku
mengharapkan kepada-Mu agar menjaga diriku dan memimpin diri-Ku.” Cubalah
amalan dua perkara ini dahulu. Banyakkan bersyukur dan kurangkan makan.
S: Kita wajib mendamaikan perselisihan faham antara umat
Islam. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?
J: Betul, tugas kita adalah untuk amal makruf, nahi mungkar.
Dalam soal mencegah perselisihan, Nabi SAW memberikan contoh dengan mendirikan
masjid untuk menyatukan manusia. Ketika solat, Nabi SAW suruh saf dirapatkan
sehingga saling menyentuh bahu agar manusia mudah bersatu. Jika saf tidak betul
dan rapat, Nabi SAW berkata bahawa manusia akan berpecah-belah dan inilah yang
banyak kita lihat berlaku hari ini. Oleh itu saya sarankan kita banyakkan solat
berjemaah
S: Jika seseorang yang bekerja tetapi sukar menjaga lidahnya,
bagaimanakah pahala pekerjaaannya itu?
J: Tidak boleh buat begitu dan perlu menjaga lidah daripada
menyakiti atau mencela orang lain. Nabi SAW ada menyebut bahawa orang yang suka
mencela bukanlah orang yang beriman. Bercakap baik juga dikira sebagai
bersedekah dan boleh mendapat pahala. Nabi SAW juga menganjurkan agar kita suka
memberi Salam kerana Allah SWT berjanji akan membuang perasaan dengki, sombong dan
dendam dalam diri kita. Jika ada orang beri salam, kita perlu jawab dengan
mulut juga, jangan jawab dalam hati saja.