Imarah Masjid 3 - Tanyalah Ustaz 08.04.2012

Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang



Bacaan surah Yaasin, ayat 12, maksudnya:
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

Intipati ayat:
Sebab turun ayat ini? Bani Salabah, mereka tinggal agak jauh dari masjid, jadi mereka berbincang untuk pindah dekat dengan masjid. Berita itu sampai kepada Nabi dan Nabi berkata , "Kekal, jangan pindah kerana amalan kamu itu dicatit dan ditanda dalam buku catitan." Itulah intipati ayat yang dibacakan tadi: semua amalan yang dilakukan, segala usaha yang dibuat akan dicatit.

Setelah 2 hari kita telah berbincang tentang banyak perkara berkaitan imarah masjid - perbincangan ini tak bertujuan mengata atau menyalahkan mana-mana pihak. Tujuan utama kita nak memperbaiki diri dan menggalakkan orang ramai datang ke masjid. Setiap orang ada kelemahan, jadi saling berlapang dada dan menerima teguran dengan baik dan buang sikap ego. Kita juga perlu menghargai khidmat imam dan AJK yang tak semuanya mendapat elaun.

Ketika berada dalam masjid, perlu jaga adab. Jika kita boleh jaga protokol tertentu bila melawat tempat tertentu, mengapa kita tak boleh jaga adab dengan rumah Allah. Jaga pakaian, perlakuan dan perkataan kita ketika berada di masjid. Contoh janganlah ke masjid dengan baju jersi, atau baju-baju bertulisan yang boleh mengganggu konsentrasi jemaah lain. Kebersihan dari segi rupa dan bau juga perlu dititik-beratkan.

Jika anak muda datang ke masjid dengan jersi bola, jangan pula kita herdik. Boleh tegur tapi biarlah kena caranya, ajak minum dulu, berkenalan dulu dan bila sesuai selitkan teguran secara hikmah.

Untuk menarik minat ramai, anjurkan berbagai pertandingan seperti pertandingan hafaz Al-Quran, bercerita kisah Al-Quran, azan, kuiz ramadhan dan sebagainya. Bagi hadiah lumayan seperti tajaan buat umrah, wang tunai, majalah-majalah agama dan lain-lain.

Allah memberi amaran kepada mereka yang menghalang orang mengimarahkan masjid dalam Surah Al-Baqarah, ayat 114:
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

Orang yang halang aktiviti masjid, mereka akan dapat kehinaan, seperti yang disebut dalam ayat di atas.

Hidupkan masjid dengan majlis ilmu - masyarakat akan cintakan masjid, rezeki datang untuk masjid, masyarakat akan jadi lebih elok dan berbagai kebaikan lain akan datang.

Soalan & Jawapan:
S: Bagaimana menghadapi jika cadangan yang diberi ditolak sebelum diperbincangkan?
J: Memang ada berlaku di sesetengah masjid. Jadi saya cadangkan cari orang-orang yang berpengalaman menguruskan mesyuarat menjadi AJK untuk membantu. Namun, kadang-kadang sukar juga kerana AJK ini biasanya sukarelawan. Tapi cubalah bawa berbincang tanpa ada perasaan ego kerana pangkat dan jawatan, kerana Rasul SAW sendiri mendengar pandangan Salman Al-Farisi, seorang hamba yang baru dimerdekakan, untuk menggali parit semasa menghadapi musuh.

S: Ada penceramah jemputan yang mengambil contoh dengan menyebut/mengata orang dalam ceramah. Jemaah rasa tidak selesa. Bagaimana pendapat ustaz?
J: Ayat Al-Quran diturunkan untuk menperbaiki orang. Jadi jika ustaz ceramah dan tegur orang - memang betul - cuma tengok keperluan untuk sebut atau tak nama orang tu sebab Rasul SAW ada kalanya guna nama orang secara terus -terang, ada kalanya guna "Ada orang tu buat xxx". Jika ada orang terasa, baguslah supaya orang itu sedar kesilapannya dan boleh perbetulkan. Orang lain yang dengar pula boleh jadikannya teladan.

S: Apa pendapat ustaz tentang budaya mengadakan majlis kahwin di masjid. Kadang-kadang dijemput orang bukan Muslim sekali.
J: Betul, dah jadi budaya sekarang, tak salah, cuma kena jaga adab-adab dalam masjid. Antara adab penting ialah:
- semua perlu buat tahiyyatul masjid
- jaga aurat pengantin dan tetamu
- wanita haid tak boleh duduk dalam masjid, duduk di luar
- tetamu bukan Islam perlu jaga aurat dan duduk di luar
Jangan pula masa kahwin saja buat di masjid, yang penting kehidupan selepas itu perlu di'dekat'kan dengan masjid..

S: Bagaimana menarik hati pelajar asrama yang lebih suka solat di bilik daripada berjemaah di surau. Bagaimana menjadikan ceramah lebih menarik?
J: Warden perlu ada jiwa mendidik kepada pelajar dan beri contoh yang baik- iaitu warden solat jemaah sekali. Agihkan tugas pada pengawas untuk saling mengingatkan kawan-kawan sebilik. Jangan lupa berdoa agar hati anak-anak ini dilembutkan dan diberi petunjuk. Saya sendiri berterima kasih atas jasa baik warden mendidik solat berjemaah di asrama dahulu. Untuk menjadikan ceramah menarik pula, isinya kenalah menarik dan sesuai dengan umur pendengar. Ada buku tentang cara Rasulullah mendidik: Ar-Rasul mu'alim - buku ini menyenaraikan cara-cara Rasulullah SAW mendidik - antaranya dengan melukis gambarajah, bertanya soalan, bercerita, buat teka-teki dan sebagainya.

S: Pada zaman ini masjid cuma ramai pada hari Jumaat atau Hari Raya. Bagaimana mengatasinya?
J: Solat Jumaat sangat penting untuk menyampaikan khutbah yang berkesan dan menarik kerana inilah satu-satunya masa untuk berpesan kepada jemaah yang kebiasaanya sukar datang ke masjid. Penulis khutbah, pembaca khutbah perlu ambil peluang menulis perkara yang boleh memberi kesan kepada masyarakat. Pembaca khutbah perlu bersemangat membaca khutbah, kerana Nabi SAW bila berkhutbah, merah matanya seumpama seorang ketua tentera. Ini juga diingatkan bahawa jual-beli yang melibatkan lelaki Islam pada waktu Jumaat haram hukumnya.

S: Agenda politik kadang-kadang membuatkan aktiviti masjid terganggu. Apa pandangan ustaz?
J: Suruh mereka yang bertelagah selesaikan di masjid juga. Kaji cara Rasulullah menyelesaikan banyak isu politik dalam masjid. Biarpun kita mempunyai aliran berbeza, yang penting agama perlu lebih tinggi daripada politik, biar politik dipandu oleh agama.

S: Ada sesetengah masjid, tempat imam di kawasan berlekuk (mihrab) sehingga menyukarkan makmum melihat pergerakan imam. Mengapa begini?
J: Jika begitu, kebelakangkan kedudukan imam agar mudah makmum melihat.

Popular posts from this blog

Ya Hanana - Lirik dan Terjemahan

3 Penawar Diri

Amalan Zikir Bulan Rejab