Bersih Jiwa (1) – Tanyalah Ustaz 11.07.2012


Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin


Bacaan surah As-Shams, ayat 1-10:

Huraian ayat:
Sesungguhnya jika Allah bersumpah demi sesuatu di dalam Al-Quran, itu bermakna Allah ingin menerangkan sesuatu yang penting. Dalam surah ini Allah nyatakan bahawa Allah memberi ilham kebaikan dan keburukan kepada manusia dan terpulang kepada manusia untuk memilih yang mana satu. Sesiapa yang memilih kebaikan akan termasuk dalam golongan yang beruntung dan sesiapa yang memilih kejahatan akan berada dalam kerugian.

Jika pakaian kotor, semua orang pun tidak suka. Tetapi hari ini kita akan membincangkan tentang jiwa yang bersih. Mengikut kamus dewan, jiwa bermaksud roh, nyawa dan sesuatu yang bersifat batin, tidak nampak tetapi boleh dirasa seperti perasaan, pemikiran. Maksud bersih daripada sudut tasawwuf daripada Imam Al-Ghazali pula ialah sesuatu yang bersifat halus, bersifat ketuhanan dan bersifat rohani.

Kita akan membicarakan tiga perkara penting dalam kehidupan manusia - IQ: Intelligent Quotient, EQ: Emotional Quotient dan SQ: Spiritual Quotient. Ketiga-tiga ini bersifat rohani. Jika dilihat kisah kapal 'Titanic', pada sangkaan orang 'iceberg' itu kecil sahaja, tetapi apabila dilihat di dasarnya, ianya sebenarnya begitu besar. Bahagian yang kelihatan di luar cuma 15% sahaja. Begitulah juga dengan diri manusia, fizikal yang kelihatan hanyalah sedikit peratusannya, tetapi rohaninya yang tidak kelihatan (IQ, EQ, dan SQ) itu lebih besar pengaruh dalam segala tindak-tanduknya. Kita selalu membincangkan soal fizikal – kenapa gemuk, kenapa tak cantik, kenapa tak pandai, tetapi kita tak pernah fokus pada pendidikan rohani. Sebenarnya banyak masalah berpunca daripada jiwa yang tidak bersih. Jika jiwa diubati, InsyaAllah banyak masalah lain dapat diselesaikan.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Apakah kaedah membersihkan jiwa yang kotor? Mohon penjelasan ustaz.
J: Ramai ulama menulis tentang cara membersihkan jiwa. Saya merujuk kepada tulisan Imam Ghazali, antara yang boleh dilakukan ialah:
  • Baca Al-Quran dan berzikir – Kita kalau tak baca surat khabar sehari rasa tak senang duduk, tetapi jika tak baca Quran sehari, tak rasa apa-apa. Marilah sama-sama berubah.
  • Memperbanyakkan solat – Allah berfirman agar kita meminta pertolongan Allah dengan bersolat.
  • Banyak mengingati mati – selalulah membantu menguruskan jenazah, melawat kubur terutamanya pada waktu malam seperti yang pernah dilakukan Nabi SAW.
  • Imam Ghazali berkata jika tiga cara ini tidak berkesan, mintalah hati yang baru daripada Allah. Oleh itu, marilah kita bersama amalkan.

S: Bagaimana cara menghindari jiwa yang kotor?
J: Ada beberapa cara iaitu:
  1. Kurangkan tidur – Amalkan untuk bangun qiyyamullail, berdoa dalam keadaan menangis kepada Allah dan menginfakkan harta kepada jalan Allah.
  2. Jangan banyak makan – Allah sebut dalam Al-Quran bahawa membazir itu sahabat syaitan. Sumber makanan perlu diperiksa dan dipastikan halal. Islam mengajar agar meninggalkan ruang perut untuk makanan 1/3, untuk minum 1/3 dan untuk bernafas 1/3. Banyak makan akan membawa pula sifat malas.
  3. Kurangkan ketawa dan banyakkan menangis – Orang yang suka gelak ini juga suka mengumpat dan bercakap yang sia-sia.
  4. Banyak bercakap benda yang tidak berfaedah – Contohnya membesar-besarkan dunia, membanding-bandingkan kelebihan diri dan sebagainya.

S: Saya sukar untuk mengerjakan solat pada awal waktu. Adakah ini tanda jiwa saya kotor?
J: Ini juga berlaku pada ramai orang, bukan pada Puan sahaja. Ada beberapa tanda untuk mengesan jiwa yang kotor:
  • Jika dia buat sesuatu yang salah, dia tidak berasa bersalah.
  • Melazimi sesuatu perkara yang tidak baik – contohnya membiasakan diri melewatkan solat
  • Rasa seronok buat kejahatan
  • Membela kejahatan yang dilakukan dan mencari hujjah untuk menyokong kejahatannya.

S: Adakah menonton TV atau ceramah yang ada unsur gurauan boleh mengotorkan hati?
J: Betul, ini banyak berlaku hari ini. Jika dalam ceramah agama gurauan dilakukan pada kadar sederhana untuk menarik minat pendengar, itu dibolehkan. Sebaliknya adalah menjadi kesalahan jika lawak dibuat secara keterlaluan. Ini boleh menjadikan manusia lupa pada ilmu yang diajar dan cuma ingat pada lawak yang diceritakan. Oleh itu, mari muhasabah diri, dalam sehari, adakah kita lebih bayak ketawa atau pun menangis?

S: Adakah makanan yang tidak berkhasiat boleh mengotorkan jiwa dan hati kita?
J: Makanan merupakan faktor yang penting dalam pendidikan anak. Selain daripada halal, makanan yang diberikan perlu yang 'toyyiban' iaitu yang baik-baik. Jika kita lihat Nabi SAW, baginda suka makan makanan yang segar. Oleh itu elok kita elakkan makanan ber'MSG” dan makanan yang diawet.

S: Bagaimana untuk menasihati kawan yang jiwanya kotor?
J: Pertama sekali, kita perlu tunjukkan akhlak yang baik. Sebelum kita tegur orang, pastikan kita perbetulkan diri dahulu. Inilah yang dinamakan dakwah melalui perbuatan. Kedua, perlu bantu untuk mengubah pemikirannya – cuba ajak dia ke majlis ilmu, beri hadiah CD ceramah, ajak pergi ke kubur dan menguruskan jenazah. Apabila Luqman Nul Hakim ditanya cara menasihati anak yang telah besar, dia menyuruh mengajak anak itu menguruskan jenazah sehingga menghantarnya ke kubur.

S: Apakah maksud cintakan dunia? Adakah saya tidak boleh memiliki harta?
J: Adakah kita tidak boleh memiliki dunia untuk mendapatkan jiwa yang bersih? Orang yang cintakan dunia asyik memikirkan tentang dunia dan meletakkan dunia sebagai segala-segalanya. Dunia dan harta diletak dalam hati mereka. Sebaliknya, sahabat Nabi SAW yang kaya menggunakan harta untuk diinfakkan kepada jalan Allah. Oleh itu, tidak salah untuk memiliki harta, asalkan harta tidak diletakkan di hati, sebaliknya di tangan agar mudah diagih-agihkan.

S: Adakah orang yang berhati bersih boleh membaca hati orang yang kotor? Mohon penjelasan ustaz?
J: Sebenarnya, ada disebut dalam hadis sahih bahawa, “Sentiasalah hambaku tidak boleh rapat dengan Allah sehinggalah dia menunaikan apa yang difardhukan ke atasya.” Setelah itu, jika ditambah dengan amalan sunat, ada kemungkinan akan dibuka hijab tentang sesuatu oleh Allah untuknya. Namun begitu, itulah bukanlah matlamat kita, yang utama adalah untuk kita semua berusaha membersihkan jiwa.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab