Hidup Sesudah Mati (1) – Tanyalah Ustaz 09.07.2012

Ustaz Dato' Abu Hassan Din


Bacaan surah Al-Baqarah, ayat 28-29:

Huraian ayat:
Setelah mati, kita akan dihidupkan semula di dalam kubur. Topik hari ini akan fokus kepada kehidupan di alam barzakh. Orang-orang musyrikin pada zaman dahulukala tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Contohnya dalam surah Yaasin, ayat 78, mereka mempersoalkan bagaimana mungkin orang yang sudah mati akan dibangkitkan semula. Walaubagaimanapun, orang Nasara dan Yahudi percayakan kehidupan selepas kematian seperti yang direkodkan dalam surah Al-Mukminin ayat 82. Orang Yahudi percaya bahawa mereka akan dimasukkan ke neraka, tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. Mereka yakin yang selepas itu mereka akan dimasukkan juga ke syurga. Namun, kita perlu ingat bahawa satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia. Kehidupan kita di dunia yang sekadar 60 tahun ini pun kita sudah rasa lama dan terseksa, jadi, mampukah kita untuk merasa azab neraka walaupun untuk seribu tahun? Nabi SAW mengatakan bahawa cukuplah dengan mengingati mati itu sebagai pengajaran. Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk ingat mati agar kita memikirkan tentang persediaan yang perlu dilakukan.

Rasulullah SAW pernah bertanya pada sahabat, “Tahukah kamu siapa orang yang paling cerdik?” Kemudian Rasulullah SAW menjawab, “Orang yang paling cerdik ialah yang banyak memikirkan keadaannya selepas mati.” Di dalam kubur nanti, yang bakal menjawab soalan Mungkar dan Nangkir adalah amalan kita, bukannya jasad kita. Walaupun orang itu tak pernah belajar bahasa Arab, roh yang banyak beramal akan dapat menjawab dengan baik.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Berapa lama jarak masa untuk seseorang yang meninggal untuk hidup semula di alam kubur?
J: Di dalam satu hadis Rasulullah SAW yang begitu panjang (sehingga 3 mukasurat), diceritakan perihal orang mati. Ada dua orang jenis orang yang meninggal dunia – orang yang Allah suka dan orang yang Allah benci. Jika orang itu disayangi, Allah pesan kepada Malaikat maut agar mengambil nyawa orang itu secara terhormat. Tetapi jika sebaliknya, Allah pesan kepada Malaikat maut bahawa orang itu dibenci Allah dan terpulanglah bagaimana cara nyawanya ingin diambil. Roh yang baik akan disambut malaikat dan dikafankan dengan kain daripada syurga, sebaliknya jika roh yang dibenci akan dikafankan dengan kain daripada neraka. Seterusnya, roh yang baik akan dibawa naik oleh malaikat yang menyambut roh, malaikat maut, malaikat raqib dan atid, serta malaikat-malaikat lain yang mengikut untuk menghadap Allah SWT. Ketika di hadapan Allah, malaikat maut akan menyatakan yang tugasnya untuk mencabut nyawa telah selesai. Kemudian malaikat raqib dan atid pula menyatakan yang tugas mereka juga telah selesai. Allah perintahkan rekod amalan baiknya disimpan di satu tempat bernama 'Illiyyin'. 

Kemudian roh itu akan dibawa pulang ke dunia semula. Oleh sebab itu, sebelum roh turun semula ke dunia, jasad yang ditinggalkan perlulah telah siap dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan. Jangan dilengah-lengahkan. Ada riwayat hadis lain menyebut bahawa ketika tanah sudahpun diratakan, roh itu akan dikembalikan kepada jasadya. Oleh sebab itu, roh itu boleh mendengar jejak kaki orang diatasnya dan talkin yang dibacakan. Jika kita melewat-lewatkan urusan pengkebumian, malaikat akan perlu menunggu lebih lama bersama roh itu. Jika roh itu roh yag baik, kita bersalah kerana melengah-lengahkan kebaikan untuknya.

Jika roh itu jahat, baunya sangat busuk. Ketika ingin dibawa naik bertemu Allah dan sampai ke langit pertama, malaikat penjaga langit pertama tidak akan membuka pintu langit untuknya. Jadi, cuma malaikat-malaikat yang dibenarkan naik. Ketika di hadapan Allah, malaikat maut akan menyatakan yang tugasnya untuk mencabut nyawa telah selesai. Kemudian malaikat raqib dan atid pula menyatakan tugas mereka juga telah selesai. Allah perintahkan rekod amalan buruknya disimpan di satu tempat bernama 'Sijji'. Setelah dipulangkan ke dunia, jika jasadnya belum sedia dikebumikan, malaikat akan terseksa untuk menjaga roh yang busuk itu. Jangka masa antara mati dan dihidupkan itu tidaklah begitu lama, mungkin dalam dua jam. Oleh sebab itu menjadi kesalahan apabila kita membiarkan jenazah semalaman sebelum dikebumikan. Segerakan urusan pengkebumian.

S: Adakah benar ada siksaan dalam kubur? Ada ustaz kata tidak ada? Apa komen ustaz?
J: Saya pernah ditanya soalan sebegini sebelum ini. Sebenarnya, ada. Dalam hadis Nabi SAW sendiri ada menyebut, “Sesungguhnya siksaan kubur itu benar.” Orang yang akan disiksa adalah orang yang gagal menjawab soalan Mungkar dan Nangkir. Orang yang berjaya menjawab tidak akan disiksa. Termasuk pengecualian disiksa adalah orang yang mati syahid, orang yang mati dan dikebumikan pada hari Jumaat.

S: Adakah sama kehidupan orang di alam kubur dengan kehidupan di dunia? Contohnya bolehkah pergi 'shopping', berkahwin lagi dan sebagainya?
J: Sebenarnya ia bergantung kepada orang itu. Pertama: ada roh mu'azzabah – roh yang disiksa. Jika disiksa, tentulah kehidupannya dalam kesukaran kerana terus-menerus dipukul. Rehat baginya hanyalah ketika orang hidup yang lalu di kubur dan memberi salam kepadanya. Kedua: roh mun'ammah - roh yang diberi nikmat. Nikmat yang dimaksudkan disini mungkin bukanlah dalam bentuk pergi 'shopping' dan sebagainya kerana benda-benda itu tidak diperlukan lagi. Mungkin dia dibenarkan untuk pulang melihat keluarganya dengan izin Allah. Wallahu'alam.

S: Apakah bantuan yang boleh diberikan kepada orang yang sudah mati?
J: Ada kita dengar pendapat yang mengatakan bahawa setelah mati terputuslah amalan seseorang itu kecuali tiga: doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain. Pada pandangan saya, berpandukan nas-nas dan dalil-dalil, orang yang hidup masih boleh membantu orang yang telah mati melalui:
  • Pertama: memberi talkin selepas dikebumikan. Ada satu hadis riwayat Abu Daud, daripada Uthman bin Affan, kata Uthman, “Biasanya setelah selesai mengkebumikan jenazah, Nabi akan berdiri di bahagian kepala si mati dan meminta orang yang hadir memohon keampunan kepadanya dan minta Allah tetapkan pendiriannya ketika disoal.” 
  • Kedua: jika si mati ada berhutang atau wasiat, kita yang hidup perlu segera tunaikannya.
  • Ketiga: kita boleh juga menghadiahkan pahala kepada si mati melalui amalan-amalan baik yang kita lakukan. Hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa amalan anak Adam itu terputus setelah mati merujuk kepada amalan yang dilakukannya sendiri. Tetapi kita yang hidup masih boleh menyumbang amalan kepadanya.
S: Saya musykil kerana ada orang kata talkin itu bidaah dan tidak memberi manfaat kepada si mati? Mohon pandangan ustaz.
J: Betul, ini adalah isu yang hebat diperdebatkan. Pada pendapat saya, ianya boleh dilakukan, berdasarkan hadis riwayat At-Tabrani, daripada Abu Umamah, Abu Umamah berkata, “Apabila aku meninggal dunia nanti, lakukan ke atas jenazah aku sama seperti yang Rasulullah lakukan kepada orang-orang yang telah mati. Rasulullah SAW berkata, “Sekiranya mati salah seorang daripada kamu, setelah diratakan tanah kubur, berdirilah seorang dan katakan, “Wahai saudaraku, si fulan bin atau binti si fulan (ibunya) 3x”. Ketika diseru, si mati akan menjawab dan memohon bantuan sebenarnya, cuma orang hidup tidak mendengarnya. Kemudian disambung dengan bacaan talkin seperti yang kita tahu hari ini. Ada juga hadis lain yang menyebut bahawa Nabi SAW mengajar Sayyidina Ali cara untuk melakukan talkin, walaupun betul Nabi tak buat. Disebutkan juga bahawa ketika dibacakan talkin, malaikat Mungkar dan Nangkir akan pergi dan tidak akan menyoal si mati. Akhir sekali ditanyakan kepada Nabi, “Jika tidak diketahui siapa ibu si mati.” Nabi SAW menjawab, “Binkan kepada ibunya – Hawa atau Amtillah.”

S: Adakah amalan membaca Yasin sampai kepada si mati kerana ada hadis mengatakan yang ianya tidak sampai?
J: Tiada hadis yang menyatakan pahala amalan itu tidak sampai, cuma ada hadis Nabi SAW yang menyebut terputus amalannya. Perkataan 'nya' disini merujuk kepada amalan si mati kerana dia sudah meninggal. Tetapi amalan orang yang hidup untuknya masih belum putus. Ini berdasarkan satu dalil yang berlaku pada zaman Nabi SAW, seorang perempuan datang bertemu Nabi SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, mak saya baru meninggal tetapi dia belum sempat mengerjakan haji.” Lalu Nabi SAW terus menjawab, “Kamu kerjakan haji untuk ibu kamu.” Hadis inilah dijadikan sandaran hukum 'haji badal' atau 'upah haji'. Yang tak boleh digantikan ialah solatnya, amalan lain seperti puasa, zakat, haji boleh diganti oleh warisnya. Tetapi perlulah diniatkan untuk menyedekahkan pahala tersebut kepada si mati. Namun, jika orang yang mati itu ketika hidupnya tidak pernah solat, tidak pernah buat amalan baik, tidak mendidik anak-anaknya dengan ilmu Islam, ada kemungkinan tiada kelebihan melakukan tahlil untuknya. Tetapi jika orang itu orang yang baik, InsyaAllah akan sampai pahala kepadanya.

S: Jika seorang pencuri telah dipotong tangan di dunia, adakah dia akan disiksa lagi di akhirat nanti?
J: Potong tangan itu merupakan balasan di dunia. Jika seseorang itu tidak bertaubat, akan ada balasan lain di akhirat pula. Cuba rujuk surah Al-Maidah, ayat 38-39.



Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab