Hidayah Allah (3) – Tanyalah Ustaz 29.04.2012


Ustaz Rujhan Mohamed Razali

Bacaan surah Al-Fatihah, ayat 1-7 yang bermaksud:
‪[1] 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]
 Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[3]
 Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4]
 Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

[5]
 Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

[6]
 Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7] 
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.‬

Sayyidina Abu Bakar pernah solat begitu lama di padang pasir sehinggakan burung hinggap di belakangnya, kerana menyangkakan beliau adalah tunggul. Kita pula solat begitu 'ekspres' sehinggakan nyamuk pun tak sempat hinggap.

Hidayah letaknya di dalam hati (jiwa). Mari renung apa sebenarnya yang kita cari dalam kehidupan. Pertama: Nak dapat apa dalam hidup? Kedua: Kena jadi apa dalam hidup?

Untuk soalah pertama; Daripada kita kecil, kemudian mula bersekolah, masuk universiti, bekerja, berkahwin, beranak sehingga bercucu. Tiada halangan agama unutk mendapatkan semua ini. Namun bagaimana pula usaha kita untuk menjawab persoalan kedua tadi? Apa yang telah kita lakukan untuk menjadi orang beriman, bertaqwa, berakhlak baik. Kebiasaannya usaha kita untuk soalan kedua hanya dilakukan dengan sebelah mata sahaja. Tidak bersunguh-sungguh. Kita hanya bersungguh-sungguh untuk ‘nak dapat apa dalam hidup’.  Oleh sebab itu, jadilah kita hamba yang sombong pada Allah.

Dalam surah Al-Fatihah, terkandung ayat paling penting:
[6] 
Tunjukilah kami jalan yang lurus.


Seperti yang telah dibincangkan bersama Ustzaz Zul Ramli sebelum ini: Hidayah datang dalam 2 bentuk iaitu: Peringkat pertama hidayah merupakan ketukan dalam hati untuk kembali ke jalan yang lurus. Hidayah ini milik mutlak Allah. Mari perhatikan analogi ini: Jika sebuah gelas itu penuh dengan air yang kotor, bagaimana mungkin kita untuk menuang air bersih untuk diminum dari gelas tersebut. Kita perlu bersihkan gelas itu terlebih dahulu. Itulah umpamanya hati kita. Hati perlu dibersihkan daripada kekotoran agar hidayah Allah boleh sampai. Allah pernah berfirman kepada Nabi Daud, “Kosongkan hatimu, kerana Aku ingin duduk disitu’. Dengan itu, hati perlu dikosongkan agar hidayah boleh sampai.

Sebesar-besar kekotoran dalam hati adalah sifat sombong, seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis, bahawa Nabi SAW bersabda “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Sombong ada bermacam bentuk – sombong kerana harta, pangkat, rupa-paras, keturunan, ilmu dan sebagainya. Mari renung daripada mana kita datang. Walaupun sekarang sudah berharta, sudah hebat, sudah terkenal, asalnya kita tak punya apa-apa, kita serba daif, jadi mengapa perlu rasa sombong?

Hidayah itu sangat mahal harganya. Mari imbas kisah Sayyidina Umar Al-Khattab. Sayyidina Umar pernah berkata: “Kalau aku tidur pada waktu malam, aku akan abaikan urusan dengan Tuhanku. Kalau aku tidur pada waktu siang, aku akan abaikan urusan pentadbiranku”. Mukanya ada garis hitam dipipi, kerana bekas tangisan mengingati Allah. Dengan hidayah yang diberikan Umar berubah sebegini rupa sehingga dijamin syurga oleh Allah SWT. Tetapi tahukah kita siapa Umar sebelum menerima hidayah? Umar pernah keluar dari rumahnya dengan mengheret pedang di padang pasir sehingga keluar api untuk membunuh orang yang paling dibencinya, iaitu Nabi SAW. Dia keluar dengan hati yang penuh kemarahan, namun dengan hidayah Allah, dia tersungkur selepas dibacakan surah Taha, dan dia pulang ke rumah dengan keimanan, dan tunduk menyerah pada Allah. Inilah mahalnya harga hidayah.

Kita perlu sentiada berdoa memohon hidayah daripada Allah. Amalkan surah Al-Fatihah dan doa-doa lain untuk memohon agar hati kita tidak dipesongkan dan tidak dibolak-balikkan daripada menerima hidayah Allah. Antara doa yang boleh diamalkan:

“Ya Allah, jangan kau bolak-balikkan hati ku selepas Engkau berikan hidayah.”
“Ya Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah engkau beri petunjuk kepada kami. Dan Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia.”

Ada 4 laluan hidup manusia, mari bersama renung kita dimana.
  1. Lurus dari awal hingga mati
  2. Awalnya bengkok, matinya lurus.
  3. Awalnya lurus, matinya bengkok.
  4. Bengkok dari awal sampai mati.

Jadi tanya diri di mana kita? Kita paling takut jika termasuk dalam golongan ketiga yang dicabut hidayah dari hatinya. Bersama kita mohon perlindungan daripada Allah.

Ada juga orang yang ahli ibadah (lakukan solat, sudah pergi haji dsb), namun akhlaknya masih tidak baik. Rupa-rupannya nak menjaga amal itu lebih susah sebenarnya. Ibadah yang dilakukan sepatutnya beri kesan kepada akhlak kita agar menjadi orang yang lebih rendah jiwanya dan tidak sombong. Hati yang keras, jika sampai hidayah, pasti akan mengalir air matanya. Air mata keinsafan boleh memadamkan api neraka. Namun hidayah ini boleh ditarik balik. Jadi kita perlu mohon perlindungan Allah supaya hidayah yang diberi tidak ditarik balik. 

Untuk mengekalkan hidayah, kita perlu:
  1. Terus-menerus berdoa memohon hidayah.
  2. Jaga pemakanan kita kerana pemakanan membentuk hati dan jiwa kita. Jaga rezeki yang kita dapat - daripada sumbernya, caranya, prosesnya, semua kita kena jaga.
  3. Jaga apa yang kita abaca. Manusia ialah apa yang dia baca. Jadi jangan berenggang dengan Al-Quran dan bahan bacaan baik. Apa yang kita baca membentuk jiwa kita. Apa yang kita baca 5 tahun dahulu, itulah yang membentuk kita hari ini. Cari bahan ilmiah dan majalah Islami ynag baik. Majalah baik yang saya syorkan seperti majalah Q&A, yang merangkumi soal-jawab isu agama.
  4. Cari teman yang baik. Manusia ialah dengan siapa dia bersahabat. Seseorang itu berada di atas agama temannya. Jadi, carilah teman yang baik. Carilah teman, walau seribu kerana seribu itu terlalu sedikit. Hindarilah musuh walau seorang, kerana seorang itu terlalu ramai. Carilah teman yang boleh mengingatkan kita kepada kebaikan dan menegur apabila kita lalai.

Asas mendapat hidayah adalah doa. Dalam doa Qunut, kita mohon hidayah daripada Allah di waktu pagi lagi dalam solat Subuh. Empat golongan yang Allah jelaskan bahawa mereka mendapat hidayah ialah para Nabi, golongan Siddiqin, orang yang mati syahid dan orang soleh. Jalan seperti mereka inilah yang kita ingin ikut. Namun begitu, jalan ke syurga penuh dengan ranjau, jalan ke neraka penuh dengan syahwat. Walaupun sukar, itulah jalan kebenaran yang kita perlu ikut, kerana hujungnya dijanjikan syurga, Insya Allah. Jaga iman kita kerana ‘membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata’. Iman boleh runtuh dengan kata-kata sahaja. Jadi kita perlu terus berusaha menjaga iman kita.

Sebagai kesimpulan: Mari kita buang sifat kesombongan, buang hasad dengki. Jaga pemakanan dan cari teman yang baik. Semoga dengan ini doa kita memohon hidayah dan memohon dikekalkan hidayah akan dimakbulkan, InsyaAllah.

Soalan & Jawapan:
S: Bagaimana orang yang tinggal dekat dengan masjid dan surau, boleh dengar azan dan majlis ilmu dari rumah, namun masih tidak dapat hidayah untuk datang ke masjid. Ada orang lain pula yang dapat hidayah hanya kerana mengikut jenazah ke kubur. Bagaimana dua keadaan ini boleh berlaku?
J: Inilah yang dikatakan hidayah itu milik Allah dan ianya amat berharga. Hidayah bukan milik manusia. Cuba lihat kisah Siti Asiah, suaminya kufur, mengaku Tuhan, tapi dia seorang yang beriman. Manakala isteri Nabi Lut dan Nuh tetap tidak beriman, walaupun suami mereka Nabi. Jadi, jika kita dapati hati kita tak tersentuh bila terdengar laungan azan, maka cemaslah kerana kita sebenarnya semakin jauh daripada hidayah Allah. Berdoalah dan mohon supaya hidayah Allah sampai kepada kita.

S: Hidayah hak Allah. Seseorang masuk syurga bukan kerana amalan tapi kerana rahmat Allah. Bagaimana untuk mendekatkan diri dengan rahmat Allah dan mendapat nikmat kemanisan dalam beramal?
J: Amalan kita tak bernilai untuk membayar harga syurga Allah. Namun untuk mendapat rahmat Allah, kita kena beramal, kerana rahmat Allah dekat dengan orang yang beramal. Iman ini ada kemanisannya dan ianya dirasa dalam jiwa. Cuma orang yang pernah rasa tahu bagaimana perasaannya. Seperti manisnya gula, cuma orang yang sudah rasa tahu ertinya. Takkan boleh dihurai dengan kata-kata. Kemanisan beribadat bermula dengan hidayah Allah. Jadi adakah kita rasa manis bila solat, bila sedekah, bila dengar majlis ilmu? Atau kita rasa pahit? Kita perlu bandingkan amalan kita dengan generasi Salafussoleh, bukannya bandingkan diri dengan orang yang tak soleh di sekeliling kita. Bandingkan kualiti ibadah kita dengan kualiti ibadah generasi sahabat Nabi SAW. Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, solat di padang pasir tanpa berganjak, sehinggakan ada burung hinggap ke atas belakangnya kerana menyangkakan dirinya tunggul. Kita pula solat begitu ‘ekspress’ sehinggakan nyamuk pun tak sempat hinggap. Bagaimana pula tahap kusyuk kita dalam solat?

S: Ramai orang mendapat hidayah melalui musibah. Bagaimana mencari kekutan diri untuk menerima hidayah jika tidak menerima musibah?
J: Betul, tak siapa pun boleh larikan diri daripada musibah. Jangan mengharap siang berpanjangan, kerana pasti datang gelapnya malam. Jangan bermimpi tawa berpanjangan, kerana pasti bertamunya tangisan. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah terletaknya keindahan hidup. Musibah menunjukkan  yang kita ini lemah sebenarnya. Musibah boleh mendekatkan diri dengan Allah. Waktu sihat jarang kita ingat Allah, bila sakit baru nak ingat Allah. Generasi Sahabat dan Salafussoleh akan berasa takut dan cemas jika sudah lama tidak mendapat musibah. Mereka akan ucap ‘Alhamdulillah’ jika musibah datang. Kita pula sebaliknya. Firaun pula menganggap dirinya Tuhan kerana dia tidak pernah ditimpa musibah. Jadi bagaimana untuk mencari hidayah walaupun tidak menerima musibah? Kita perlu berikhtiar bermati-matian untuk mengejar hidayah Allah. Dicatatkan bahawa sahabat Nabi, Salman Al-Farisi, mengembara bersusah payah menempuh perjalanan yang jauh untuk mencari hidayah Allah. Kita juga perlu begitu, janganlah bermati-matian untuk mengejar kesenangan keduniaan saja. Kita perlu sentiasa berdoa memohon hidayah Allah. Carilah teman yang baik yang boleh membantu.

S: Kenapa orang Yahudi dan Nasrani tidak mahu beriman, sedangkan jika ditanya mereka tahu dan akan jawab bahawa Allah yang mencipta mereka dan alam ini. Adakah mereka tidak dapat hidayah atau mereka menolak hidayah?
J: Bak kata pepatah: ‘Buta mata, tak nampak jalan di dunia. Buta mata hati, tak nampak jalan ke syurga’. Orang Yahudi dan Nasrani telah melihat kebenaran pada Nabi SAW bahkan mereka sendiri yang menggelar Nabi SAW sebagai Al-Amin. Namun, hati mereka ini kotor dan dipenuhi dengan perasaan sombong dan hasad dengki. Mereka tahu akan datang Nabi terakhir tapi mereka berharap Nabi itu datang daripada kaum mereka sendiri. Kesombongan dan hasad dengki itulah yang menghalang hidayah Allah daripada masuk ke hati mereka.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab