Hitung Kesyukuran, Bukan Kesukaran – Mukmin Profesional 12.03.2012

Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Apabila berada dalam majlis ilmu, bermakna kita ada iltizam untuk menambah ilmu. Selagi kita terus menuntut ilmu, segala kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan akan dimaafkan kerana kita dianggap seperti budak yang masih dalam proses pembelajaran. Meminjam analogi seorang ustaz – katakan sebuah kereta di hadapan kita masih belum bergerak walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau, tentu kita rasa nak marah. Tapi apabila ternampak 'sticker' L di kereta tersebut, kita pun tak jadi nak marah. Begitulah juga dengan kita, jika kita berterusan menuntut ilmu, kita mengharapkan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan kerana kekurangan ilmu Allah ampunkan. Jadi mari sama-sama gantung L pada diri kita, semoga kita terus ingin cari ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Rasa tidak berilmu ialah rasa orang yang berilmu. Hanya orang yang berterusan menimba ilmu boleh mencapai kesempurnaan berilmu.

Fokus hari ini ialah syarat ibadah yang terakhir. Syarat ibadah ada enam, yang dipecahkan daripada dua syarat utama untuk menjadikan sesuatu pekerjaan itu ibadah iaitu niat mesti kerana Allah, dan kaedah mesti menepati sunnah. Syarat yang enam ialah:
  • niat yang betul
  • sah disisi syariat
  • pelaksanaan yang betul
  • buat yang terbaik
  • tak meninggalkan ibadah yang asas
  • kesannya baik
Jadi fokus hari ialah – Kesan yang baik. Enam syarat perlu dijadikan kayu ukur sebelum, semasa dan selepas kita melakukan sesuatu pekerjaan. Contoh, sebelum buat, tanya diri apa niat melakuan pekerjaan ini? Periksa juga hukum pekerjaan yang dilakukan – halal, harus, haram? Semasa buat, mesti gunakan kaedah yang terbaik. Seterusnya tanya diri adakah telah memberi yang terbaik? Mengapa? Tujuan ibadah adalah sebagai persembahan kepada Allah, jadi kerana Allah yang terbaik, tentulah Allah hanya inginkan yang terbaik sahaja. Jadi kita tak boleh buat sambil lewa. Seterusnya walau sesibuk mana sekalipun, jangan lupa tanggungjawab pada Allah → jaga solat, cari ilmu fardhu ain dan lain-lain. Selepas buat kerja, periksa apakah kesannya baik atau buruk?

Selepas sesuatu pekerjaan diselesaikan, ada 2 hasil yang boleh didapati. Pertama daripada segi keuntungan material, kedua kesan pada hati dan rohani kita. Kedua-dua kesan perlu baik. Bagaimana pula kita membelanjakan hasil yang diperolehi? Adakah ke arah kebaikan atau kemungkaran? Jika gaji disalurkan ke arah kemaksiatan, hilanglah kesemua lima syarat kerja sebagai ibadah yang disebutkan tadi. Pendapatan yang diperoleh juga perlu dizakatkan, kerana zakat mensucikan pendapatan tersebut. Semasa kerja ada kalanya kita terleka, mungkin tertidur, dan sebagainya. Jadi dengan zakat dapatlah mensucikan kekurangan-kekurangan yang tak disengajakan.

Jika rezeki diperoleh dengan cara yang baik, ianya akan mudah juga dibelanjakan ke jalan yang baik. Namun jika kita berasa sukar untuk buat kebaikan seperti sedekah dengan rezeki yang diperolehi, itu mungkin tandanya ada perkara tak elok dalam cara mendapatkan rezeki tersebut. Seperti jenaka pergaduhan antara wang RM1 dan RM50 yang ramai maklum, RM1 masuk keluar masjid atau surau saja, RM50 pula pergi 'shopping complex', tengok wayang dan sebagainya. Satu lagi analogi yang mudah: lebah biasanya hinggap di bunga-bunga yang cantik, kemudian balik ke sarang dan menghasilkan madu, yang mempunyai pelbagai kebaikan juga. Itulah perumpamaan orang beriman, dia mencari rezeki di tempat yang baik, dan daripada rezeki yang baik itu akan dibelanjakan ke arah kebaikan juga. Ini jelas menjadi teladan pada kita semua agar menilai semula cara kita bekerja dan bagaimana kita membelanjakan rezeki yang diterima. Perhatikan wang dalam dompet kita? Mudah atau susah nak keluarkan wang tersebut untuk kebaikan. Adakah pendapatan kita mudah dibelanjakan untuk keseronokan sahaja?

Seterusnya mari lihat kesan rezeki ke atas hati pula. Adakah dengan rezeki yang diperolehi menjadikan kita seorang yang bersyukur? Syukur ada tiga bahagian: syukur pada...
  1. perkataan: sebut Alhamdulillah.
  2. hati: bila mendapat sesuatu kejayaan, kita sedar itu adalah kurniaan Allah, bukan dari usaha kita semata. Ilmu, tenaga, pancaindera kita semunya milik Allah. Oleh itu segala pujian atas sesuatu kejayaan perlu kita pulangkan kepada Allah. Begitulah sikap Nabi Sulaiman apabila dipuji atas kelebihan harta dan kepandaiannya. Jangan kita bersikap seperti Qarun yang mengaku diberi harta kerana hasil kebijaksanaannya sendiri.
  3. perbuatan: menggunakan nikmat yang Allah beri selaras tujuan nikmat itu dikurniakan atau juga dikenali 'law of gratitude'. Contoh: bakat yang Allah berikan digunakan untuk tujuan kebaikan, bukan kemaksiatan. Sebagai contoh - jika kita diberikan ilmu, gunakan ilmu untuk mengajar, jika diberikan harta, bantu orang yang susah. Secara analoginya, jika A pinjamkan kereta pada B, kemudian B bawa kereta dan langgar A pula, memang tak patut sungguh. Begitulah hakikatnya jika kita menggunakan nikmat yang Allah beri untuk melawan dan melanggar perintah-Nya. Inilah yang dinamakan orang yang zalim.
Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah. Jangan kita tamak. Ada satu kisah seorang raja ingin memberikan tanah kepada seorang lelaki. Sejauh mana dia berjalan itulah tanah yang akan menjadi miliknya dengan syarat dia pulang sebelum senja. Namun oleh kerana ketamakannya, lelaki tersebut tak balik-balik. Bila tamak, seseorang akan mengalami kesibukan yang tak ada hentinya, keletihan yang tak ada penghujungnya. Oleh itu jadilah orang yang bersyukur, kerana Allah sudah berjanji bahawa jika bersyukur, Allah pasti tambah nikmat. Kalau rezeki kita masih belum bertambah juga, mungkin kita belum bersyukur lagi kerana siapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang banyak. Ada juga ungkapan orang bijaksana: “Siapa yang tak sabar dengan yang sedikit, dia sukar syukur dengan yang banyak.” Oleh itu, hitunglah kesyukuranmu, bukan kesukaranmu dalan hidup ini. Lihat apa yang ada, biarpun sedikit, jangan lihat apa yang tak ada.

Soalan & jawapan:
S: Orang Islam tak bersyukur dengan keislaman yang dimiliki dan tidak berdakwah. Ini juga mengundang kufur datang dalam bentuk murtad. Mohon pandangan ustaz.
J: Orang Islam yang tak bersyukur bukan sekadar tak berdakwah, namun yang lebih parah ialah apabila dia tak jaga keislamannya. Bila kita tak jaga keislaman kita, ada kemungkinan Allah akan cabut keislaman kita. Analoginya jika kita hadiahkan anak kita basikal, namun basikal itu tak dihargainya dan tak dijaganya dengan baik. Kita tengok pun geram dan akhirnya kita ambil balik basikal itu dan menyimpan dan menguncinya. Begitulah kalau kita tak menghargai Islam yang kita memiliki. Orang Islam sepatutnya bersifat seperti air mutlak – suci dan mensucikan. Apabila nikmat Islam betul-betul sampai kepada kita, secara semulajadi kita akan terasa untuk menyampaikannya pada orang lain, kerana bila kita rasa seronok dengan sesuatu, kita akan suka berkongsi. Sama seperti jika kita jumpa kedai makan yang sedap, kita akan segera mempromosikannya pada rakan-rakan dan keluarga, sehingga kadang-kadang sanggup keluar belanja sendiri agar orang lain dapat rasa nikmat makan di kedai yang sedap tadi. Tetapi kenapa kita sukar nak berdakwah? Kerana kita sendiri tak merasa kemanisan Islam itu. Al-Shahid Hassan Al-Banna berkata: “Kemanisan Islam itu hanya dapat dirasa oleh orang yang menegakkan Islam dalam diri mereka.” Oleh itu bila kita cuba menegakkan Islam, pastinya bertemu kesukaran dan ujian, namun daripada situlah iman kita akan digilap. Islam hari ini telah digelapkan oleh orang Islam sendiri. Dia masuk sepenuhnya pun tidak, keluar sepenuhnya pun tidak. Dia berada di muka pintu dan menyebabkan gangguan orang yang nak masuk ke dalam Islam. Dia cuma mengamalkan Islam separuh dan meninggalkan separuh. Oleh itu mari sama-sama seru diri kita untuk menegakkan Islam dan menyeru orang lain bersama kita.

S: Jika kita dapat musibah, boleh ke katakan ia juga datang daripada Allah?
J: Memang Allah sebut dalam Al-Quran bahawa Allah turunkan musibah sesuai dengan kemampuan kita. Walaupun musibah membawa kesakitan, kegagalan dan sebagainya, ia tetap membawa hikmah yang tersendiri. Musibah boleh mengingatkan kita pada Allah, sedangkan nikmat boleh buat kita lupa pada Allah. Abu Zar Al-Ghifari pernah ditanya Rasulullah SAW tentang apa yang disukainya. Dia menjawab: “Lapar, sakit dan mati”. Pelikkan jawapannya? Kenapa begitu? Jawabnya lagi: “Bila lapar, hatiku lembut, bila sakit, dosaku diampunkan dan bila mati, aku akan bertemu dengan Allah.” Inilah orang beriman, dia melihat yang tersirat dalam setiap yang berlaku. Ini juga dikenali sebagai konsep 'reframing' di Barat. Contoh: jika kita diberhentikan kerja, sebenarnya itu adalah peluang kita mendapat pekerjaan yang baru. Ketika gagal, kita tak anggapnya sebagai kegagalan tapi sebagai cabaran. Kita ubah cara melihat sesuatu agar dapat melihat yang tersirat. Oleh itu jika dilanda musibah, sebutlah: “Innalillah hi wa inna ilai hiro ji un.” Ingatlah kita semua milik Allah, Allah boleh buat apa saja dengan kita. Jangan tanya kenapa kita, tapi bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk dididik-Nya.

S: Bagaimana jika usaha dakwah kita ditolak, dan seolah-olah telah ditutup pintu hatinya. Bagaimana cara terbaik mengajak mereka?
J: Kadang-kadang kita rasa geram bila benda baik yang kita nak sampaikan tak diterima orang. Yang paling utama, jangan marah apabila orang tak berubah seperti yang kita kehendaki, kerana kita sendiri pun tak berubah sepertimana yang kita kehendaki. Jadi, beri kemaafan dan beri kasih sayang. Asas dakwah ialah kasih-sayang. Kita boleh menyayangi seseorang tanpa memimpinya, tapi kita takkan boleh memimpin seseorang tanpa menyayanginya. Itulah resepi kejayaan dakwah Rasulullah SAW. Akhlak yang paling hebat pada diri Rasulullah ialah kasih-sayang. Baginda amat ambil-berat pada kesusahan orang lain. Islam hanya akan berjaya jika diseru dengan kasih-sayang, Islam takkan berjaya jika dieksploitasi dengan perasaan benci. Bila sayang, kadar kesabaran kita menghadapi karenah seseorang akan menjadi lebih tinggi. Analoginya jika bersama anak sendiri, apabila dia meragam, kita takkan terus marah kerana ada perasaan sayang padanya. Tapi jika itu anak orang lain, kita mungkin takkan begitu sabar. Dalam berdakwah, kita perlu juga ingat bahawa hidayah merupakan hak Allah, jangan kita susah hati untuk 'mengambil' tugas Allah. Kita hanya perlu terus berusaha. Jika dakwah kita tak diterima, jangan cepat membuat kesimpulan orang menolak dakwah kita. Mungkin sebenarnya orang menolak kerana cara kita yang tak betul. Contohnya jika kita campak makanan pada orang yang sangat lapar, orang itu pasti takkan makan walaupun dia amat lapar ketika itu. Sebab itulah, kebenaran perlu disampaikan dengan cara yang benar, pada waktu yang benar. Ada tiga cara berdakwah:
  1. Dengan hikmah – dengan sesuatu yang tersirat, cara ini sesuai untuk golongan bijak-pandai.
  2. Dengan pengajaran-pengajaran yang baik – untuk golongan pertengahan. Cara ini sesuai untuk orang ramai.
  3. Dengan hujah-hujah yang baik (berbahas) – dengan orang yang sederhana, tak bijak sangat, tak bodoh sangat.
S: Bagaimana untuk berdakwah apabila diri kita pun belum baik juga?
J: Cara membaiki diri kita ialah dengan mengajak orang lain melakukan kebaikan. Contohnya, jika nak basuh kain, hasilnya kain bersih, tangan pun jadi bersih. Jangan menunggu hingga kita betul-betul jadi baik, baru kita nak mengajak orang kepada kebaikan. Bila ditanya, kita pun tak dapat menjawab adakah kita baik atau tidak. Kita hanya boleh menjawab yang kita sedang berusaha, dan dalam pada itu mengajak orang lain berusaha bersama.

S: Pada pendapat saya dakwah secara individu memang payah. Jadi eloklah dilakukan secara berjemaah. Jadi sertailah contohnya jemaah tabligh yang memang aktif berdakwah.
J: Kita boleh lihat pandangan ini daripada dua sudut: prinsip dan pendekatan. Daripada sudut prinsip: Betul berdakwah dalam jemaah akan beri lebih kekuatan. Daripada sudut pendekatan pula: Contoh yang diberi ialah dengan mengikut jemaah tabligh. Sebenarnya ada banyak pilihan lain lagi, jalan menuju Allah ada sebanyak urat leher kita sebenarnya. Setiap pendekatan ada cara tersendiri. Biar ada banyak persatuan, asalkan ada kesatuan. Jangan nafikan kelebihan kumpulan lain, hormati satu sama lain. Saling membantu atasi kelemahan dan jangan berpecah kerana kepentingan peribadi.

Kesimpulan:
Walaupun kita boleh memberikan banyak pandangan dan pendapat, kita sebenarnya masih banyak kekurangan. Oleh itu mari kita serahkan diri pada Allah agar dibantu diberi kesempurnaaan. Semoga dengan perbincangan ilmu ini, hati kita semakin lembut dan semakin dekat dengan Allah. Setiap kita perlu rasa yang kita ada kelebihan tersendiri, barulah kita boleh bersyukur pada Allah. Jika kita rasa diri kekurangan sahaja, kita sukar mensyukuri nikmat Allah. Syukur akan menambah rezeki yang Allah beri, mungkin bukan pada kuantiti, tapi pada kualitinya. Jangan kita kufur, itu akan membuatkan kita akan sentiasa rasa tak cukup, walaupun rezeki yang diberi itu sudah banyak. Wallahu a'lam.

Popular Posts