Hidup Sesudah Mati (2) – Tanyalah Ustaz 10.07.2012
Ustaz Datuk Abu Hassan Din
Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 28-29:
Huraian ayat:
Allah yang menghidupkan dan mematikan
kita. Kita hidup dua kali dan mati pun dua kali. Kita perlu bersedia
untuk mati. Apakah persediaan yang perlu dilakukan? Pahala dan amal
kebaikan.
S: Adakah kelonggaran sebagai umat
Islam ketika menjawab soalan Mungkar dan Nangkir? Mohon penjelasan
ustaz.
J: Tiada. Di dunia mungkinlah ada
kelonggaran tertentu. Jika seseorang itu cukup persediannya, dia
tidak akan menghadapi masalah ketika menjawab soalan Mungkar dan
Nangkir. Seperti mana seseorang itu perlu bersedia dengan membaca,
pergi tuisyen dan mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan, kita
juga perlu buat persediaan untuk menghadapi kehidupan sesudah mati.
Orang yang berjaya menjawab segala soalan akan dibiarkan tidur
seumpama pasangan pengantin. Apa maksudnya? Mereka akan ditinggalkan
dan tidak akan diganggu langsung.
S: Adakah orang yang tidak akan disoal
oleh Mungkar dan Nangkir?
J: Ada, pertama orang yang mati syahid.
Kedua, orang yang mati dan dikebumikan pada malam atau pada hari
Jumaat. Oleh itu jika ada yang meninggal pada hari Jumaat, jangan
ditunggu sehingga hari Sabtu barulah dikebumikan.
S: Ada yang mengatakan jika meninggal
ketika hampir kiamat, orang itu tidak akan disiksa sebegitu lama
berbanding orang yang mati lebih awal. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, tetapi orang yang telah lama
di kubur, akan dibicarakan dahulu di akhirat. Orang yang sekejap di
kubur akan menunggu lebih lama di akhirat. Oleh itu, kita perlu
berusaha untuk mendapatkan keselamatan di dalam kubur dan seterusnya
di akhirat nanti. Nabi SAW mengatakan bahawa kubur itu seumpama pintu
gerbang ke akhirat, jika mudah urusannya di kubur, maka akan mudahlah
urusannya di akhirat nanti. Oleh itu, marilah kita memeriksa diri
masing-masing.
S: Jika seseorang itu dapat menjawab
dengan baik semua soalan Mungkar dan Nangkir, bagaimanakah
kehidupannya? Adakah mereka di benarkan bebas ke sana ke mari?
J: Berdasarkan hadis, ada dua jenis
roh. Roh yang disiksa dan roh yang diberi nikmat. Syeikh Ibnu Qayyim
ada menulis kitab berkenaan roh dan menceritakan dengan lebih panjang
lebar. Saya sarankan semua mendapatkan dan membacanya kerana sudah
pun terdapat terjemahan dalam Bahasa Melayu.
S: Betulkah si mati akan tersiksa jika
anak atau saudara mereka membuat maksiat di dunia?
J: Betul. Berdasarkan hadis Nabi SAW,
ada beberapa keadaan si mati akan disiksa kesan perbuatan orang yang
hidup:
- Pertama – jika orang yang ditinggalkan meraung dan meratapi pemergiannya, si mati akan disiksa. Kedua: Jika si mati pernah mengajar benda yang salah, selagi orang yang diajar itu melakukannya, si mati akan tersu disiksa.
- Ketiga: Binaan bangunan atas kubur (seperti marmar), si mati akan disiksa.
- Keempat: Jika harta banyak yang dtinggalkan menyebabkan anak dan saudara bergaduh. Oleh sebab itu, ulama nasihatkan mewasiatkan harta dijadikan hibbah setelah kita mati. Oleh itu kita perlu sentiasa beristighfar.
S: Jika kita baca ayat-ayat Al-Quran di
kubur, adakah dia tahu kita datang?
J: Alam kita dan alam kubur tidak sama,
sepertimana alam manusia dan alam jin, tetapi kita masih boleh
berkomunikasi. Kita tidak nampak mereka, tetapi mereka boleh nampak
kita. Oleh sebab itu, jika balik kampung, saya sendiri utamakan untuk
menziarah kubur ibu dan ayah saya. Nabi pernah melarang perempuan
pergi ke kubur pada zaman dahulu kerana ketika itu iman wanita belum
kuat, tetapi kemudian Nabi membenarkannya, asalkan menjaga adab dan
perlakuan. Menziarah kubur boleh mengingatkan kita kepada mati
sebenarnya.
S: Setelah dikapan, diikat dan
dikebumikan, bagaimana pula malaikat Mungkar dan Nangkir ingin datang
menyoal?
J: Hakikatnya betul kita diikat dan
dibalut dengan kain kapan ketika dikebumikan. Tetapi kita perlu ingat
bahawa alam kubur tidak sama seperti alam dunia. Dalam alam kubur,
jasad kita takkan hancur. Oleh itu kita tidak boleh fikir secara
lojik dalam hal ini.
S: Setelah jenazah ditanam, orang
selalu menjirus air dan menabur bunga. Adakah itu syariat atau adat
sahaja?
J: Betul. Sebenarnya jika dirujuk dalam
kitab fiqah, kita disuruh memacakkan benda yang basah di atas kubur,
contohnya Nabi SAW akan potong pelepah tamar. Selagi pelepah itu
basah, ia akan memohon keampunan untuk si mati. Ulama mengharuskan
menjirus air untuk memendapkan tanah. Berkaitan bunga pula tiada
disebut. Oleh itu ditakuti jika menjadi perhiasan dan akan
menyebabkan si mati disiksa.
S: Apa hukumnya jika sebelum ditanam,
mayat diazankan dahulu?
J: Pertama kali saya mendengar soalan
sebegini. Jadi, saya belum pernah menemui dalam kitab-kitab sebelum
ini. Azan tujuannya memberitahu orang yang sudah masuk waktu solat.
Selain itu boleh juga diazankan ketika: sebelum memulakan perjalanan
jauh, ketika berlaku kebakaran atau ketika berlaku ribut taufan. Oleh
itu, saya takut ianya menjadi bidaah. Kita janganlah buat apa yang
tidak dituntut oleh syarak. Begitu juga dengan zikir Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahu Akbar 33x, kemudian Nabi SAW suruh sambung dengan bacaan 'Allahu Akbar kabira...' sehingga habis, bukannya bacaan 'Subhanallah walhamdulillah wallahu akbar'.