Tuntutan Fardhu Ain & Fardhu Kifayah - Tanyalah Ustaz 5 Ramadhan 1433H (25.07.2012)

Ustaz Firdaus Subhi
“Tambahkanlah oleh kamu bekalan dan sebaik-baik bekalan adalah taqwa”.

Bacaan surah Ali Imran ayat 110-112:

Ayat 110 menceritakan kelebihan umat Muhammad SAW. Sebab ayat ini diturunkan: Ada dua orang Yahudi datang berjumpa Nabi SAW dan mereka mengatakan bahawa agama mereka adalah lebih baik daripada apa yang dibawa Nabi SAW. Orang Islam menjadi sedih lalu Allah turunkan ayat ini. Dalam ayat ini Allah nyatakan umat Nabi SAW adalah terbaik kerana mereka menyeru kepada kebaikan dan mereka beriman kepada Allah. Kenapa Allah dahulukan perkataan berbuat kebaikan sebelum perkataan beriman? Dalam tafsir Al-Munir, disebutkan bahawa Allah ingin menunjukkan kelebihan umat Nabi SAW adalah menyeru kepada kebaikan (berdakwah) dan mencegah kemungkaran.

Namun, dalam banyak-banyak kebaikan yang dibawa oleh Islam, yang mana yang wajib dilakukan dahulu? Ulama-ulama usul banyak membincangkan perkara ini dan mereka membahagi hukum syarak kepada dua: hukum taklifi dan wad’i. Hukum taklifi pula terbahagi kepada 5 pula iaitu – wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Oleh itu, hari ini kita akan membincangkan salah satu iaitu ‘wajib’. 

Kebaikan umat Nabi SAW adalah kerana mereka menyeru kebaikan dan meninggal kemungkaran. Ketika haji wada’, Sayyidina Umar Al-Khattab memerhatikan bahawa umat Islam ketika itu kaya-raya dan berpakaian indah-indah. Lalu dia mengatakan, “Barangsiapa yang ingin menjadi umat ini iaitu umat Nabi SAW, hendaklah dia bersedia untuk menunaikan syarat-syarat yang telah Allah tetapkan ke atas dirinya.” Syarat yang dimaksudkan termasuklah melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.


Ayat 111 pula diturunkan ketika Abdullah bin Salam memeluk Islam. Dia merupakan seorang Yahudi sebelum itu. Sebelum dia masuk Islam, jika ditanya kepada orang Yahudi, siapakah Abdullah bin Salam? Mereka akan menjawab, “Dia merupakan ketua dan anak kepada ketua kami. Dia merupakan sebaik-baik di kalangan kami dan anak orang terbaik di kalangan kami.” Namun setelah memeluk Islam dia dihina dan dikeji. Akan disambung esok, InsyaAllah.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah amalan fardhu kifayah dalam bulan Ramadhan ganjarannya seperti amalan fardhu ain?
J: Dalam satu satu hadis sahih ada disebutkan bahawa dalam bulan Ramadhan, ganjaran pahala amalan sunat akan menjadi seperti pahala amalan wajib dan pahala amalan wajib pula akan digandakan sebanyak 70 kali. Oleh itu, kita perlu mengejar kelebihan ini dan bersungguh-sungguh menambah ibadah di bulan ini.

S: Antara berkahwin atau tawaran mengerjakan haji, yang mana harus dipilih kerana kedua-dua hukumnya wajib?
J: Wallhu’alam. Saya tertarik dengan pandangan Imam Abu Hanifah yang pernah ditanya apakah amalan yang paling afdhal untuk dilakukan? Jawabnya, “Amalan yang utama dilakukan ialah amalan yang disyariatkan ketika itu”. Oleh itu, jika mampu untuk meninggalkan zina, ulama mengatakan tunaikanlah haji dahulu. InsyaAllah akan dipermudahkan urusan berkahwin selepas itu. Jika tidak mampu untuk kahwin selepas haji, mohonlah bantuan kawan-kawan. Sesungguhnya bantuan Allah itu sentiasa bersama orang yang suka membantu orang lain. Kalau ada yang tanya: “Kenapa buat haji dulu? Takut pula nanti terlibat dengan zina.” Nabi SAW ada berkata, “Wahai golongan muda, jika mampu, berkahwinlah. Jika tidak mampu, berpuasalah.”

S: Ada seorang rakan yang suka dan istiqamah membaca Al-Quran. Jika ada ustaz memberi tazkirah pun dia masih membaca Al-Quran. Adakah dia mendapat kedua-dua pahala? Apa komen ustaz?
J: Pernah berlaku ketika zaman Nabi SAW di dalam masjid Nabawi, ada dua kelompok – pertama kumpulan yang sedang berzikir dan kedua adalah kumpulan yang melakukan tazkirah. Nabi SAW memilih kumpulan tazkirah dan mengatakan, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk mengajar.” Persoalannya tidak bolehkah mengaji Al-Quran ketika ada majlis ilmu? Terpulanglah kepada diri seseorang. Jika dirasakan tidak sempat membaca Quran pada masa lain, boleh diteruskan. Nabi SAW ada berkata, “Bacalah Al-Quran, pada hari akhirat kelak Al-Quran akan memberi syafaat kepada kamu.” Oleh itu, tidak betul juga jika kita cuma menghadiri majlis ilmu dan meninggalkan membaca Al-Quran. Tetapi tidak boleh juga ditinggalkan langsung majlis ilmu. Tanpa ilmu, kita tidak mungkin memahami ajaran dan suruhan dalam Al-Quran. Sebab itu ada hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib.  Jadi bagaimana kita nak buat? Kita ambil rujukan daripada ayat ke-2, surah Al-Mulk:
Oleh itu, sebagai kesimpulannya: apa jua amalan yang kita lakukan perlu ada keikhlasan dan dilakukan semata-mata kerana Allah.

S: Di akhir zaman ini, ramai yang meringan-ringankan fardhu ain dan fardhu kifayah. Mengapa ini berlaku sedangkan perkara ini penting. Mohon penjelasan ustaz.
J: Betul, ini banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Paling teruk, jika puasa tak buat, solat tak buat tapi beraya cukup hebat sekali. Dalam satu hadis Nabi SAW mengatakan, “Bermulanya Islam dalam keadaan dagang, dan ia akan kembali dalam keadaan dagang (pelik) dan bergembiralah mereka yang termasuk dalam golongan yang pelik ini.” Faktor kedua adalah kerana kurangnya ilmu dan kefahaman tentang Islam. Para sahabat dulu membaca sepuluh ayat dan mengamalkannya dahulu sebelum meneruskan dengan 10 ayat lain. Bagaimana pula dengan kita hari ini? Sudah beribu ayat yang dibaca, namun berapa banyakkah yang telah kita amalkan? Ketiga, tanpa ilmu, nafsu akan menjadi raja dan nafsu mengajak kepada keburukan.

S: Jika jenazah seorang wanita, bolehkan imamnya seorang wanita juga?
J: Hukum memandikan dan mensolatkan jenazah adalah fardhu kifayah. Dalam satu hadis, Nabi SAW menyebut bahwa ada 6 hak seorang Muslim yang perlu ditunaikan:
  1. Apabila bertemu dan memberi salam, maka wajib dijawab.
  2. Apabila dijemput (kenduri), hendaklah kamu menghadirinya.
  3. Apabila seseorang datang meminta nasihat, berilah nasihat.
  4. Jika dia bersin dan mengucap Alhamdulillah (memuji Allah), hendaklah kita menjawab pujian tersebut.
  5. Jika dia sakit, hendklah diziarahi.
  6. Jika dia meninggal, hendaklah diuruskan (dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan).
Oleh itu, wanita boleh jadi imam, jika makmumnya wanita sahaja. Namun, jika ada jemaah lelaki, lelakilah yang perlu jadi imam.

S: Bagaimana untuk membezakan tuntutan fardhu ain dan kifayah? Contohnya: pendidikan anak-anak diserahkan kepada pusat jagaan kerana isteri terpaksa bekerja?
J: Maaf, saya kurang jelas dengan soalan yang ditanyakan. Oleh itu, saya fokus pada persoalan pendidikan anak-anak. Dalam kitab berjudul Tarbiyatul Aulad: ada dinukilkan sebuah syair yang bermaksud “Sesungguhnya ibu adalah sebuah sekolah, sekiranya kamu sebagai suami berjaya menjadikan isteri sebagai sebuah sekolah, maka kamu akan berjaya membentuk generasi yang baik akhlaknya.” Oleh itu sebenarnya hukum mendidik anak-anak adalah fardhu ain ke atas ibu dan ayah. Oleh itu, jika ingin dihantar ke pusat jagaan atau taska, perlu diselidik dahulu corak pendidikan yang diberikan agar anak terdidik dengan baik.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab