Islam Itu Indah (1) - Tanyalah Ustaz 3 Ramadhan 1433H (23.07.2012)
Ustaz Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz
Bacaan surah Al-An’am, ayat 161-163:
Indahnya Islam itu hanya bagi orang yang mengetahui,
mengamalkan dan menghayati sepenuhnya. Seumpama orang yang tak pernah merasa
gula, dia takkan faham erti manisnya gula itu. Bunga yang indah, jika diberikan kepada monyet, akan habis dirosakkanya sahaja kerana monyet itu tidak memahami hakikat keindahan yang sebenar.
Indahnya Islam itu mungkin pada
akidahnya, syariatnya, dan pelaksanaannya. Dari segi akidah, indahnya Islam itu
pada keesaan Allah yang satu. Sebuah rumah yang mempunyai dua ketua tidak akan
aman. Syariat pula merangkumi ibadah dan cara hidup Islam. Ibadat
bermula dengan kebersihan, tetapi bukan pada zahir sahaja, bahkan termasuk
kebersihan hati dan jiwa. Ulama tasawwuf banyak menekankan keperluan menjaga
hati daripada sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka memfitnah dan
sebagainya.
Ibadat yang kita lakukan termasuk solat, puasa, zakat, haji
dan sebagainya. Puasa itu ada banyak hikmahnya – antaranya memberi kesihatan.
Puasa itu untuk memberi peluang kepada perut untuk berehat. Namun, puasa kita
kenalah ikut cara puasa Nabi Muhammad SAW yang makan sahur dan berbuka ala
kadar saja. Malangnya kita hari ini bila tiba waktu berbuka, habis semua jenis
makanan dimakannya. Di samping itu, puasa juga perlu menjaga hati dan anggota
tubuh daripada perkara-perkara yang diharamkan.
Ibadah solat yang dilakukan dengan betul akan dapat menjaga
sahsiah diri kita dan mengelak kita daripada berbuat fahsya’ dan mungkar.
Namun, jika diperhatikan di sekeliling masih ada orang yang solat tapi tidak
menutup aurat, tidak jujur dalam pekerjaan dan sebagainya. Kesimpulannya, Islam hanya akan terlihat keindahannya
apabila kita mengamalkan secara keseluruhannya.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Sejauh mana indahnya Islam itu sehingga dapat mengatasi
agama Samawi sebelum itu?
J: Yahudi dan Nasrani pada asalnya ialah agama, bukan kaum.
Agama Yahudi pada asalnya diturunkan untuk kaum Israel sahaja, manakala agama
Nasara diturunkan kepada kaum Nabi Isa sahaja. Islam pula diturunkan kepada
kaum Muhammad SAW dan seluruh manusia selepasnya dan juga untuk kaum jin.
Sebelum kehadiran Nabi Muhammad SAW, semua jin merupakan jin kafir. Tetapi
dengan rahmat Nabi Muhammad SAW, jin pun berminat memeluk agama Islam. Islam
juga merupakan agama yang syumul iaitu mengatur segala aspek kehidupan manusia.
Terpulanglah kepada manusia untuk mengamalkannya. Islam itu terhalang oleh
sikap umat Islam itu sendiri yang mengambil sebahagian sahaja dan meninggalkan
sebahagian yang lain.
S: Perlukah kita bertalaqqi dengan guru untuk surah Fatihah?
J: Istilah yang betul ialah ‘talaqqi bil musyafahah’
(belajar secara terus dengan seorang guru). Surah fatihah itu merupakan pembuka
Al-Quran, ibu Al-Quran dan merupakan rukun dalam solat. Oleh itu, tidak sah
solat seseorang yang tidak betul bacaan fatihahnya, kecuali makmum masbuk
kerana bacaam Fatihahnya ditanggung oleh Imam. Apabila bertalaqqi, seseorang
akan diajar membaca dengan tajwid dan makhraj huruf yang betul. Orang yang
membaca Quran tanpa tajwid yang betul, hukumnya berdosa. Jika kita belajar ilmu
agama tanpa guru, maka gurunya adalah syaitan.
S: Keindahan Islam dikaitkan dengan keindahan akhlak Rasulullah
SAW. Mohon ustaz petik beberapa contoh akhlak Rasulullah dalam pergaulan dengan
keluarga dan sahabat.
J: Untuk bercerita tentang keindahan akhlak Nabi Muhammad
SAW tidak cukup sejam sahaja. Nabi Muhammad SAW mengatakan, “Sebaik-baik antara
kamu adalah yang terbaik pada isterimu dan aku adalah yang terbaik kepada
isteri-isteriku”. Aisyah pernah mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sentiasa
tersenyum ketika di rumah. Ada satu cerita di mana Nabi Muhammad SAW pulang
lewat dan kerana pintu telah dikunci, baginda tidur di depan pintu sahaja.
Apabila terjaga di pagi hari dan Aisyah mendapati Nabi Muhammad SAW tidur di
muka pintu, Aisyah cepat-cepat memohon maaf tetapi Nabi Muhammad SAW mengatakan
bahawa Aisyah tidak bersalah tetapi baginda yang bersalah kerana pulang lewat.
Ada banyak kisah masyarakat Arab dan Yahudi yang masuk Islam kerana terpikat
dengan akhlak Nabi Muhammad SAW. Begitulah kisah seorang wanita Yahudi yang
selalu menyiram air busuk kepada Nabi Muhammad SAW. Tetapi apabila dia sakit
dan Nabi Muhammad SAW menziarahinya, dia terharu lalu setuju untuk masuk Islam.
S: Islam merupakan satu cara hidup yang meliputi akidah dan
syariat. Keindahan ini sepatutnya membuahkan akhlak yang baik. Namun,
realitinya kita tidak nampak keindahan ini di negara Islam tetapi sebaliknya
kita boleh nampak keindahan akhlak di negara Barat pula. Mohon ustaz beri
ulasan.
J: Betul, ada orang kata di negara Islam, tak nampak Islam.
Tetapi bila pergi ke negara bukan Islam, nampak Islamnya. Contoh mudah kita
bandingkan kebersihan tandas di negara kita dengan di Hong Kong contohnya.
Dalam bab muamalat pula, Islam mengharamkan riba namun system kewangan kita
masih mengamalkan riba. Oleh itu, Allah menyuruh kita agar masuk Islam secara
seluruhnya. Dalam masyarakat kita hari ini, terlalu banyak maksiat yang masih
berlaku – orang masih buka aurat, zina masih berlaku, rasuah berleluasa dan
sebagainya. Hari ini, oleh kerana perselisihan kecil dalam hal agama, kita
kadang-kadang berpecah sehingga menjadi berpuak-puak. Padahal ketika kedatangan
Islam ke Madinah, Islam telah berjaya menyatukan puak Aus dan Khajraj yang
telah berkurun lama bermusuh sehingga mengorbankan banyak nyawa. Oleh itu,
kesimpulannya, keindahan Islam hanya akan terlihat jika kita memahami dan
mengamalkannya secara keseluruhan.
S: Mengapa masjid cuma nampak indah dan meriah ketika tiba
bulan Ramadhan? Adakah kita hamba Ramadhan atau hamba Allah?
J: Kadang-kadang bukan sepanjang bulan Ramadhan pun, ada
sesetengah masjid cuma bertahan seminggu pertama Ramadhan sahaja. Saya pun
hairan juga kerana Nabi Muhammad SAW sendiri telah mengatakan bahawa Lailatul
Qadar itu boleh dicari pada 10 malam yang terakhir. Mungkin ada yang
berpendapat mereka sudah mendapat pahala yang banyak ketika Ramadhan dan tidak
perlu lagi pergi ke masjid ketika bulan-bulan lain.
S: Saya nampak ada orang baca Quran tanpa membuka mulut.
Mohon penjelasan ustaz?
J: Ada dua cara membaca Al-Quran – di hati dan di mulut.
Imam Syafie pernah mengkhatam 30 juzuk Al-Quran dalam hanya 5 waktu solat sahaja. Jadi
bagaimana dia baca? Dia baca dalam hatinya. Bacaan dengan sebutan ada 3
peringkat:
- tahtik atau tartil iaitu dibaca dengan berlagu,
- tadwil – baca laju seperti dalam solat
- Hadar – baca dengan lebih laju
Boleh baca dalam hati tetapi terbaik adalah baca dengan
jelas dan tajwid yang betul. Tetapi jika tidak pandai tajwid, janganlah tinggalkan terus
daripada membaca Al-Quran. Usahakan mencari guru untuk belajar. Ulama
mengingatkan agar ketika membaca Al-Quran agar kita memberikan hak-hak huruf
Al-Quran dengan menyebut dengan makhraj yang betul.