Ibadah Pemacu Tamadun Rohani & Material – Mukmin Profesioanal 17.03.2012


Ustaz Pahrol Mohd. Juoi


Mukadimmah:
Alhamdulillah kita terus diberikan nikmat berada dalam majlis ilmu. Nikmat tidak terbatas kepada nikmat material sahaja, tetapi termasuklah nikmat rohani seperti nikmat iman, nikmat berkesempatan berada dalam majlis ilmu. Jadi kita perlu bersyukur dan semoga dengan itu akan ditambah lagi kurniaan Allah pada kita semua. Semoga dengan ilmu akan tersingkaplah kejahilan diri kita kerana jahil itu merupakan hijab (pendinding) antara kita dengan Allah SWT. Semoga dengan ilmu yang masuk ke dalam hati kita, InsyaAllah semakin cerah pemikiran kita, hati menjadi lebih bersih, emosi kita bertambah tenang dan kita dapat mengamalkan Islam demi kejayaan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

Tajuk hari ini: Ibadah Pemacu Tamadun Rohani & Material. Kita akan membincangkan bagaimana ibadah dapat memberi dua bentuk pulangan iaitu dalam bentuk material seperti kemajuan kewangan dan pembangunan rohani melalui akhlak yang lebih baik. Setelah hampir 2 bulan membincangkan tentang ibadah iaitu dari segi pembahagiannya, syarat-syaratnya, keikhlasan dalam beribadah, tiba giliran melihat apakah kesan atau impak ibadah yang telah dilakukan. Ibadah terbahagi kepada tiga –
1.     Ibadah asas (fardhu ain) – wajib ke atas semua Muslim, merangkumi rukun Islam dan rukun iman.
2.     Ibadah sunat – ibadah yang melengkapi ibadah-ibadah asas dan menutupi kekurangannya. Ibadah sunat juga berperanan untuk kita mendapatkan kasih-sayang daripada Allah SWT. Ibadah sunat juga dikenali sebagai ibadah 'taqarrubi' yang berasal daripada perkataan akrab. Jadi jangan pinggirkan ibadah sunat dalam kehidupan seharian agar dapat menjaga keakraban kita dengan Allah. Dalam masyarakat kita, ramai yang pandang ringan dengan ibadah sunat kerana tidak berdosa jika ditinggalkan. Sepatutnya kita 'reset' minda dan  perbanyakkan amalan sunat.
3.     Ibadah umum: Ibadah umum sangat luas pengertiannya, dan mencakupi 60-80% masa dan tenaga kita. Hukumnya fardhu kifayah, mencakupi daripada sekecil-kecil urusan seperti menjual makanan untuk orang Islam sehinggalah sebesar-besar urusan seperti kewangan, politik, perundangan dan sebagainya.

Apa kaitan ibadah dan tamadun? Ibadah asas dan ibadah sunat akan menjana tamadun rohani. Manusia akan menjadi lebih baik dan takut kepada Allah dengan melakukan ibadah-ibadah seperti solat, puasa, zakat, sedekah. Di samping itu, ibadah ini juga akan membentuk masyarakat yang kurang melakukan kemungkaran, masyarakat yang pemaaf, pemurah dan penuh kasih-sayang. Ia membentuk akhlak baik daripada kalangan individu, seterusnya masyarakat dan menjadikan negara aman dan makmur. Inilah hasil jika semua orang menegakkan ibadah asas dan sunat sebagaimana mereka yang dididik selama 13 tahun di Mekah oleh Nabi SAW. Dengan ibadah ini lahir orang kaya yang pemurah, orang miskin yang sabar, penguasa yang adil, rakyat yang taat setia, suami yang penyayang, isteri yang taat dan seterusnya.

Ibadah secara umum seperti menegakkan ekonomi, hiburan, politik secara Islam pula akan menegakkan tamadun secara material. Ini dapat menghasilkan projek-projek yang menepati syariat dan menjana pendapatan yang halal. Pengurusan secara Islam juga boleh menghasilkan kerja yang lebih efektif, telus dan cekap.

Jadi tak kiralah sama ada kita lakukan ibadah asas, sunat ataupun umum, ini semua merupakan input penting untuk menegakkan tamadun rohani dan material sekaligus. Ini menolak tohmahan yang mengatakan ibadah akan memundurkan sesuatu kaum. Sebaliknya, tanpa ibadahlah, manusia akan mundur tamadunnya. Perlu diingatkan bahawa ibadah asas dan sunat yang menjaga 'hablun minallah' (hubungan dengan Allah), dan ibadah umum yang menjaga 'hablun minannas' (hubungan dengan manusia) perlu dilakukan secara bersepadu. Apabila terlaksana kedua-dua hubungan ini dengan baik, akan tercapailah 'what I want to have?' dan 'who I want to be?'. Kebanyakan manusia cuma menjawab soalan pertama sahaja iaitu 'what I want to have?'. Ramai cuma fokus pada pencapaian material sahaja – untuk mendapatkan rumah, kereta dan kemewahan. Dan jika ditanya 'who I want to be?' akan dijawab pula 'A Millionaire'. Jawapan ini masih menunjukkan 'what I want to have' sebenarnya, atau dengan kata lain ia bersandarkan kepada kemahuan material semata-mata.  Pemikiran seseorang itu masih terlalu bersifat 'maddiyah' (kebendaan), sedangkan kebendaan hanyalah 'hardware' dan manusia masih memerlukan 'software'.

Manusia yang menjadikan pencapaian material sahaja sebagai matlamat, tidak keterlaluan jika disamakan dengan haiwan. Contohnya, yang penting untuk seekor kambing adalah untuk meragut rumput untuk mengenyangkan perutnya, atau mencari pasangan yang mana sesuai. Kambing tidak pula pernah berfikir bagaimana nak jadi kambing yang baik atau jahat. Jadi, jika manusia cuma memikirkan makan minum dan keperluan asas sahaja, tiadalah bezanya dengan kambing tadi. Manusia perlu memikirkan tujuan dia dijadikan. Manusia patut menjadikan ibadah sebagai tujuan utama, dan melalui kesepaduan ibadah asas, sunat dan umum inilah akan tercapai kemajuan material dan rohani. Inilah yang dikatakan 'killing two birds with one stone'.

Dengan menepati 6 syarat ibadah, kerja seharian kita di pejabat boleh dikira sebagai ibadah. Hujung bulan kita dapat gaji dan pada masa yang sama kita juga boleh dapat pahala. Inilah konsep dua dalam satu. Kerja yang dilakukan dengan itqaan (sebaik mungkin) mempunyai 3 ciri iaitu – efisyen, efektif dan beretika. Pekerja sebegini disayangi majikan dan juga Allah. Jadi tiada dilema antara memberi yang terbaik untuk majikan dan Tuhan. Kerja yang dilakukan boleh beri manfaat di dunia dan juga akhirat. Kerja juga memberi gaji dan menjadikan seseorang berbudi pekerti mulia. Itulah indahnya ajaran Islam. Dengan satu kerja yang dilakukan kita boleh dapat gaji, pahala, perhargaan majikan, keredhaan Tuhan, kemajuan teknologi dan keluhuran budi.

Kita perlu ubah pemikiran dan salah faham terhadap anggapan yang mengatakan ibadah tak boleh beri kemajuan kepada kita. Sebenarnya jika kita tak beribadahlah yang akan membuatkan kita tiada kemajuan, material dan rohani. Ibadah bukan penghalang kemajuan, malah sebaliknya. Ada juga orang mengatakan yang saya sibuk kerja, nanti lepas pencen baru saya beribadah. Sebenarnya ruang dan waktu untuk beribadah sebelum pencen lebih luas berbanding selepas pencen. Kenapa? Yang utama sebelum pencen, kita masih cergas, pemikiran pun masih cerdas, jadi kita boleh menyumbang lebih banyak. Tetapi setelah pencen, kita pun sudah berumur, tenaga pun semakin kurang, mata pun dah kabur dan sebagainya. Jadi, jangan berlengah lagi, jadikan kerja yang dilakukan sekarang sebagai ibadah. Ada juga orang yang kata saya sibuk sekarang, nanti hujung tahun saya pergi umrah dan fokus pada ibadah. 

Sebenarnya ramai orang sebegini kerana mereka tidak sedar yang sebenarnya pekerjaan harian juga boleh dijadikan sebagai ibadah. Ibadah perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Analoginya jika saya katakan cuba cari orang yang menjual alat ibadah di pasar malam. Pasti kita akan cari orang yang menjual tasbih dan buku-buku agama. Namun sebenarnya ada banyak lagi alat-alat lain. Contohnya, rancangan kita sekarang ini juga InsyaAllah merupakan satu ibadah. Jadi mikrofon, komputer, mesin-mesin yang digunakan juga merupakan alat ibadah sebenarnya. Bagi askar dan polis pula, alat ibadah mereka ialah senjata dan kenderaan. Bagi seorang 'programmer' pula, alat ibadahnya ialah komputer. Itulah sebabnya kita tak boleh kecilkan skop ibadah hanya apabila kita memegang tasbih sahaja, kerana kita semuanya memegang 'mouse' lebih lama berbanding memegang tasbih. Jadi jika ketika memegang 'mouse' itu kita melakukan kerja yang menepati enam syarat ibadah, secara tak langsung, 'mouse' itu sudah jadi alat ibadah kita. Kita perlu ubah persepsi bukan saja berkaitan alat ibadah, namun juga tempat ibadah. Sepertimana kata Yusuf Al-Qarwadi ,”Setiap inci tanah di muka bumi adalah tempat yang subur untuk menanam benih syurga”. Ertinya di mana saja kita boleh beribadah, hatta di dalam tandas sekalipun, dengan syarat kita menepati syarat-syarat ibadah. Oleh itu tepatlah perumpamaan bahawa 'Islam is the way of life'.

Soalan & Jawapan:
S: Ustaz ada terangkan tadi yang Islam tak memusuhi harta-benda. Namun dalam satu kitab ada diriwayatkan bahawa Baginda SAW ada bersabda bahawa masjid adalah tempat yang paling digemarinya, dan pasar adalah tempat yang paling dibencinya dan orang yang ke masjid membawa bendera iman, manakala orang yang ke pasar membawa bendera syaitan. Ada juga ulama yang mengupas lanjut hadis ini dan mengatakan bahawa pasar yang dimaksudkan ini termasuklah 'shopping mall'. Dalam satu hadis lain, Nabi SAW melihat satu bangkai dan bertanya sahabat siapakah yang ingin membeli bangkai tersebut dengan nilai 1 Dirham. Maka sahabat menjawab bahawa tiada siapa yang ingin membeli bangkai tersebut. Lalu Nabi SAW pun menjawab kembali yang sesungguhnya bangkai itulah seumpama nilai dunia. Mohon penjelasan ustaz perselisihan pernyataan ini.
J: Berkenaan harta benda yang dilihat sebagai penghalang kemajuan. Islam perlu dilihat secara 'syumul' (menyeluruh) dan multi-dimensi. ‘What we see is what we get’ atau ‘kita ialah apa yang kita lihat’. Contoh: ada orang lihat Rasulullah SAW sebagai orang yang beribadat sehingga bengkak-bengkak kakinya, tetapi dia terlupa yang Nabi SAW pernah patah gigi dalam berjihad. Dia cuma nampak solat yang Nabi SAW buat. Ada orang nampak Rasulullah seorang suami yang romantik: mandi bersama, minum daripada gelas yang sama, tapi dia tak nampak yang Rasul SAW juga banyak meluangkan masa bersama sahabat-sahabatnya. Jadi kita perlu lihat apa yang Nabi SAW buat dari semua segi, jangan kecikkan kepada satu perspektif sahaja. Kita perlu menteladani Nabi SAW dalam semua perspektif. Baru-baru ini saya melihat satu rancangan ‘Fattabi’uni’ di TV Al-Hijrah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW juga membawa barangannya untuk berniaga di pasar. Ada juga hadis yang dinukilkan dalam rancangan tersebut bahawa Nabi SAW berkata mengingati Allah di pasar lebih tinggi pahalanya. Kenapa? Kerana di pasar biasanya orang lupa Allah. Jadi jika kita ingat Allah takkala orang lain lupa Allah, ganjarannya lebih tinggi. Ibadah kita dinilai melalui dua cara iaitu keikhlasan kita dan kesusahan kita melakukannya. Pasar juga merupakan tempat manusia membeli keperluan dan bermuamalat. Rasululullah SAW pernah lalu di pasar dan menyeluk bekas gandum yang dijual dan mendapati gandum basah diletak di bawah. Lalu Rasulullah SAW menegur dan menyatakan bahawa perbuatan itu tidak betul. Jadi jika Rasulullah SAW tidak ke pasar, bagaimana Rasulullah SAW ingin mendidik? Oleh itu yang penting ialah kita kena ada jiwa dakwah, biar di mana sekalipun kita berasa. Peniaga-peniaga Islam perlu masuk ke 'mall' besar dan bawa budaya dan barangan Islam ke situ. Jangan kita masuk ‘mall’ dan terikut budaya bukan Islam. Memang betul Nabi ada mengatakan yang dunia itu seumpama bangkai dan orang-orang yang mengejarnya seumpama anjing. Namun itu sebenarnya untuk perkara-perkara dunia yang haram. Tetapi jika perkara yang halal, tiada masalah kita mengejarnya. Mari renungkan sejenak, jika semua orang Islam miskin, siapa yang akan keluarkan wang zakat? Siapa yang akan biayai projek-projek Islam sepertimana sahabat-sahabat Nabi yang kaya seperti Abu Bakar, Umar, Abdul Rahman? Walaupun ada juga golongan suffah yang diketuai oleh Abu Hurairah yang miskin, mereka ini ada sumbangan lain kepada Islam. Ramai antara mereka yang meriwayatkan hadis kerana mereka mempunyai banyak masa bersama Nabi SAW. Tetapi Islam juga memerlukan sumbangan material seperti bekalan makanan, peralatan perang dan sebagainya. Inilah yang disumbangkan oleh sahabat-sahabat yang hartawan. Dunia mempunyai dua sifat sebenarnya: Dunia yang haram seumpama bangkain binatang, dan dunia yang halal seumpama kebun-kebun untuk dituai di diakhirat. Kedudukan orang kaya yang baik adalah lebih baik daripada orang miskin yang sabar. Jadi, jika kita ditakdirkan kaya, terimalah nikmat yang Allah berikan dan berbakti dengannya. Uniknya Rasulullah SAW, baginda pernah hidup sebagai orang miskin sehinggakan pernah dapurnya tidak berasap sehingga 3 hari, namun baginda tetap sabar. Baginda SAW juga pernah menerima ghanimah dan menjadi kaya, namun banginda menjadi orang kaya yang pemurah. Mengapa Allah takdirkan Nabi SAW merasa kedua-dua jenis kehidupan? Pasti ada tarbiah untuk seluruh umatnya, kerana umat Nabi ini ada yang miskin, dan ada yang kaya. Jika Nabi SAW kaya sahaja, pasti orang miskin tak dapat belajar sesuatu daripada Nabi SAW dan sebalinya. Ini membuktikan sekali lagi keindahan Islam iaitu sesuai untuk semua golongan.

S: Bagaimana mengahadapi golongan kata ibadah boleh menghalang kemajuan dan golongan yang dahulukan ibadah berbanding kerja?
J: Ini pandangan orang yang 50% dunia, 50% akhirat. Dalam Islam tiada istilah seimbang sebegini, tetapi Islam menggalakkan kesepaduan dalam kedua-duanya. Saidina Ali ada mengatakan “Beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok, dan berusahalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun”. Jadi jika kita bezakan antara ibadah dan kerja, kita akan berada dalam dilema yang mana yang harus dipilih. Jadi kita akan cuba cari jalan tengah, dan buat 50-50. Tetapi daripad apa yang telah kita perbincangkan selama ini, ibadah dan kerja merupakan perkara yang satu sebenarnya. Ibadah ada 3: asas, sunat dan umum. Kerja kita boleh jadi ibadah umum seandainya menepati 6 syarat. Jadi ketika kita pergi kerja, dan kita mati semasa bekerja, kita sebenarnya mati dalam keadaan beribadah. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita menjadikan tempat kerja kita sebagai sejadah ibadah kita. Semoga jawapan memuaskan hati.

S: Saya bekerja di pejabat, dan buat kerja 'part time'. Saya buat kerja 'part time' selepas waktu pejabat, tapi menggunakan peralatan perjabat seperti komputer, internet, elektrik. Apakah hukumnya.
J: Ini sebenarnya sudah terang lagi bersuluh. Saya tidak mahu memberi hukum tapi bila kita menggunakan sumber milik majikan (termasuklah tempat, air, komputer, kertas, pen dan lain-lain lagi), walaupun selepas waktu pejabat, rasanya tak kena. Tambahan pula hati kita rasa tak senang.

S: Bagaimana melihat konsep wasatiyyah dalam Islam?
J: Konsep in sangat luas, namun Nabi ada bersabda bahawa sebaik-baik perkara adalah ‘wasatiyyah’ (kesederhanaan). Kesederhaan itu juga subjektif sebenarnya. Adakah jika pembaris satu meter, sederhara itu 0.5 meter? Jadi yang betul sebenarnya, kita perlu merujuk kepada apa yang Rasulullah SAW dan para sahabatnya, para tabiin dan salafussoleh lakukan. Sederhana jangan mengikut ukurun diri kita. Sederhana kena ikut cara Nabi SAW dan para sahabat. Sederhananya mereka bersedia mengorbankan nyawa dan harta untuk menegakkan Islam. Cuba bandingkan kesederhanaan ukuran kita dengan ukuran mereka? Para isteri Rasulullah SAW, dalam kesederhanaan mereka, tetap menjaga aurat hatta dikalangan para sahabat sekalipun. Perkara sebegini boleh dianggap ‘extreme’ pada hari ini. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat fajar setiap hari dan kita pula bagaimana. Adakah dengan solat Subuh yang lewat itu kita sudah boleh menganggap diri kita sederhana? Nabi SAW juga mengerjakan solat sunat Dhuha dan Qiyyammullail. Kita pula bagaimana? Belum mencapai sederhana lagi kita ini sebenarnya. Kita masih ketinggalan sebenarnya. Kita kena ikut ajaran Nabi SAW kerana pada Nabi SAW itulah contoh yang terbaik. Sebab itu Nabi SAW ada bersabda sekiranya kita melakukan satu sunnah disaat orang lain melupakan sunnah Nabi, ganjarannya sangat besar, kerana Nabi SAW sendiri sudah tahu bahawa kita takkan tercapai kesederhanaan seperti yang Nabi tunjukkan. Jadi dari segi ekonomi, kesederhanaan dalam Islam menjamin pemilikan harta individu dan dalam masa yang sama membela orang yang miskin dengan pengeluaran zakat. Inilah wasatiyyah. Kapitalisme dam komunisme pula hanya memenangkan sebelah pihak sahaja.

S: Kerja sebagai ibadah dan mengharapkan agar diterima Allah, namun masih ada perasaan ragu-ragu. Mohon komen ustaz.
J: Hati memang sukar dikawal dan mudah berbolak-balik. Jadi eloklah diimbangkan dengan pengharapan yang tinggi kepada Allah. Jangan terlalu takut amalan tidak diterima kerana ianya boleh membawa sangka buruk pada Allah. Jangan juga terlalu berharap dan buat kerja separuh hati pula, itu namanya berangan-angan.

S: Ada orang tak faham tujuan kehidupan. Ada orang ‘extreme’ kerja dan sebaliknya ada orang ‘extreme’ ibadah. Mohon pandangan ustaz.
J: Saya jawab soalan ini dengan metafora. Ada orang rabun jauh, nampak dekat saja dan ada orang rabun dekat, nampak jauh saja. Orang yang rabun jauh, nampak yang dekat saja iaitu dunia. Orang yang rabun dekat, nampak akhirat saja. Orang ini tidak nampak yang dunia ini boleh digunakan sebagai jambatan ke akhirat. Mukmin profesional, nampak kedua-dua dengan jelas. Dia tahu yang jauh itu tujuan, yang dekat itu jalan. Yang jauh itu matlamat, yang dekat itu alat. Jadi dia akan menggunakan dunia untuk kesenangan di akhirat. Pentingnya hidup kita di dunia ini kerana adanya hari akhirat. Kenapa? Dunia adalah modal kita di akhirat. Mudah-mudahan kita tak rabun jauh atau dekat.

Kesimpulan:
Metafora ibadah yang syumul itu umpama pohon yang rendang. Pohon yang rendang, lebat daunnya dan buahnya, akarnya kuat, dahannya banyak. Akar itu seumpama ibadah asas, batangnya merupakan rukun iman yang 5. Dahan-dahan merupakan ibadah umum (fardhu kifayah), manakala daunnya merupakan ibadah sunat. Oleh sebab itu ibadah sunat ada kepentingannya dan tak boleh ditinggalkan. Kemudian buah itulah hasilnya, seumpana tamadun rohani dan material yang diperolehi. Jika pohon ibadah kita besar dan kuat, akan ramailah orang yang ingin bernaung di bawah pohon itu. Pohon yang besar ini pula, jika dibaling batu, apakah yang dibalasnya? Ia akan menggugurkan buah. Inilah umat Islam yang kuat, dia tak akan terjejas dengan kejahatan yang orang lakukan kepadanya, malah akan dibalas dengan kebaikan pula.




Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab