Reset Minda Keluarga – Islam Itu Indah 07.03.2012

Prof. Dr. Muhaya Muhammad & DJ Fairuz di IKIM

Mukaddimah:
Terpanggil untuk bincangkan tajuk ini kerana baru-baru ini saya mendapat seorang pesakit remaja, berumur 17 tahun, 'power' matanya sudah tinggi dan ibunya mohon buat lastik untuknya. Tapi apabila saya lihat remaja ini, saya tahu dia merokok namun bila ditanya dia diam membisu sebelum akhirnya mengaku. Ibunya sangat terkejut dan menangis apabila mengetahui yang anaknya merokok. Oleh itu, saya rasa rugi jika hanya 'celikkan' mata fizikalnya, saya ingin 'celikkan' mata hatinya dulu. Saya minta dia datang 6 bulan lagi. Saya minta dia berubah dulu – jaga solat, taat ibubapa, berpakaian lebih elok, berhenti merokok, tetapkan misi dan visi kehidupan. Ibunya yang tidaklah begitu senang sanggup keluarkan bayaran sebanyak RM7000 untuk mencelikkan mata fizikalnya, jadi sebagai anak, remaja ini perlu berubah agar setimpal dengan pengorbanan ibunya.

Remaja ini menangis semasa saya hadiahkan buku saya yang bertajuk 'Bagaimana menjadi pelajar cemerlang'. Mengapa agaknya? Hatinya mungkin tersentuh, kerana bila seseorang beri hadiah, pandang dia dengan penuh kasih sayang, dan cakap dengan lembut kepadanya, dia rasa dihargai. Sebenarnya remaja tidak bermasalah, yang bermasalah ialah ibubapa dan masyarakat. Kita semua yang membentuk peribadi remaja. Oleh sebab itulah saya rasa amat penting untuk kita celikkan dan reset minda keluarga agar terbit masyarakat yang baik.

Kita semua tak kiralah, suami, isteri, pekerja, majikan, anak, atau remaja, semuanya berasal dari keluarga. Keluarga merupakan institusi terpenting sesebuah negara. Bila kita nak pergi membeli-belah atau bercuti, kita akan buat senarai barang nak dibeli, baju nak dipakai dan banyak lagi persediaan lain. Namun mengapa hidup kita yang lebih panjang daripada pergi bercuti itu kita biarkan tak terancang? Mengapa biar keluarga tiada hala-tujuan. Pada pendapat saya, setiap keluarga perlu jadikan syurga sebagai misi yang ingin dicapai. Bincangkan bersama keluarga ciri-ciri ahli syurga. Buat perancangan sedari sebelum kahwin, mulakan didikan anak dari mengandung lagi, rancang bahasa yang akan digunakan, rancang menu untuk dapat kesihatan baik – semuanya perlu dirancang dan dilaksanakan mengikut cara Islam barulah tidak pincang seperti banyak yang berlaku hari ini.

Mari kita semua renungkan dan fikir, jikalau keluarga kita mati hari ini, adakah boleh masuk syurga? Perhatikan pemakaian anak-anak terutamanya yang gadis. Apa guna jika ibubapa jaga solat, dan pergi surau, namun anak tak tutup aurat dengan sempurna. Mengapa dikumpulkan kebaikan dan kejahatan sekaligus? Ini boleh menyebabkan kecelaruan dalam masyarakat. Jadikan fokus menuju syurga sebagai tujuan keluarga kita dan selaraskan tindakan untuk mencapainya.

Soalan & Jawapan:
S: Sahabat sudah berkahwin selama 22 tahun, tapi tak bahagia kerana dia rasa suami tak beri kasih sayang padanya. Anak sudah 4. Dia mempunyai kekasih, dia ingin bertaubat, namun dia rasa sukar. Aurat dan solatnya kurang dijaga.
J: Saya terperanjat dan mohon semua pendengar tolong doakan agar sahabat ini diberi hidayah. Kaum wanita, jik ada masalah, periksa diri kita dulu – solat bagaimana? Aurat bagaimana? Jika hubungan dengan Allah tidak baik, macam mana Allah nak bantu. Pada pendapat saya jika dah 22 tahun kahwin dan ada empat orang anak, takkanlah suami tu tak sayang. Orang ni ada berbagai jenis, ada orang ucapkan kasih sayang dengan kata-kata, ada orang luahkan kasih sayang melalui perbuatan sahaja. Cuba renungkan kembali kebaikan yang dilakukan suami. Teman lelaki itu memang gangguan syaitan, jadi bila teringat, cuba ingatkan api neraka. Gunakan emosi untuk melawan ingatan padanya – ingatkan anak-anak. Anak-anak akan mengambil contoh daripada apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap.
S: Ayah berkahwin dua. Sejak balik dari Haji (ayah pergi bersama kedua-dua isteri), isteri kedua tabur fitnah pada isteri pertama. Ayah pula seperti tak boleh melawan biarpun isteri kedua kunci pintu rumah dan tak melayannnya.
J: Saya rasa ini fenomena biasa orang berkahwin dua. Saya pun tak berani komen sebab dengar dari sebelah pihak saja. Saya lebih suka jika kita fokus pada perkara positif dan jangan sangka buruk pada orang lain. Lebih baik kita fokus pada masa sekarang, jangan bazir masa risau perkara yang lepas atau yang akan datang. Kita kena cuba untuk bebaskan diri daripada inginkan penghargaan manusia. Jadi biar orang kata apapun, jika kita tak buat, kita tenang. Dan kita jangan sibuk nak suruh orang dengar cakap kita, sebab kita sendiri pun tak nak dengar cakap orang. Sebenarnya jika orang kasar dengan kita, kita yang kasar dengan orang. Cuba ubah cara kita lihat sesuatu, lihat dengan positif, dengan penuh kasih-sayang. Setiap hari jangan lupa empat perkara: 
  • Pertama: Hormati semua makhluk Allah. 
  • Kedua: Sentiasa jujur, buat baik tanpa mengharapkan balasan. 
  • Ketiga: Sentiasa lemah-lembut, dan 
  • Keempat: Sentiasa fikir apakah manfaat yang saya boleh beri. 

Bila kita sibukkan diri dengan empat prinsip ini, kita takkan ada masa untuk kritik orang dan jiwa akan jadi lebih tenang.

S: Bagaimana untuk mendidik keluarga mengikut cara Rasulullah SAW?
J: Dr. Zahazan ada berkata jika kita ada buku: Syamail Muhammad di rumah kita, seumpama kita bawa Rasulullah SAW balik ke rumah kita. Gunakan buku ini sebagai bahan tazkirah selepas solat berjemaah bersama. Selain itu, gantikan cerita dongeng dengan kisah-kisah dari Al-Quran untuk dibacakan pada anak-anak. Mulakan dengan ilmu dan jaga niat keluarga kita untuk sentiasa ingin jadi ahli syurga. Saya juga ingin cadangkan untuk pasang 'CD Zikir Terapi' dari Hafiz Hamidon di rumah atau pejabat. Memang rasa nak menangis bila dengan lagu 'Law Kana Bainana'. Jiwa pun lebih tenang kerana muzik pun ada aura yang tersendiri juga.

S: Zikir akan menjadikan jiwa lebih tenang. Saya setuju dengan Prof., yang kita perlu betulkan diri sendiri dulu. Bila Allah beri ujian, baru kita sedar betapa kesihatan tu sangat bernilai.
J: Daripada bahasa dan percakapan, saya pasti saudara pemanggil sudah berada di jalan yang betul. Saudara ada sebut tentang sakit fizikal tadi, sekadar nak tambah. Sakit fizikal nampak di mata, namun sakit rohani yang kita tak nampak dan rohanilah yang lebih penting dijaga kesihatannya.

S: Kehidupan ini jangan menyalahkan Allah jika tak mendapat apa yang diinginkan. Dari pengalaman saya sendiri, setelah 6 tahun berkahwin, baru dapat anak. Sekarang kereta dah habis bayar, rumah lagi 2 tahun habis bayar, jadi semua perbelanjaan selepas ini boleh disalurkan untuk anak. Sesungguhnya peracncangan Allah itu sangat mantap, jadi jangan mengeluh atau bersedih.
J: Saya selalu juga bertemu pesakit yang begini. Mereka ini orang baik-baik tapi rasa tertekan kerana asyik ditanya bila nak dapat anak. Perangai kita orang Melayu memang suka tanya perkara sebegini – kalau belum kahwin, tanya bila nak kahwin, lepas tu tanya bila nak dapat anak, lepas tu tanya bila nak tambah anak dan seterusnya. Kenapa kita suka tanya soalan yang boleh merosakkan perasaan orang. Saya, jika nak bertanya, saya akan tanya dah berkeluarga belum? Mak ayah ada lagi. Jika orang tu jawab tinggal dengan mak ayah, kita pun faham yang mereka belum kahwin. Sentiasalah menghormati dan lembut-lembut semasa berjumpa orang. Jaga empat prinsip yang disebut tadi. Biarpun itu anak saudara kita sekalipun. Jangan tanya orang soalan peribadi yang kita tak suka orang tanya kita. Anak itu kurniaan (hadiah) dari Allah. Jika Allah tak beri anak, Allah akan beri 'hadiah' lain. Semua orang akan dapat reseki tersendiri daripada Allah. Pada yang sering ditanya, jangan sedih, cuba perhatikan orang yang bertanya. Bagaimana kehidupannya? Biasanya orang yang suka membuka aib orang, dirinya sendiri penuh keaiban. Jadi jangan sekali-kali buat perkara yang boleh sakitkan hati orang. Berdosa dengan Allah lebih mudah untuk minta ampun daripada berdosa dengan manusia.

S: Anak sulung, berumur 17 tahun, masih tak mahu tutup aurat walaupun telah puas dipujuk. Anak gemar keluar bersama kawan-kawan sehingga waktu malam. Isteri jaga aurat dengan baik, namun isteri agak kasar.
J: Cara didikan Islam, untuk remaja umur 14-21 tahun, ibubapa perlu bertindak sebagai kawan. Renungkan kenapa anak gemar keluar bersama kawan? Bila bersama rakan, dia akan dipuji, dan didengar cakapnya dan ini membuatkan dia rasa dihargai. Tapi bila bersama ibubapa, anak asyik dengar kata perintah sahaja, kritikan. Ibubapa selalu nak anak dengar cakap mereka, tapi mereka tak pernah nak dengar luahan hati anak mereka. Anak perempuan biasanya rapat dengan ibunya. Sepatutnya ibu perlu luangkan masa lebih dengan anak, ajak pergi shopping bersama, gunting rambut sama. Keluarga perlu luangkan masa berkualiti bersama di rumah.

S: Berumur 29 tahun dan mempunyai anak berumur 2 tahun. Bagaimana mendidik anak agar boleh menjadi pencen kubur?
J: Jaga makanan fizikal dan rohani, kata-kata, contoh baik dan amalan kita pada orang lain. Anak-anak akan ikut perangai kita. Pilih sekolah yang baik yang beri keutamaan pada ajaran agama. Anak terlalu berharga untuk 'dirosakkan' dengan rancangan TV yang tak elok. Jadi jangan beri video game ganas kerana minda bawah sedarnya boleh rosak. Amalkan 'living by design' agar setiap aktiviti yang anak lakukan ada makna, ada tujuan yang tersirat dan tersurat. Jangan biar anak belajar sendiri. Mentaliti 'nanti besar, pandailah anak tu' salah. Itu cara hidup yang tak terancang. Kita sukakan barangan butik, jadi untuk kehidupan juga perlu rancang dengan teliti agar dapat kualiti 'butik' juga dan akhirnya menjadi pencen kubur yang menguntungkan.

S: Macam mana nak tegur rakan yang rasa dirinya cukup bagus, sedangkan dia taklah sebagus mana?
J: Kita memang suka tegur orang, namun nasihat saya – biar kita tegur diri kita dulu dan berubah. Bila orang lihat kita berubah, orang pun automatik akan teransang untuk berubah. Kalau kita cuba tegur orang dengan ilmu yang sedikit, orang akan rasa sakit hati.


Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab