Reset Minda Pekerja – Islam Itu Indah 08.02.2012


Prof. Dr. Muhaya Muhammad



Pekerja merupakan jentera pembangunan negara – 1.4 juta pekerja di Malaysia. Tetapi sebagai pekerja – jika kerja menggunakan fizikal semata – kita akan rasa penat, tak dihargai, gaji tak cukup dan sebagainya. Jika kerja fizikal sahaja, kita akan kejar nikmat dunia sahaja. Kita tak dapat bayangkan nikmat lain dalam dunia yang Allah beri. Dunia manusia terbatas anugerahnya – contoh jawatan ketua seorang saja boleh dapat, kerusi-meja cukup-cukup saja yang ada. Tapi dalam dunia Allah – semua orang boleh kejar untuk jadi hamba Allah, angin, laut, udara semuanya berlebih-lebihan. Kita kena masukkan nilai rohaniah dalam pekerjaan. Kita bekerja bukan untuk keperluan hidup, tetapi bekerja untuk memenuhi tujuan hidup iaitu menjadi hamba Allah, menjadi khalifah dan mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah.

Semasa bekerja – di samping melakukan tugas hakiki (jobscope), kita perlu juga menjaga tanggunjawab sebagai seorang muslim – solat jangan ditinggalkan, amalkan semua nilai-nila murni sepertimana akhlak Rasulullah SAW. Dengan itu baru datang keberkatan rezeki. Keberkatan rezeki bukan terletak pada banyaknya gaji – tapi benda yang berkat ini jumlahnya kecil namun kebaikkannya boleh pergi jauh. Duit yang dapat pula kita belanjakan ke mana? Belanja untuk dapatkan keredhaan Allah atau pujian manusia? Ramai orang tertipu sebab dia beli barang dia yang tak perlu, dengan duit yang dia tak ada, untuk tunjuk pada orang yanag dia tak suka. Sebab itulah duit tak pernah cukup. Duit yang dapat perlu dirancang penggunaannya – kena tetapkan prioriti ke mana duit perlu dibelanjakan.

Dalam bertugas, rancang supaya tka tinggal ibadah.

Satu konsep yang tak boleh kita lupakan ialah 'Undang-undang Kompensasi' – kita akan diberi rezeki setimpal dengan nilai yang kita beri. Jadi kalau waktu kerja selama 8 jam, adakah betul-betul kita bekerja selama 8 jam? Atau sebenarnya yang kita bekerja betul-betul cuma 2 jam dan yang lainnya kita bersembang, buka facebook, ambil rehat lebih dari yang sepatutnya. Jika ini yang berlaku akan hilang keberkatan dalam gaji yang diperolehi. Jadi mari sama-sama audit diri – setiap saat yang diluangkan di pejabat – adakah untuk manfaat syarikat? Kita mesti tingkatkan produktviti, kurangkan amalan berbual-bual kosong ketika minum pagi, ketika rehat semasa kursus. Ketika di London dulu, waktu rehat untuk minum dipanggil 'research discussion tea' – menunjukkan walau waktu rehat sekalipun tetap digunakan untuk melakukan perbincangan yang sangat produktif, bukan sekadar bual kosong atau berbual mengata orang.

Ada seorang yang bijak, dia mengukur waktunya dengan kadar wang. Contoh jika gaji seseorang itu 25k setahun, jadi satu minit miliknya berharga lebih kurang 20sen, jadi kalau setengah jam sudah RM6. Jadi jika gaji makin tinggi, contoh 250k, satu minit sudah berharga RM2. Oleh itu masa sangat berharga untuk diisi dengan tindakan yang boleh menguntungkan syarikat. Jika kita sibuk, adakah betul-betul sibuk atau berpura-pura. Selain mengisi masa dengan aktiviti, pencapaian seseorang pekerja juga penting – inilah yang dikatakan avtivity vs accomplishment. Ada orang ambil masa 1 jam untuk tulis satu surat sebab melakukan banyak kesalahan, ini tidak cekap namanya. Untuk menjadi pekerja yang cekap, perlu tambah ilmu agar mahir melakukan tugas kita.

Orang yang bagus, buat kerja sikit tapi kesannya banyak. Jadi bila cekap, kita tak akan tertekan dan tak akan dimarahi. Ada orang berharap naik pangkat atau gaji kerana 'seniority', dan bila tak dapat, mulahlah rasa tak puas hati. Sebenarnya jika kita memberi nilai kerja RM2k, namun dibayar gaji cuma RM1k, InsyaAllah nilai yang kurang akan 'dibayar' Allah dalam bentuk lain. Orang yang berjaya sentiasa ingin beri lebih daripada apa yang dia dapat. Sebaliknya mentaliti orang yang tak berjaya pula mereka buat kerja sedikit mungkin, tapi harap dapat sebanyak mungkin. Bila masuk kerja, mereka ini sibuk tanya bayaran OT berapa, bonus berapa dan sebagainya. Golongon ini cuma fokus pada apa yang mereka boleh dapat, tak tanya apakah tanggunjawab mereka, atau bagaimana untuk memperbaiki mutu kerja mereka.

Daripada pengalaman pesakit saya, jika mereka berjawatan tinggi, selepas pembedahan lastik, terus minta kebenaran untuk masuk ke pejabat semula. Namun orang yang berjawatan rendah, suka minta cuti lebih dari yang sepatutnya. Jadi sikap seseorang itu sebenarnya yang akan menentukan kejayaannya dalam pekerjaan. Sikap akan dibentuk oleh fikiran kita dan fikiran adalah sesuatu yang rohaniah, tak boleh dilihat oleh mata kasar. Tapi hari ini kita banyak fokus pada luaran, padahal sel kita bertukar baru setiap 7 tahun, namun roh kita yang kekal sama. Jadi mari bersama-sama ubah dan perbaiki diri kita, jika semua orang buat perkara yang sama, dengan sendirinya seluruh masyarakat akan turut berubah.

Majikan juga bila buat sesuatu polisi biarlah adil kepada semua para pekerja. Jangan amalkan sistem kapitalisme di mana hanya orang atasan yang terus kaya dan orang di bawah terus susah. Jangan tak bayar upah pekerja. Nabi dan sahabatnya sangat prihatin kepada orang bawahan mereka.

Soalan & Jawapan:
S: Kenapa Cuepacs banyak sangat kritik sedangkan kerajaan sudah banyak beri peluang pekerjaan kepada rakyat? Saya berpengalaman cuba menelefon jabatan awam tapi tidak berangkat walaupun sudah 30 minit menunggu. Mohon semua pihak ambil tanggungjawab beri perkhidmatan yang terbaik agar tidak mengganggu kelancaran pekerjaan pihak lain.
J: Memang betul, penjawat awam di Malaysia beruntung kerana berjawatan tetap. Di luar negara jawatan tetap hanya dieroleh setelah menyumbang melalui projek-projek besar. Jadi harap semua tidak ambil mudah kelebihan yang diberi dan menghargainya dan berikan perkhidmatan yang terbaik.

S: Kita buat kerja kerana Allah, dan perlu buat perancangan agar dapat tingkat produktiviti. Nak tambah tentang Cuepacs tadi, kita bukan berniat untuk kritik, tetapi menyampaikan ketidakpuasan hati kerana ada kenaikan-kenaikan tertentu yang nampak tidak wajar.
J: Bagus, perancangan sangat penting. Perancangan 1 jam dapat menjimatkan kerja selama 4 jam. Secara peribadi saya juga pentingkan perancangan agar tiada masa terbuang, kerana apabila doktor menunggu, pasti pesakit juga perlu menunggu. Kita perlu buang budaya tak menghargai masa dan berbual kosong, dan perlu ingat yang setiap yang kita sebut dan lakukan, ada malaikat yang mencatitnya. Berkenaan Cuepacs, betul ada kepentingannya menyalurkan pendapat atau komen kepada pihak kerajaan dengan cara berhemah.

S: Kebajikan dan imbunhan yang diberikan kepada pekerja, jika terlalu tinggi boleh menjadikan pekerja malas kerana beranggapan buat ala kadar pun gaji masuk juga. Mohon pandangan Prof.
J: Betul, daripada pengalaman beribu orang pesakit saya. Jika seseorang itu orang yang bertanggungjawab dan ikhlas dalam pekerjaan, anak-anaknya 'menjadi' => berjaya dalam kehidupan, jika perlukan pembedahan sekalipun, prosesnya jadi mudah. Tapi jika orang tak jujur, suka menganiaya orang, segalanya jadi susah untuk mereka. Kalau tak buat pembedahan tu, tiba-tiba mesin jadi rosak. Manusia tak boleh rasa selamat dengan janji manusia, tak boleh yakin dengan jawatan tetap dengan kerajaan, rezeki datang dari Allah, manusia hanya boleh bergantung sebulat-bulatnya pada Allah sahaja. Semua orang perlu beri tenaga positif pada kerajaan, jangan fokus pada yang negatif supaya kita semua boleh membangun bersama.

S: Saya hilang penghilatan sudah hampir 5 tahun, namun ayah yang baru baik selepas terkena 'mild stroke' sukar menerima teguran terutamanya hal-hal kebersihan. Bila ditegur, dia akan menjawab dengan sindiran. Soalan kedua: Bagaimana niat yang baik untuk makan ubat?
J: Yang penting kita cuba perbetulkan diri kita diri, jangan sibuk nak tegur dulu. Dari suara saudari ni sangat ceria, saya yakin orang yang berfikiran positif walaupun diberi cubaan hilang penglihatan. Bak kata pepatah – crisis can either break you or build you. Kita wajib taat pada ibubapa jadi kena mengalah. Stroke memang boleh sebab orang jadi kurang rasional dan bertindak seolah-olah kanak-kanak. Jadi pujuk dengan cara yang baik, penuh kasih sayang, jangan tegur dengan negatif. Bayangkan yang ayah kita mungkin pergi dulu sebelum kita, jadi ambil peluang berbakti pada ibubapa. Jika saraf yang rosak, sekadar kemampuan ilmu yang saya ada, tiada ubatnya. Jadi jika nak ambil ubat, berhati-hati jangan sampai tertipu dan niat agar dapat kesihatan yang baik dan dapat mendekatkan diri pada Allah.

S: Rawatan akupuntur mengenakan bayaran yang sangat tinggi. Contoh 16k untuk rawat kanser hati dan usus. Harga pakej sehingga sembuh. Pusat rawatan dan ubat mendapat kelulusan kerajaan. Berpatutankah harga yang dikenakan?
J: Saya tak berani nak komen sebab tak tahu perincian. Tapi jika dengan 16k boleh sembuhkan kanser, saya rasa ramai orang sanggup bayar. Saya lebih suka ambil sikap menghormati kepakaran perawat tersebut dengan harga yang dikenakannya kerana untuk menjadi pakar bukanlah perkara yang mudah.

S: Saya pernah diingatkan bahawa jika gaji tak setimpal, Allah akan ganti di hari akhirat. Patutkan saya membiarkan majikan terus berbuat begitu.
J: Ini juga prinsip saya → buat kerja seikhlas mungkin, biar dapat bayaran yang kurang kerana rezeki itu bukannya duit semata. Kesihatan, kebahagiaan, kejayaan anak-anak, itu juga merupakan rezeki. Bagi pihak majikan – jika menganiaya pekerja, perniagaannya takkan meningkat. Jika kita menindas orang di dunia, kita akan ditindas diakhirat. Anak-cucu kita mungkin akan terima kesan buruk perbuatan kita. Jadi jika ingin anak-cucu selamat, berbuat baiklah pada semua tanpa mengharapkan balasan. Bila kita buat baik pada makhluk Allah, makhluk Allah juga akan buat baik pada anak-cucu kita.

S: Bagaimana jika ada masa terluang kerana 'work smart'. Adakah dikira culas?
J: Bila kita 'work smart' dan ada masa terluang, tak mengapa kerana kita sudah 'deliver' tanggungjawab kita. Kita jangan 'over promise, under deliver'. Kita buat kerja sedikit tapi kesannya (impaknya) besar.

S: Umur 46, sudah lama pakai cermin mata. Berapa kos lasik?
J: Lasik ada 2 jenis, ada yang RM6999, RM7999. No. telefon: 03-21600332, hubungi Prince-Court Hospital untuk maklumat lanjut.

S: Saya ada 4 orang anak dan selalu ikuti blog Prof., dan cuba amalkan nasihat Prof. Namun isteri saya sukar diajak berubah. Apa nasihat Prof.?
J: Alhamdulillah, saudara ada isteri dan anak. Cara paling mudah nak orang berubah, ubah diri sendiri dulu. Jangan kritik, tingkatkan akaun emosi dengan memuji segala usahanya walaupun kecil.

Kesimpulan:
Bayangkan bila sakaratul maut datang, bagaimana keadaan kita? Dalam bekerja, jaga ibadat, aurat dan pergaulan. Bekerjalah untuk memenuhi keperluan sebagai khalifah Allah, bukan untuk memenuhi keperluan kehidupan semata-mata. Bila masuk kerja, cakap perkara-perkara yang baik, wujudkan suasana positif di tempat kerja. Sebelum balik kita bermaaf-maafan, mana tahu jika kita meninggal, diharapkan kita tiada dosa dengan orang lain.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab