Khurafat Dalam Rawatan Penyakit (2) - Tanyalah Ustaz 14.07.2012

Ustaz Sharhan Safie


Syukur, Alhamdulillah kita dilahirkan dalam keadaan Islam. Nikmat terbesar adalah iman dan Islam. Kita juga dibekalkan dengan wahyu terbesar iaitu Al-Quran yang merupakan kalam Allah. Usahlah bergantung pada tangkal, azimat, wafak dan sebagainya kerana Al-Quran itu diturunkan dengan sempurna.
“Barang siapa yang berkata-kata dengan Al-Quran, pastinya kata-kata itu benar.”
“Barang siapa yang berjanji menggunakan Al-Quran, pasti janji itu ditepati.”
“Barang siapa yang menghukum seseorang menggunakan Al-Quran, pasti hukuman itu adil”
“Barang siapa minta penyembuhan dengan Al-Quran, maka Al-Quran itu menjadi penyembuh baginya.”

Kita juga beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW, kerana mendapat mukjizat Nabi yang terbesar iaitu Al-Quran. Isilah jiwa kita dengan ilmu agar dapat menghindari khurafat.

Manusia itu terdiri daripada dua unsur - rohani dan jasmani. Sakit jasmani seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya ada rujukannya di hospital dan boleh minta ubat daripada doktor. Tetapi doktor tak boleh bagi ubat untuk penyakit rohani seperti hasad dengki, tak tutup aurat, suka marah dan lain-lain lagi. Al-Quran diturunkan sebagai rahmat, oleh itu ianya boleh menjadi ubat untuk rohani dan fizikal manusia. Al-Quran merupakan mukjizat dan takkan boleh dicipta oleh seluruh jin dan manusia sekalipun mereka semua bekerjasama.

Oleh itu tinggalkanlah kebergantungan kepada azimat, tangkal dan sebagainya yang boleh menggadaikan akidah dan membuat seseorang itu terseksa di akhirat nanti. InsyaAllah, saya akan berkongsi ayat-ayat Al-Quran sebagai usaha menyembuh penyakit. Namun begitu, perlu diingatkan jika tak sembuh sekali pun, InsyaAllah kita akan dapat pahala membacanya. Tambahan pula jika membaca di bulan Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi.

Khurafat bukan saja berlaku dalam perubatan tradisional, namun dalam perubatan moden juga apabila kita percaya bahawa ubat atau seseorang doktor pakar itu berkuasa menyembuhkan penyakit. Kita seharusnyan mengembalikan semua kuasa kesembuhan kepada Allah SWT. Ubat dan doktor atau perawat hanyalah sebagai cara kita berikhtiar.

Antara amalan lain yang membawa kepada khurafat ialah apabila nak masuk hutan, masih ramai yang minta perlindungan dengan penjaga hutan. Siapa yang buat hutan? Kenapa tak minta perlidungan dengan pencipta hutan sendiri?

Ramadhan hampir tiba dan amalkanlah ayat-ayat yang saya ajarkan. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita. Apa saja kebuntuan yang kita ada, buatlah solat istikharah dan minta pada Allah. Sebelum berjumpa perawat, cubalah rawat diri kita sendiri. Sebenarnya 70 peratus kesembuhan ada pada diri pesakit sendiri.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Seorang isteri datang berjumpa saya dan berkata suaminya hilang. Dia ingin berjumpa bomoh Siam. Apa nasihat ustaz.
J: Pada pendapat saya, usah rujuk pada bomoh yang karut-marut ini. Saya cadangkan buat solat hajat, dan yang lebih mujarab ialah apabila isteri itu sendiri yang buat. Yakinlah Allah sentiasa ada bersama kita dan mengadu pada-Nya. Jika melibatkan barang yang hilang, lepas solat baca ayat ini 7x: <boleh rujuk buku tulisan ustaz> . InsyaAllah apa yang hilang akan diganti semula oleh Allah.

S: Anak saya berumur 1 tahun dan kerap menangis. Saya ada berjumpa orang yang agak berilmu untuk berubat dan diberikan lada hitam untuk diletak berdekatan bantal dan buainya. Apakah hukum menggunakan lada hitam tersebut?
J: Saya tidak nafikan bahawa lada hitam merupakan satu makhluk yang hebat dan ditakuti jin. Saya tidak menghalang untuk menggunakan lada hitam itu tetapi kena jaga niat dan kepercayaan kita. Jika anggap lada hitam itu sebagai ikhtiar kita sepertimana jika demam kita makan panadol, itu tidak mengapa. Namun begitu, jika anak kecil menangis, sebelum berjumpa perawat atau bomoh, cuba rawat sendiri menggunakan ayat Al-Quran. Anak kecil biasanya menangis kerana diganggu oleh Ummu Shibyan. Ummu Shibyan ini jika berada dilaut, laut akan kering. Jika berada di padang ragut, padang akan kering-kontang menjadi padang pasir, jika berada pada manusia, boleh jadi cacat seumur hidup. Jika melibatkan tangisan bayi, baca ayat: <Ayat ini terdapat dalam buku 'Seindah Nama, Semurni Peribadi'>
Jika diamalkan ketika mengandung, ulama mengatakan anak yang bakal dilahirkan akan kebal daripada gangguan Ummu Shibyan. Amalkan juga ayat 11 surah Fathir. Untuk rujukan lengkap berkaitan mengubat anak menangis, bolehlah dapatkan maklumat lanjut daripada buku saya yang bertajuk 'Seindah Nama, Semurni Peribadi'. Terdapat juga doa dan zikir amalan untuk ibu mengandung.

S: Adakah amalan meletak kapur di belakang telinga bayi dengan harapan mengelak gangguan makhluk halus dianggap sebagai khurafat?
J: Kapur ini paling mujarab untuk mengeluarkan makhluk halus iaitu semut, jika masuk dalam telinga :) Saya tidak menghalang, mungkin jin dan iblis takut dengan kapur, tetapi letakkan dengan niat sebagai ikhtiar meminta bantuan Allah, dan bukan percaya pada kuasa kapur tersebut. Letaklah dengan bacaan 'Bismillah' dan jampi dengan ayat-ayat ruqyah untuk menghalau makhluk halus.

S: Bolehkan menggunakan khidmat pawang untuk membuat pasak rumah?
J: Saya tak halang kerana Nabi SAW berkata di setiap kediaman itu ada jin yang menunggunya. Paling mujarab adalah apabila tuan rumah sendiri yang melakukannya, oleh itu tak perlulah gunakan khidmat pawang. Sebelum keluar rumah, cari tiang seri atau tengah-tengah rumah, dan azankan tiga kali. Azan dengan niat memagar rumah. Boleh juga membaca ayat kursi dan pusing keliling rumah. Jika nak guna pawang, pastikan pawang itu betul dan tidak menggunakan khidmat jin.

S: Ibu saya sakit tua dan dinasihatkan seorang ustaz untuk membuang saka pada dirinya. Ustaz itu mengatakan bahawa ibu akan meninggal dalam masa terdekat setelah saka dibuang. Saya membenarkan dan setelah 2 minggu, ibu meninggal dunia. Saya rasa bersalah kerana membenarkan saka tersebut dibuang. Adakah saya terlibat dengan perbuatan syirik? Mohon penjelasan ustaz.
J: Ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki semuanya adalah urusan Allah. Saya ingin berpesan kepada semua yang mengaku sebagai perawat Islam, jika tahu sekalipun bahawa seseorang akan mati selepas saka dibuang, usahlah dimaklumkan kepada pesakit atau keluarganya kerana ianya boleh mengundang fitnah dan apa yang berlaku hanyalah kebetulan dan sebenarnya telah pun Allah tentukan. Kepada keluarga pesakit pula, usah menyesal kerana saka memang perlu dibuang. Jangan percaya bahawa kematian itu kerana saka telah dibuang, sebenarnya ajal yang ditentukan takkan diawal atau dilewatkan walau sesaat. Jika tidak dibuang sekalipun, apabila ajalnya telah sampai, ibu akan tetap meninggal.

S: Bagaimana untuk membuang sihir yang diletak keatas kedai saya. Saya telah meminta bantuan seramai 10 orang perawat, namun masih belum berjaya dan kini saya ingin lakukannya sendiri. Apa yang perlu dilakukan jika sihir selalu dihantar ke kedai saya.
J: Sihir boleh berlaku pada orang dan tempat. Tanda-tanda tempat disihir yang biasa kita dengar ialah orang nampak kedai tutup walaupun buka sebenarnya. Antara tanda lain, sifat marah mudah menular dalam kedai – contohnya pekerja sering bergaduh, pelanggan mudah marah dan sebagainya. Ayat pembatal sihir yang boleh diamalkan – surah Al-'Araf, ayat 117 – 121 dan surah Yunus, ayat 81-83.

S: Saya baru pindah rumah dan dikatakan ada jin di rumah saya. Ketika berubat, perawat seolah-olah menurun dan meminta jin itu keluar dan berjanji akan membawa jin itu pergi jauh. Dia mulakan dengan Bismillah dan ada beri saya ayat untuk dibacakan, tetapi tulisan Bismillahnya besar, dan ayatnya kecil sehingga saya tak boleh baca. Dia ada juga beri saya kertas dengan gambar pisau melengkung, bintang dan sebagainya dan meminta saya membawanya bersama jika ingin keluar. Namun dia berpesan juga yang jangan percaya pada kertas tetapi percaya pada kuasa Allah.
J: Perbuatan menurun adalah dilarang dalam Islam kerana ianya menggunakan khidmat jin. Ayat yang diberikan pula kecil dan tidak jelas untuk dibaca, oleh dikhuatiri bukan ayat Al-Quran yang sebenar. Kertas bergambar yang diberi itu sebenarnya wafak dan tidak dibenarkan. Kembalilah kepada Al-Quran. Amalkan azan seperti yang saya ajar dalam soalan sebelum ini dan pasang ayat Al-Quran sebelum ini. Saya nasihatkan lagi sekali agar sebelum berjumpa perawat, selidiklah latar belakang orang itu terlebih dahulu.

S: Adakah penggunaan kayu koka dianggap sebagai syirik?
J: Jika percaya kayu koka atau barang-barang lain ada kuasa menyembuhkan penyakit, melariskan kedai, itu syirik secara terang-terangan.

S: Ustaz ada beri cara mengubat resdung menggunakan air kolah daripada 7 masjid. Jika masjid tiada kolah, bolehkah guna air paip? Bagaimana pula jika air kolah itu mengandungi bakteria?
J: Air yang paling mujarab ialah air zam-zam. Seterusnya air kolah di masjid. Air paip tak boleh. Kena air kolah yang orang celup tangan untuk ambil wudhuk dan jika kolah itu ada paip pun tidak boleh. Kolah yang mujarab adalah kolah yang masjidnya aktif, bukan kolah masjid yang ditinggalkan sehingga airnya berlumut dan berberudu. Ambil dari kolah yang airnya sering bertukar. Kenapa air kolah mujarab? Kerana air itu mendengar azan 5 kali sehari dan mendengar bacaan Al-Quran setiap hari. Air ini bukan untuk diminum tetapi untuk dibasuh muka. Bacakan ayat 82, surah Al-Isra' dan surah Al-Mukminun, ayat 11-14. InsyaAllah masalah resdung boleh diatasi.

S: Isteri saya tak boleh tidur selama 4 tahun. Saya berjumpa seorang perawat. Dia mengambil Quran dan menggantung pada gunting. Selepas dijampi, Al-Quran itu berpusing dengan laju. Bila ditanya dikatakan penyakit itu terlalu kuat dan sama ada pesakit, orang yang buat khianat atau perawat itu yang akan meninggal. Selepas 3 minggu, saya menelefon perawat, isterinya menjawab dan mengatakan yang suaminya telah meninggal. Jadi, adakah saya terlibat dengan khurafat ini?
J: Dalam rawatan Islam, Al-Quran adalah untuk dibaca, bukan digantung atau dipusing. Kematian perawat itu cuma kebetulan dan telah pun Allah tentukan. Pada mereka yang mempunyai masalah tidak boleh tidur, baca ayat surah Al-Kahfi, ayat 11. Tak perlu ambil ubat tidur, InsyaAllah.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab