Alam Bertasbih 3 - Tanyalah Ustaz 15.04.2012

Ustaz Hanafiah Abdul Razak
Unit Cerap Ilmu Falak, Jabatan Mufti Johor.

Surah Al-Mulk, ayat 16 yang bermaksud:
" Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?"

Diriwayatkan oleh Muslim:
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".

Itulah yang kami (Unit Cerap Ilmu Falak) dapat perhatikan sejak 3 tahun dahulu, setiap 3 bulan berlaku gegaran silih berganti dari Timur ke Barat. Sekarang ini pula menjadi semakin kerap, selang setiap 2 minggu. Gegaran bukan sekadar di darat, tetapi juga berlaku di lautan. Inilah kebenaran hadis Nabi tadi. Dalam hadis lain ada disebutkan yang takkan berlakunya hari kiamat, sehingga berlakunya kerap gempa-bumi sehingga menenggelamkan petempatan dan manusia.

Surah Al-An'am, ayat 63, maksudnya:
Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”.

Allah sindir manusia yang hanya sedar setelah diturunkan bencana padanya. Sesungguhnya setiap sesuatu yang berlaku di alam ini punya tafsiran, maklumat dan pengajaran yang tersendiri.

Bencana berlaku bukan sekadar di darat, tapi juga berlaku di laut yang membawa tsunami. Manusia perlu sentiasa memohon perlindungan Allah. Tak ada siapa yang boleh membantu kecuali Allah.

Sebelum berlaku sesuatu bencana, petempatan tersebut akan menjadi sangat panas. Udara panas ini akan kemudiannya naik ke atas dan membentuk awan yang menjadi amaran bencana akan turun. Amaran ini sepatutnya digunakan sebagai peluang agar manusia segera bertaubat dan memohon rahmat Allah. Namun sayangnya manusia tak memerhatikan sekelilingnya. Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya sentiasa bersyukur dengan apa saja yang Allah beri, terus-menerus berdoa memohon rahmat Allah dan beristighfar selalu untuk mohon keampunan.

Kita mengharapkan awan Mugsirat, awan yang kandungannya boleh menyuburkan tanaman dan memberi keselesaan kepada alam dan haiwan. Inilah awan yang menggembirakan.

Imam At-Tabra'i ada meriyatkan yang Rasul berfirman yang pada akhir zaman, akan turun hujan, namun tak mampu menumbuhkan tanaman. Keadaan ini akan menyebabkan berlaku krisis makanan. Amerika Syarikat sendiri telah membuat persediaan untuk menghadapi krisis makanan yang dianggarnya berlaku pada 2018.

Surah Al-Mulk, ayat 15-18, maksudnya:
" Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). "

Allah menghendaki kita berusaha untuk mendapatkan 3 perkara: rahmat, keberkatan dan keredhaan Allah. Jika manusia tidak berusaha untuk mendapatkan ketiga-tiga ini, maka akan turunlah bencana seperti firman Allah dalam ayat 16 dan 17, Surah Al-Mulk.
[16] Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

[17] Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?

Angin Hasiba membawa batu, yang dipanggil hujan batu, yang membawa kemurkaan Allah. Mari bersama kita berubah untuk mencari keredhaan Allah untuk mendapat keselamatan di dunia dan akhirat.

Soalan & Jawapan:
S: Apa hukumnya apabila pokok dizalimi contohnya ditebang, dijirus minyak tanah.
J: Pokok merupakan makhluk Allah yang memberi kebaikan pada manusia. Kadang-kadang ada keperluan untuk buat jalan dan sebagainya, maka diharuskan menebangnya.

S: Doa apa yang boleh dibaca untuk memohon angin Az-Zariyat yang bagus untuk tanaman?
J: Semua doa adalah baik. Rasul SAW mengajar kita agar berdoa semoga angin yang datang membawa kebaikan bersamanya. Jika seseorang itu berasa yang rezekinya kurang atau lambat, perbanyakkanlah beristighfar terutamanya pada waktu matahari terbenam.

S: Di mana tempat terbaik berlindung jika berlaku angin kencang?
J: Pernah berlaku, ketika angin kencang, Rasul SAW keluar dari rumah, dan menghadap ke arah angin yang datang dan tak henti-henti beristighfar. Jadi untuk kita pula, ikutkah arahan pihak berkuasa kerana mungkin struktur rumah kita tak kuat.

S: Betulkah batu nisan, pokok bunga di kubur bertasbih dan boleh meringankan seksa si mati?
J: Batu dan pokok bertasbih kepada Allah. Rasulullah SAW pernah cucuk daun yang masih hijau di atas satu kubur. Para ulama membincangkan dan menyatakan mungkin ada kebaikan jika menanam pokok di atas kubur. Tapi janganlah pokok yang besar sehingga boleh mengganggu rangka si mati pula. Bunga bersifat wangi dan ada pendapat mengatakan akan menarik malaikat untuk datang dan malaikat juga bertasbih.

S: Maksiat yang berlaku boleh sebabkan bencana alam. Mohon ulasan ustaz.
J: Ada hadis diriwayatkan bahawa Aisyah sendiri bertanya kepada Rasulullah SAW: "Adakan akan tetap digegarkan tempat itu jika terdapat orang-orang ynag soleh?" Nabi jawab, "Ya". Jadi manusia kena saling memberi peringatan antara satu sama lain, kerana bencana akan melanda semua.

S: Betulkah tahi bintang itu senjata malaikat untuk menghalang iblis mencuri rahsia di langit?
J: Surah Al-Mulk, ayat 5, Allah berfirman:" Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang." Tahi bintang ada 2 jenis: Pertama yang terbakar hangus di udara dan tak jatuh ke bumi. Kedua, tahi bintang yang jatuh ke bumi dan menyebabkan berlaku lubang besar. Tugasnya jelas untuk merejam syaitan. Kitatak perlu tahu di mana akan jatuh, yang penting mohon perlindungan dengan Allah dan lakukan amal soleh.

S: Apakah maksud berlaku gerhana matahari?
J: Gerhana matahari merupakan bukti kekuasaan Allah. Allah beri rezeki kepada manusia melalui sinaran cahaya matahari. Oleh itu dengan berlakunya gerhana matahari, Allah ambil sinaran matahari itu untuk menjadi pengajaran kepada manusia. Gerhana bukan tanda kelahiran atau kematian seseorang.

S: Di tempat-tempat pelancongan dan taman hiburan di Malaysia berlaku banyak perkara yang menggalakkan maksiat. Bagaimana alam akan bertasbih untuk kebaikan kita?
J: Memang telah jelas yang alam akan binasa oleh kerana tangan manusia sendiri. Manusia akan tetap terus mencari hiburan, jadi eloklah bagi kita yang ada sedikit ilmu ini agar menghindarkan diri daripada pergi ke tempat-tempat tersebut.

Untuk nota Alam Bertasbih Bahagian 2, klik sini.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab