Kerja Berkira (2) - Tanyalah Ustaz 10 Ramadhan 1433H (30.07.2012)
Ustaz Mohd Salahuddin Mohammad
Bacaan surah Al-Baqarah ayat 264:
Dalam ayat ini, Allah jelaskan agar apa saja bentuk
pemberian yang telah kita berikan tidak diungkit-ungkit sehingga orang yang
menerimanya terasa hati kerana Allah boleh membatalkan pahala pemberian
tersebut.
Apa saja yang ingin dilakukan perlulah ada keseimbangan.
Dalam bekerja, seorang suami perlu juga memberi hak masa bersama keluarganya. Sabda
Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi Tuhanmu atas dirimu ada hak,
bagi keluargamu atas dirimu ada hak, dan bagi dirimu sendiri atas kamu ada hak,
maka berikanlah setiap hak itu kepada yang empunyanya."
Pernah berlaku pada zaman Umar, seorang gabernor dilaporkan
kerana didapati dia lewat datang kerja dan kadang-kadang tidak datang langsung.
Umar pun terus melakukan penyiasatan dan mengintip gabernor tersebut. Didapati
rupa-rupanya isteri gabernor sakit dan dia perlu memandikan dan menguruskan
anak-anak sebelum datang kerja. Apabila tidak datang kerja, gabenor itu pergi
membasuh pakaian keluarganya. Setelah melihat itu, Umar pun berkata sebenarnya
dia yang bersalah dan menyediakan pembantu kepada gabenornya. Inilah cara terbaik yang perlu
dilakukan apabila berlaku sesuatu aduan – Umar pergi menyiasat dahulu dan tidak
terus menghukum.
Dalam satu hadih, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang datang
pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat tetapi dia
pernah mencaci si polan, menuduh si polan, memakan harta si polan, menumpahkan
darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang-orang
yang dizalimi itu pahala kebaikannya. Jika sudah habis pahalanya sedangkan dosa
kezalimannya belum terbayar, maka akan diambil dosa-dosa orang yang dizalimi
itu untuk dibebankan kepadanya lalu dicampakkan dia ke neraka.” (HR Muslim)
Kita semua pasti akan mati. Oleh itu mari bersama menjaga
amalan kita. Kita berharap, ketika malaikat datang, dia akan membacakan ayat
27-28, surah Al-Fajar:
Selalulah senyum kerana senyum itu sedekah.
Kurangkan makan dan ‘tidurrus’ di bulan Ramadhan ini. Banyakkan membaca Al-Quran dan beribadat.
Senarai soalan dan jawapan:
S: Andai seorang pekerja diberi tugasan di luar
kemampuannya, bolehkan dia berkira dengan majikannya.
J: Pekerjaan perlu dibayar mengikut taraf yang telah
ditentukan. Oleh itu, jika berlaku sebegitu, pekerja berhak meminta bayaran
yang lebih. Majikan perlu berhati-hati agar tidak berlaku zalim kepada para
pekerja.
S: Bolehkah ustaz berikan tips untuk mengelak sifat dengki
yang boleh merosakkan amalan kita?
J:Dalam kitab ‘Feqah Kemanusiaan”, diterangkan cara
menghindari sifat dengki. Pertama: kena sedar bahawa perbuatan itu haram.
Kedua: Kena ingat bahawa perbuatan itu akan membakar pahala amalan yang
dilakukan. Imam Hasan Al-Basri pernah beri sedekah kepada orang yang mengutuk
dan dengki padanya kerana katanya orang itu selalu ‘memberi’ pahalanya dan
beliau malu untuk tidak membalas ‘kebaikan’ yang dilakukan oleh orang itu.
S: Jika seseorang membaca Yaasin dengan niat membalas dendam
kepada orang yang menzaliminya, adakah ini akan dikira sebagai ibadah?
J: Betul, perkara ini berlaku dalam masyarakat. Contohnya:
baca Yaasin dan minta perut seseorang itu buncit. Siapa kita untuk menghukum
seseorang? Sepatutnya kita berdoa memohon bantuan daripada Allah, bukannya
mengharapkan orang itu dizalimi kembali. Imam Ghazali ada membincangkan perihal
ini dan dikatakan perbuatan itu dikira sebagai maksiat. Jika ditakdirkan pula
permintaan kita agar orang itu dizalimi dimakbulkan, kita akan dikira berdosa.
Ada satu kisah seorang nelayan yang dizalimi seorang penguasa. Penguasa itu
mengambil ikan yang diperolehinya. Nelayan itu sedih dan berdoa pada Allah, “Ya
Allah, rezeki yang Engkau beri telah diambil orang. Engkau tunjukkanlah
kuasa-Mu pada orang yang menyalah-gunakan kuasanya itu”. Ketika ingin menyiang
ikan itu, penguasa itu disengat ikan tersebut. Tangannya sakit dan semakin melarat
sehinggalah nyawanya terancam dan dia pun menangis kesedihan. Seorang ulama
melihat dan bertanya kenapa dia sedih. Apabila diceritakan, ulama pun bertanya
jika dia ada berbuat zalim kepada sesiapa sebelum itu. Penguasa itu pun
teringat perbuatannya kepada nelayan itu. Dia pun pergi memohon maaf dan
setelah dimaafkan barulah penyakitnya sembuh. Pengajarannya, yang terbaik dilakukan adalm memohon bantuan
Allah.
S: Apa hukum kita menghadiri majlis syarikat yang melibatkan
minuman keras walaupun kita tidak minum sekali?
J: Sabda Rasullullah SAW, “Barang siapa yang beriman kepada
Allah SWT , janganlah duduk pada perjamuaan yang dihidangkan arak”. Umar
sendiri pernah menghukum orang yang ditangkap duduk bersama dalam satu majlis
yang menghidangkan arak, walaupun orang itu berpuasa.
S: Apakah hukum bermain bola sepak?
J: Hukumnya harus tetapi perlu menjaga syariat yang telah
ditetapkan. Imam Al-Qardawi ada menjelaskan secara panjang lebar berkaitan
hukum bersukan. Pertama dan paling utama jangan lalai solat. Kedua: Tidak
menggunakan kekerasan ke atas pihak lawan. Ketiga: Perlu mematuhi peraturan
perlawanan yang telah ditetapkan. Keempat: Pengadil perlu bersifat adil.
S: Mohon ustaz terangkan tentang tabarruj dalam hal wanita
berhias dan bersolek?
J: Dalam kitab ‘Halal wal Haram ada dijelaskan adab wanita. Pertama:
pakaian wanita tidak boleh nipis dan mengikut bentuk badan. Kedua: tidak
‘make-up’ keterlaluan dan tidak boleh bercampur dengan lelaki asing. Ketiga:
Jaga pandangan. Keempat: Bersopan-santun. Kelima: Jangan menarik perhatian
orang, contohnya dengan wangian yang terlalu kuat.
S: Bagaimana cara mendidik anak agar tidak berkira dalam
bekerja dan kehidupan seharian?
J: Sebenarnya, contoh terbaik adalah daripada ibu bapa.
Selain mengajar anak beribadat, ibu bapa perlu mengenalkan Allah dan Nabi SAW
agar ibadat mereka ada nilai roh. Seterusnya ibu bapa tidak boleh pilih kasih
antara anak agar anak tidak berkira ketika kita sudah tua nanti. Seterusnya,
biasakan membawa anak-anak ketika ke masjid dan majlis-majlis ilmu. Imam Syafie
ada menyatakan pada peringkat awal membawa anak ke masjid, adalah sunat meletak
anak di sebelah kita agar anak tidak bermain-main dan leka. Seterusnya ibu bapa
perlu selalu mendoakan kebaikan untuk anak-anak. Jangan lupa bahawa anak-anak
merupakan amanah yang diberikan Allah SWT.